Suzanne Tetap Ada "Melayu"

19 Dec

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto NOOR AZLINA JAAFAR

Tidak kelihatan seperti anak mat salleh. Pelik juga kerana difahamkan gadis yang akan ditemubual ini datangnya daripada negara kanggaru iaitu Australia. Ternyata Suzanne Brautigam ini unik sekali orangnya.

Cantik dengan caranya yang tersendiri lebih-lebih lagi dengan pakej darah kacukan Belanda-Melayu yang ada dalam dirinya.

Sebenarnya, anak kelahiran Utrecht, Belanda yang kini bermastautin di Perth, Australia ini punya cita-cita besar untuk menjadi penyanyi di bumi Malaysia.

Malah, dirinya cukup bertuah apabila cita-citanya itu dizahirkan oleh komposer terkenal Eddie Hamid yang banyak membantu mempopularkan gadis berusia 21 tahun ini menerusi lagu Melayu berjudul Muahh!

Ternyata darah Melayu yang ada dalam diri Suzanne cukup tebal apatah lagi dia mengaku serius untuk menyanyikan lagu-lagu Melayu meski lidah mat salih masih terikat pekat.

“Memang saya lebih senang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian, tetapi kalau hendak tahu, di rumah ibu lebih menggalakkan kami untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

“Ini kerana ibu tak mahu saya dan adik, Nur Syazwani lupa akan jati diri Melayu yang ada dalam darah kami.

“Meski masih kurang fasih, sekurang-kurangnya saya berusaha untuk memperbaikinya dari masa ke semasa,” katanya.

Menganggap dirinya cukup bertuah dipertemukan dengan Eddie Hamid, Suzanne mengaku tidak menyangka impiannya untuk bergelar penyanyi menjadi kenyataan.

“Sejak kecil saya memang minat menyanyi, tetapi langsung tak pernah terfikir untuk terus terjebak dalam bidang ini secara serius. Semuanya bermula selepas saya diperkenalkan dengan Eddie beberapa tahun lalu.

“Dia banyak memberi tunjuk ajar pada saya. Kalau hendak tahu, awal-awal dahulu saya ingat dia ini serius orangnya.

“Mungkin kerana karakternya yang nampak garang. Tetapi lama kelamaan selepas mengenali dirinya, barulah saya tahu dia baik orangnya selain tak lokek ilmu,” katanya.

Terperangkap antara dua cinta

Menurut anak sulung kepada pasangan George Brautigam, 59, dan Zainah Mahmud, 49, ini, selain menyanyi, bidang pendidikan merupakan cinta keduanya.

Jelas pelajar tahun pertama jurusan perguruan di Central Tafe, di Leederville, Perth ini, meski dihimpit antara dua ‘cinta’, dia bagaimanapun tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan kedua-duanya dalam satu masa.

“Saya hanya menyanyi apabila ada undangan persembahan, jadi rasanya saya tiada masalah untuk menjadi seorang guru dalam masa yang sama.

“Sejujurnya, saya tidak mampu mengenepikan minat saya untuk menjadi seorang pendidik,” kata gadis yang berpengalaman membuat persembahan pada majlis anjuran Persatuan Melayu Australia Barat atau MAWA di Perth ini.

Sanggup ulang alik

Barangkali ada yang terdetik di hati tidak sukarkah untuk Suzanne berulang alik dari Australia ke Malaysia demi melakar karier sebagai penyanyi di negara ini.

Spontan mulut gadis berbintang Libra ini menjawab, ” Tak mengapa, yang penting ibu dan ayah saya memberi sokongan yang kuat untuk saya teruskan karier sebagai penyanyi.

“Lagipun, Malaysia sangat dekat di hati saya. Untuk berjaya kita perlu mengharungi saat-saat sukar dahulu, betul tak?,” ujarnya penuh makna.

Bercerita mengenai album sulungnya, kata Suzanne, selain Eddie Hamid, buah tangannya itu turut mendapat sentuhan daripada komposer terkenal tanah air yang lain termasuk Baba Iskandar, Adnan Abu Hassan, Ajai, Azmeer dan Ahmad Fedtri Yahya.

Selain Muahh!, album itu turut mengandungi empat lagu lain berjudul, Itu Ini Pasti, Kau Tetap Di Hatiku, Penyeri Hati dan Kesal.

“Album ini berkonsepkan pop komersial dan secara keseluruhan, ia banyak mempertaruhkan genre balada dan pop.

“Tetapi secara peribadi, saya lebih suka membawakan lagu genre R&B sebab ia kena dengan jiwa saya,” kata peminat setia Misha Omar dan Kris Dayanti ini.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: