Saingan Sengit Golden Globe Ke-68

20 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


FILEM The King’s Speech mendapat tujuh pencalonan termasuk Pelakon Lelaki Terbaik untuk Colin Firth (kiri) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik buat Helena Bonham Carter.

KEHANGATAN musim anugerah di Hollywood kini sudah bermula. Peminat dan pemerhati dunia perfileman kini sedang menantikan siapakah yang bakal menjulang trofi dalam rangkaian acara anugerah yang akan berlangsung sehingga bulan Februari depan.

Bermula dengan Golden Globe, kemudiannya Screen Actors Guild dan acara kemuncaknya adalah Anugerah Academy atau nama popularnya, Oscar.

Dalam masa yang sama, ada juga beberapa acara yang tidak kurang pentingnya kerana ia merupakan indikator kepada pemenang khususnya pada Oscar nanti.

Sepanjang minggu lalu, topik paling hangat diperkatakan adalah tentang pencalonan Anugerah Golden Globe Ke-68 yang telah diumumkan di Beverly Hills, Amerika Syarikat.

Anugerah yang cukup dinanti-nantikan itu bakal diadakan pada 16 Januari depan juga di tempat yang sama pengumuman pencalonan berlangsung.

Golden Globe merupakan anugerah pembuka tirai kepada musim anugerah di Hollywood yang sering kali menjadi petunjuk kepada kemenangan calon yang bertanding di Oscar nanti.

Bukan hanya mengiktiraf mereka yang hebat dalam dunia perfileman, tetapi Golden Globe tidak melupakan karyawan mereka yang telah memberikan persembahan terbaik dalam dunia televisyen.

Seperti yang dijangka, dua filem hebat, The Social Network dan The King’s Speech mendahului senarai tersebut sekali gus akan memperlihatkan saingan yang cukup sengit daripada dua filem ini.

The King’s Speech mendapat tujuh pencalonan termasuk Filem Drama Terbaik dan Pelakon Lelaki Drama Terbaik untuk aktor Colin Firth serta lima kategori lain termasuk Pengarah Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Selain Firth, dua lagi pelakon filem tersebut iaitu Helena Bonham Carter dan Geoffrey Rush pula dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik.

“Melihat filem berbajet kecil ini diputarkan di arena antarabangsa dan seterusnya mendapat pengiktirafan seperti ini, ia memang cukup mengagumkan,” ujar Rush ketika diminta mengulas tentang kejayaan filem The King’s Speech.

Dari awal lagi, sejak filem itu mula dimainkan, sebahagian besar pengkritik dan pemerhati filem sudah meramalkan ia mampu mencatatkan kejayaan sebagai salah sebuah filem terbaik sepanjang tahun ini.

The King’s Speech mengisahkan bagaimana King George VI (lakonan Firth) yang ditabalkan sebagai pemerintah selepas kemangkatan ayahandanya perlu berdepan dengan cabaran memandangkan dia seorang yang gagap.

Mengekori rapat adalah filem The Social Network yang menerima enam pencalonan termasuk Filem Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan juga Lakon Layar Terbaik.

Dua pelakonnya, Jesse Eisenberg dan Andrew Garfield masing-masing menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Lelaki Drama dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Sesungguhnya filem ini mendapat perhatian yang cukup meluas dari awal lagi berikutan ia dilihat sebagai sebuah naskhah terbaik dalam menceritakan kisah hidup pengasas laman sosial Facebook iaitu Mark Zuckerberg.

Apatah lagi, sebahagian besar badan pengkritik di Amerika Syarikat sudah mengiktiraf filem ini sebagai Filem Terbaik sepanjang tahun ini. Lalu, memang tidak mustahil untuk The Social Network membolot anugerah pada Golden Globe nanti.

Sesuatu yang cukup menarik untuk diperkatakan tentang pencalonan ini adalah kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama yang menyaksikan lima calon hebat dari pelakon muda sehinggalah ke senior.

Mereka yang tercalon kali ini ialah Halle Berry menerusi filem Frankie and Alice, Nicole Kidman (Rabbit Hole), Jennifer Lawrence (Winter’s Bone), Natalie Portman (Black Swan) dan Michelle Williams (Blue Valentine).

Melihat kepada senarai ini, Kidman, Lawrence dan Portman mempunyai potensi besar untuk dinobatkan berdasarkan kecemerlangan lakonan mereka dalam filem yang dicalonkan itu.

Bukan itu sahaja, aktres senior, Annette Bening juga dikatakan akan menjulang trofi Pelakon Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik memandangkan lakonannya dalam filem The Kids Are All Right memang benar-benar berkesan.

Namun, laluannya bukan mudah kerana seorang lagi aktres filem itu, Julianne Moore turut dicalonkan dalam kategori yang sama di samping Anne Hathaway (Love and Other Drugs), Angelina Jolie (The Tourist) dan Emma Stone (Easy A).

Juara American Idol musim keempat, Carrie Underwood juga menerima pencalonan Golden Globe pertamanya apabila lagu ciptaannya, There’s A Place For Us yang merupakan lagu tema filem The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader dicalonkan dalam kategori Lagu Asal Filem Terbaik.

Dalam kategori itu juga, filem Burlesque lakonan Cher dan Christina Aguilera mendapat dua pencalonan menerusi lagu-lagu Bound To You dan You Haven’t Seen The Last of Me.

Beralih kepada kategori televisyen pula, siri muzikal popular, Glee mendahului senarai pencalonan apabila dicalonkan dalam lima kategori termasuk Siri Muzikal atau Komedi Terbaik.

Biarpun pernah memenangi kategori itu tahun lalu, laluan Glee bukanlah mudah kerana perlu berdepan dengan lima calon lain iaitu The Big Bang Theory, The Big C, Modern Family, Nurse Jackie dan 30 Rock.

Empat pelakon Glee iaitu Mathew Morrison, Lea Michele, Jane Lynch dan Chris Colfer masing-masing dicalonkan dalam kategori lakonan.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: