Konsert Artis Kita Paling Laku

21 Dec

SABAN tahun, Kuala Lumpur tidak pernah lekang dengan kunjungan artis antarabangsa yang menjadikan ibu negara kebanggaan rakyat Malaysia ini sebagai lokasi pementasan konsert mereka.

Mengimbas kembali persembahan yang berjaya dipentaskan sepanjang 2010 membabitkan nama-nama besar seperti Slash, Usher, Kelly Clarkson, Ne-Yo, Adam Lambert, Jason Derulo serta kumpulan Paramore, Tokio Hotel dan Placebo. Tidak hanya menjadi tumpuan penyanyi dan pemuzik dari Barat, Malaysia juga destinasi yang sangat popular di kalangan penghibur dari Korea. Super Junior, Beast dan Wonder Gilrs antara kumpulan yang paling berpengaruh di Korea kerana fenomena yang dicetuskan mereka sehingga berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, turut mengambil kesempatan beraksi di negara ini.

Jika beberapa tahun lalu penganjur berlumba-lumba menganjurkan konsert artis Indonesia, tahun ini bilangannya sedikit mengecil. Hanya dua konsert artis Indonesia membabitkan penggunaan kapasiti stadium dianjurkan iaitu Rossa dan kumpulan Ungu. Melodi Cinta Rossa dipentaskan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 29 Mei dan konsert istimewa ini dibawakan limaduabelas Musik dan Marctensia. Ia adalah lanjutan dari kejayaan Konsert Persembahan Cinta Rossa yang mendapat sambutan hangat di Jakarta, Surabaya, Bandung dan Konsert Cerita Cinta Rossa di beberapa buah bandar di Indonesia seperti Jogkarta, Lampung, Palembang, Jambi, Padang, Pekan Baru dan Medan.

Beberapa minggu sebelum konsert Rossa dilangsungkan, kumpulan Ungu yang popular dengan lagu Kekasih Gelapku terlebih dulu beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei. Malangnya, tidak seperti Rossa yang berjaya meraih lebih 5,000 penonton, konsert Ungu kurang menyengat dan tidak begitu mendapat sambutan penonton.

Ini kerana terdapat dua konsert diadakan pada tarikh sama iaitu Konsert Double Trouble dan TM Connects Live With Tokio Hotel.

Seperkara yang menarik, meski masyarakat negara ini dilambakkan dengan pelbagai konsert artis luar negara, rekod konsert paling laris masih dipegang artis tempatan.

Konsert Double Trouble yang menyaksikan gabungan kumpulan legenda rock, Search dan Wings diadakan di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort pada 1 Mei lalu diikuti Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Jun, masing-masing mencatat kehadiran 20,000 penonton, sekali gus yang tertinggi sepanjang tahun ini. Gabungan dua band gergasi ini sememangnya dinantikan kerana kali pertama Wings dan Search bergabung dalam satu persembahan menerusi konsert Double Trouble pada 1993.

Hampir empat bulan berehat daripada Double Trouble, Search dan Wings melancarkan misi seterusnya dan kini di dalam konsert Konsert Red On Black (anjuran Red On Black dan Awie Entertainment). Bagaimanapun, persembahan kali ini lebih istimewa kerana turut menampilkan Ratu Rock, Ella. Konsert itu dilaksanakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 15 Oktober lalu turut mencatat jumlah kehadiran sebagaimana Double Trouble.

Ini adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan apatah lagi mengukur perjalanan seni Search, Wings dan Ella, yang berusia 3 dekad, namun masih berbisa serta mampu memancing kehadiran luar biasa penonton.

Menghampiri kedudukan Double Trouble dan Red On Black sebagai konsert terlaris adalah Superjunior The 2nd Asia Tour yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Mac lalu.

Dibawakan Redstar Presents dan diuruskan Marctensia Entertainment, konsert itu berjaya mengumpulkan 15,000 orang peminat dan pastinya membawa pulangan yang besar kepada penganjur apabila semua tiket habis dijual.

Marctensia sekali lagi membuktikan kredibiliti mereka sebagai penganjur dan kali ini bekerjasama dengan Sony Music membawakan konsert sulung bintang American Idol, Adam Lambert.

Meskipun konsert itu mendapat bantahan pada awalnya ekoran kebimbangan segelintir pihak mengenai amalan cara hidup Adam sebagai seorang gay membawa kesan negatif kepada masyarakat negara ini, konsert Adam Lambert Glam Nation Tour Live In Malaysia 2010 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 14 Oktober lalu, tetap berjaya.

Ia antara konsert yang mendapat sambutan hangat penonton dengan kehadiran hampir 10,000 penonton.

Selain itu, Slash Live In Kuala Lumpur 2010 dipersembahkan syarikat penerbangan Firefly dan turut menyaksikan Harian Metro sebagai akhbar rasmi mencatat kehadiran lebih 8,000 penonton.

Konsert yang menampilkan bekas pemain gitar kumpulan Gun ‘N Roses itu dilangsungkan pada 5 Ogos lalu bertempat di Surf Beach, Taman Tema Air Sunway Lagoon menyaksikan kehadiran ramai penggiat seni tempatan.

Sebuah lagi konsert yang turut mendapat sambutan membanggakan, Paramore Live In Kuala Lumpur 2010 yang dibawakan Tune Talk sementara AirAsiaRedTix selaku ejen tiket rasmi konsert itu dibanjiri 7,000 penonton.

Persembahan berskala kecil namun mendapat sambutan luar biasa, tentunya showcase Maher Zain Save The Soul yang diadakan di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 14 dan 15 Oktober lalu. Semua tiket laris terjual dalam masa yang singkat.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: