Program Realiti TV Konsep Baru

21 Dec

JIKA sebelum ini penonton cukup dekat dengan jenama syampu rambut terkenal Sunsilk menerusi drama seperti Impian Illyana dan Impian, bagi 2011 pula satu program realiti TV diketengahkan iaitu Gadis Semasa Sunsilk sebanyak 13 episod.

Diarahkan sutradara terkenal, Bernard Chauly, pendekatan dimuatkan dalam siri yang akan ditayangkan di TV3 mulai 11 Januari 2011, jam 6 petang itu memaparkan kisah seorang gadis Melayu, pelajar jurusan muzik dan mempunyai bakat terpendam.

Gadis bertuah ini akan mendapat bimbingan tiga orang pakar untuk membantu menyerlahkan bakat, penampilan diri dan membentuk keyakinannya. Tiga pakar itu ialah komposer Ajai, personaliti TV, Wardina dan pendandan rambut, Bambang Soteto.

Diterbitkan produksi Red Communications Sdn Bhd, Gadis Semasa Sunsilk dianggap satu program realiti TV berkonsep baru yang berbeza kerana menampilkan ‘watak sebenar’. Dia seorang individu ‘bukan ciptaan’ yang diminta berlakon.

Penerbitnya, Lina Tan berkata ketika pihak jenama syampu memintanya untuk mengetengahkan konsep seperti itu, baginya ia bukan perkara mudah. Justeru, untuk merealisasikan harapan itu Lina berusaha keras membuat penyelidikan terperinci di Internet.

“Saya mengkaji apa keinginan gadis muda pada zaman sekarang dan mendapati ramai yang lebih cenderung ke arah muzik serta kecantikan. Tak mengira apa pekerjaan, latar belakang agama, budaya dan kaum, kebanyakan mereka minat pada muzik.

“Jadi, selama lebih sebulan saja mencari dan melakukan uji bakat di laman You Tube, akhirnya bertemu si gadis. Tidak dinafikan, bukan mudah mendapat persetujuannya, tetapi selepas melakukan perbincangan nampaknya barulah ia berhasil.

“Sehubungan itu, pada tiga episod pertama program realiti itu, penonton akan dipaparkan detik penting dalam mengenal pasti siapakah gadis dicari. Selepas itu, setiap episod menampilkan bimbingan diperolehnya daripada pakar.

“Program ini diperkaya dengan bimbingan pakar untuk kecantikannya, keyakinan diri dalam mengejar impian serta konflik dihadapi untuk membuat keputusan hidup. Pastinya, program ini akan membawa inspirasi baru,” katanya.

Menurut Lina, tak dinafikan ia adalah satu cabaran besar kepada pasukan produksi, tetapi mereka berusaha keras dan bekerja secara berkumpulan. Hasil ketekunan itu akan hanya dapat disaksikan penonton pada pertengahan Januari 2011 nanti.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Rambut Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Ashlee Ng berkata selaku pengeluar jenama syampu rambut terkenal Sunsilk Co- Creations, pihaknya sentiasa mahu memberikan pendedahan terbaik kepada pelanggan.

“Justeru, bagi memastikan kami kekal relevan kepada pelanggan penawaran khidmat pakar sangat berkesan dan penting dilakukan. Secara tidak langsung, ia membantu membawa perubahan dalam kehidupan mereka (pelanggan) dengan kerjasama itu.

“Saya yakin pembabitan beberapa pakar terpilih dalam industri ini berupaya menyumbangkan ilmu pengetahuan termasuk bimbingan bernilai kepada proses pembentukan penampilan dan keyakinan diri. Saya berharap usaha ini akan berjaya,” katanya.

Bagi Bernard pula, selepas membuktikan bakatnya dalam pengarahan filem dan drama tempatan, dia sangat teruja diberi peluang untuk memikul tanggungjawab itu. Katanya ia pengalaman baru yang sangat hebat dan memberi cabaran besar.

“Sebagai individu yang sukakan cabaran, saya sentiasa mahu melakukan perkara baru. Saya gembira diberikan kepercayaan ini dan akan melakukan yang terbaik. Apapun, saya percaya penonton akan terhibur menyaksikan program ini,” katanya.

Gadis dipilih untuk program berkenaan tidak dikenali melainkan lagunya yang sangat popular di You Tube. Berbakat dalam penciptaan lagu, menarik dan uniknya gadis ini ialah dia mendendangkan lagunya di You Tube tanpa menunjukkan wajah sebenar.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: