'Saya Hanya Pengacara Majalah'

21 Dec

TETAP FEMININ...Nurul seorang yang lasak, tetapi pentingkan penampilan diri.

TETAP FEMININ…Nurul seorang yang lasak, tetapi pentingkan penampilan diri.

SELEPAS Erra Fazira dan Nasha Aziz, giliran sebagai duta wajah Avon 2011 kini menjadi milik wartawan penyiaran dan pengacara jelita, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain.

Ditemui pada majlis memperkenalkan duta baru produk itu kelmarin, Nurul yang tampil menggayakan busana berwarna merah mengakui dia dia tak pernah terfikir akan diberikan tanggungjawab berkenaan.

Barangkali, ia memang rezeki yang ditetapkan Tuhan, tambahnya.

“Bukan mudah dipilih menjadi duta produk. Pelbagai kriteria dilihat untuk penilaian termasuk proses penapisan teliti kerana ada ramai calon lain.

“Saya melihat ini sebagai kepercayaan walaupun baru lima tahun dalam bidang penyiaran.

“Saya pernah mengacara program seperti Nona dan Majalah 3. Mungkin ramai penonton tahu, saya seorang yang lasak dan suka mengembara, namun soal penampilan tetap utamakan sekalipun hanya mengenakan solekan ringkas,” katanya.

Bekas pengacara Nona ini juga ditanya pandangannya mengenai aktres Vanidah Imran yang menggantikan Maya Karin sebagai hos baru Nona. Katanya, dia juga yakin Vanidah mampu mengalas tanggungjawab sebagai pengantara.

“Pada saya, Vanidah ialah pelakon yang hebat. Justeru, saya yakin dengan kewibawaan diri dan bakatnya itu mampu menarik lebih ramai penonton, sekali gus membantu meningkatkan rating program berbentuk majalah kekeluargaan ini.

“Saya percaya pada kemampuannya apatah lagi penonton yang mengenali Vanidah sebagai pelakon. Vanidah semestinya mempunyai kelompok peminat yang ramai selain memiliki aura tersendiri sebagai pengacara,” katanya.

Menurut Nurul, dia sedar Nona sendiri sudah ada pengikut setianya. Namun, dalam soal rating sebenarnya tidak boleh diletakkan sepenuh tanggungjawab berkenaan kepada pengacara semata-mata, sebaliknya aspek pengisian program juga sangat penting.

Bagaimanapun, kata Nurul, tugas pengacara bukan saja sebagai pengantara, tetapi juga sebahagian daripada pasukan produksi. Katanya, walaupun dia pengacara dulu, tetapi dalam masa sama bertindak sebagai wartawan penyiaran untuk segmen tertentu.

“Jadi, perasaan mungkin berbeza berbanding hanya sebagai pengantara saja. Jujurnya, saya akui apabila turun padang menjayakan penggambaran, pastinya lebih banyak emosi dirasai dan ia secara tidak langsung diterima oleh penonton,” katanya.

Perancangan perkahwinan
SEBAIK diajukan soalan, sama ada hatinya sudah dimiliki selepas pernah dikaitkan dengan calon Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, Nurul tanpa berselindung mengakui dia masih belum lagi mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga.

“Buat masa ini, semuanya masih dalam proses mengenali dan saya sendiri tidak membuat sebarang perancangan mengenainya (kahwin).

“Apapun, yang pasti perkara itu takkan berlaku dalam masa terdekat ini kerana saya terlalu sibuk dengan kerjaya.

“Mungkin dalam masa empat tahun lagi. Sekarang adalah masanya saya memberi tumpuan pada karier termasuk menyertai aktiviti promosi barangan Avon.

“Oleh itu, saya belum ada masa memikirkan soal itu melainkan karier saja,” katanya.

Ditanya mengenai bagaimana dia melihat peluang untuk berentap di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), Nurul berkata, semua itu pada tangan pengundi.

Katanya, saingan terlalu sengit kerana ramai calon yang hebat.

“Saya dapati, kebanyakan calon bertanding adalah pengacara program hiburan.

“Manakala, saya hanya pengacara majalah dan sukar untuk menjangkakan peluang. Apapun, saya gembira dengan karier ini dan popular atau tidak, itu ditentukan peminat.

“Bagi saya sendiri, memang tak pernah terfikir untuk mengejar populariti dalam bidang ini kerana semuanya adalah minat. Oleh itu, saya bersyukur berada di tahap sekarang dan yang pasti sentiasa melakukan terbaik pada karier diceburi ini,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: