Telefilem Mualim Di TV1

21 Dec

PENGHUJUNG tahun sering digunakan pasangan kekasih untuk merancang kenduri kahwin.

Ramai juga mengambil kesempatan bercuti ketika anak-anak bercuti sekolah. Ia membolehkan mereka meluangkan masa menghadiri atau pun mengadakan sendiri kenduri kahwin.

Justeru, (RTM) bakal menyajikan penonton telefilem menarik lakonan Rusdi Ramli, Lisdawati, Wan Hanafi Wan Su, Aznah Hamid dan Armand Yadi berjudul Mualim menerusi slot Nurani akan bersiaran pada Jumaat 24 Disember ini jam 10.30 pagi.

Telefilem penuh pengajaran serta iktibar berlatarkan sekitar situasi pasangan kekasih merancang perkahwinan. Bagaimanapun, pada masa sama, hubungan mereka dicemari rasa cemburu dan tidak puas hati pemuda yang cintanya ditolak wanita terbabit sebelum itu. Lelaki berkenaan menyimpan dendam kesumat pada wanita yang angkuh dengan kekayaan keluarganya.

Kisah bermula apabila gadis cantik, Shamsiah yang menjadi impian teruna di kampungnya. Dia tinggal bersama ibu bapanya, Mansor dan Kiah mengusahakan kilang batik.

Keluarga Mansor disegani kerana orang berada serta sombong. Sikap buruk bermegah-megah ibu bapanya terbawa-bawa oleh Shamsiah termasuk bangga dengan kecantikannya yang menjadi kegilaan jejaka untuk menjadikan Shamsiah calon isteri. Mereka terpaksa memendamkan saja hasrat kerana tahu impian itu akan dipersenda. Hanya Shamsul, anak pemborong batik Suki dan Kinah, berani memikat Shamsiah.

Bagaimanapun, Shamsul bertepuk sebelah tangan. Shamsiah tidak menyukai Shamsul malah menganggapnya seperti gagak di rimba yang berangan bersanding dengan merak kayangan. Tidak cukup itu, Shamsul dilabel penjenayah kerana pernah meringkuk dalam lokap. Shamsul menyimpan perasaan dendam terhadap keluarga Mansor dan Kiah. Dia cuba menghasut kedua-dua orang tuanya supaya tidak memborong batik kilang Mansor dan Kiah hingga menyebabkan berlakunya perang mulut antara mereka sekeluarga.

Kiah membawa Shamsiah bertemu Hassan, anak pemilik kedai emas, Mek Yam. Shamsiah dan Hassan jatuh cinta pandang pertama. Tiga hari selepas pertemuan mereka, kampung berkenaan gempar apabila Shamsiah mengumumkan akan bertunang dengan anak saudagar emas.

Shamsiah dan Hassan bertunang, tetapi ikatan berkenaan hanya bertahan tiga bulan saja. Ini kerana Shamsiah tiba-tiba meminta pertunangannya dengan Hassan diputuskan. Permintaan Shamsiah bukan mengejutkan Hassan dan ahli keluarganya.

Apakah alasan diberikan oleh Shamsiah untuk memutuskan pertunangannya itu? Untuk mengetahui kesudahan Mualim, jangan lupa saksikan siarannya di TV1.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: