Vanidah Mengaku Gementar

21 Dec

REKOD sebelum ini menunjukkan kegagalan Anugerah Skrin anjuran TV3 disebabkan pengacaranya.

Kritikan keras diterima penerbitan majlis berprestij itu menyebabkan penganjuran kali ini dilakukan penuh berhati-hati terutama mereka yang bakal mengendalikan acara yang dijadualkan berlangsung pada 24 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Antara pasangan yang pernah diberi kepercayaan mengendalikan majlis prestij yang mengiktiraf drama dan filem terbaik ini ialah gandingan Afdlin Shauki dan Fara Fauzana tahun lalu, Adlin Aman Ramlie dan Nurul Syuhada (2008) serta Aidil Abd Ghaffar dan Raja Azura (2007) serta Nazrudin Habibur Rahman dan Fazura (2006).

Memastikan penganjur tidak tersalah pilih pengacara majlis untuk acara tahun ini, satu uji bakat diadakan dan siapa yang berjaya diumumkan sewaktu majlis pelancaran dan sidang akhbar Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010), baru-baru ini. Kali ini Vanidah Imran, 37, dan Ahmad Awaluddin Ashaari atau Awal, 29, pula digandingkan.

Pastinya beban besar bagi memastikan majlis berjalan lancar terpikul di bahu Vanidah dan Awal. Lebih daripada itu mereka perlu memastikan tidak berlaku kesilapan yang boleh mencacatkan majlis. Keserasian juga harus ada agar mereka tidak menenggelamkan antara satu sama lain, sehingga timbul rasa kurang senang di kalangan penonton yang menyaksikan program disiarkan secara langsung itu kelak. Vanidah yang sebelum ini diumumkan pengacara Nona untuk musim baru menggantikan Maya Karin tidak menafikan turut berasa gementar sebaik saja dihubungi penganjur mengatakan dia berjaya dalam sesi uji bakat diadakan. “Apabila mereka memberitahu saya berjaya dalam uji bakat diadakan, timbul kesangsian dalam diri. “Saya bertanya apa yang membuatkan penganjur yakin dengan kemampuan saya untuk mengendalikan ASK 2010. “Saya turut menegaskan kepada penerbit yang saya tidak pandai berlawak di pentas. “Namun, mereka meyakinkan saya bahawa untuk tahun ini mereka mahu memberikan kelainan. Atas alasan dan kepercayaan diberikan pihak penerbitan menyebabkan saya menerima tawaran mereka,” katanya.

Lebih daripada itu, jelas Vanidah, dia yakin ada sebab mengapa pihak penerbitan memilihnya untuk bergandingan dengan Awal dan menafikan ia sebahagian daripada strategi pihak TV3 dalam memperkenalkannya sebagai pengacara rancangan Nona untuk musim baru.

“Dalam mengendalikan acara berprestij, seorang pengacara itu tidak semestinya harus berlawak. “Kita lihat majlis penganugerahan di luar, ada pengendali majlis tidak buat kelakar, sebaliknya memastikan majlis berjalan seperti dirancang. “Malah, ada penggiat yang diraikan sebenarnya yang membuatkan penonton ketawa dan bukannya pengacara.

“Saya percaya pihak penerbitan ASK 2010 juga mahu menonjolkan prestij majlis dianjurkan kerana itu saya dipilih. Jika itu yang mereka mahukan dan itu jugalah yang akan cuba saya tampilkan pada malam 24 Disember nanti. Bagi tidak mengecewakan mereka, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Begitupun, Vanidah tidak bimbang mengenai keserasian antara dia dan Awal kerana yakin pihak produksi akan memberi ruang untuk mereka melakukan segala persiapan diperlukan. Lebih daripada itu mereka bakal bekerja berpandukan garis panduan dan skrip disiapkan. “Ia memang satu beban, tetapi saya tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang menekan. Apa yang penting, saya mahu penonton berasa seronok menyaksikan ASK 2010 seperti mana seronoknya saya di atas pentas nanti. “Saya berasa bangga apabila dipilih dan penganjur nampak kemampuan saya untuk melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Awal juga berasa bertuah apabila diberi peluang bergandingan dengan Vanida kerana berasakan mereka berdua mempunyai keserasian dari awal.

“Sewaktu sesi uji bakat sebenarnya saya dan Vanidah digandingkan dengan orang lain. Bagaimanapun melihat kemampuan Vanidah sewaktu uji bakat membuatkan saya berasa teruja. “Saya meminta kebenaran daripada penerbit agar diberikan peluang mencuba melakukan uji bakat bersama Vanidah. “Tidak sangka dalam sekelip mata kami boleh mewujudkan keserasian. Syukur apabila pihak penerbitan ASK 2010 juga nampak perkara itu,” katanya.

Jelas Awal sebaik dihubungi pihak penerbitan yang dia bakal digandingkan dengan Vanidah, dia sudah terbayang akan keseronokan bakal dilalui apabila bersama pelakon utama filem Red Kebaya itu.

“Saya percaya pihak penerbitan mahu ASK 2010 menepati temanya iaitu Glamor di mana ia mengangkat pengkarya dan kami sebagai pengacaranya akan cuba memastikan majlis berjalan lancar. Bukan hendak kata ia dijalankan dalam suasana serius, tetapi biarlah lawak ditampilkan tidak berlebihan. Jika ada pun, kami akan melakukannya secara bersahaja,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: