Cabaran Dua Kerja Satu Masa

22 Dec

MELIHAT situasi semasa di mana ada di kalangan masyarakat yang mempercayai kuasa ghaib dan ilmu hitam untuk kepentingan diri, memberikan idea kepada pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzzri, 40, menghasilkan Damping Malam.

Filem genre seram menampilkan Amy Mastura, Erynne Erynna dan Idham sendiri sebagai teraju utama, cuba memberikan kelainan apabila turut menampilkan tema kasih sayang dalam keluarga.

Ditemui pada majlis previu, filem seram keenam arahannya itu, Idham berkata, cerita yang dipaparkan mengenai amalan ilmu hitam di kalangan masyarakat dan disiarkan di kebanyakan akhbar tempatan menyebabkan dia berasa terpanggil untuk mengarahkan filem itu.

Idham tidak menafikan pernah juga bertemu dengan mereka yang berhadapan dengan situasi sama seperti apa yang dipaparkan dalam Damping Malam. Malah, dia turut mengakui sebahagian daripada babak filem berkenaan dihasilkan berdasarkan cerita benar, cuma pengakhiran jalan ceritanya diubah.

“Sebenarnya, Damping Malam ini adalah satu fenomena di mana seseorang itu membela makhluk halus untuk melindungi diri. Ia adalah sebahagian daripada saka. Sebelum saka diamalkan, individu berkaitan harus mengamalkan Damping Malam terlebih dulu.

“Masyarakat Melayu zaman dulu kala mengamalkannya untuk keselamatan di mana ia digunakan untuk menjaga tanah, kediaman dan juga melindungi diri daripada unsur-unsur tidak baik. “Walaupun ia diamalkan dengan niat baik, ia tetap syirik dan salah. Dalam cerita Damping Malam, ia cuba memaparkan kesan yang akan dialami apabila mereka mengamalkannya,” katanya. Pada zaman moden ini, jelas Idham, perkara berkenaan kembali diamalkan secara berleluasa dan biasanya membabitkan mereka mempunyai kedudukan.

“Kebanyakan yang mengambil damping malam adalah wanita kerana mereka takut dengan kedudukan suami yang kebanyakan berjaya dan berduit. “Jangan terkejut kerana ada antara mereka datang dari kalangan berada dan berkedudukan tinggi. Saya pernah bertemu dengan individu yang mengamalkannya dan sebahagian isi cerita berdasarkan kisah yang ceritakan kepada saya,” katanya.

Memastikan sentuhan diberikan dalam filem seram terbaru arahannya berbeza, Idham yang sebelum ini menghasilkan filem seram seperti Congkak, Jangan Pandang Belakang, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Niyang Rapik, cuba menyelitkan unsur drama dengan beberapa babak awal banyak bermain dengan persoalan bagi memancing penonton.

“Kalau kita lihat dalam Damping Malam saya banyak bermain dengan visual bayang-bayang. Memang begitulah keadaannya makhluk halus yang mengamalkan damping malam di mana ia akan mengikut tuannya ke mana saja mereka pergi atau ahli keluarga mereka.

“Mengarahkan Damping Malam juga memberikan cabaran besar kepada saya kerana harus menampilkan kelainan. Orang sekarang sudah muak dengan hantu yang berupa hodoh. Lagipun, hantu seperti itu sudah saya paparkan dalam filem terdahulu sebelum ini,” katanya.

Antara persoalan menarik yang cuba ditimbulkan Idham dalam Damping Malam ialah mengenai bomoh yang menjalankan ritual bagi mereka yang mahu mengamalkan damping malam. Apa akan jadi kepada individu itu mahupun keluarganya jika bomoh yang memberikannya makhluk halus itu mati, kerana hanya dia saja yang mampu membuangnya.

“Hendak diikutkan, makhluk halus yang dibela individu dalam Damping Malam tidak akan membunuh tuannya atau keluarga terdekat secara tiba-tiba, tetapi ia akan makan sedikit demi sedikit dalam diri namun ia tidak dapat dikesan menerusi perubatan moden. “Orang yang mengamalkan perkara ini kita akan lihat akan selalu keluar masuk hospital. Namun, dalam filem kita tidak menunjukkan perkara itu kerana perlu disesuaikan dengan jalan cerita. Bagaimanapun, tragis akibat amalan syirik ini tetap ada,” tambahnya lagi.

Akui Idham, Damping Malam sedikit berbeza berbanding filem dihasilkan sebelum ini di mana unsur seram atau lawak lebih menguasai jalan cerita. Dalam filem diterbitkan MIG Productions itu, elemen drama ditampilkan lebih kuat berbanding seram. Ini percubaan pertama dari Idham dan mengharapkan penonton boleh menerimanya.

Mengarahkan filem seram bukan mudah kerana ia memerlukan tumpuan penuh dari pengarahnya namun apabila Idham sendiri berlakon dan memegang peranan utama sudah tentu ia memberikan cabaran besar.

“Saya memang sukakan cabaran, secara tidak langsung memperlihatkan kemampuan saya sebagai pengarah sama ada saya mampu atau tidak melakukan dua kerja dalam satu masa. “Begitupun watak saya hanyalah sokongan kepada watak utama. Sekiranya watak Amy Mastura sebagai Ku Khalira saya yang lakonkan, saya tidak akan berlakon kerana ia terlalu berat.

“Dari sudut lain, saya turut bertuah kerana semua yang terbabit dalam pembikinan filem ini adalah kru sama yang pernah bekerja dengan saya untuk menghasilkan enam filem seram sebelum ini. “Mereka tahu apa yang saya mahukan dan tahu bagaimana hendak membantu saya menghasilkan babak menarik. Mereka banyak memudahkan saya dan kerana itu saya berani berlakon sambil mengarah Damping Malam,” katanya.

Turut sama menjayakan filem ini ialah Azizah Mahzan, Eizlan Yusof, Roslan Saleh dan Fida Ibrahim. Damping Malam mula ditayangkan di pawagam mulai 30 Disember ini, sekali gus menutup tirai 2010. Sebelum Damping Malam, satu lagi filem seram, Janin ditayangkan mulai esok manakala tirai 2011 dibuka dengan satu lagi filem seram, Khurafat mulai 13 Januari.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: