Fauzi, Lisda Bakal Cipta Sejarah?

22 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


ADAKAH Fauzi Nawawi dan Lisdawati akan mencipta sejarah baru dalam Anugerah Skrin 2010?

SELAMA dua hari berturut-turut, Hits telah membawa pembaca setia melihat nama-nama yang berpotensi dicalonkan dalam dua kategori pembantu iaitu drama dan filem.

Pastinya, ramai yang kini sudah mula berteka-teki dan membuat ramalan sendiri siapakah yang bakal menjulang trofi bermotif pucuk rebung dan songket itu.

Sememangnya penganjuran Anugerah Skrin (ASK) yang diadakan lebih sedekad lalu menjadi perhatian ramai pihak yang dapat melihat perkembangan industri perfileman dan pembikinan tanah air.

ASK juga bukanlah sebuah anugerah yang berlandaskan populariti semata-mata walaupun drama-drama yang dicalonkan hampir kesemuanya adalah berdasarkan rating sewaktu tayangan di televisyen.

Namun, tiada siapa yang dapat menidakkan impak ASK yang telah membuka lembaran baru dalam hidup mana-mana pelakon baik yang tercalon mahupun pemenang.

Sejak awal penganjuran ASK, misi utamanya adalah untuk menobatkan karyawan seni yang telah memberikan hasil kerja terbaik menerusi drama yang diterbitkan.

Untuk kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Drama Terbaik, Hits telah membuat penilaian berdasarkan 17 drama yang layak dipertandingkan kali ini.

Sekali lagi diingatkan, janganlah ada pembaca yang menganggap ramalan ini adalah benar belaka. Apa yang dipaparkan ini hanyalah sekadar untuk menghangatkan ASK2010 yang akan menjengah beberapa hari sahaja lagi.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Drama Terbaik, Hits telah mengenal pasti beberapa nama yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk dicalonkan sekali gus dijulang sebagai pemenang.

Aktor yang dilihat sebagai calon utama dan yang disebut-sebut untuk mengungguli kategori ini seandainya dicalonkan ialah Fauzi Nawawi.

Mempertaruhkan dua drama lakonannya, Sebelum Akhirat dan Taubat Nasuha, ramai yang sudah mula meramalkan tahun ini akan menjadi milik Fauzi.

Kehebatan Fauzi dalam membawakan pelbagai watak yang diberikan kepadanya memang tiada apa yang boleh dipertikaikan lagi. Baik watak antagonis mahupun yang baik, semuanya cemerlang di tangan Fauzi.

Kalau Fauzi menang tahun ini, dia mempunyai sebab yang kukuh untuk berasa bangga kerana namanya akan sebaris dengan pemenang terdahulu seperti Que Haidar, Zamarul Hisham, Syafie Naswip, Jalil Hamid, Nasir Bilal Khan dan Benjy.

Namun, Fauzi tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukannya kerana dia bakal dicabar oleh aktor handalan, Rosyam Nor yang bertanding menerusi drama Kaki.

Siapa yang mampu menidakkan kehebatan Rosyam sebagai seorang aktor versatil yang tidak pernah gagal memberikan lakonan cemerlang dalam setiap dramanya.

Siapa tahu drama Kaki akan memberikan rezeki buat Rosyam untuk ASK kali ini.

Seorang lagi aktor berkaliber, Zamarul Hisham juga mampu memberikan saingan kepada Rosyam dan Fauzi.

Mempertaruhkan dua drama iaitu Dendam Seorang Isteri dan Lillahi Ta’ala, siapa tahu rezeki akan berpihak kepada Zamarul untuk dijulang buat kali kedua.

Dalam sejarah penganjuran ASK, setiap tahun, aktor senior pasti akan berdepan dengan saingan daripada pelakon muda yang bakat mereka juga tidak boleh dipandang ringan.

Tahun ini, antara pelakon muda yang dilihat mempunyai potensi untuk dicalonkan dan mungkin menang Pelakon Lelaki Drama Terbaik adalah Ungku Ismail menerusi drama Antara Garisan.

Biarpun masih baru, namun lakonannya sebagai seorang ustaz yang perwatakan alim tetapi rupa-rupanya bersifat sebaliknya dalam drama arahan Shahrul Ezad itu wajar dipuji.

Seorang lagi bakat baru, Syed Ali juga mampu memberikan saingan kali ini apabila lakonannya dalam drama Perempuan juga mendapat perhatian.

Bukankah ASK juga tidak pernah ketinggalan mengundang kejutan? Jadi, kalau Syed Ali menang, terima sahajalah dengan terbuka.

Atau mungkin siapa tahu trofi idaman ramai itu akan menjadi milik Fahrin Ahmad yang mempamerkan lakonan bersahaja dalam drama Dalil Cinta.

Melihat kepada calon-calon untuk Pelakon Wanita Drama Terbaik pula, ia juga bakal menyaksikan saingan yang bukan calang-calang.

Ada di antara mereka sebelum ini pernah memenangi ASK dan tidak mustahil jika juri merasakan mereka layak untuk menjulang trofi sekali lagi.

Siapa tahu, mungkin sejarah baru ASK akan tercipta kali ini seandainya Fauzi dan isterinya, Lisdawati menjadi pasangan suami isteri pertama yang memenangi Pelakon Lelaki dan Wanita Drama Terbaik.

Memberikan lakonan yang memberangsangkan dalam drama Sebelum Akhirat, Lisdawati sudah membuktikan kehebatannya sebagai seorang aktres dalam acuan yang tersendiri.

Apatah lagi pernah memenangi Pelakon Wanita Drama Terbaik pada ASK2005 menerusi drama Miftahul Jamilah, mungkin rezeki akan menjadi milik Lisdawati.

Selepas agak lama menyepikan diri, aktres versatil, Ellie Suraity tampil dengan lakonan hebat dalam drama Kaki yang sudah semestinya memberikan saingan sengit kepada calon-calon lain.

Begitu juga dengan Noorkhiriah yang mempunyai peluang yang cukup cerah untuk dicalonkan berdasarkan lakonannya dalam drama Antara Garisan.

Jika sebelum ini, Noorkhiriah pernah memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik, jika dengan izin Allah SWT, tidak mustahil untuk Noorkhiriah meletakkan dirinya ke satu tahap lagi sebagai salah seorang aktres terbaik negara.

Namun pun begitu, usah diperlekehkan bakat pelakon muda seperti Dira Abu Zahar yang juga berpotensi besar untuk dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Berdasarkan lakonannya dalam drama Perempuan, barang kali ia mampu membuka mata sebahagian besar peminat hiburan tanah air akan bakat yang dimiliki oleh Dira.

Sekali lagi, nama Sharifah Amani disebut-sebut untuk ASK2010. Seandainya rezeki tidak berpihak kepada aktres berbakat ini dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik, siapa tahu kategori ini mampu mengubat kekecewaannya.

Lakonannya dalam drama Dalil Cinta memang cukup berkesan dan lengkap segala rencah sekali gus membuktikan dia adalah antara pelakon generasi baru yang mampu pergi jauh.

Seorang lagi aktres, Sheila Rusly juga berupaya memikat juri untuk mencalonkan dirinya dalam kategori ini menerusi drama Taubat Nasuha.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: