Giliran Muzik Dibela

22 Dec

BIDANG muzik di negara ini mungkin boleh dikategorikan sebagai kelas tercorot berbanding bidang-bidang seni yang lain. Kalau dunia perfileman contohnya, sudah lama mendapat pembelaan daripada kerajaan.

Lihat sahaja penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang telah diwujudkan hampir 30 tahun lalu. Finas ditubuhkan sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK).

Perbadanan itu telah banyak memberi bantuan dalam usaha membangunkan industri perfileman di negara ini. Antaranya menerusi Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) berjumlah RM50 juta yang diperuntukkan kepada para penggiatnya tidak lama dulu.

Bidang seperti kraftangan juga sudah lama mendapat pembelaan daripada kerajaan. Buktinya dengan adanya Jabatan Kraftangan Malaysia yang juga terletak di bawah KPKK.

Sedangkan bidang muzik tempatan seperti terkontang-kanting tanpa adanya sebuah agensi khusus di bawah pengawasan kerajaan. Seolah-olah bidang muzik tidak menyumbang kepada perkembangan seni, budaya dan pemikiran masyarakat.

Jika dicongak daripada segi pendapatan industri rakaman tanah air misalnya, ia pernah menjana perolehan lebih RM200 juta setahun. Sebab itulah, sudah lama ada cadangan yang mahukan supaya sebuah jabatan atau perbadanan diwujudkan di bawah KPKK.

Lama juga isu itu ditimbulkan tetapi ia seakan-akan senyap begitu sahaja. Mungkin tidak banyak ‘kepentingan’ yang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu daripada bidang itu.

Bagaimanapun, terbaru kementerian terbabit khabarnya sudah berura-ura untuk mewujudkan sebuah jabatan baru yang akan dikenali sebagai Jabatan Muzik Malaysia (JMM).

Bukan setakat itu sahaja, malah KPKK juga kini sedang giat mencari calon untuk jawatan Pengarah di jabatan tersebut. Jawatan ini memang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak terutamanya para pemimpin persatuan-persatuan artis.

Difahamkan, antara nama-nama yang timbul bagi mengisi jawatan itu ialah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan komposer Datuk Wah Idris. Tidak pasti sama ada mereka telah ditawarkan di jabatan atau agensi yang ke-19 di bawah KPKK itu ataupun sebaliknya.

Selain itu, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail pula dikatakan pernah ditawarkan untuk jawatan itu. Namun, beliau telah menolaknya secara baik termasuklah dengan alasan-alasan yang boleh dianggap munasabah.

Mungkin Mokhzani lebih cintakan dunia muzik jazznya dan bergelumang dengan alunan muzik Orkestra RTM di bawah pimpinannya sekarang. Ini kerana, antara tugas awal Pengarah JMM ialah menyatukan kesemua persatuan dan pemuzik di bawah jabatan itu. Ia bukan suatu perkara yang mudah.

Cabaran itu bukan sedikit kerana banyak persatuan seperti Karyawan dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik Tanah Air (Papita) masih dikatakan ‘tidak akrab’ sehingga kini.

Tidak setakat Mokhzani, Freddie dan Wah, malah konduktor Orkestra Simfoni Kebangsaan, Mustafa Fuzer Nawi juga antara nama yang pernah disebut-sebut untuk menduduki kerusi tersebut.

Kesemua nama terbabit ada yang diterima dan tidak kurang juga yang ‘ditendang’ begitu sahaja. Ini kerana ada di antara mereka yang mempunyai ‘rekod-rekod kurang sedap’ didengar sehingga ia telah sampai ‘ke telinga’ pihak atasan di KPKK.

Daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai juga, nama yang paling menjadi bualan hangat dan pilihan bagi jawatan itu ketika ini ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) cawangan negeri Sabah, Sallehuddin Md. Salleh.

Sejauh mana desas-desus tentang kebenaran perkara itu, hanya pihak atasan kementerian terbabit sahaja yang tahu. Apatah lagi, kuasa melantik Pengarah JMM pula terletak atas Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Walau siapa juga yang dilantik sebagai Pengarah JMM, ia tidak penting. Sebaliknya, sejauh mana individu terbabit mampu menyatukan ribuan karyawan muzik tempatan seperti penyanyi, pemuzik, penulis lirik dan penggubah lagu di bawah satu bumbung.

Terlalu banyak isu dan masalah dalam industri muzik seperti perkara-perkara yang terkandung dalam Akta Hakcipta 1987 yang harus dikemaskini serta diperjuangkan oleh bakal Pengarah jabatan baru di KPKK itu kelak.

Malah, yang paling penting Pengarah JMM yang pertama kelak juga haruslah sanggup ‘meletakkan’ segala instrumens muzik, contohnya jika dia seorang pemuzik bagi memberi tumpuan kepada jawatan tersebut.

Ini kerana jawatan Pengarah JMM juga penuh dengan ‘sepak terajang’ dan politiknya yang tersendiri, sama seperti kerusi Ketua Pengarah Finas yang sentiasa ‘panas’ setiap kali tempoh kontraknya tamat.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: