Kecewa Iringi Penyingkiran

22 Dec

CETUSAN emosi kecewa terpancar pada wajah Afif, Angel dan Farra membuktikan harapan menggunung mencabar diri menyerlah ke peringkat lebih jauh tidak kesampaian.

Itulah ekspresi dipamerkan apabila mereka bertiga gagal ke final Idola Kecil 3.

Malah, perasaan ditunjukkan seolah-olah mengecewakan ramai peminat setia hinggakan terpaksa ditenangkan guru vokals, cikgu Delly selepas diumumkan tersingkir pada konsert minggu keenam.

Ia diumumkan pengacaranya, Alif Satar dengan penuh debaran atas pentas dikelilingi sorakan dan sepanduk penyokong masing-masing ketika rakamannya di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, Jumaat lalu manakala penonton TV9 dapat menyaksikan detik berkenaan pada Sabtu lalu.

Walaupun persembahan Angel menyerlah menerusi lagu Pakai Buang (Stacy), Farra dengan lagu Tolong Ingatkan Aku (Ana Raffali) dan Tanya Sama itu Hud Hud dendangan M Nasir, persembahan tidak memadai untuk melonjak mereka ke peringkat akhir. Afif atau nama sebenar, Afif Muhammad Afif Abdul Halim, 10, mengakui agak kecewa kerana tidak dapat mengiringi lima rakan bersaing di peringkat akhir berikutan keputusan tidak memihak kepadanya.

“Saya berlatih sebaik mungkin dan sudah memberikan aksi terbaik setiap minggu. “Saya akur keputusan dengan hati terbuka. Apapun, saya tidak patah semangat dan akan terus mencuba lagi.

“Terima kasih kepada tiga guru, Delly (vokal), Affizal (tarian) dan Alfa Booty (pengarah muzik) yang banyak membimbing kami semua hingga ke tahap sekarang. Terima kasih semua, saya akan kembali demi mencapai cita-cita menjadi penghibur,” katanya.

Tampil dengan fizikal paling kecil dan bersuara lunak, Farra atau Farra Noradzlina Safwan dari Kedah dapat menerima keputusan juri profesional yang menilai kemampuannya.

“Walaupun tersingkir, saya berpuas hati menghiburkan peminat setia. “Kekalahan Idola Kecil 3 pengalaman berguna, siapa tahu ada rezeki nyanyian di tempat lain. Saya harap rakan finalis terus menyerlah dan tidak melupakan kami bertiga apabila berjaya kelak,” katanya.

Sementara itu, bagi Angel (Angelica Paujin), 11, saingan sejak awal program memang sengit hingga minggu keenam dan dia tidak menyangka akan mara sejauh ini. “Saya ucap tahniah kepada lima rakan yang berjaya ke final dan jangan sombong atau merasakan diri hebat apabila sudah terkenal,” katanya. Penyingkiran Angel, Afif dan Farra meletakkan hanya tinggal lima finalis berentap mencari gelaran juara Idola Kecil 3, Sabtu ini. Ia akan disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jam 9 malam.

Mereka yang akan bersaing merebut hadiah utama RM10,000 adalah Nor Balqis Ahmad Tajudin (Balqis), 11; Shazlin Selamat (Shazlin), 12; Nor Harris Alif Rashidi (Harris), 11; Abdul Hadi Mazlan (Hadi), 11 dan Puteri Aszfaryna Khareeza (Puteri), 12. Bagi juri tetap, Atilia serta juri jemputan, Noryn Aziz persembahan dipamer lapan peserta memang hebat kerana setiap seorang ada kelebihan tersendiri.

Atilia berkata, semua lapan peserta memberikan persembahan terbaik dengan gaya dan kekuatan tersendiri pada konsert keenam Idola Kecil 3.

“Angel boleh menyanyi tempo laju dengan baik. Dia berpotensi menjadi pelapis kepada penyanyi jazz, Noryn Aziz dan boleh menari. Farra menyerlah menerusi tona vokal bagus dan kemas. Persembahan Afif memikat dalam memberikan cabaran baik kepada peserta lain,” katanya.

Kata Atilia, emosi menangis ditunjukkan Balqis membawa lagu Persis Mutiara membuktikan dirinya penyanyi penuh perasaan. Dia mampu menyanyi tenang dan berkeyakinan tinggi.

“Bagi Shazlin, sebutan bahasa Inggeris bagus dan jelas. Harris pula seperti penyanyi berpengalaman, memang sah layak ke final. Persembahan Hadi memang sedap kerana cetusan perasaan datang dari hati. Dia sepatutnya memilih lagu R&B dan turut berbakat menjadi pelakon. “Bagi Puteri, aksi memukau seolah-olah menyanyi seperti ‘miming’ dan mampu menjadi artis syarikat rakaman,” katanya.

Dalam persembahan minggu lalu, Balqis menyanyikan lagu Persis Mutiara nyanyian Mila sementara Shazlin memukau juri dengan lagu Inggeris, The Climb nyanyian Miley Cyrus. Harris yang mengenakan cermin mata ‘Honky’ putih, menambat juri dengan lagu Nubhan, Oh Juwita dengan penuh perasaan.

Penyanyi ‘chubby’ berbadan gempal, Hadi melontar vokal padu sewaktu menyampaikan lagu Suraya (Headwind) dan Puteri tampil bergaya membawa rentak rancak Ezlynn bertajuk Tic Tac Toe.

Sementara itu, penerbit Idola Kecil 3, Nurul Ashikin Halim berkata, ini kali pertama lima peserta beraksi pada pentas peringkat akhir.

“Pada dua edisi sebelum ini, finalis enam orang berbanding lima orang sekarang. Peserta final perlu membawa satu lagu nyanyian artis lain dan lagu sendiri yang akan dicipta oleh Alfa (Booty) sendiri.

“Kami berbangga dapat mewujudkan platform peserta cilik menyerlah bakat nyanyian dalam program realiti ini untuk tahun ketiga berturut-turut. “Bagi saya, peserta bersikap positif dalam menghiburkan halwa telinga pendengar berbanding melayan perasaan sendiri. “Sekurang-kurangnya mereka berdikari, mengasah bakat masa depan dan menjadikan diri untuk memahami aspek diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya seni,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: