Pertemuan Sedekad Annette, Hilary Annette, Hilary

22 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


HEBAT…Annette Bening (kiri) bersama Julianne Moore dalam salah satu babak filem The Kids Are All Right.

APABILA senarai calon akhir anugerah Screen Actors Guild (SAG) diumumkan minggu lalu, kategori Pelakon Wanita Terbaik antara yang paling menarik perhatian ramai.

Biarpun ada yang mengeluh dan merungut kerana ada beberapa nama yang tercicir, tetapi ‘perlawanan’ tahun ini dianggap cukup menarik apabila memperkatakan tentang kategori itu.

Mana tidaknya. Untuk kali ketiga, dua aktres handalan, Annette Bening dan Hilary Swank dipertemukan sekali lagi dalam kategori yang paling dinanti-nantikan saban tahun itu.

Memang sesuatu yang mengejutkan apabila nama Swank tersenarai kali ini. Ini kerana nama Swank langsung tidak tercalon dalam Golden Globe baru-baru ini sekaligus menimbulkan pertanyaan ramai pihak bagaimana dia boleh membolosi pencalonan SAG.

Sedangkan pada pandangan pengkritik dan pemerhati dunia perfileman Hollywood, lakonan Swank dalam filem Conviction tidak begitu menonjol jika hendak dibandingkan dengan calon-calon lain.

Tidak kurang juga kata-kata nakal yang mengatakan juri SAG sengaja meletakkan nama Swank dalam senarai pencalonan agar Bening berasa gentar.

Apatah lagi, Bening kini disebut-sebut dan diramalkan akan memenangi Pelakon Wanita Terbaik untuk Golden Globe dan juga Screen Actors Guild menerusi lakonannya sebagai seorang lesbian dalam filem The Kids Are All Right.

Mungkin untuk anugerah Golden Globe, peluang Bening untuk memenanginya memang cukup mudah kerana empat calon lain di dalam kategori Pelakon Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik dilihat tidak sekuat lakonan Bening.

Jadi, apakah ada harapan untuk Bening memenangi SAG selepas nama Swank juga tersangkut sekali dalam senarai pencalonan.

Sekadar menyegarkan kembali ingatan pembaca dan peminat, Bening dan Swank dipertemukan kali pertama dalam tiga anugerah penting di Hollywood iaitu Golden Globe, SAG dan Oscar pada tahun 2000.

Ketika itu, perhatian semuanya tertumpu kepada Bening yang telah memberikan lakonan mantap dalam filem American Beauty.

Watak Carolyn Burnham yang dilakonkannya dalam filem itu dianggap sebagai kemuncak karier Bening dan melayakkannya dicalonkan untuk Golden Globe dalam kategori Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Namun, apabila Swank muncul dengan filem berbajet kecil, Boys Don’t Cry, semuanya berubah dan perlahan-lahan perhatian itu dialihkan kepada Swank yang ketika itu namanya kurang popular.

Bening tewas di tangan Swank dalam Golden Globe tetapi rajuk isteri kepada Warren Beaty itu tidak lama apabila dia membuktikan keunggulannya di SAG tidak lama selepas itu.

Ia sekali gus membuatkan ramai yang meramalkan Bening akan membawa pulang Oscar tetapi semuanya meleset.

Swank terus membuktikan kehebatannya apabila Oscar pada tahun itu menjadi hak mutlaknya dan membiarkan Bening pulang dengan penuh kehampaan.

Empat tahun kemudian, dua ‘seteru’ ini kembali disatukan dalam tiga anugerah yang sama. Bezanya kali ini, Bening dan Swank sama-sama mengungguli Golden Globe.

Bening memenangi anugerah Pelakon Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Being Julia manakala Swank pula untuk Pelakon Wanita Drama Terbaik bagi filem Million Dollar Baby.

Sekali lagi, kedua-duanya dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk SAG yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Swank yang sememangnya cukup hebat dalam filem arahan Clint Eastwood itu.

Dengan kejayaan Swank di Golden Globe dan SAG itu, laluannya memang cukup mudah untuk menjulang Oscar keduanya pada tahun itu.

Selepas enam tahun berlalu, Bening dan Swank bertemu untuk kali ketiga apabila masing-masing tersenarai dalam SAG.

Kalau hendak diukur kepada kejayaan kedua-duanya berdasarkan prestasi mereka sepanjang tahun ini, ternyata Bening lebih menyerlah.

Filem The Kids Are All Right yang turut dilakonkan oleh Julianne Moore, Mark Ruffalo, Mia Wasikowska dan Josh Hutcherson itu telah membuktikan Bening bukan calang-calang aktres.

Dicampur dengan pencalonannya di Golden Globe dan SAG sebagai Pelakon Wanita Terbaik, setakat ini Bening telah menerima lebih daripada 10 pencalonan termasuk daripada persatuan pengkritik filem di Amerika Syarikat.

Sedangkan, SAG merupakan satu-satunya pencalonan untuk Swank sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Adakah kejayaan yang diraih Bening untuk filemnya itu dapat dijadikan kayu pengukur untuk namanya tersenarai dan seterusnya memenangi Oscar nanti?

Sukar sekali untuk memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan itu. Apabila membicarakan tentang musim anugerah di Hollywood, kejutan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Calon bukan pilihan (underdog) memang tidak boleh dipandang sebelah mata di Hollywood kerana sejarah sudah pun membuktikan sebelum ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2002, aktres veteran, Sissy Spacek dikatakan akan mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik memandangkan dia telah memenanginya pada Golden Globe menerusi filem In The Bedroom.

Namun, dia tewas di tangan Halle Berry pada SAG yang seterusnya memperlihatkan Berry mencipta kemenangan berganda di pentas Oscar hasil lakonannya dalam filem Monster’s Ball.

Jadi, apakah Bening akan berterusan dikecewakan seandainya Swank berjaya meloloskan diri dalam senarai pencalonan Oscar nanti?

Apa-apa pun, ia masih terlalu awal untuk meramalkan siapakah yang akan mara ke pentas Oscar kerana memang banyak calon yang berpotensi untuk disenaraikan.

Untuk SAG, ternyata laluan Swank dan Bening memang tidak mudah kerana mereka berdua perlu berdepan dengan tiga calon lain yang tidak kurang hebatnya.

Mereka yang dimaksudkan ialah Nicole Kidman yang telah memberikan lakonan yang cemerlang dalam filem Rabbit Hole, Jennifer Lawrence (Winter’s Bone) dan Natalie Portman (Black Swan).

“Saya benar-benar terkejut dengan pencalonan ini dan ia menunjukkan lakonan saya dalam Conviction tidak dipandang rendah oleh mereka yang setara dengan saya.

“Ada kalanya watak yang dianggap sebagai calon bukan pilihan ini seronok untuk dibawakan kerana ia membawa kita menyelami karakter yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini,” ujar Swank ketika memberi komen tentang pencalonannya di SAG.

Untuk melihat senarai penuh pencalonan SAG, bolehlah melayari laman web rasminya, http://www.sagawards.org.

Anugerah Screen Actors Guild akan berlangsung pada 30 Januari ini di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: