Derita Di Sebalik Senyuman Tania

23 Dec

DI sebalik kecantikan dan ketenangan yang terpancar pada wajahnya, menyembunyikan penderitaan yang ditanggung. Tanpa menghebohkan penyakit yang dideritainya kepada masyarakat, Tania Hudson, 25, tabah menjalani kariernya sebagai pelakon.

Siapa sangka gadis manis ini menghidap penyakit Arteriovenous Malformation atau AVM yang dihidapi dalam nisbah seorang dari 500 orang. Dari rujukan yang dilakukan, AVM adalah gumpalan urat tidak normal yang tumbuh dalam otak. Ia terdiri daripada saluran darah normal yang dipanggil ‘nidus’ dan ia melalui arteri (urat) yang disambung terus kepada urat utama dan melalui saluran urat kecil, dipanggil “cappillaries”. Ada juga yang mengaitkan penyakit ini berkaitan dengan sakit kepala atau migrain tetapi ia berbeza.

“Saya menghidap penyakit ini sejak kecil membuatkan berat badan saya tidak normal. Saya perlu sentiasa menjaga pemakanan dan perlu cukup tidur. Namun, kerana terlalu bekerja keras, penyakit ini menjadi serius dan berlaku pendarahan dalam otak. Tapi saya bernasib baik kerana tak kena stroke.

“Pada Mac tahun lalu, saya menjalani pembedahan secara laser di sebelah kanan kepala. Pembedahan dibuat di Hospital Sungai Buloh dan memakan masa sehari suntuk. Mereka bagi ubat dos tinggi yang membuatkan saya langsung tak sedar. Terasa seperti berada di dunia lain. Apabila tersedar saya terasa pening sebelum keadaan kembali stabil. Saya sangat menghargai peluang yang diberikan Allah s.w.t,” katanya.

Tania yang ditemui pada majlis ramah mesra pelakon drama Tiramisu untuk slot Akasia yang akan menemui peminat di TV3 bermula 27 Disember ini menjelaskan, meskipun keadaannya semakin pulih, dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa agar penyakitnya tak berulang. Dia bersyukur kerana pengarah memahami situasi yang dihadapinya.

“Rezeki saya dalam bidang seni, jadi saya akan terus berlakon selagi mampu. Apa yang boleh saya harapkan pengarah faham keadaan saya dan bertolak ansur. Tambahan pula saya juga mengidap asma yang agak teruk. Saya perlu menjaga pemakanan dan tidur yang mencukupi. Memang susah nak sesuaikan diri dengan keadaan di sekeliling. “Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk saya memancing simpati mana-mana pihak. Kalau betul saya tak berdaya untuk berlakon, saya akan beritahu awal-awal kepada pengarah untuk dia menyesuaikan jadual. Saya memang tak suka menyusahkan mana-mana pihak. Selagi mampu buat yang terbaik, saya akan lakukan,” kata Tania yang memberitahu penyakit ini akan pulih sepenuhnya dalam masa tiga tahun.

Tania sedar kesukaran yang bakal dihadapi sekiranya terus membabitkan diri dalam seni. Untuk itu dia sudah bersedia menceburi bidang perniagaan khususnya pemasaran apabila tiba masanya kelak. Mengenai lakonannya dalam Tiramisu, Tania membawakan watak Lyana yang meminati Dani (Pierre Andre) sejak zaman persekolahan.

“Lyana gadis yang mengada-ngada dan akan dapat apa yang diinginkan. Karakter ini berbeza dengan lakonan saya sebelum ini. Lyana bukan gedik atau jahat, tapi lebih kepada nakal. Disebabkan terlalu minatkan Dani, dia sanggup buat apa saja. Seronok diberikan watak ini dan beruntung kali pertama dapat bekerja dengan Pierre dan Sharifah Amani. Mereka banyak berikan kerjasama meskipun nama besar,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: