'Mula-Mula Saya Menyampah'

23 Dec

HANNY...bergelar tunang orang pada 1 Januari ini.

HANNY…bergelar tunang orang pada 1 Januari ini.

SELEPAS lapan tahun berkawan dan saling mengerti rasa hati masing-masing, barulah anak dara kepada pelakon dan produser, Julie Dahlan, Siti Hani Nur Zara Harmi, 29, atau Hanny bersedia untuk mengakhiri zaman solo dengan buah hatinya, Hamzah Talib, 35.

Hanny dan Hamzah yang juga seorang jurukamera bebas akan melangsungkan majlis pertunangan mereka pada 1 Januari ini di sebuah hotel di ibu kota.

Berkongsi kisah cintanya dengan jejaka dambaan hatinya itu, jelas Hanny, mereka mula berkenalan ketika Hamzah menjadi jurukamera drama Zita terbitan JD Productions.

“Walaupun syarikat penerbitan itu milik ibu saya, tetapi saya selalu ditugaskan ibu bekerja di sebalik tabir supaya saya memahami perjalanan kerja penerbitan sebelum mengambil alih tempat mama sebagai penerbit.

“Sampai sekarang saya masih melakukan kerja di belakang tabir. Ini memudahkan saya untuk mengetahui dan memahami macam mana kru bekerja apabila saya diamanahkan mama untuk menguruskan syarikat suatu hari nanti.

“Ketika penggambaran drama Zita, saya menjaga bahagian konti. Mula itu, saya menyampah betul dengan Hamzah kerana dia agak keras kepala dan tak mahu dengar cakap orang.

“Rupanya dia sengaja buat begitu pada saya, padahal sebenarnya ‘dalam hatinya ada taman’. Hamzah sukakan saya, tetapi manalah saya tahu kerana cara dan sikapnya seolah-olah dia tidak suka pada saya.

“Usia saya ketika itu baru awal 20-an dan baru habis belajar di Kolej Stamford dalam jurusan kesetiausahaan peringkat diploma. Manalah saya tahu menelah perasaan dan hati orang lain. Yang mana tersirat dan tersurat pun saya tidak boleh membezakannya.

“Sewaktu penggambaran drama itu, dia ada mengambil gambar dan apabila gambar itu siap, dia menghubungi saya. Sejak itu persahabatan yang lebih erat pun bermula,” katanya.

Sepanjang melalui percintaan yang agak panjang itu, tambah Hanny, pasti bukan semuanya manis belaka. Ada ranjau dan duri namun tidaklah sehingga menggugat rasa cinta mereka berdua. Sebagai pelakon terkenal yang dikenali ramai, pernah juga sang kumbang lain ingin mencuba nasib, tetapi bagi Hanny, Hamzah tetap yang terbaik.

“Saya ini banyak cakap, manakala Hamzah seorang yang penyabar dan pendiam. Dalam apapun keadaan, dia juga sering mendahulukan saya.

“Oleh itu, apabila Allah s.w.t sudah mempertemukan saya dengan lelaki sebaik Hamzah, apa lagi yang saya hendak cari. Dalam soal harta benda, kami boleh usahakan bersama dan saya tengok Hamzah juga gigih bekerja.

“Sebenarnya kami pernah bercadang untuk bertunang dua tahun lepas, tetapi rancangan itu tidak menjadi. “Bagaimanapun, mungkin kerana jodoh kami kuat, apapun rintangan dan halangan yang datang, kami masih bersama sehingga kini.

“Pernah juga terfikir untuk mengelakkan lebih banyak halangan dan rintangan, kami ingin menikah terus namun atas kehendak keluarga kami mengadakan majlis pertunangan terlebih dulu,” katanya.

Faktor lain, Hamzah terus melekat di hatinya kerana mereka bekerja dalam bidang kerjaya yang sama. Situasi itu lebih memudahkan hubungan mereka kerana saling memahami waktu kerja yang tidak menentu.

“Kalau saya mendapat pasangan berlainan bidang, mungkin saya mengambil masa untuk memahami dia.

“Keluar dan balik rumah tidak kira masa dan berjumpa pula dengan pelbagai rupa manusia. Perasaan cemburu tentu membara.

“Saya sangat bersyukur kerana selama lapan tahun kami berkawan, saya boleh menilai yang baik dan buruk. Seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman yang dikutip, saya bertambah matang dan sudah bersedia untuk memulakan kehidupan berkeluarga.

“Setiap tahun, usia meningkat. Kalau ditunggu lebih lama nanti kesuntukan masa untuk membina keluarga. Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

“Justeru, saya tidak mahu faktor usia saya menghalang usaha kami untuk menerima kehadiran orang baru dalam hidup kami nanti.

“Oleh itu saya berasa lega apabila akhirnya dapat juga tarikh untuk kami melaksanakan langkah awal dalam menuju gerbang perkahwinan. Mengikut perancangan, kami akan disatukan pada Julai depan,” katanya.

Pada hari pertunangan itu nanti, Hanny akan menyarungkan baju rekaan Suetex Harun dan wajahnya akan ditatarias jurusolek terkenal, Elle Rahman.

Hamzah pula akan mengenakan baju Melayu dari D&D Beauty House, Ampang. Bagaimanapun, Hanny merahsiakan rona baju pilihannya dan konsep majlis pertunangannya untuk memberi kejutan kepada tetamu.

Dia juga belum bersedia mendedahkan berapa jumlah wang mas kahwin dan hantaran yang bakal diterimanya nanti kerana, katanya, biarlah perkara itu diuruskan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Segalanya akan diputuskan pada majlis pertunangan itu nanti. Waktu itu saya akan menjawab semua soalan media. Tidak manis rasanya kalau saya bercerita sekarang. Macam mana moden pun cara hidup kita, masih ada adat yang perlu dijaga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah baru menubuhkan syarikat sendiri yang memberi fokus dalam bidang pasca produksi dan menyewakan peralatan penggambaran.

“Saya pula akan terus berlakon macam biasa di samping menguruskan JD Productions. Saya harap kemahiran dan pengalaman kami berdua boleh memajukan lagi kedua-dua syarikat,” katanya.

Kepada mereka yang ingin menyaksikan lakonan Hanny, tonton drama Roda Roda KL di TV2, setiap Isnin, jam 9 malam dan Mimpi Sabrina di Astro Warna, setiap Khamis, jam 10 malam. Pada masa sama, Hanny juga sedang membuat persiapan menerbitkan drama Pemandu MD dan Zon X.

“Untuk kedua-dua drama ini, mama menyerahkan tugas menerbit kepada saya untuk melihat sejauh mana kemampuan saya. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik kerana sudah sampai masanya mama berehat.

“Doakan segalanya berjalan lancar dan moga jodoh saya dengan Hamzah dipanjangkan Allah s.w.t sehingga ke akhir hayat kami,” katanya.

>PROFIL:
NAMA SEBENAR: Siti Hani Nur Zara Harmi
TARIKH LAHIR: 26 November 1981
UMUR: 29 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
AKADEMIK: Diploma Jurusan Kesetiausahaan, Kolej Stamford
KERJAYA: Pelakon dan Penerbit Eksekutif JD Productions Sdn Bhd
ANTARA DRAMA/SAMARINDA: Terompah Biru, Bisikan Multazam, 3+1, Kaizer (Samarinda), Dan Jendela Pun Terbuka, Singgah Le dan Gerak Khas (dua episod) , Roda Roda KL, Mimpi Sabrina
ANTARA FILEM: Harry Boy, Hanny, Kad Cinta, Cinta Fotokopi, Buli, Rock, Senario Memburu Emas Yamashita dan Bohsia
PENCAPAIAN: Pelakon Kanak-Kanak Terbaik – Filem Harry Boy (1992)

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: