Rezeki Tujuh Bulan Raziff, Nadira

23 Dec

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR


JUARA sulung Mari Menari, pasangan Razif bersama replika kunci, model rumah serta trofi yang dimenangi mereka.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah yang terjadi kepada Raziff Abd. Rahman (Razif), 26, dan isterinya Alia Nadira Ahmad Zubir (Nadira), 25, apabila menjuarai program realiti Mari Menari malam Sabtu lalu.

Pertandingan yang julung kali dibawakan oleh Astro menerusi Astro Ria (saluran 104, Astro) itu, menyaksikan pasangan tersebut memenangi sebuah kondominium mewah, The Haven bernilai hampir RM350,000 yang terletak di Ipoh, Perak.

Bukan itu sahaja, pasangan yang baru mendirikan rumahtangga tujuh bulan lalu itu turut dikejutkan oleh pihak Astro apabila menerima hadiah berupa pakej percutian ke Bali, Indonesia tajaan Hard Rock Café, Bali.

Dengan jumlah undian sebanyak 52 peratus, pasangan itu berjaya menewaskan pencabar terdekatnya iaitu pasangan Ariz (Fariz Raeza Mohd. Nizam dan isteri, Siti Rasyikah Zolkifli) yang terpaksa akur dengan keputusan yang tidak memihak kepada mereka apabila hanya ketinggalan 4 peratus undian (48 peratus) di belakang pasangan Razif.

Mempersembahkan tiga jenis tarian di pentas akhir, dua pasangan lagi yang berentap iaitu pasangan Fahmi dan Zul terpaksa angkat kaki terlebih awal pada separuh masa pertama malam kemuncak itu.

Semuanya gara-gara persembahan mereka untuk tarian wajib yang merupakan gabungan tarian hip hop dan kontemporari Melayu gagal menyerlahkan kebolehan mereka.

Ini membuka ruang buat pasangan Razif dan pasangan Ariz berentap lebih sengit menerusi tarian latin.

Barangkali tuah juga berpihak kepada pasangan Razif kerana mendapat bimbingan daripada penasihat mereka, Lisdawati yang sebelum ini pernah menjuarai rancangan Sehati Berdansa musim kedua.

Akur dengan hal tersebut, ketika ditemui pada sidang akhbar sebaik menjuarai Mari Menari jelas Raziff, Lisdawati individu yang banyak menumpahkan nasihat serta tips berguna buat dia dan isteri dalam menangani pelbagai tekanan sekeliling.

Dipandu oleh koreografer, Belalang sejak awal penyertaan pasangan tersebut dilihat menguasai pertandingan apabila sering mendapat pujian juri dan undian tertinggi penonton.

Malah, sedikit pengetahuan sebagai penari, pasangan yang bekerja di Pak Ngah Productions ini tidak menafikan ia sedikit sebanyak membantu mereka dalam memperolehi undian.

“Syukur dengan kemenangan ini. Lisdawati dan Belalang memang telah banyak membantu kami dan segala pahit getir sepanjang menyertai rancangan ini akhirnya terbalas hari ini.

“Berbagai-bagai orang kata tentang kami termasuklah mendoakan kami tidak terkena badi seperti Sehati Berdansa.

“Apa yang kami harapkan segala yang tidak baik dijauhkan. Malah, pada pertandingan akhir ini kami tidak meletakkan kata-kata itu sebagai penghalang kerana tujuan kami, selangkah kami masuk ke pertandingan ini mestilah buat yang terbaik,” kata Razif sambil dipersetujui isterinya.

Dalam masa yang sama, Razif memberitahu menyertai pertandingan itu banyak menyedarkan dia dan isterinya tentang erti kesabaran serta tolak ansur dalam mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang baru berusia tujuh bulan itu.

“Saya seorang yang kelam kabut tetapi Raziff lebih bersikap tenang dan mengajar saya untuk bertenang andai berlaku sebarang tekanan sepanjang menyertai Mari Menari.

“Jika dia menjadi api saya yang menjadi air dan begitulah sebaliknya. Semenjak berkahwin saya akui saya lebih banyak menjadi air,” kata Nadira yang menjalinkan hubungan dengan Raziff selama tiga tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

Dalam sidang akhbar itu juga, Raziff dan Nadira mengharapkan dengan kemenangan itu akan dapat melangsungkan bakat tarian mereka dalam mana-mana acara selepas ini.

Sementara itu, Lisdawati ketika ditemui pula berkata, sumbangannya tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan usaha serta kerja keras anak-anak buahnya itu.

Apa yang dilakukannya hanyalah berkongsi pengalaman serta memberikan tips yang dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka.

“Memandangkan sebelum ini saya ada pengalaman dalam Sehati Berdansa, daripada situ apa yang saya pelajari dan komen-komen yang saya terima dahulu, saya kumpul dan kongsi bersama pasangan Razif.

“Saya juga banyak mengajar mereka bagaimana hendak meraih undian peminat, malah perlu rajin memasuki laman sosial seperti Facebook (FB) dan sebagainya. Begitu juga saya, yang turut mempromosi mereka di laman FB saya.

“Daripada apa yang saya lihat, mereka memang rajin berlatih dan di luar jangkaan. Daripada petang membawa ke malam, malah tengah malam mereka masih lagi berlatih.

“Mereka ada usaha sendiri untuk buktikan kepada peminat dan ahli keluarga mereka yang saya lihat tidak jemu-jemu hadir setiap minggu untuk memberikan sokongan kepada mereka,” kata isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi ini tanpa berselindung.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi telah mengkhabarkan undian keseluruhan Mari Menari berjaya mengatasi jumlah undian Sehati Berdansa musim pertama dengan lebih 900,000 undian.

Jelasnya lagi, angka itu telah memberikan petanda yang cukup positif apabila undian menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding pada dua minggu terakhir untuk Sehati Berdansa musim pertama dan kedua.

“Dengan perkembangan ini, tidak mustahil untuk kami meneruskan Mari Menari bagi musim kedua pula. Namun, semuanya masih dalam perbincangan dan tunggulah sahaja pengumumannya nanti,” ujarnya optimis.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: