'Saya Tak Akan Bersara'

23 Dec

KEJAYAAN Konsert Aura Rock Terus Rock yang berlangsung di One Cafe, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu benar-benar menaikkan semangat gitaris otai, Rosli Mohalim.

Selepas 30 tahun membabitkan diri dalam seni, konsert pertamanya yang mendapat tajaan Aura Life ini berjaya menghimpunkan peminat dari pelbagai peringkat umur.

Pada usianya 56 tahun, bekas pemain gitar Sweet Charity yang sering diundang menjayakan pelbagai konsert termasuk Karnival Gegaria Harian Metro ini belum mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni. Diarinya sudah penuh dengan pelbagai agenda terutama membabitkan kolaborasi dengan pendatang baru bidang nyanyian.

“Saya sudah tampil dengan single berjudul Jangan Laju-Laju menampilkan penyanyi Zzati yang berusia 18 tahun dari Pahang. Selain itu saya juga akan merakam lagu Inggeris berjudul We Wanna Rock menampilkan kumpulan Shewolves.

Perancangan selepas itu saya akan terbabit dengan projek kolaborasi rock + gambus bersama Fauziah Gambus dan kolaborasi dengan Ismail Gergaji (Ismail Jejaka).

“Dalam masa sama, saya juga sedang siapkan album sendiri, Rosli Mohalim Rock Terus Rock Volume 1 yang menampilkan 9 lagu baru dan satu medley nostalgia lagu-lagu Sweet Charity. Khidmat saya juga diperlukan untuk menerbitkan album kumpulan Malaysian Online dari Pulau Pinang menampilkan Faztlane, Mas Collin dan Diana,” katanya kepada Rap.

Otai rock ini juga tidak kedekut ilmu kerana kini sedang gigih mendidik kumpulan Sound Makerz yang dianggotai 5 remaja berusia 12 hingga 15 tahun. Baginya dunia seni perlukan pelapis yang berkualiti supaya dapat terus membangunkan industri muzik tempatan. Kepuasan jelas terlihat di wajahnya apabila berjaya merealisasikan perancangan yang diatur.

“Saya amat bersyukur dengan perkembangan positif yang berlaku dalam karier saya kebelakangan ini. Tiada istilah bersara kerana seni sudah menjadi sebahagian darah daging saya. Saya bukanlah menjadi saingan kepada generasi muda sebaliknya mahu bersama-sama memeriahkan dunia seni yang banyak warna-warninya,” katanya.

Mengharapkan kedatangan 2011 lebih memberikan aura terhadap perjalanan seninya, Rosli mahu menutup 2010 dengan kenangan manis dan istimewa buat peminat. Sekali lagi dia akan beraksi pada Konsert Aura Rock Terus Rock yang turut menampilkan artis undangan. Konsert kali ini akan diadakan pada 25 Disember dan berlangsung di Legend Resort, Cherating Pahang pada jam 8.00 malam.

“Pemilihan lokasi ini dibuat bagi memberi peluang peminat di pantai timur menyaksikan persembahan saya. Seperti persembahan pertama, saya akan menampilkan barisan artis popular serta menggabungkan lagu-lagu baru, di samping lagu popular Sweet Charity. Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik dan memuaskan hati peminat.

“Saya berterima kasih kerana konsert ini mendapat tajaan Auralife serta dianjurkan Urban Earth Music dan Galaxie Studio. Pertanyaan tiket boleh dibuat dengan menghubungi Kojack dan Azhar di talian 0177923375 serta Mus (0179384333). Keterangan lanjut boleh diperoleh menerusi Facebook dengan menaip nama Rosli Mohalim,” katanya yang turut membintangi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan sedang merancang berlakon filem berbentuk muzikal selepas ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: