Tidak Buruk Tetapi Biasa

23 Dec

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my


TEKNIK imej janaan komputer atau CGI dalam filem versi baru Gulliver’s Travels ini tiada apa yang membanggakan.

DIINSPIRASIKAN daripada novel tahun 1726-1735 tulisan Jonathan Swift, filem Gulliver’s Travels versi baru mengadunkan falsafah asalnya dengan cerita tambahan.

Naskhah sastera klasik itu diterjemah dalam gaya komedi yang bersesuaian latar dan masa sekarang.

Lemuel Gulliver ialah seorang peminat Star Wars dan Guitar Hero. Dia sudah bekerja di bilik surat sebuah syarikat penerbitan di New York selama sepuluh tahun.

Sangat selesa dengan posisinya itu, dia menyimpan perasaan terhadap pengarang bahagian pelancongan, Darcy Silverman.

Kehadiran Dan sebagai ketua baru Gulliver membuatkan dia terfikir untuk berubah menjadi lebih berani dan maju.

Dalam usaha memikat gadis pujaannya, dia memohon untuk menulis artikel percutian sehingga ditugaskan menyelongkar rahsia Segi Tiga Bermuda.

Gulliver kemudian tenggelam dalam ribut laut lalu terdampar di sebuah negara bernama Liliput yang didiami orang-orang mini.

Di sana, dia digelar gergasi dan dianggap wira sehinggalah penipuannya mengenai identiti sebenar terbongkar.

Maaf jika saya membocorkan kesudahan, tetapi dengan sinopsis seperti itu, saya tidak rasa anda jangkakan kejutan di penghujungnya.

Kerana itulah Gulliver’s Travels menjadi sebuah filem yang mendatar tanpa sebarang suspens atau mampu membuatkan penonton tercengang.

Mahu menjaga status sebagai sebuah produk kekeluargaan bukanlah alasan terbaik pengarah mengambil jalan selamat dalam penceritaan.

Filem ini mempunyai resipi yang lengkap untuk muncul sebagai sebuah filem ikonik. Tentang Gulliver menjadi gergasi secara fizikal mahupun perasaan; tentang cinta di antara dia dan Silverman serta Horatio dan Princess Mary; tentang peperangan dua negara dan babak-babak yang melucukan.

Beberapa adegan terhasil baik, terutamanya semasa Gulliver dilayan seperti raja. Dia mempunyai mahligai fantasinya. Dia juga memiliki dewan teater sendiri dengan orang-orang mini sebagai pelakon untuk babak dari Star Wars dan Titanic.

Malah, dia juga diberikan bangunan-bangunan Times Square sendiri, dengan wajahnya sebagai papan iklan.

Namun, setiap satu itu ditampilkan dengan mudah dan terburu-buru. Penonton tidak sempat merasai debaran atau mempunyai keinginan untuk lebih mengambil tahu.

Segalanya tentang plot sudah tertulis seperti manual. Babak demi babak boleh dijangka kesinambungannya, seperti mana lakonan Jack Black yang stereotaip.

Tidak banyak bezanya dia dalam Gulliver’s Travels berbanding The School of Rock (2003), kecuali kanak-kanak sekolah digantikan dengan orang-orang kecil di Liliput.

Dia melakukan apa yang biasa dia buat – mimik muka, bunyi-bunyian yang keluar dari mulut dan gerak tubuh yang kononnya ‘cool’.

Saya percaya dia memang meminati wanita cantik dan bijak seperti Silverman, lakonan Amanda Peet. Tetapi pengarah gagal meyakinkan saya bahawa Peet meminati lelaki seperti Black. Ini bukan soal rupa, tetapi lakonan mereka nampak palsu.

Bagaimanapun, persembahan Emily Blunt dan Jason Segel menyeronokkan untuk ditonton. Blunt tidak melebih-lebih meskipun wataknya sebagai Princess Mary membenarkan dia berbuat demikian.

Segel pula sebagai lelaki kasta rendah yang ingin menjadi hero, mampu mengimbangi ekspresi di antara komedi dan drama.

Sementara itu, tiada apa yang membanggakan dari sudut efek dan imej janaan komputer (CGI), walaupun secara jelas 80 peratus filem ini dirakamkan pada skrin hijau.

Kumpulan produksi mempunyai kelebihan untuk mengagumkan penonton menerusi rekaan landskap Liliput, tetapi sayangnya nilai itu tidak dimanipulasikan.

Agak aneh apabila saya merasakan karakter-karakter kartun dalam Monsters Vs Aliens (2009) dan Shark Tale (2004) yang juga arahan Rob Letterman, lebih memberi kesan berbanding filem yang dijayakan manusia.

Saya tidak meminta Gulliver’s Travels menjadi sebaik material untuk Oscar. Saya faham sifatnya sebagai sebuah filem musim cuti.

Namun, alang-alang mempunyai naskhah, gabungan pelakon dan teknologi yang baik, mengapa tidak digunakan sebaik mungkin?

Filem ini tidaklah buruk, tetapi selepas ketawa atau tersenyum beberapa kali, penonton akan melupakannya sebaik saja keluar pawagam.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: