Ady Putra Pilih Sut Taufik

24 Dec

SETIAP kali berlangsungnya majlis anugerah, acara karpet merah antara agenda penting sebagai santapan mata untuk melihat siapa artis paling jelita dan kacak.

Pakaian siapa paling menyerlah dan siapa pula pereka fesyen yang menjadi rebutan untuk menghasilkan rekaan paling cantik dan kreatif. Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8 malam ini, bukan saja dinantikan untuk mengiktiraf karya terbaik drama dan filem, malah menjadi medan kepada artis berkumpul bagi menyatakan sokongan padu terhadap majlis anugerah bagi menyemarakkan lagi arena seni tanah air, sekali gus tumpuan acara karpet merah. Bertemakan Glamor dan Klasik, pasti ia memancarkan lagi keindahan serta menambahkan lagi kemegahan dan kegemilangan ASK2010. Jika kebanyakan artis dan selebriti wanita melaram dengan gaun petang, prianya pula tentu tidak mahu ‘kalah’ gaya.

Justeru, Ady Putra yang kali pertama akan melangkahkan kaki di pentas ASK2010 sebagai penyampai anugerah, memilih pereka muda, Taufik Nong untuk mereka sutnya. “Selain sukakan rekaannya yang terkini, saya tengok jahitannya halus dan cantik. “Saya pernah memakai sut Taufik ketika memegang watak sebagai peguam dalam drama Chinta. Pihak wardrobe yang mencarikan sut itu dan saya dapati ia sesuai dengan potongan badan saya. Sejak itu juga kami jadi kawan.

“Oleh itu apabila saya dapat jemputan sebagai penyampai dalam ASK2010, saya terus teringatkan Taufik. Saya pun pergi ke kedainya di Ampang dan melalui perbincangan dengannya, saya mahu dia mereka sesuatu yang berbeza untuk digayakan pada malam ini. “Dia pun bersetuju kerana selain sukakan rekaannya, saya juga ingin membantu menaikkan nama anak Melayu dalam bidang rekaan sut. Saya juga mengajak Rosyam Nor dan Shaheizy Sam untuk bersama menggayakan sut rekaan Taufik pada malam anugerah itu.

“Dia akan menggunakan kain membuat cheongsam untuk dijadikan sut. Biarlah sesekali kita memberi peluang kepada orang baru. Saya yakin jika diberi peluang dan pendedahan, dia boleh berjaya seperti pereka fesyen lain yang sudah pun terkenal. “Taufik baru lima tahun membuka kedai Taufik & Tailor dan saya tengok dia anak muda yang sentiasa bekerja keras memajukan perniagaannya,” katanya.

Malam ini, Ady menyampai anugerah bersama Fouziah Gous dan Nora Danish. Akui Ady, julung kali menjadi penyampai anugerah membuatkan dirinya sangat teruja. “Saya harap semuanya berjalan dengan lancar,” katanya yang baru saya selesai penggambaran drama Mantera Anjasmoro. Antara drama yang dipertandingkan pada AJK2010, Taubat Nasuha, Bagaikan Sumayyah, Sebelum Akhirat, Masyitah, Kaki, Lillahi Ta’ala dan Antara Garisan. Manakala untuk filem pula Muallaf, Pisau Cukur, Evolusi KL Drift, Papadom, Lagenda Budak Setan, Setem, Belukar, Adnan Sempit, Kecoh Betul dan Santau. Jika tema majlis, Glamor dan Klasik, tema persembahan pula, Glam and Classy. Sebanyak enam persembahan akan ditampilkan, di mana ia menggabungkan nama baru dan lama dalam industri muzik tempatan. Majlis itu akan dihoskan Awal Ashaari dan Vanidah Imran yang juga pengacara baru Nona. Dalam pada itu, Ady yang bercita-cita ingin menjadi hero aksi pertama Malaysia sedang berdebar-debar menunggu filem terbaru yang dibintanginya, Haq yang bakal menjengah pawagam pada 27 Januari ini. “Filem itu mengisahkan mengenai pergelutan antara kuasa jahat dan baik. Bagaimanapun, saya bimbang jika ada adegan panas yang membabitkan saya dan Nanu akan dipotong,” katanya.

Sebagai aktor yang bercita-cita besar, Ady sangat mementingkan penampilan dan imejnya. Apabila dapat saya tawaran berlakon, dia akan sedaya upaya membentuk imej yang diperlukan watak itu termasuk mengorbankan rambut kesayangannya.

“Saya menjaga pemakanan dan sudah lama tidak menjamah nasi serta bersenam di jimnasium setiap hari. Untuk berjaya pada masa depan, seseorang artis itu mesti sanggup membuat perubahan dalam lakonan dan juga imej,” katanya.

Ady juga agak terkejut kerana buat kali pertama jenama sabun Breeze melantiknya sebagai duta produk itu. “Saya sedang menjalani iklan untuk Breeze dan inilah kali pertama saya dilantik sebagai duta produk. Breeze sebagai produk kegunaan harian juga turut dipasarkan di Singapura dan mungkin kerana itulah saya dipilih kerana saya berasal dari sana, tetapi mengembangkan kerjaya di Malaysia.

“Oleh yang demikian, peminat dua negara boleh tengok iklan saya nanti,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: