ASK2010 Menghampiri Kemuncak

24 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


ADAKAH Afdlin Shauki mampu memenangi trofi Pengarah Filem Terbaik untuk kali ketiga menerusi filem Papadom?

DEBARAN kian dirasai dan terasa pantas masa berlalu apabila Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) telah pun menuju ke destinasinya.

Malam ini, ASK2010 akan mencatatkan satu lagi sejarah dalam direktori penganjuran anugerah yang dianggap cukup berprestij itu.

Ramai yang sudah mula berteka-teki dan membuat andaian siapakah yang akan naik ke pentas untuk menerima trofi yang menjadi idaman karyawan seni tempatan itu.

Malah, peminat hiburan sendiri turut merasai debaran itu dan sudah tidak sabar lagi untuk melihat mereka yang bertuah akan menjulang kejuaraan pada malam ini.

Selama empat hari berturut-turut, Hits telah membawa pembaca setia melihat barisan pelakon yang berpotensi besar akan dicalonkan sekali gus memenangi trofi ASK.

Sebagai penutup, hari ini Hits akan meramal mereka dilihat mampu menerobosi senarai pencalonan dalam empat kategori utama yang menjadi perhatian saban tahun.

Ia termasuklah Pengarah Drama Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Drama Terbaik dan Filem Terbaik.

Untuk kategori Drama Terbaik, antara calon-calon yang dilihat layak untuk menduduki senarai lima terbaik adalah Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Dalil Cinta, Kaki, Perempuan dan Taubat Nasuha.

Kalau disebut tentang drama, genre drama berat sering kali menjadi perhatian kerana mesej dan jalan cerita yang cukup menarik.

Tahun lalu, drama Tersasar Di Jalanmu yang mempunyai plot cerita yang cukup berat menjadi pilihan juri sehingga mampu menang besar pada ASK2009.

Seperti mana kata pihak penganjur, mereka sendiri tidak pernah meletakkan sebarang kriteria tertentu dalam memilih pemenangnya.

Semuanya terserah kepada pihak juri untuk menilai dengan bijak setiap karya yang dipertandingkan.

Memang tidak dinafikan, genre drama berat memiliki kriteria yang lengkap untuk memenangi kategori Drama Terbaik tetapi persoalannya, dari sudut apakah penilaian itu dilakukan?

Sudah tentu daripada deretan senarai drama yang dicalonkan, pasti ia akan menyukarkan pihak juri untuk menilai karya yang boleh dianggap sebagai terbaik.

Dalam konteks ini, drama yang dipilih itu haruslah memiliki kelainan serta pembaharuan serta berani menampilkan sesuatu isu yang mungkin tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Untuk tahun ini, Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Kaki dan Taubat Nasuha mempunyai potensi untuk diangkat sebagai pemenang.

Keempat-empat drama ini walaupun dikategorikan sebagai drama berat tetapi pendekatan masing-masing semuanya berbeza dan mempunyai sentuhan tersendiri.

Namun, usah dipandang sebelah mata kepada drama komedi seperti Dalil Cinta yang juga berpeluang meraih gelaran Drama Terbaik.

Jika drama-drama tersebut mampu disenaraikan sebagai Drama Terbaik, tidak mustahil sang sutradara yang mengarahkannya juga dapat dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik.

Nama-nama seperti Murali Abdullah, Shahrul Ezad, Azman Yahya atau Jinggo, Khairul Anuar Othman dan Heykal Hanifah antara yang dilihat mampu menduduki senarai itu dengan selesa.

Murali misalnya, pernah memenanginya dua tahun lalu menerusi drama Suara Saleha yang juga diangkat sebagai Drama Terbaik.

Adakah dia mampu mengulangi kejayaan serupa untuk Sebelum Akhirat tahun ini? Atau mungkin rezeki akan berpihak kepada Shahrul Ezad yang cukup cemerlang menerusi drama Antara Garisan?

Siapa tahu Jinggo juga mampu menjulang trofi Pengarah Drama Terbaik untuk drama Taubat Nasuha selepas memenanginya tiga tahun lalu bagi drama Sebuah Ijtihad.

Apakah mungkin drama Kaki arahan Khairul Anuar Othman mampu memikat juri sekali gus mencatatkan nama pengarah muda itu sebaris dengan pengarah handalan yang pernah memenanginya sebelum ini.

Beralih kepada Pengarah Filem Terbaik pula, ia juga merupakan kategori yang cukup menarik untuk diperkatakan kerana ia bakal memperlihatkan saingan hebat.

Antara nama yang meraih perhatian tahun ini ialah Allahyarham Yasmin Ahmad, Afdlin Shauki, Shamsul Yusof dan Bernard Chauly.

Melihat kepada trek rekod Afdlin, pengarah kreatif itu pernah memenangi kategori ini selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2005 dan 2006 menerusi filem Buli dan Buli Balik.

Adakah Papadom akan memberikan Afdlin trofi ketiganya? Mungkin ya, mungkin tidak kerana Afdlin perlu sedar saingannya memang bukan calang-calang.

Lebih-lebih lagi nama Yasmin dilihat sebagai calon utama untuk memenanginya menerusi filem Muallaf.

Pastinya, anugerah Pengarah Terbaik yang baru sahaja dimenanginya di Festival Filem Asia Pasifik Ke-54 baru-baru ini menambahkan merit kepadanya untuk dijulang sebagai Pengarah Filem Terbaik ASK2010.

Tidak mustahil juga trofi itu diberikan kepada Shamsul Yusof yang diangkat sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Kalau dia menang sekali lagi, itu tandanya, dia memang hebat sebagai seorang pengarah dan usahlah dipertikaikan lagi keputusan itu kerana dia membuktikan dia memang benar-benar layak.

Siapa tahu, gelaran Pengarah Filem Terbaik juga mampu berpindah tangan kepada Bernard Chauly yang cukup tajam menghasilkan filem Pisau Cukur.

Untuk meramalkan Filem Terbaik juga memang bukan mudah kerana daripada 25 buah filem yang tersenarai, tidak semuanya layak untuk dikategorikan sebagai yang terbaik.

Daripada jumlah itu, Hits telah mengenal pasti lima filem yang dikira mencapai tahap kualiti dan piawaian untuk bergelar Filem Terbaik iaitu Muallaf, Evolusi KL Drift 2, Setem, Pisau Cukur dan Papadom.

Siapa tahu rezeki akan berpihak kepada Muallaf yang dari awal sudah ditendang daripada disenaraikan sebagai calon Filem Terbaik FFM23 hanya kerana masalah bahasa.

Nasib baik ASK tidak mengamalkan prinsip yang sama kerana bagi pihak penganjur, asalkan sesebuah karya itu berkualiti dan ada pembaharuan, itulah yang layak untuk bergelar terbaik.

Saingan terdekat Muallaf sudah pasti filem Papadom yang cukup kuat mesej dan nilai kasih sayang dalam filem tersebut.

Jika bukan dua filem ini menjadi pilihan juri, Pisau Cukur dan Setem juga memang layak untuk memenangi Filem Terbaik kerana sentuhan komedinya yang cukup mahal dan tidak semurah filem komedi lain.

Untuk peminat hiburan tanah air, pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung Anugerah Skrin 2010.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: