Krismas Paling Bahagia Buat Mariah

24 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan UNIVERSAL MUSIC


HEBAT… Mariah Carey (dua dari kiri) bersama Matthew Morrison (kiri) dan Ellen DeGeneres (tiga dari kiri) membuat persembahan bersama Barrack Obama dan isterinya, Michelle.

PENYANYI tersohor dunia ini mempunyai alasan yang begitu kukuh untuk meraikan kedatangan Hari Krismas yang akan disambut esok dengan penuh kegirangan.

Buat pertama kalinya dalam hidup Mariah Carey, 40, dia menyambut perayaan yang cukup dinanti-nantikan itu dengan tiga orang yang cukup penting dalam hidupnya masa ini.

Mereka yang dimaksudkan ialah suaminya, Nick Cannon dan juga anak kembar hasil perkahwinan Carey dan Cannon yang sedang dikandungnya sekarang.

‘Belum pernah saya rasa teruja sebegini untuk menyambut Krismas dan inilah permulaan buat saya untuk merasai nikmat hari bahagia ini sebagai seorang ibu.

‘Saya harus akui sebelum saya bergelar seorang isteri, sering sahaja saya menyambut Krismas sama ada keseorangan mahupun bersama teman-teman lain.

‘Kalau tidak dengan mereka sekali pun, saya akan menghabiskan masa dengan ibu saya. Sememangnya Krismas memberikan semangat luar biasa sejak kecil lagi.

‘Namun, tahun ini ia cukup berbeza sekali. Saya sendiri sudah tidak sabar lagi untuk membesarkan anak-anak saya bersama suami dalam suasana yang cukup harmoni,’ luah Carey dalam nada yang cukup teruja.

Sememangnya berita kehamilan telah menjadi tajuk panas beberapa bulan kebelakangan ini dan pihak media di Hollywood menjangkakan ia akan berlarutan sekurangkurangnya untuk setahun lagi.

Sejak hari pertama dia mengandung sehingga dia melahirkan bayi-bayinya kelak, Carey akan meraih perhatian yang cukup meluas nanti.

Tidak terhenti setakat itu, semua mata juga akan tertumpu kepadanya selepas bersalin nanti kerana mahu melihat sama ada Carey mampu memiliki bentuk badan yang seksi seperti mana ibu-ibu glamor lain.

Carey dan Cannon mendirikan rumah tangga pada 30 April 2008 di sebuah vila peribadi milik Carey yang terletak di Bahamas.

Sebelum ini, Carey pernah berkahwin dengan Tommy Mottola pada tahun 1993 namun ikatan itu tidak mampu kekal lama. Masing-masing sepakat untuk bercerai pada tahun 1997 dan membawa haluan sendiri.

Bermula daripada situ, Carey telah menjadi seorang janda seksi dan menjalinkan hubungan dengan beberapa orang artis antaranya Luis Miguel dan Eminem.

Sejak menjadi seorang isteri kata Carey, dia merasakan hidupnya cukup lengkap dan bahagia bersama Cannon yang berjaya menjalankan tugasnya sebagai seorang suami dengan baik.

Matang

Biarpun suaminya itu 10 tahun jauh lebih muda daripadanya, Carey tidak melihatnya sebagai satu masalah besar kerana Cannon seorang yang matang untuk usianya.

‘Saya harus akui untuk memiliki anak tidak pernah ada dalam agenda saya. Suami saya juga faham dengan situasi saya dan tidak pernah memaksa jika itu bukan kemahuan saya.

‘Barangkali inilah yang dikatakan anugerah Tuhan. Sebaik sahaja saya disahkan mengandung, Cannon merupakan orang yang paling gembira dan air matanya membuatkan saya sedar dia memang mahukan ini (anak).

‘Saya bersyukur kerana sepanjang kehamilan ini, dia setia bersama saya dan sama-sama mahu melalui proses ini bersama saya.

‘Saya mahu anak-anak saya hidup dalam sebuah keluarga yang normal dengan adanya seorang ibu dan ayah yang sama-sama menjalani hidup dengan penuh kasih sayang,’ ujarnya yang akan melahirkan anak sulungnya itu sekitar bulan Mac atau April depan.

Bimbang

Carey juga mengakui dia memang tidak mahu menghebahkan berita kehamilan itu kepada umum kerana bimbang sesuatu yang tidak baik akan terjadi.

Bukan mahu bersikap skeptikal tetapi dia tidak mahu mengalami keguguran sekali lagi seperti mana yang terjadi di awal perkahwinannya bersama Cannon.

‘Jadi, apabila mengandung sekali lagi, ia membuatkan saya sedikit bimbang dan tidak mahu terlalu berasa gembira dengan berlebih-lebihan. Kata orang, let it go with the flow.

‘Tetapi nampaknya, berita ini tidak mampu disembunyikan lagi dan saya gembira serta bersyukur di atas doa dan ucapan yang diterima daripada teman, keluarga dan juga peminat,’ kata Carey yang berhubung dengan peminatnya menerusi Twitter.

Dalam masa yang sama, penghibur yang cukup masyhur dengan lagu Butterfly dan Hero itu menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia telah menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF).

Sehingga ada yang mengatakan Carey telah berkunjung ke klinik yang sama dikunjungi oleh pasangan Jennifer Lopez dan Marc Anthony untuk mengandung dan seterusnya mendapat anak kembar.

‘Semua itu tidak benar kerana saya mengandung dengan cara yang normal,’ katanya ringkas.

Tetap sibuk dengan agenda

Walaupun sedang hamil, namun itu bukan satu halangan untuk Carey meneruskan agenda seninya biarpun dalam musim perayaan.

Seiring dengan sambutan Hari Krismas, jadual Carey terus padat dengan pelbagai program yang perlu dipenuhi dan dia menyifatkannya sebagai rezeki anak kembarnya.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, tahun ini memperlihatkan Carey terlibat dengan rakaman program untuk siaran televisyen sempena Krismas sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

Antara momen terbaiknya sebelum menjelangnya Krismas apabila berpeluang mengadakan persembahan bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan isterinya, Michelle.

‘Memang kalian akan melihat wajah saya di berbagai-bagai saluran sehingga anda sendiri akan berasa bosan dengan saya (ketawa).

‘Setiap program yang saya sertai semuanya mempunyai pendekatan yang berbeza dan apa yang paling menggembirakan saya apabila dapat berduet dengan ibu saya, Patricia untuk sebuah lagu Krismas.

‘Tetapi suami saya nampaknya tidak menjadi begitu realistik apabila dia mahu saya berehat dan enggan saya bekerja keras sepanjang saya mengandung (ketawa).

‘Semua itu akan saya lakukan apabila semuanya selesai kerana saya akan berehat panjang sementara menunggu detik kelahiran nanti,’ kata Carey yang terpaksa melupakan niatnya untuk bercuti dan bermain ski di Colorado tetapi sebaliknya akan menghabiskan masa di Utah.

Namun, jelas Carey, biarpun akan berehat panjang, dalam tempoh itu dia akan terus mencari ilham untuk menulis lagu.

‘Saya percaya dalam proses menjadi seorang ibu, ia dapat memberikan inspirasi untuk saya menghasilkan lagu-lagu yang indah dan beraspirasi tinggi,’ jelasnya dalam nada bersungguh.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: