Pertembungan Drama Bertema Keislaman

24 Dec

ANUGERAH Skrin 2010 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC, 9 malam ini dan disiarkan secara langsung di TV3 menyaksikan persaingan antara drama yang mengangkat tema keislaman dan isu sosial.

Berdasarkan karya yang diangkat Drama Terbaik sepanjang penganjurannya, umum sudah boleh melihat kriteria penilaian juri untuk mengangkat drama dipertandingkan pada tahun ini.

Pada 2007, drama arahan Azman Yahya atau Jinggo, Sebuah Ijtihad menang anugerah utama itu, 2008 pula Suara Saleha arahan Murali Abdullah terbitan Pena Kreatif Sdn Bhd dan tahun lalu, menyaksikan kejayaan Tersasar Di Jalanmu terbitan Rumah Karya Cipta Sdn Bhd dan Erma Fatima menang Pengarah Terbaik. Melihat kepada ketiga-tiga drama yang diangkat sebagai terbaik ini, ternyata ia memiliki naratif yang bagus, pemikiran terhadap isu disentuh juga persoalan nilai dan moral. Untuk tahun ini, 17 drama disenaraikan untuk dipertandingkan dan membawa pelbagai tema, namun hanya enam yang dilihat mempunyai kekuatan untuk bersaing hebat bagi anugerah Drama Terbaik memandangkan ia memiliki elemen yang dinyatakan. Drama terbabit adalah Taubat Nasuha, Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Kaki, Perempuan dan Lillahi Ta’ala.

Apa yang menarik, pemenang Pengarah Terbaik kembali bersaing sesama sendiri iaitu Jinggo menerusi Taubat Nasuha dan Murali mempertaruhkan Sebelum Akhirat. Kedua-duanya menampilkan karya berbeza dari sudut jalan cerita apabila Taubat Nasuha mengangkat kisah sikap baran suami terhadap isteri dan anak-anak sementara Sebelum Akhirat mengangkat kisah penyesalan dilalui watak utamanya, Mubarak terhadap dosa silam yang dilakukan. Begitupun, karya Shahrul Ezad menerusi Antara Garisan mengangkat tema dosa dan pahala mengenai perubahan hidup Arman seorang ustaz dan Ayu (pelayan kelab malam) dan Mohd Fahmi Sarindi menerusi Perempuan, mengangkat tema kesedaran dilalui dua wanita yang menjadi pelacur.

Perempuan dilihat mampu memberikan saingan, tetapi Taubat Nasuha dan Sebelum Akhirat dirasakan lebih berat, tetapi naratifnya dijalin dengan baik dan amat mengesankan.

Kaki pula yang diarahkan Khairul Anuar Othman, mengangkat tema seakan sama dengan Taubat Nasuha iaitu seorang suami yang bersikap kejam kepada keluarganya, turut memiliki kekuatan dari sudut lakonan. Ia bintangi pelakon berpengalaman seperti Rosyam Nor, Ellie Suriaty dan Fauziah Nawi.

Melihat kepada persembahan pelakon dalam drama dicalonkan di Anugerah Skrin 2010, tiga nama disebut akan mengungguli pencalonan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama adalah Fauzi Nawawi yang menunjukkan lakonan berkesan dalam Taubat Nasuha dan Sebelum Akhirat. Begitupun, peluang Fauzi dilihat lebih kuat untuk Taubat Nasuha.

Saingan terdekat Fauzi, Zamarul Hisham menerusi Lillahita Ta’ala, melakonkan watak suami yang bertanggungjawab tetapi diabaikan isteri, manakala Rosyam Nor menerusi Kaki.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama, persaingan antara Dira Zahar yang membawakan watak pelacur dalam Perempuan, Nor Khiriah sebagai perempuan pelayan kelab malam dalam Antara Garisan dan Sheila Rusly sebagai isteri teraniaya dan mati dibunuh dalam Taubat Nasuha dilihat lebih cemerlang persembahannya. Begitupun, persembahan pelakon berpengalaman dan tidak kurang hebatnya, Ellie Suriaty menerusi Kaki dan Lisdawati dalam Sebelum Akhirat, tidak boleh dipinggirkan pihak juri.

Untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pula, persaingan hebat untuk merebut trofi berupa pucuk rebung dan songket itu adalah Isma Yusof menerusi Antara Garisan, Zul Huzaimy (Dendam Seorang Perempuan), Roslan Salleh (Kaki) dan Yalal Chin (Bagaikan Sumayyah).

Sementara bagi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, antara yang menyerlah Rozie Rashid dalam Perempuan, Fauziah Nawi (Kaki), Maimon Talib (Sebelum Akhirat) dan Fadzillah Mansor juga dalam Sebelum Akhirat.

Selain mengiktiraf drama, ASK juga memberi penghargaan kepada karyawan melalui filem dihasilkan dan ditayangkan di pawagam. Untuk kategori ini, ramai pihak menyambut baik apabila karya terakhir Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Muallaf turut dipertandingkan.

Pastinya, filem yang menampilkan Sharifah Amani atau Nanie sebagai teraju utama di samping Brian Go, dilihat akan mengungguli beberapa kategori utama, termasuklah Nanie dan Brian sendiri yang juga dicalonkan dalam Pelakon Lelaki Terbaik Filem dan Pelakon Wanita Terbaik Filem.

Begitupun saingan Muallaf datang dari filem Evolusi KL Drift 2. Filem itu turut mengiktiraf bakat Syamsul Yusof yang menang Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) dan karya diilhamkan Afdlin Shauki, Papadom. Yasmin, Afdlin Shauki dan Syamsul Yusof juga adalah tiga nama yang dilihat lebih berhak untuk memenangi anugerah Pengarah Terbaik Filem. Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem, empat nama dilihat lebih menonjol untuk memenanginya iaitu Afdlin Shauki menerusi Papadom, Bront Palarae yang memberikan persembahan memberangsangkan menerusi Belukar. Dia turut memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik di FFM ke-23. Persembahan pendatang baru Brian Go juga tidak kurang hebatnya dalam Muallaf dan begitu juga Farid Kamil dalam Lagenda Budak Setan.

Pelakon Wanita Terbaik Filem pula pastinya berat kepada Sharifah Amani yang memegang peranan sebagai Ani. Kesanggupan Nani membotakkan kepala menerusi filem itu pernah menimbulkan kontroversi, namun lakonan mantap diberikan memberi kelebihan kepadanya untuk membawa pulang trofi utama itu. Saingan Nanie datang dari Daphne Iking yang melakonkan watak wanita licik terbabit dalam jenayah memalsukan wang insuran. Lakonannya cukup bersahaja. Antara anugerah lain yang turut dipertandingkan pada malam esok Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Drama Rantaian Terbaik, dan Drama Komedi Terbaik.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: