Farah Tunang Petang Ini

26 Dec

TIADA apa yang lebih indah ketika ini bagi bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Farah Diana Anuar atau Farah, 25, selain daripada impiannya untuk bergelar tunangan kepada jejaka pilihan hati yang bakal menjadi kenyataan petang ini selepas menjalin hubungan cinta hampir tiga tahun.

Di saat peminat setia sedang membaca pengakuan Farah, mungkin penyanyi cukup popular dengan lagu Antara Dua ini sedang bersimpuh manis dalam persalinan rona merah jambu menanti jari manisnya disarungkan cincin oleh bakal ibu mentua.

Sewaktu dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai majlis pertunangan yang dirahsiakan sebelum ini, jelas Farah, dia mengharapkan apa yang dirancang bersama bakal suami kelak akan menjadi kenyataan.

Lebih penting, dia mahu semua pihak mendoakan yang terbaik untuk dirinya.


“Bukan niat untuk merahsiakan daripada pengetahuan umum. Sekiranya ada orang bertanya, saya akan berterus-terang. Jauh sekali niat mahu berbohong.


“Cuma, ada perkara yang tidak boleh diperkatakan dan dijelaskan kenapa.

“Lagipun ini baru majlis pertunangan. Kata orang, tidak manis kalau majlis pertunangan dibuat besar-besaran dan diheboh-hebohkan kerana ia baru perancangan dan saya belum lagi bernikah. Insya-Allah, sekiranya apa yang dirancang kelak berjalan baik, tiba harinya saya akan memberitahu dan menjemput,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai desas-desus hubungan cintanya dan majlis pertunangan yang dirancang, pengacara Rasa Halal Orient ini mengakui tidak pernah merahsiakannya.

“Apabila orang bertanya, saya akan terangkan bahawa saya mempunyai teman istimewa dan apabila orang mula heboh memperkatakan majlis pertunangan yang berlangsung hari ini, saya juga jelaskan.

“Cuma, ada beberapa perkara saya tidak boleh beritahu kerana ia terlalu peribadi seperti siapa bakal suami dan latar belakangnya.

Dalam kesempatan ini, ingin saya jelaskan yang dia bukanlah seperti apa yang diperkatakan orang sebelum ini.

“Memang dia ahli perniagaan, tetapi tidaklah besar kerana baru hendak bermula. Hubungan kami pun baru terjalin beberapa tahun lalu selepas bertemu buat kali pertama sewaktu mengadakan urusan membabitkan salah satu persembahan yang pernah saya adakan di utara tanah air. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi manis wajahnya apabila dipandang,” katanya.

Jelas Farah lagi, antara sebab dia tidak banyak membuka mulut mengenai hal peribadi terutama membabitkan percintaan dan pertunangan yang dirancang kerana berasakan tidak manis sekiranya orang perempuan buka mulut sedangkan pengesahan daripada pihak lelaki belum ada lagi.

Katanya, mereka bertemu sewaktu mengadakan mesyuarat untuk menjayakan salah satu persembahan yang diadakan di Pulau Pinang.

“Bakal suami sebelum itu sudah mengenali bapa saya. Waktu itu kami hanya saling pandang memandang. Namun hati sudah berdetik waktu itu. Selepas itu, kami sering berhubungan hingga sekarang. Syukur hari ini kami mengambil keputusan untuk bertunang.

“Majlis ini diadakan di Yan, Kedah kerana nenek uzur dan keluarga mengambil keputusan untuk mengadakannya secara tertutup dan hanya membabitkan keluarga rapat kedua-dua belah pihak di sana,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: