Luahan Jiwa Ana, Loque

27 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


ANA Raffali dan Loque waktu menjayakan Konsert Analoque di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MENYAKSIKAN Konsert Analoque – Ana Raffali & Monoloque di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini seakan-akan memperdengarkan luahan jiwa Ana Raffali dan Loque menerusi lagu-lagu mereka.

Dua penyanyi itu meluahkan perasaan jiwa menerusi lirik yang bukan sahaja tentang diri, keluarga tetapi juga imaginasi mereka yang disampaikan secara abstrak di sebalik lagu-lagu yang penuh dengan eksperimentasi.

Tirai persembahan yang dibahagikan kepada dua set itu dimulakan dengan kemunculan Loque bersama kumpulannya, Monoloque yang memetik piano sambil mendendangkan lagu Mati Hidup Kembali dalam nada yang penuh emosi.

Loque yang tampil bertanjak ala-ala pahlawan Melayu tidak janggal berseluar jeans dan kemeja hitam lengan panjang mengimbau kenangan para peminat sewaktu dia muncul bersama kumpulannya, Butterfingers tidak lama dulu.

Sambil berceloteh ringkas saat lagu itu melabuhkan melodinya, Loque seperti mengiyakan tanggapan bahawa dia dan Butterfingers masih belum mampu diuraikan termasuklah dalam nadi lagu-lagu yang dipersembahkannya pada malam itu.

‘Rempah ratusnya (muzik) sama sahaja. Malam ini cuma yang tidak ada ialah anak kacukan mat saleh (Emmett – vokalis Butterfingers). Dia ada di Kanada sekarang ini,’ ungkapnya sebagai selingan di sebalik penyampaian lagu tersebut.

Konsert dengan tiket berharga RM59 dan diadakan dua kali iaitu pada pukul 3 petang serta 9 malam itu banyak mencipta ruang buat Loque meluahkan rasa dan jiwanya kepada insan-insan tersayang di sekelilingnya.

Dia tidak menafikan banyak menujukan lagu-lagu nyanyiannya pada malam itu kepada orang yang disayanginya termasuklah ibu, bapa serta isterinya yang turut menyaksikan persembahan di panggung yang berkapasiti 500 penonton itu.

Selain lagu-lagu berunsurkan cinta yang dibawakan dalam iringan muzik akustik dan unplugged, ia diperkuatkan lagi dengan alunan muzik orkestra kumpulan Orkestra Seri Paduka Baginda sebagai pemuzik latarnya.

Instrumens seperti biola, cello, piano dan trompet banyak membantu menghidupkan lagu-lagu dan persembahan Loque termasuklah lagu yang agak futuristik berjudul Badang Kotaraya, Jejak Tanah dan Jika Aku Seorang Robot.

Selain mendendangkan lagu-lagu sendiri, Loque juga menyanyikan sebuah lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Tiada Kata Secantik Bahasa dalam versi baru yang dipetik daripada album Indiepretasi.

Sambutannya amat membanggakan kerana 90 peratus daripada dewan Lambang Sari dipenuhi para peminat Monoloque.

Selepas sejam konsert itu berlangsung, Loque sempat mendapatkan reaksi para penonton dan bertanya sama ada mereka puas dengan persembahannya atau tidak, sambil dijawab para penonton: ‘Puas!,’ yang bergema di panggung itu.

Sebelum mengakhiri segmen persembahan Monoloque yang menampilkan dua bekas anggota Butterfingers iaitu Kadak (bass) dan Loco (dram) itu, Loque sempat berduet dengan Ana Raffali melalui lagu berjudul Doa Buat Kekasih.

Lagu yang pernah dipopularkan oleh Ramli Sarip dan Khadijah Ibrahim itu mendapat tepukan gemuruh para penonton biarpun tidak banyak kelainan yang diketengahkan oleh dua penyanyi terbabit.

Selepas aksi Loque itu, Ana Raffali muncul bersama kumpulan pemuziknya yang dikenali sebagai The Marhaens menerusi lagu pertamanya, Ketika Aku Kecil.

Hujan Bunga Di Kuala Lumpur dan Ku Biarkan Kau Terlepas yang menyusul selepas itu banyak meneruskan kesinambungan lagu-lagu Ana yang berteraskan akustik, pop dan sedikit country yang kontemporari.

Ana bukan setakat penyanyi yang luhur dalam luahan jiwa lirik-lirik ciptaannya tetapi mudah berterus terang menceritakan kisah di sebalik lagu-lagu yang disampaikannya.

‘Lagu Ku Biarkan Kau Terlepas merupakan antara lagu terawal yang saya cipta. Ketika itu, saya belum tahu bermain gitar lagi. Bagaimanapun melodinya saya simpan dalam kepala saya dari dulu hinggalah kini,’ ujarnya.

Sama seperti Loque, Ana juga banyak meluahkan apa yang dirasakannya melalui lirik dan lagu ciptaannya yang digarap secara abstrak.

Cantik dengan berbaju kebaya hitam rekaan Salikin Sidik, Ana meneruskan persembahannya dengan lagu-lagu seperti Cuba Jangan, Tingkap Kaca, Tolong Ingatkan Aku dan sebuah lagu Inggeris bertajuk My Darling.

Lagu-lagu Ana kebanyakannya mendatar daripada segi melodi, tetapi gelombang alunan itu kedengaran agak berbeza sewaktu dia menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Pelangi Petang kerana melodinya yang lebih kuat berbanding yang lain.

Ana mengakhiri persembahannya dengan menjemput Loque dan anggota The Marhaens iaitu Nazrin menyanyikan lagu Kalau Berpacaran yang asalnya diduetkan bersama Sohaimi Mior Hassan serta Altimet. Keseluruhannya konsert itu mengambil masa hampir dua jam.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: