Liyana, Syamsul

28 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZAINI HUSIN


SYAMSUL Yusof dan Liyana Jasmay merupakan pelakon utama Khurafat.

LIYANA Jasymay merupakan antara pelakon pelapis tempatan yang sentiasa komited dan membuat pelbagai persediaan sebelum berada di lokasi penggambaran filem.

Dia misalnya, mengkaji terlebih dahulu watak Aishah yang dilakonkannya menerusi filem Khurafat termasuklah cuba mencetuskan rasa cinta terhadap watak Johan lakonan Syamsul Yusof dalam filem itu.

Menurut Liyana, dia cuba melahirkan rasa cinta itu menerusi watak Aishah sewaktu bergandingan dengan Syamsul yang juga merupakan pengarah filem seram pertama terbitan Skop Production itu.

‘Perasaan cinta itu saya harus rasakan sekurang-kurangnya 20 peratus saat melakonkan watak Aishah yang merupakan isteri kepada Johan. Sayangnya, apabila berada di lokasi penggambaran perasaan itu hilang.

‘Bagaimanapun, selepas seminggu berlakon filem itu saya semakin rapat dan banyak berborak-borak dengan Syamsul barulah perasaan cinta pada Johan itu dapat saya rasakan.

‘Cuma jangan salah faham, ini bukannya cinlok (cinta lokasi) tetapi hanya penghayatan untuk menguatkan lagi lakonan saya,’ katanya sewaktu ditemui pada pratonton Khurafat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain cuba melahirkan rasa cintanya terhadap Johan dalam Khurafat, Liyana juga sanggup mengenakan tudung agar watak yang dilakonkannya itu berkesan bagi memberi kelainan dalam penampilannya.

Katanya, selama ini dia lebih banyak melakonkan watak gadis remaja yang tidak bertudung di mana pengalamannya dalam Khurafat sedikit sebanyak telah mempelbagaikan lagi karakter lakonannya di layar perak.

‘Bukan setakat bertudung, malah ini juga kali pertama saya melakonkan watak seorang isteri. Walaupun saya masih muda tetapi saya pikul peranan itu atas keyakinan, apatah lagi saya telah mengkaji terlebih dahulu watak tersebut.

‘Namun, sebelum menerima tawaran berlakon dalam Khurafat, saya tanya pendapat Bade Azmi. Dia (Bade) beri galakan kerana yakin dengan bakat dan kreativiti Syamsul sebagai pengarah filem ini,’ ujarnya.

Sementara itu, Syamsul yang ditemui tidak menafikan dia cuba menghayati watak Johan dengan melahirkan rasa cintanya terhadap Aishah bagi menghidupkan adegan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Jelas pengarah berusia 26 tahun ini, biarpun baru mengenali Liyana tetapi sebagai pelakon profesional dia cuba juga mencetuskan perasaan itu saat berada di lokasi di mana ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukannya.

‘Saya akui memang susah melakonkan babak percintaan. Bagaimanapun, apabila berada di depan kamera, ‘perasaan cinta’ saya pada Aishah akan timbul,’ jelasnya.

Sewaktu ditanya tentang Khurafat, jelas Syamsul, ia merupakan filem genre seram pertama arahannya biarpun sebelum ini dia lebih sinonim dengan filem aksi seperti Evolusi KL Drift .

Sungguhpun begitu, anak pengarah Datuk Yusof Haslam ini tidak memilih sebarang genre filem, sebaliknya bersedia untuk mengarahkan genre-genre lain jika diberi peluang oleh bapanya pada masa akan datang.

‘Saya dapat pengiktirafan di Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini sebagai Pengarah Terbaik melalui filem Evolusi KL Drift 2 yang merupakan filem genre aksi. Saya anggap saya lebih relevan dengan filem aksi.

‘Namun, saya masih dalam proses belajar di mana kalau boleh saya mahu mendalami setiap sudut dalam bidang seni termasuklah filem genre seram yang mencabar kreativiti saya.

‘Contohnya, melalui filem ini saya cuba selitkan unsur-unsur keislaman di mana ia boleh dijadikan pengajaran buat para penonton. Kalau filem aksi mungkin sukar sedikit untuk menyelitkan elemen-elemen sebegitu,’ tambahnya.

Khurafat yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 13 Januari tahun depan turut membariskan pelakon seperti seniwati veteran Mariani, Fauziah Nawi, Sabrina Ali dan Salina Saibi.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: