Man Keedal Dan

28 Dec

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar: AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN


Man Keedal (kanan) dan Zailan bersama produk cenderamata edisi khas gitaris handalan itu.

SEBUT sahaja nama Man Keedal, sudah pasti ramai yang mengenali legenda rock itu. Walaupun kehadirannya dalam industri hiburan tanah air bukannya sebagai penyanyi, bakat yang dianugerahkan kepadanya selaku pemain gitar handalan, cukup membuatkan dirinya mendapat publisiti daripada pelbagai media.

Sedar atau tidak, pemilik nama sebenar Abdul Rahman Mahmood itu sudah pun bertapak dalam arena muzik tanah air selama 30 tahun, satu tempoh masa yang amat panjang.

Mula mencipta nama selaku pemain gitar utama kumpulan Lefthanded sekitar tahun 90-an, Man Keedal boleh dianggap jaguh gitar tempatan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan dia juga dikenali di persada antarabangsa.

Atas faktor itu, sebuah syarikat pengeluar cenderahati, Broadway Acres Sdn. Bhd. (BASB) mengeluarkan pelbagai jenis barangan untuk dijadikan cenderamata buat peminat Man Keedal.

Paling menarik, wajah Man Keedal turut diabadikan dalam satu bentuk cenderamata yang dinamakan Celebrityducks, sejenis cenderamata yang tinggi permintaannya di Amerika Syarikat (AS).

Berharga RM49.00 untuk setiap unit, cenderamata yang menampilkan wajah Man Keedal dengan paruh itik itu dilihat cukup unik untuk dijadikan koleksi peribadi bagi peminatnya.

Ketua Pegawai Operasi (COO) BASB, Zailan Razak yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini memberitahu, Celebrityducks hanya akan dihasilkan buat artis – artis tertentu sahaja berdasarkan pencapaian mereka dalam apa jua bidang.

‘Celebrityducks merupakan patung getah yang badannya menyerupai seekor itik. Akan tetapi, kepala itik itu akan menyamai wajah artis yang terpilih.

‘Untuk menambah keunikan hadiah itu, mulut selebriti itu juga akan ditukar kepada paruh itik.

‘Tidak kira apa jua bidang, asalkan individu itu dikenali dan bergelar selebriti, dia layak untuk dipilih bagi menghasilkan Celebrityducks menyerupainya,’ jelas Zailan secara terperinci mengenai hadiah unik dan menarik itu.

Tambah Zailan, selebriti Malaysia yang pertama menghasilkan Celebrityducks ialah anggota kumpulan Bunkface kerana kejayaan yang dilakar mereka walaupun baru setahun dua bergelar artis.

Katanya lagi, setelah berbincang dengan Man Keedal, bintang rock itu setuju untuk bekerjasama dengan BASB bagi mengeluarkan produk tersebut sebanyak 2,000 unit.

Zailan yang juga bekas pensyarah muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, Man Keedal begitu istimewa buat industri seni Malaysia terutamanya dalam bidang muzik.

‘Kehebatannya memang tiada tolok bandingannya. Maka, peminat tidak perlu hairan mengapa BASB memilih Man Keedal untuk mengeluarkan itik unik itu.

‘Selain itu, kami turut mengeluarkan kemeja-T, cawan dan pelbagai jenis barangan lain lagi untuk dijadikan cenderamata,’ ujar COO syarikat yang merupakan satu-satunya pengeluar cenderamata eksklusif Raja Pop, Michael Jackson di Malaysia itu.

Tuah Man Keedal

Sementara itu, ketika bertanyakan pemilihan artis berusia 47 tahun itu, Man Keedal cuma menadahkan tangan tanda syukurnya kerana diberi penghargaan sebegitu.

Menurut anak jati Johor itu, tidak ada syarikat lain yang pernah menawarkan tawaran sebegitu kepadanya sejak 30 tahun penglibatannya di persada muzik tanah air.

‘Ia adalah penghormatan begitu tinggi yang pernah saya terima buat masa ini. Selain boleh dijadikan barangan koleksi buat peminat saya, sedikit sebanyak ia memberi pendapatan sampingan kepada saya dengan perolehan royalti hasil jualan produk tersebut.

‘Saya pun sudah berusia. Saya tidak pasti selama mana saya boleh bertahan dalam bidang ini. Jadi, dengan penjualan barangan cenderamata ini, ia turut menyokong sumber kewangan saya kelak.

‘Buat masa ini, saya telah menyatakan persetujuan untuk penghasilan Celebrityducks sebanyak 2,000 unit. Jika permintaan bertambah, saya akan terus bekerjasama dengan BASB,’ katanya yang baru sahaja pulang dari menjelajah beberapa buah negara seperti Jerman, Russia, Thailand dan Jakarta untuk memenuhi undangan bermain muzik.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan seninya, Man Keedal kini sedang menumpukan kerjasamanya dengan beberapa artis luar negara untuk menjayakan persembahan pentas selain melebarkan rangkaian sosialnya.

Terbaru, awal tahun hadapan dia akan berangkat ke Brunei untuk beraksi dalam persembahan mini bersama artis-artis rock di sana.

Man Keedal turut memberitahu, dia juga ada terlibat dalam pembikinan sebuah lagu bersama kumpulan dari Indonesia untuk dimuatkan dalam album terbaru mereka.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: