Potensi Filem Adaptasi

28 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR


HARRY Potter yang mengutip berbilion ringgit merupakan kisah yang diangkat dari novel.

PELBAGAI cerita dan mesej termasuklah yang berunsur propaganda boleh diserapkan menerusi filem. Bahan-bahan yang diangkat ke layar perak itu biasanya berdasarkan cerita-cerita asal yang diungkap menerusi skrip.

Bagaimanapun, banyak juga sumber penceritaan di filem yang dikembangkan jalan ceritanya daripada novel, buku cerita-cerita rakyat dan komik. Ini adalah senario biasa apabila naskhah-naskhah itu dijadikan sebagai suatu medium yang menghubungkannya ke dunia filem.

Jika di Barat, terutamanya di Hollywood, banyak novel penulis tersohor barat tidak disia-siakan dan diangkat serta dikembang-luaskan melalui filem.

Contohnya, Charles Dicken menerusi novelnya seperti Oliver Twist (1837) telah banyak kali diangkat sama ada menerusi layar perak atau kaca. Biarpun novelnya itu berusia lebih 100 tahun tetapi ia masih relevan dan menarik untuk difilemkan sehingga kini.

Watak-watak adisatria seperti Batman, Spider-Man dan Superman pula merupakan karekter-karekter popular daripada komik yang telah banyak kali dipindahkan plot serta penceritaannya di layar perak.

Menurut pengkritik filem, A Wahab Hamzah, 50, trend adaptasi daripada novel ke filem atau daripada naskhah-naskhah lain sudah lama berlaku walau di mana-mana juga dunia perfileman termasuklah di negara ini.

Ia termasuklah dalam dunia perfileman Melayu pada era tahun 1940-an menerusi filem Cinta Gadis Rimba arahan Datuk L. Krishnan di mana Allahyarham S. Romainoor merupakan salah seorang pelakonnya.

“Malah, sebelum itu pun sudah ada proses adaptasi daripada cerita-cerita penglipur lara yang diangkat ke filem. Contohnya, filem Si Tanggang, Badang, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Batu Belah Batu Bertangkup yang difilemkan suatu ketika dulu.

“Cuma masalahnya, sejauh manakah proses itu dilakukan secara menyeluruh. Atau cuma sedikit sahaja idea yang diambil daripada naskhah-naskhah asalnya,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Adaptasi Novel Ke Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama DBP baru-baru ini.

Pengarah filem dan drama, Mior Hashim Manap, 56, berkata, terdapat banyak novel berpotensi di negara ini yang boleh diangkat ke filem.

Jika tidak katanya, sampai bila-bila pun nilai-nilai pemikiran dan falsafah yang ada dalam novel tidak akan dikupas secara lebih luas.

“Kita ada banyak novel hebat seperti Hujan Pagi karya A. Samad Said dan Pantai Harapan tulisan Arenawati.

“Sayangnya tiada siapa pun yang ambil peduli cerita-cerita di sebalik karya-karya itu. Jauh sekali membuat kajian atau menterjemahkannya ke dalam medium perfileman,” katanya.

Mungkin kesedaran ke arah itu agak tipis kerana penerbit mahupun pengarah lebih terarah untuk menerbitkan karya-karya popular berbanding membuat kajian serta perhatian terhadap karya-karya berat yang biasanya terkandung dalam novel.

Mior Hashim sendiri melalui pengalaman tersebut apabila usahanya untuk mengangkat novel popular berjudul Warkah Cinta Berbau Syurga nukilan A. Ubaidillah Alias terhenti di tengah jalan kerana kurangnya sokongan semua pihak.

“Siapa kata novel yang menampilkan isu berat tidak boleh diangkat ke layar perak dan menjadi sebuah produk komersial?

“Semua itu memerlukan kajian di mana pengarah atau penulis skrip harus mengkaji nilai-nilai yang ada di dalam sesebuah novel bagi disesuaikan dalam filem.

“Contohnya, filem Ayat-Ayat Cinta yang pernah popular di Indonesia juga diadaptasi daripada novel bertemakan keislaman. Tetapi apabila ia digarap semula dalam medium filem ia diberi suntikan komersial agar mampu menarik minat para penonton terutamanya remaja,” jelasnya.

Proses adaptasi daripada novel yang biasanya berteraskan kepada tiga pendekatan iaitu adaptasi penuh, diilhamkan (inspired by) dan didasarkan (based on) boleh digunapakai bagi melakukan proses tersebut.

Bukannya tidak ada novel yang diangkat ke filem di mana contohnya, novel tulisan Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad bertajuk Ranjau Sepanjang Jalan pernah difilemkan pada tahun 1980-an.

Sebaliknya, ramai yang lebih cenderung memilih trend budaya popular yang berlaku pada hari ini seperti gejala mat rempit sebagai bahan penceritaan ringan dalam filem bagi meraih kutipan tiket yang tinggi.

Sedangkan terlalu banyak novel berkualiti dan telah mencatat jualan ratusan ribu unit terbiar lesu di rak-rak buku perpustakaan mahupun di stor DBP sejak sekian lama.

Novel Bukan Puteri Lindungan Bulan karya Liana Afiera Malik yang dicetak lebih 100,000 unit antara sekian banyak karya penulisan yang boleh diangkat ke filem.

Adalah menjadi suatu kerugian apabila novel-novel popular seperti itu dibiar tanpa dikembangkan nilai pemikirannya.

Sepatutnya novel yang mempunyai ramai pembaca mampu menarik golongan pembacanya ke pawagam apabila difilemkan.

Senario yang berlaku sekarang ialah bukan sahaja penerbit atau pengarah tidak mempunyai niat untuk memfilemkan novel itu, malangnya ramai antara mereka tidak tahu pun akan kewujudan karya-karya hebat tersebut.

Salah satu puncanya ialah budaya membaca di kalangan rakyat negara ini yang masih rendah.

Untuk mengangkat novel-novel ke layar perak ia tentunya pendekatan yang kurang popular, sama tidak popularnya bahan-bahan bacaan itu sendiri di kalangan rakyat negara ini.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: