Prospek Filem Adaptasi Cerah

28 Dec


Animasi Avatar antara kisah adaptasi antarabangsa yang cukup menarik perhatian penonton.

CERITA-cerita adaptasi daripada novel yang dikembangkan di layar perak jarang merugikan para penerbit filem kerana ia berasaskan jalan cerita dan sambutan menggalakkan daripada karya-karya asalnya.

Ini kerana, biasanya proses adaptasi hanya mengangkat novel-novel atau bahan-bahan tulisan lain yang telah terbukti mempunyai nilai pemikiran, gaya artistik dan jalan cerita yang tersendiri untuk diangkat ke dunia filem.

Paling ketara melalui banyak novel yang diangkat ke filem di Hollywood sejak tahun 1950-an seperti filem Gone With The Wind (1957), The Godfather (1972), Titanic (1997), Harry Potter (2001) dan The Lord of the Rings (2002).

Titanic arahan James Cameron misalnya, merupakan filem kedua terlaris di dunia dengan kutipan tiket AS$1.8 bilion (RM3.2 bilion) selepas filem Avatar juga arahan pengarah yang sama dengan kutipan AS$2.7 bilion (RM6.2 bilion)

Ia dibuktikan juga melalui dunia perfileman Melayu yang mengadaptasi daripada novel hingga mencatat sambutan luar biasa daripada segi kutipan tiket selepas ia ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.

Filem Lagenda Budak Setan yang diadaptasi daripada novel tulisan Ahadiat Akashah yang ditayangkan di pawagam Jun lalu mengaut kutipan tiket RM4.28 juta misalnya, bukti adaptasi novel ke filem mampu memberi pulangan yang baik.

Ia merupakan filem Melayu terbaru yang mencatat kejayaan membanggakan berdasarkan populariti dan kejayaan novel itu yang mendapat sambutan hangat para pembaca sewaktu ia diterbitkan pada pertengahan tahun 1990-an.

Selain filem yang diadaptasi daripada novel, komik juga banyak yang dijadikan sasaran para penerbit bagi mengangkat serta dikembangkan lagi karakter-karakternya seperti Batman yang diterbitkan dalam filem The Dark Night.

Filem terbaru watak Batman itu yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh dunia pada tahun 2008 itu berjaya mengutip kutipan tiket sebanyak AS$1 bilion (RM3 bilion) sebagai antara yang berjaya dalam adaptasi komik ke filem.

Meskipun statistik banyak membuktikan filem-filem yang diadaptasi jarang mengecewakan tetapi tidak semua pengarah berani menggunakan pendekatan itu kerana adakalanya ia mempunyai risiko yang besar.

Pengarah filem, Kamal Ishak, 54, berkata, dia contohnya pernah menolak tawaran mengarahkan filem adaptasi daripada buku tokoh agama terkenal Kelantan, Tok Kenali kerana menganggapnya sebuah naskhah yang besar.

“Selepas membuat kajian selama bertahun-tahun saya dapati naskhah Tok Kenali amat besar. Sebab itu, saya tolak tawaran mengarahkan filem dengan kos hampir RM15 juta kerana tidak sanggup memikul tanggungjawab tersebut.

“Saya tidak mahulah di kemudian hari nanti anak cucu Tok Kenali menyalahkan saya kalau apa yang saya cuba angkat kisahnya di filem tetapi ia tidak kesampaian. Biarlah saya mengarah filem filem yang saya mampu sahaja,” katannya.

Pendirian pengarah filem Cinta Kita (1997) dan Penyair Malam (1998) itu ada kebenarannya kerana terlalu payah baginya untuk menggambarkan watak seorang tokoh hebat seperti Tok Kenali di atas layar skrin.

Selain berdepan dengan isu agama, kepercayaan dan persepsi masyarakat, Kamal lebih suka menggunakan pendekatan mengadaptasi karya-karya novel sedia ada termasuklah novel popular sedia ada.

Beliau antaranya mengadaptasi novel karya isterinya Wan Noor Wan Chik yang berjudul Ombak untuk dijadikan drama TV, Ombak Itu yang diterbitkan oleh Nur TV Production.

Tidak dinafikan trend adaptasi daripada novel atau komik memang sudah lama dilakukan dalam dunia perfileman tanah air seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang mengadaptasi komik Datuk Lat berjudul Mat Som.

Sayangnya trend itu belum menular dengan meluas dalam industri perfileman tanah air kerana ada di kalangan penerbit filem yang mengambil langkah berhati-hati agar proses adaptasi itu mampu dikomersialkan dan diterima ramai.

Filem Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin terbitan Infiniti Production yang menelan kos mencecah RM20 juta dan ditayangkan pada tahun 2004 hanya mampu mengutip kutipan tiket sekitar tidak sampai RM3 juta.

Justeru, dalam hal ini perancangan teliti, promosi dan kaedah-kaedah pengembangan jalan cerita dan watak-watak dalam filem adaptasi amat penting bagi memastikan filem-filem dalam genre ini terus mendapat sambutan para penonton.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: