Saya Buat Drama Ini Kerana Allah – Murali

28 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


DR. RAIS Yatim menyampaikan trofi kepada Kabir Bhatia (tiga dari kiri) atas kejayaan drama arahannya, Nur Kasih pada ASK 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BIARPUN Sebelum Akhirat bukan Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010), tetapi pengarahnya, Murali Abdullah telah mengungguli kategori Pengarah Terbaik Drama anugerah itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Sebelum Akhirat turut memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama yang dimenangi oleh Fauzi Nawawi dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama iaitu Fadillah Mansor.

Selaku pengarah Sebelum Akhirat, Murali bersyukur kerana niatnya untuk mengingatkan para penonton terhadap Allah telah berjaya memukau para penonton, sekali gus para juri anugerah tersebut.

“Saya buat (arahkan) drama ini kerana cintakan Allah,” kata mualaf yang memeluk Islam pada 1995 itu sewaktu sidang akhbar selepas menjulang trofi Pengarah Terbaik Drama ASK 2010 pada malam tersebut.

Sebelum Akhirat merupakan kejayaan kedua buat pengarah keturunan India itu di mana sebelum ini dia juga pernah memenangi anugerah yang sama pada ASK 2008 melalui drama Suara Saleha.

Biarpun sarat dengan unsur pengajaran, namun pengarah berasal dari Alor Setar, Kedah ini tidak menafikan dia berdepan dengan cabaran dalam usahanya mengangkat Sebelum Akhirat supaya ia dapat dihayati semua pihak.

Antaranya soal rating penonton dan berdepan dengan potongan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) saat mengarahkan drama itu yang akhirnya berbalas dengan kemenangan besar.

“Sewaktu mengarahkan drama ini, saya harus berfikir tentang banyak perkara, contohnya soal adegan yang boleh dan tidak boleh dibuat. Jadi saya kena kreatif mengarah bagi mengelakkan perkara-perkara itu.

“Misalnya ada satu adegan membabitkan pelakon Fauzi Nawawi yang matanya digigit lipan di mana ia telah dipotong oleh LPF. Mungkin ada sensitif atau kurang sesuai adegan itu, tetapi itu adalah pengorbanan dan dedikasi Fauzi,” ujarnya.

Pengarah berusia 47 tahun ini menganggap kejayaan Sebelum Akhirat paling manis dalam kerjayanya sebagai pengarah sejak 12 tahun lalu di mana kejayaan itu menyuntik semangat serta keyakinan lebih tinggi dalam dirinya.

Malah, dia menyifatkan kejayaannya pada ASK 2010 itu berbaloi selepas kira-kira 20 tahun merantau dari Alor Setar ke Kuala Lumpur (KL) semata-mata mahu terbabit dalam bidang pengarahan.

Selain mengarah drama, Murali juga akan mengarahkan filem keduanya berjudul Hantu Air selepas mengarahkan filem Aku Kaya The Movie beberapa tahun lalu biarpun sambutan filem itu kurang menggalakkan.

Keseronokan kedua Fauzi

Fauzi Nawawi yang menguatkan jalan cerita Sebelum Akhirat tidak menghairankan banyak pihak apabila dia memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama kerana penghayatan dan komitmen jitunya.

Suami pelakon Lisdawati itu menganggap kemenangan itu sebagai ‘keseronokan’ kedua selepas anak hasil perkahwinan pertamanya, Nurul Hainil Fatihah yang belajar di Sekolah Menengah Agama Kerian, Kedah mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.

“Saya anggap kejayaan anak saya itu sebagai hadiah atas kegagalan rumahtangga saya yang dulu. Saya bangga dengan karier saya kerana dapat memberi pendidikan yang sempurna buat anak-anak saya,” kata Fauzi.

Antara Garisan yang muncul Drama Terbaik ASK 2010 mungkin boleh bersandarkan kemenangannya mengetepikan Sebelum Akhirat selepas menggondol kategori Lakon TV Terbaik yang dimenangi oleh Shahrul Ezad Mohameddin.

Menurut Shahrul Ezad, dia bersyukur kerana jalan cerita drama hasil ideanya yang ringkas tetapi penuh dengan unsur nasihat itu, berjaya menggenggam trofi pada anugerah berprestij tersebut.

“Sebenarnya, ini adalah tahun kesembilan saya bertanding dalam anugerah ini tetapi tidak pernah menang. Kalau boleh saya mahu genapkan tahun ini sebagai tahun ke-10 saya tidak menang. Tetapi tahun ini saya menang pula.

“Mungkin Antara Garisan mempunyai kekuatan tersendiri walaupun idea yang saya ketengahkan ringkas sahaja.

“Saya cuma mahu memberi tahu kepada para penonton bahawa biarlah kita jadi diri kita sendiri. Jangan kita jadi macam hakim yang menilai atau menghukum orang lain. Ini kerana, itu semua adalah kerja Tuhan.

“Ada ustaz cakap kalau kita kutuk orang jahat mungkin ia boleh bertukar tempat. Orang yang kita kutuk itu akan naik darjatnya dan kita pula mungkin akan berada di tempatnya. Apa pun dalam baik ada buruk dan dalam buruk ada baiknya,” katanya.

Jika Fauzi Nawawi meraih kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama untuk Sebelum Akhirat, Noorkhiriah pula menggunakan bakatnya bagi mengangkat Antara Garisan hingga memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Jelasnya yang kini sedang mengandung anak kedua, dia menggunakan segala kemampuannya melakonkan pelbagai adegan liar dalam Antara Garisan meskipun ketika itu dia sedang sarat mengandung.

“Dalam drama itu saya kena hisap rokok walaupun ketika itu saya sedang mengandung.

“Setelah 10 tahun menjadi pelakon, ini adalah pencapaian terbaik saya selepas memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama melalui Nek Kiah pada ASK2007.

“Semua ini kerana izin suami dan keluarga yang banyak menyokong. Ini bukti kejayaan saya untuk anak cucu saya nanti. Saya akan berehat berlakon sehingga Mac tahun 2011 iaitu selepas saya melahirkan anak kedua saya ini,” ujarnya.

Isma Yusoof yang pertama kali memenangi anugerah dalam ASK pula tidak menduga akan mengungguli kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama menerusi Antara Garisan.

Katanya, kerjasama para krew penerbitan dan komen-komen di akhbar banyak memberi semangat kepadanya untuk terus aktif dalam bidang lakonan.

“Cuma selepas ini saya mahu dikenali bukan sebagai Isma Yusoof lagi sebaliknya nama baru saya ialah Azma Aizal Yusoof. Saya pun sudah mula menggunakan nama itu sebagai nama komersial saya baru-baru ini,” katanya.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: