'Harris Si Hantu Pentas'

29 Dec

MALAM gemilang buat Nor Harris Alif Rashidi atau Harris. Menepati ramalan ramai, si cilik berusia 11 tahun yang sinonim dengan imej rock ini memecah dominasi wanita pada Idola Kecil 1 dan 2 apabila berjaya menjuarai Idola Kecil 3 yang disiarkan secara langsung menerusi TV9, jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

Penuh sesak dalam Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, dibanjiri peminat setia program nyanyian kanak-kanak paling popular ini. Tidak melepaskan kesempatan hadir, tentunya kaum keluarga serta penyokong lima peserta yang melayakkan diri ke peringkat final.

Harris yang menyampaikan lagu baru, Sampai Ke Bulan ciptaan Rumie Booty dan lirik Tisya serta Drama King yang dipopularkan Meet Uncle Hussain, menerima wang tunai RM10,000 sumbangan TV9, trofi Idola Kecil 3 dan sijil penyertaan.

Puteri Aszfaryna Khareeza atau Puteri, 12, dari Kuala Lumpur yang menyanyikan lagu baru, Kata Mama (Alfa Booty/Ad Samad) serta Mencari Konkluksi nyanyian Hujan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Manakala Nor Balqis Ahmad Tajuddin atau Balqis, 11, dari Terengganu yang menyampaikan lagu Noktah Cinta nyanyian Hafiz dan lagu baru, Pertama dan Kedua (Alfa/Tisya) mendapat tempat ketiga dan menerima RM3,000 trofi dan sijil penyertaan.

Deraian air mata mengiringi pengumuman kemenangan Harris yang dibuat secara gimik dengan menampilkan ibunya di pentas. Perasaan syahdu ini dikongsi penyokongnya di dalam studio.

Mengulas kemenangan itu, si cilik yang petah berkata-kata ini memberitahu sifat yakin diri yang ada padanya membawa kejayaan. Biarpun menyedari saingan begitu sengit, dia melakukan yang terbaik dan menyerahkan nasib pada rezeki. Dia mahu membalas jasa ibu bapanya dan berhasrat menyimpan wang yang diraih untuk masa depan.

“Perasaan yakin diri sentiasa ada setiap kali saya menyanyi. Saya tak tahu ini rezeki saya dan terharu rasanya apabila jadi juara. Tak dinafikan semua peserta memang hebat dan saya harap mereka tak putus asa mencuba lagi selepas ini. Saya nak menyanyi pelbagai genre lagu dan tak terikat dengan rock saja lepas ini.

“Tahun lalu saya menjuarai program Bintang Kecil di RTM. Dengan kemenangan di Idola Kecil, saya tak akan masuk lagi pertandingan menyanyi kerana mahu beri peluang orang lain. Lagipun saya akan ambil UPSR tahun depan. Jadi saya nak fokus pelajaran,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Puteri pula berpuas hati menduduki tempat kedua. Katanya, sejak awal pertandingan, Harris sudah menunjukkan kehebatannya dan mampu bergelar juara.

“Syukur kerana saya tetap dapat nombor dua. Awal-awal lagi saya sudah lihat Harris adalah pesaing paling kuat. Bagaimanapun, saya tetap berikan saingan dan buat yang terbaik. Alhamdulillah, saya berjaya juga,” katanya yang dilihat bagaikan bayangan penyanyi Alyah.

Penerbit eksekutif, Kamarul Zamli Ramly dan penerbit Idola Kecil, Nurul Ashikin Halim, berpuas hati dengan kualiti ditunjukkan semua peserta dan merancang pelbagai agenda selanjutnya. Namun, mereka tetap berpandukan kepada akta kanak-kanak bawah umur yang dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, baru-baru ini.

“Kami ikut segala prosedur ditetapkan kerana tak mahu disalah anggap mengeksploitasi mereka. Segala aktiviti akan dibuat dengan persetujuan ibu bapa mereka. Malah untuk malam ini kami mohon permit dengan pihak berwajib,” kata mereka.

Sementara itu, Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin berkata, Idola Kecil 3 mencatatkan rating paling baik berbanding musim sebelumnya dan menjadi program realiti kedua tertinggi selepas Mentor. Purata penonton sekitar 1.1 hingga 1.3 juta.

“Dengan sambutan hebat ini, kami ada agenda untuk mereka. Kami tak bercadang terbitkan drama khas seperti yang dibuat terhadap peserta Idola Kecil lalu. Kami berhasrat menerbitkan program berkonsep nyanyian dan tarian bagi menyerlahkan lagi bakat mereka,” katanya.

Menyorot konsert akhir Idola Kecil 3, memang aura Harris tidak dinafikan kerana kemunculannya di pentas diiringi sorakan gemuruh penonton.

Persembahan bertenaga dan konsisten setiap minggu menjadikannya calon kegemaran sebagai juara.

“Awak hebat macam hantu pentas. Pitching bagus. Kalau boleh kakak nak anak macam Harris. Dalam ‘twitt’ ramai yang puji Harris. Malam ini buat kali pertama kakak bagi 10 markah,” antara kata-kata juri tetap, Atilia.

Kemantapan vokal dan persembahan Harris turut mendapat pujian komposer Adnan Abu Hassan yang menjadi juri jemputan. Persembahan Puteri juga tidak kurang hebatnya. Namun dia akur terpaksa mengalah dengan kehebatan Harris. Secara umum, setiap peserta menampilkan persembahan menarik menjadikan konsert final itu begitu menghiburkan.

Dua lagi peserta final, Abdul Hadi Mazlan atau Hadi, 11, dari Kuala Lumpur yang menyampaikan lagu Pelita nyanyian A.P.I dan Maafkan Ku Terlewat (Delly/Ayeos) dan Shazlin Salamat atau Shazlin, 12, dari Sarawak yang menyanyikan lagu Dunia Khayalan (Badrul Stellar/Brika Amri) serta Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir menerima saguhati RM1,000 dan sijil penyertaan.

Turut menerima saguhati dan sijil ialah 5 peserta yang tersingkir iaitu Nurhamilya Adiba Hamzaidi (Diba, 10), Nadeera Allysha Aminudin (Deera, 11), Farra Noradzlina Safwan (Farra, 10), Muhammad Afif Abdul Halim (Afif, 10) dan Angelica Paujin (Angel, 11).

Semua peserta Idola Kecil 3 ditampilkan dalam lagu pembukaan, Kalau Berpacaran dan Hidup Penuh Semangat dan lagu penutup, Di Akhir Garisan.

Dua juara Idola Kecil musim terdahulu, Wada dari Idola Kecil 1 dan Diana dari Idola Kecil 2 muncul membuat persembahan pada akhir konsert. Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: