Kebahagiaan Dalam Perpisahan

29 Dec

TIADA pasangan yang berkahwin inginkan ikatan sah antara mereka terlerai.

Pastinya, kita semua mengharapkan jodoh itu berkekalan hingga ke akhir hayat.

Namun, apakan daya Tuhan lebih mengetahuinya dan mungkin ada hikmah tersirat.


Sepanjang tahun ini, keruntuhan rumah tangga artis tanah air menjadi tumpuan apabila satu demi satu artis merujuk ‘masalah dalam kelambu’ ke mahkamah.

Mereka terpaksa mengakhirinya dengan perceraian apabila tiada lagi keharmonian dalam rumah tangga dibina.

Sebelum 2010 melabuhkan tirai, perceraian juara program Sehati Berdansa musim ketiga, Sein (Ruffedge) dan Nana menjadi tumpuan kerana tiada gosip mengenai pergolakan rumah tangga mereka.

Perceraian itu juga menambahkan lagi pasangan Sehati Berdansa yang bercerai kerana tahun ini juga pasangan dramatis popular, Anne Ngasri dan suami, Abdul Wafi bercerai talak tiga ketika hamil anak ketiga.

Tiga lagi pasangan lain, pelakon jelita, Dira Abu Zahar dan suami, Ash; pelakon Sabrina Ali dan suami, Mohamad Shahrin serta vokalis kumpulan OAG, Radhi dan isteri, Shazlin.

Turut mengejutkan perceraian, pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura dan suaminya, Adzmin Tan Sri Osman Arof.

Begitu juga pelakon dan pengacara, Maya Karin dengan suaminya, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali Abdullah.

Rumah tangga pengacara Akademi Fantasia musim lapan (AF8), Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy masih menjadi teka-teki apabila perkahwinan yang dibina pada 2 Oktober lalu dikatakan berhadapan bermasalah.

Ikuti rentetan kisah perceraian artis yang berlaku tahun ini. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang. Bahkah, walaupun perceraian dilihat tidak indah, namun pastinya ada kebahagiaan di sebalik perpisahan yang terjadi.

>Maya Karin & Steven @ Muhammad Ali

Tarikh Perkahwinan: 14 Ogos 2008

Sah Bercerai: 16 Julai 2010

Jodoh Bertahan: Hampir 2 tahun

Talak: Satu

PERCINTAAN selama tujuh tahun antara Maya Karin dan bekas suami, Muhammad Ali, nyata tidak mampu dipertahankan mereka dalam ikatan perkahwinan.

Tidak sampai dua tahun, pasangan ini menemui jalan penyelesaian dengan perceraian secara sah pada 16 Julai.

Majlis perkahwinan mereka berlangsung dalam suasana romantis di tepi Tasik Como, Bellagio, Itali manakala resepsi di negara ini diraikan dengan kelainan apabila Maya memilih bersanding di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada 26 Ogos 2008.

Desas-desus pergolakan rumah tangga Maya dan Muhammad Ali, seorang guru matematik di sebuah sekolah antarabangsa di Seri Kembangan mula dikesan pada akhir 2009.

Namun, pada awal Ogos 2010, mereka membuat pengesahan perkahwinan di Mahkamah Rendah Syariah.

Sayangnya. ia masih tidak mampu menyatukan kasih mereka yang pernah terjalin dulu. Datang berasingan di mahkamah, kedua-duanya enggan memberi komen lanjut selepas prosiding perceraian selesai. Kesedihan tetap ada, namun yang pasti mereka lega dengan keputusan itu.

>Radhi (vokalis OAG) & Shazlin Shariff

Tarikh Perkahwinan: 1 Januari 2005

Sah Bercerai: 8 Jun 2010

Jodoh Bertahan: 5 tahun

Anak: Mohd Rifdhi Muslim, 4

Talak: Satu

KES permohonan pengesahan lafaz cerai difailkan, Shazlin, 30, terhadap Radhi, 30, berlaku dalam proses agak panjang di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya sebelum mereka diumumkan sah bercerai pada 8 Jun lalu.

Ini kerana Radhi tidak muncul di mahkamah hingga waran tangkap pernah dikeluarkan kepada Radhi supaya dia hadir ke mahkamah memberikan keterangan.

Hampir setahun juga Shazlin turun naik mahkamah membuat perhitungan menyelesaikan segala masalah yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

Pasangan ini sepakat mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2005 selepas 12 tahun berkenalan. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Rifdhi Muslim, 4.

Pergolakan dalam rumah tangga Radhi dan Shazlin berlaku sejak awal 2009.

Terdahulu, lafaz talak pertama difailkan Shazlin berikutan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) oleh Radhi. Apapun, Radhi pernah membuat pengakuan di mahkamah bahawa dia mungkin berada dalam pengaruh pil tidur ketika menghantar SMS itu kepada Shazlin.

>Nasriah Ngasri (Anne) & Abdul Wafi

Tarikh Perkahwinan: 26 Mei 2006

Sah Bercerai: 25 Jun 2010

Jodoh Bertahan: 4 tahun

Talak: Tiga

Anak: Abdul Warits, 4 tahun, Abdul Wafri, 2 tahun, Nazhara Afroza, 1 bulan lebih

HATI wanita mana tak luluh apabila dia diceraikan dengan talak tiga. Namun, itulah nasib dan ketentuan hidup yang harus diterima dramatis jelita, Anne Ngasri.

Pada usia masih muda, 26 tahun, Anne harus tabah dan kuatkan semangatnya membesarkan tiga anak.

Bahkan, lebih memilukan hati perceraian itu berlaku tatkala Anne hamil anak ketiga, hasil perkongsian hidupnya dengan Abdul Wafi, 28.

Namun, akur dengan suratan takdir Anne juga selamat melahirkan anak perempuan tunggalnya, Nazhara Afroza, sebulan lalu.

Walau sudah tidak tinggal bersama, itu tidak bermakna Abdul Wafi boleh melepaskan tanggungjawabnya. Anne juga pernah mengeluarkan kenyataan kepada media, sekalipun sudah bercerai, tetapi dia dan bekas suami masih berhubungan baik demi anak-anak.

Anne juga berkata nafkah tetap diberikan Abdul Wafi dan dia seorang bapa bertanggungjawab. Bahkan, jika Anne sibuk di lokasi penggambaran, tanggungjawab menjaga anak-anak digalas bekas suami. Bagi Anne, tiada apa yang harus ditangisinya lagi.

>Sabrina Ali & Mohamad Shahrin

Tarikh Perkahwinan: 21 Mei 2006

Sah Bercerai: 2 Jun 2010

Jodoh Bertahan: 4 tahun

Talak: Satu

Anak: Ariyana, 2 tahun

SABRINA, 30 dan bekas suami, Mohamad Shahrin, 38, adalah pasangan keenam pernah menyertai program Sehati Berdansa yang akhirnya bercerai.

Sebelum itu, mahligai Asheed (Def Gab C) dan isteri, Sharifah Noor Shima serta Atilia dan Ariff Johan Abdul Aziz musnah.

Apapun, Sabrina yang pernah diminta komennya mengenai perkara itu, memaklumkan dia perlu merahsiakan kisah penceraiannya dan bekas suami demi menghormati keluarga kedua belah pihak.

Meskipun sudah tidak lagi bergelar suami isteri, mereka masih berkawan baik.

Hubungan baik penting bagi mereka demi zuriat hasil perkongsian hidup selama 4 tahun, Ariyana, 2. Apapun, tidak lama selepas perceraian itu, Sabrina turut dikhabarkan sudah menemui cinta baru dengan seorang lelaki yang lebih muda daripada usianya.

Jarak usia ternyata bukan halangan dalam percintaan. Apa yang pasti, dalam hubungan itu wujud persefahaman dan keserasian.

Malah, Sabrina juga tidak berselindung mengenai kekasih hatinya itu kerana mereka sering muncul bersama di majlis berkaitan hiburan.

>Raja Azura & Adzmin

Tarikh Perkahwinan: sekitar Mac 2001

Sah Bercerai: 28 September 2010

Jodoh Bertahan: 9 tahun

Talak: Satu

Anak: Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 5

KRISIS rumah tangga pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin akhirnya membawa kepada perceraian selepas sembilan tahun berkongsi hidup bersama dengan bekas suami, Adzmin Tan Sri Osman, anak mantan Menteri Besar Kedah.

Pasangan yang pernah mendapatkan khidmat kaunseling lebih dulu sebelum disahkan bercerai pada 28 September lalu di sebuah mahkamah syariah di Selangor dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 5.

Raja Azura atau Kak Engku diceraikan dengan talak satu dan proses perceraian yang dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan mereka.

Ketika sidang akhbar bersama media, Raja Azura memaklumkan dia masih sayang bekas suami dan sudi rujuk semula.

Harapannya dalam tempoh edah selama tiga bulan itu, mereka dapat berfikir dengan baik dan kembali hidup bersama semula. Apapun, yang menariknya mengenai

Raja Azura, dia masih mampu bekerja memeriahkah slot Sinar Pagi walaupun ketika itu hatinya diulit pilu.

>Aleeza Kassim & Mohd Fauzi Che Ros

Tarikh Perkahwinan: 16 Julai 2006

Sah Bercerai: 27 Oktober 2010

Jodoh Bertahan: 4 tahun

Talak: Satu

HANYA deraian air mata mengiringi Aleeza, 39, sebaik keluar dari kamar hakim Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya selepas sah bercerai secara baik selepas lebih empat tahun berkongsi hidup dengan bekas suaminya, Mohd Fauzi Che Ros, 45 pada 27 Ok
tober lalu.

Lafaz cerai dibuat Mohd Fauzi itu dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi di dalam kamar hakim itu. Pasangan itu yang hadir bersama, terus memasuki kamar hakim dengan diiringi seorang peguam dan lafaz dibuat 15 minit kemudian.

Peguam Syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan yang mewakili Mohd Fauzi ketika memaklumkan kepada wartawan di luar mahkamah mengesahkan pasangan itu sudah bercerai secara baik.

Katanya, mereka berkahwin secara baik dan mahu proses perceraian dibuat secara aman.

Tanpa sebarang pergaduhan yang memalukan, terbukti Mohd Fauzi seorang yang berhemah kerana memilih jalan yang betul mahu menyelesaikan proses perceraian itu secara baik.

Malah, Aleeza dan bekas suaminya turut berjalan berpegangan tangan walaupun masih menangis.

>Sein (Ruffedge) & Nana

Tarikh Perkahwinan: Sekitar Julai 2006

Sah Bercerai: 8 Disember 2010

Jodoh Bertahan: 4 tahun

Talak: Satu

Anak: Syed Tamriz Al-Qudsy, 3 tahun, Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1 tahun,

SELEPAS Sabrina, pasangan Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein, 27, dan Noor Diyana Muhammad (Nana), 26 menjadi selebriti ketujuh yang bercerai selepas terbabit dalam program Sehati Berdansa.

Malah, pasangan yang memiliki dua anak ini adalah juara musim terakhir dan program itu kini dikenali sebagai Mari Menari.

Selepas prosiding perceraian selesai, mahkamah juga merekodkan persetujuan bersama Nana dan Sein yang timbul daripada perceraian itu meliputi nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian serta hak penjagaan anak mereka, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.

Hak jagaan anak juga diberikan kepada Nana manakala Sein diberi hak melawat dan bermalam selama tiga hari bermula pukul 12 tengah hari Jumaat sehingga 12 tengah hari Isnin atau pada masa-masa munasabah yang dipersetujui bersama seperti bermalam semasa cuti persekolahan.

Ia dibahagi secara rata, begitu juga dengan giliran berhari raya dibuat secara bergilir-gilir dan bertukar setiap tahun. Sein juga akan membayar nafkah sebanyak RM1,000 sebulan, meliputi keperluan harian seperti makan minum, yuran persekolahan dan kelas tambahan.

Sein juga bersetuju untuk menanggung perbelanjaan musim persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 setiap satu untuk setiap seorang anak. Nana pula bersetuju menerima nafkah edah RM500 setiap bulan bagi tiga bulan, RM500 sebagai mutaah dan bayaran dimasukkan ke dalam akaun banknya.

>Dira Abu Zahar & Ash

Tarikh Perkahwinan: 5 Januari 2007

Sah Bercerai: 8 April 2010

Jodoh Bertahan: 3 tahun

Talak: Satu

Anak: Tengku Anggun Deandra, 2 tahun

KISAH perceraian pelakon dan pengacara, Khaidirah Abu Zahar atau Dira, 26 dan suami, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (Ash), 27, diputuskan di Mahkamah Syariah Kajang pada 8 April lalu. Pergolakan rumah tangga pasangan ini berlaku secara diam-diam.

Tidak diperbesarkan dan mereka mengambil pendekatan menjelaskan situasi itu apabila ditanya pihak media. Hasil perkongsian hidup Dira dan Ash, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Tengku Anggun Deandra, 2, yang hak penjagaannya diberikan kepada Dira.

Dira dan Ash juga adalah bekas peserta program Sehati Berdansa. Apapun, Ash dalam kenyatannya memaklumkan dia sendiri yang memfailkan permohonan cerai.

Kata Ash, dia sudah cuba selamatkan rumah tangga dibina itu, tetapi sedar memang sudah tiada jodoh mereka.

Sementara itu, Dira pula menegaskan hubungan perkahwinan mereka sempat bertahan hampir tiga tahun itu terlerai bukan berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Katanya, desas-desus yang digembar-gemburkan itu tidak benar dan semuanya ketentutan takdir.

>Ida Nerina & Sha’arin

Tarikh Perkahwinan: 26 Jun 2006

Sah Bercerai: 13 Disember 2010

Jodoh Bertahan: 4 tahun

Talak: Satu

SEBELUM sah bercerai pada 13 Disember lalu, bekas suami pelakon Ida Nerina, Sha’arin yang diwakili peguam syarie, Hamzah Abdul Latif sebelum ini pernah membuat permohonan pengesahan lafaz cerai kerana mendakwa dia sudah melafazkan cerai terhadap Ida pada 22 September 2009.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa pasangan itu masih sah bergelar suami isteri apabila menolak permohonan pengesahan lafaz cerai yang didakwa berlaku di luar mahkamah selepas Sha’arin gagal untuk membuktikannya dan mereka diperintahkan untuk menjelaskan kos mahkamah.

Namun, kini semuanya sudah berakhir apabila Sha’arin, 40, melafazkan cerai terhadap Ida di hadapan Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi.

Perceraian pasangan ini berlaku selepas kedua-duanya mencapai persetujuan untuk mengakhiri ikatan perkahwinan itu secara baik.

Ida yang diwakili peguam syarie Akbardin Abdul Kader bersetuju menerima nafkah edah RM1,000 sebulan selama tiga bulan dan nafkah mutaah RM10,000 daripada Sha’arin. Dalam tempoh perkahwinan mereka, pasangan ini masih belum dikurniakan cahaya mata.

>Aida Radzwill dan Joe Radzwill

Tarikh Perkahwinan: 6 November 2002

Sah Bercerai: 26 Oktober 2010

Jodoh Bertahan: 8 tahun

Talak: Satu

SELEPAS lapan tahun hidup bersama, pasangan perlakon, Aida Radzwill dan Joe Radzwill disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 26 Oktober 2010. Perceraian dilakukan selepas persetujuan diterima daripada pasangan itu.

Joe, 40, atau nama sebenarnya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwil melafazkan talak terhadap Aida di depan Hakim Syarie Mohd Yusri Kassim sebaik saja beliau membenarkan permohonan Aida, 58, untuk meminda permohonan fasakh yang difailkan sebelum ini kepada perceraian secara baik.

Ketika ditemui media, Joe memaklumkan mereka akan terus bersahabat dan Joe dia turut menjelaskan persetujuan untuk bercerai secara baik diperoleh selepas pulang dari mengerjakan umrah. Sebelum itu, Aida ada memfailkan permohonan fasakh terhadap Joe pada 27 April lalu.

Masih tidak dikurniakan cahaya mata, pasangan itu dilaporkan bernikah di Yala, Selatan Thailand pada 6 November 2002 dan kemudian mengesahkan pernikahan mereka pada 3 September 2009 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Apapun, jodoh diikat terlerai juga.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: