Santai TV Masuk Pasaran

29 Dec

JIKA dahulu, siaran televisyen hanya boleh ditonton menerusi kaca TV yang biasanya diletakkan di rumah, tetapi kini trend itu berubah sama sekali.

Menerusi kemajuan teknologi komunikasi canggih, pelbagai program menarik kini boleh ditonton menerusi telefon bimbit berkonsep tv mobil atau televisyen bergerak yang kini dijual meluas di pasaran. Tidak mahu dianggap tertinggal dalam teknologi, trend kegilaan masyarakat di Korea dan Jepun ini dibawakan pula ke pasaran tempatan oleh Fine Mobile Sdn Bhd yang dibangunkan Kumpulan Eurofine. Bertempat di hadapan ramai pengunjung di The Boulevard, Berjaya Times Square, Bukit Bintang pada 18 Disember lalu, secara rasminya Santai TV dilancarkan Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay.

Hasil daripada promosi yang dilakukan pada hari itu yang menawarkan pakej hanya RM15 untuk menonton ketiga-tiga saluran Mobil TV, Santai TV yang menampilkan tema Gaya Hidup Terkini mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima tempahan awal dari 500 pelanggan. Ia satu langganan berbaloi kerana mengikut pakej asal, pelanggan perlu membayar RM3 sebulan untuk menonton program terbitan tempatan, RM2 untuk mengikuti perkembangan terbaru industri hiburan barat menerusi Hollywood News dan tambahan RM2 lagi menerusi saluran Salacious yang menampilkan paparan drama dari Sepanyol, Perancis dan banyak lagi.

Pengarah Kumpulan Eurofine, Ida Rahayu Md Noor berkata, idea menghasilkan Santai TV sudah wujud sejak 2007 lagi dan mula mengumpul program dan membangunkan teknologi yang sesuai.

Katanya, ia dirancang untuk dilancarkan tahun lalu menerusi dua hingga tiga platform, tetapi terpaksa menunggu kerana faktor teknologi telefon bimbit yang berubah-ubah setiap masa.

“Selepas melihat semua jenis telefon bimbit boleh akses kepada TV mobil, barulah kami berani melancarkannya. “Bagi memastikan kandungan yang ditawarkan sesuai dan berbaloi dengan harga langganan, kami mendapatkan kandungan program dari luar negara seperti Sepanyol, United Kingdom, Perancis dan Bollywood.

“Kami juga menjelajah forum pasaran filem antarabangsa seperti MIPCOM dan MIP TV di Cannes, Perancis dan Hong Kong Film Art bagi mencari filem dan drama pendek yang sesuai. Drama Latin paling banyak diterbitkan dalam bentuk mobil episod (mobisod). Drama lainnya adalah Hindi dan Perancis (dalam bahasa Inggeris). “Untuk Bahasa Melayu, kami sediakan program Malaywood yang menampilkan program berkaitan hiburan semasa dan drama. Drama ini terbitan Eurofine yang sudah ditayangkan di TV dan mencatat rating tinggi, namun dipendekkan dalam durasi 5 minit. Jika masa tayangan sebenar durasinya 30 minit, drama ini dibuat dalam bentuk enam episod.

“Program Hollywood News pula memaparkan berita terkini hiburan di sana, manakala Salacious Street menawarkan cerita remaja popular dari seluruh dunia. Kami mempunyai 200 jam yang meliputi 1,800 program yang boleh ditonton. Pada setiap bulan, 50 jam pengisian baru akan ditambah,” kata Ida yang membangunkan Santai TV dengan kos RM2 juta. Ida menafikan Santai TV hanya menyiarkan drama terbitan Eurofine sahaja. Katanya, mereka juga membuka ruang kepada mana-mana produksi yang berminat untuk menerbitkan drama dalam bentuk mobisod. Dengan membuat pendaftaran menerusi http://www.santai.tv, penonton akan diberikan kata laluan menerusi sistem maklumat pesanan ringkas (SMS) dan boleh menonton di mana saja dan bila-bila masa asalkan telefon mereka mempunyai sistem 3G dan WiFi. Pada pelancaran disempurnakan Pengerusi Kumpulan Eurofine Group, Rina Mohd Harun itu pelbagai acara menarik diadakan antaranya persembahan daripada Dafi dan Man Kidal serta cabutan bertuah untuk pengunjung.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: