Songlap Tampil Isu Jual Bayi

29 Dec

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN


Sam dan Syafie melakonkan watak adik beradik Am dan Ad dalam filem Songlap yang bakal menemui penonton pada tahun depan.

ISU penjualan dan pembuangan bayi bukan lagi perkara baru di kalangan masyarakat tempatan. Ia boleh dianggap serius apatah lagi merupakan salah satunya gejala yang cukup membimbangkan di negara ini.

Memberi tumpuan terhadap gejala tersebut, Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dan Red Films Sdn. Bhd., mempersembahkan filem usahasama, Songlap yang diarahkan oleh pasangan suami isteri, Fariza Azlina Isahak dan Effendee Mazlan.

Ini merupakan projek usahasama kedua GBSB di bawah Primeworks Studios dan Red Films selepas Kami The Movie yang diarahkan oleh pengarah yang sama tiga tahun lalu.

Menampilkan pelakon utama seperti Shaheizy Sam, Syafie Naswip dan Sara Ali, filem yang menelan kos pembikinan RM1.7 juta itu baru sahaja tamat penggambaran tiga minggu lalu di sekitar Kuala Lumpur.

Pelakon lain yang turut menjayakan filem tersebut ialah Omar Abdullah, Rozie Rashid, Lisdawati, Eizlan Yusof, Normah Damanhuri, Berg Lee dan Izzue Islam.

“Tema bukan hanya fokus terhadap penjualan bayi tetapi juga mengetengahkan hubungan kekeluargaan dan akibat pergaulan bebas.

“Tidak hanya sekadar isu yang memaparkan pelbagai mesej yang mendalam, elemen komedi turut diselitkan secara tidak langsung dalam membantu menarik minat penonton kelak,” kata Fariza Azlina.

“Watak yang ada dengan elemen komedi yang diselitkan seboleh mungkin kita tidak mahu nampak ia seperti dibuat-buat dan kita sesuaikan dengan situasi sesebuah babak itu sendiri.

“Biarpun isu pembuangan bayi sangat besar dan serius, namun kita tidak mahu menampakkan jalan cerita itu terlalu serius dengan isu yang difokuskan.

“Pemilihan Sam bukan kerana dia merupakan artis yang mendapat tempat kini tetapi kerana kemampuannya dalam menjayakan watak tersebut. Begitu juga kepercayaan yang diberikan kepada Syafie dan Sara Ali,” kata Effendee pula.

Malah, pemilihan Sam dan Syafie dilakukan kerana jalinan bentuk wajah yang bersesuaian dengan karakter adik-beradik dalam filem tersebut.

“Kami lihat baik Sam dan Syafie masing-masing ada karakter tersendiri dalam menyerlahkan kemampuan mereka sebagai pelakon.

“Melakonkan watak yang agak berat malah ada elemen komedinya yang tersendiri bagi kami sesuatu yang baik kepada pelakon yang ada kerana inilah caranya mereka boleh menyerlahkan kemampuan dan bakat yang ada pada mereka,” katanya.

Bercerita tentang Songlap, ia membawa maksud mengambil sesuatu tanpa kebenaran.

Ia mengisahkan tentang dunia sosial remaja yang mengandung di luar nikah dan jenayah perdagangan bayi yang sering diketengahkan oleh media massa.

Am dan Ad adalah dua beradik yang terlibat dalam jenayah perdagangan bayi yang didalangi oleh wanita bergelar Mama.

Apabila adik kepada rakan baik Ad iaitu Hawa hamil di luar nikah dua beradik itu mula bercanggah pendapat. Ad ingin membantu Hawa keluar dari kancah dosa manakala Am pula ingin terus hidup dalam dunia tersebut.

Apakah yang bakal terjadi selepas itu apabila hidup Ad menjadi tidak tenteram apabila dia dijejaki oleh Pak Din yang tidak putus asa mencari anak perempuannya, Hawa.

Yang pasti, Songlap menjanjikan kelainan tersendiri terutamanya dalam pembawaan emosi setiap watak.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: