Penjenamaan Raudhah

30 Dec

MASIH mengekalkan sasaran penonton TV9 berusia 15 hingga 30 tahun, TV9 terus aktif menerbitkan program lebih menarik, sesuai santapan generasi muda yang menjadi harapan negara.

Baru-baru ini, TV9 melancarkan penjenamaan program agama terbaru, Raudhah yang merangkumi semua program keagamaan di stesen TV itu. Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, berkata untuk penjenamaan baru ini, mereka tidak menambah banyak program baru. “Program agama sedia ada dikemas kini dengan tambahan satu atau dua program baru. Bagaimanapun, TV9 masih mengekalkan sasaran usia penonton itu. Jangan terkejut untuk program Tanyalah Ustaz mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat bandar yang mengemukakan pelbagai kemusykilan agama.

“Kebanyakan program agama di TV9 sangat hebat dan mempunyai pengikut setia yang menarik minat mereka berusia 25 hingga 40 tahun. Corak persembahan juga lebih terkini,” katanya selepas pelancaran Raudhah di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Tambah Sherina, sepanjang minggu mereka menyiarkan program agama dalam tiga waktu iaitu dari jam 7 hingga 10 pagi, 6.30 petang dan 10 hingga 11 malam.

“Pernah juga kami ingin mengubah waktu siaran itu, tetapi menerusi kajian dibuat penonton tidak bersetuju. Mereka sudah biasa dan bimbang dengan perubahan jadual itu akan mengganggu tontonan,” katanya. Dalam pada itu, Sherina menjelaskan pada awal kewujudan TV9, stesen TV itu memang berkonsepkan Islam, namun ketika itu penonton belum dapat menerimanya lalu diubah menjadi sedikit ‘urban’.

“Selepas melihat semakin terbuka minda mereka, barulah kami kembali kepada landasan asal dan alhamdulillah, ‘rating’ penonton untuk semua program agama itu sangat membanggakan dan antara yang tertinggi kalau hendak dibandingkan dengan stesen lain yang turut menyiarkan program keagamaan,” katanya. Sherina juga berpendapat kewujudan TV Al Hijrah akan mewujudkan persaingan sihat di kalangan stesen TV yang banyak menyiarkan program keagamaan dan ia dilihat sangat positif.

“Ia akan membuatkan kami berlumba untuk menghasilkan program terbaik dan penonton juga akan mendapat untungnya,” katanya.

Pelancaran penjenamaan Raudhah itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.

Antara program di bawah ‘payung’ Raudhah ialah Akademi Al-Quran 5 (AQ5), Halaqah, Semanis Kurma, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Usrah dan Safiyya.

AQ yang juga program ‘signature’ TV9 berjaya menarik 1.5 juta penonton. Empat juaranya setakat ini adalah Anuar Hasin, Abdullah Fahmi Che Nor, Fakhrul Radzi Khamaruddin dan Ahmad Tarmizi Ali. Untuk musim baru ini, AQ5 akan mula bersiaran 8 Januari ini yang menampilkan dua hos fasih berbahasa Arab – Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman dan Mohd Zhafran Zainuldin. “Meskipun AQ dikatakan bersaing dengan satu lagi program agama dari stesen TV lain, namun sambutannya tetap hebat. Sewaktu diadakan uji bakat sebulan di seluruh negara, kanak-kanak semuda 10 tahun pun datang. Oleh itu AQ masih relevan dan tidak tergugat,” jelasnya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: