Nama Baru, Semangat Pun Baru

31 Dec

PERSAINGAN sengit daripada band indie yang menguasai pentas seni tempatan tidak langsung menggentarkan kumpulan Sofaz.

Berbekalkan pengalaman selama tujuh tahun dalam industri seni, kumpulan yang dianggotai oleh Shah (gitar utama), Wan (dram), Fairuz (bass), Aremeer (vokalis), Zimi (gitar kedua) dan Rodie (keyboard) ini kembali bangkit memenangi hati peminat.

Masih kekal dengan konsep rock moden, sedikit perubahan dilakukan apabila kumpulan yang popular dengan lagu Bukan Di Sini serta Dan Bila Esok menambahkan perkataan R menjadikan sebutan nama kumpulan mereka Sofazr sempena nama Rodie.

Kumpulan yang sudah meninggalkan Suria Record (SRC) ini muncul dengan album baru, Maaf Dari Hati Mohd Atlas.


Sofazr boleh dikatakan satu penjenamaan semula kerana selain imej segar, mereka juga bergerak di bawah pengurusan Global Record, syarikat rakaman yang baru empat bulan ditubuhkan.


Zarimi Zahari atau Zimi memikul tugas sebagai pengarah urusan bersama rakan kongsi, Mohd Hafiz.

“Kami adalah artis pertama syarikat ini. Mereka pilih Sofazr kerana yakin dengan kredibiliti kami yang berjaya hasilkan beberapa lagu hit. Global Record diuruskan sendiri oleh kami semua dan pembahagian tugas adalah sama rata. Mohd Atlas sebenarnya gabungan idea kami dan seorang lagi rakan. Menerusi kerjasama ini, terhasillah nama indah itu.

“Mungkin ada yang meragui kemampuan kami menguruskan Global Record, namun sepanjang tujuh tahun jadi artis, sudah banyak ilmu yang kami kutip dan pengalaman inilah yang kami gunakan sekarang. Tak salah nak mencuba kerana industri kita pun perlu pelapis untuk terus menggerakkannya. Kita perlu meneroka sesuatu yang baru,” katanya.

Zimi menjelaskan pemilihannya sebagai pengarah urusan bukan dibuat sesuka hati, sebaliknya menerusi persetujuan rakan-rakan lain. Walaupun menganggap jawatan itu agak berat kerana baru berusia 26 tahun, dia berani menyahut cabaran yang diberikan kerana mahu membawa perubahan terhadap karier mereka.

“Pelbagai perasaan bermain dalam fikiran saya. Mungkin mereka nampak saya berjaya jalankan tanggungjawab yang diberikan kerana sebelum ini saya banyak uruskan perkara berkaitan pengurusan Sofazr. Perubahan nama tak bawa kesan pun kerana peminat sudah kenal siapa kami.

“Album terbaru diterbitkan Sofazr sendiri dengan kos RM50,000 akan berada

di pasaran tak lama lagi. Kami hasilkan lagu yang sama berdasarkan konsep lagu Dan Bila Esok kerana peminat menggemarinya. Setiap orang ada cita rasa sendiri kerana ada yang boleh layan lagu rancak dan ada juga yang boleh layan lagu berentak perlahan.

“Prinsip kami dari dulu sangat mudah, biarlah nama Sofazr bertahan dari naik mendadak dan kemudiannya terus hilang. Kami percaya lagu Terasa Di Syurga, Jiwa Kacau, Kenapa Aku Mencintaimu dan Maaf Dari Hati akan diterima baik oleh peminat. Kami bersyukur kerana ada peminat setia dari Singapura dan Brunei, manakala setiap anggota ada pengikut sendiri,” katanya.

Sofazr kini meluaskan lagi karier mereka dalam lakonan apabila berlakon drama Dakwah Muharram yang disiarkan menerusi TV3 baru-baru ini.

Selain itu, Aremeer pula berlakon filem Hello yang diterbitkan Nusan Bakti Sdn Bhd. Mereka juga bercadang menghasilkan drama berkisarkan kumpulan Sofazr selepas ini.

Pengerusi Global Record, Hishan Mohd Kassim berkata, walaupun ada yang menganggap industri nyanyian semakin merosot, pihaknya berani menubuhkan syarikat rakaman ini serta percaya Sofazr ada potensi untuk menaikkan nama syarikatnya.

“Saya ada sedikit pengetahuan dalam seni dan tahu industri nyanyian masih diterima oleh peminat. Mereka diperkenalkan kepada saya oleh Zul Majid. Apabila mendengar lagu-lagu nyanyian Sofazr, saya tertarik hati mengambil mereka jadi artis. Selepas merujuk kepada ramai pihak, mereka berpendapat Sofazr ada peminat tersendiri.

“Kita tak tahu citarasa anak muda zaman sekarang, jadi rujukan itu perlu supaya tak tersilap. Kami ada juga buat uji bakat kumpulan yang popular, tapi nampaknya mereka tak melepasi ujian yang ditetapkan kami dari segi kualiti nyanyian,” katanya ketika ditemui.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: