2011 Pencetus Semangat

1 Jan

TIRAI tahun 2010 kini berlabuh sudah, menjengah pula kita ke Tahun Baru 2011. Pasti pelbagai agenda telah direncanakan bagi mewarnai takwim tahunan yang bakal mencorak aktiviti sepanjang tahun 2011.

Pelbagai kisah suka dan duka anak seni tempatan tidak pernah berkesudahan dan silih berganti mewarnai kanvas perjalanan industri seni negara.

Sekiranya ada perkhabaran buruk yang mencacatkan diari hidup kita sepanjang tahun lalu, biarlah ia dijadikan teladan untuk menjadi insan yang lebih berbakti.

Kini, kehadiran 2011 seharusnya diiringi dengan semangat iltizam yang penuh jitu supaya kisah yang bakal dicatatkan tahun ini menjadi kenangan manis sepanjang hayat.

Bukan hanya peminat seni, malah penggiat seni hiburan tanah air juga turut membuat perancangan agar kerjaya mereka di tahun baru ini memperoleh kejayaan yang lebih membanggakan.

Syamsul teringin arah filem islamik

Ditabalkan sebagai Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) adalah rekod paling cemerlang 2010 yang dicatatkan oleh anak muda bernama Syamsul Yusof ini,

Memasuki lembaran 2011, Syamsul menanam azam yang tinggi untuk mengarahkan sebuah filem yang berkonsepkan islamik tetapi bercirikan komersial.

Anak kepada pengarah jutawan, Datuk Yusof Haslam ini menjelaskan, filem tersebut merupakan antara empat buah filem yang dia harap dapat dilaksanakan pada tahun 2011.

‘Tahun ini saya berjaya mengarahkan tiga buah filem iaitu Evolusi KL Drift 2, Khurafat dan Tomboy.

‘Jadi, tahun depan saya tanamkan semangat untuk tampilkan empat buah filem yang berbeza genrenya termasuklah sebuah filem komedi,’ ujarnya sebagai perancangan tahun 2011.

Syamsul juga berharap, dia dipertemukan dengan insan istimewa yang boleh dijadikan suri di hatinya dan meletakkan sasaran 2012 untuk membina rumah tangganya.

Salina mahu kuruskan badan

Bagi ibu beranak satu ini, Salina Saibi, impak dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM22, membuatkan aktres ini sibuk dengan jadual penggambarannya.

Bagi memenuhi kehendak beberapa watak yang bakal dilakonkan, pelakon utama filem Bohsia – Jangan Pilih Jalan Hitam ini berazam menguruskan badan.

Salina yang sudah memulakan dietnya itu berharap, pada 2011, dia mampu menurunkan berat badannya yang kini 58 kilogram kepada 53 kilogram.

Itu adalah azam 2010 yang akan diteruskannya setelah memasuki tahun 2011. Tahun lalu, dia telah berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak lapan kilogram.

Dalam pada itu, dia juga berhasrat ingin menambah bilangan anak yang menjadi penyeri rumah tangganya yang dibina hampir tiga tahun lalu.

Liyana Jasmay ingin tambah berat badan

Bagi gadis kecil molek bernama Liyana Jasmay ini, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menambahkan berat badannya.

Kata Liyana, tubuhnya terlalu kecil dan kurus. Sebab itulah dia memasang azam sempena 2011 untuk menambahkan berat badannya agar nampak lebih berisi.

‘Saya agak cemburu bila melihat pelakon-pelakon wanita yang sebaya saya lebih besar daripada saya. Maksud saya, badan mereka seimbang.

‘Tidak terlalu kurus atau pun tidak terlalu gemuk. Saya mahukan badan saya dalam keadaan ‘sedang elok’,’ ujar heroin filem Khurafat itu.

Selain itu, Liyana juga berhasrat, industri fesyen yang diceburinya memberikan impak yang baik.

Dia bakal mengeluarkan rangkaian fesyen jenamanya sendiri yang dinamakan LoveJunkie by LJ.

‘Saya berazam agar perniagaan ini dapat membuktikan bahawa saya tidak tersalah memilih langkah,’ tekadnya yang bakal melancarkan produknya itu pada Februari hadapan.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: