Disingkir Kerana Tidak Berdisiplin?

1 Jan

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

SEBAGAI Penerbit rancangan realiti mencari pelakon, Pilih Kasih, Rosyam Nor seorang yang tegas ke atas para pesertanya semata-mata mahu melahirkan pemenang yang benar-benar berbakat pada masa depan.

Sebab itu tidak hairanlah pelakon popular itu tiada pilihan menyingkirkan dua peserta Pilih Kasih iaitu Afiq Meadin serta Leyla Krisya pada minggu ketiga iaitu 25 Disember lalu sewaktu berlangsungnya pertandingan tersebut.

“Afiq Meadin dan Leyla Krisya anda berdua bukan pelakon yang saya cari,” kata Rosyam dengan tegasnya yang secara tidak langsung menyelamatkan Bil Azali, peserta dengan undian terendah pada malam itu.

Jika minggu lalu beliau telah menyingkirkan Fizi Ali, minggu ini memperlihatkan sepasang artis Pilih Kasih dilepaskan daripada pertandingan realiti televisyen itu buat selama-lamanya kerana tidak menunjukkan peningkatan persembahannya.

“Mereka bukan sahaja tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam lakonan tetapi juga mempunyai masalah disiplin,” katanya yang berharap agar para peserta Pilih Kasih yang lain mengambil iktibar daripada keputusan itu.

Pada minggu ketiga pertandingan itu, para peserta Pilih Kasih memperlihatkan persembahan melalui teater bertajuk Tan Tin Tun yang jalan ceritanya digarap oleh Erma Fatima.

Persembahan itu mendapat sambutan hebat para penonton yang berada di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban hingga memikat hati dua juri tetapnya iaitu Prof. Madya Dr. Abu Hassan dan Fauziah Nawi.

“Akhirnya anda semua menghiburkan para penonton. Anda berjaya menonjolkan watak masing-masing dengan penuh perasaan dan menarik,” kata Dr. Abu Hassan sambil Fauziah pula menganggapnya sebagai ‘suatu kegilaan’.

“Saya mahu anda meneruskan kegilaan anda ini dan tunjukkan persembahan yang lebih baik pada minggu yang akan datang. Diharap ia terus lebih hebat dari mereka ini pada minggu-minggu akan datang,” ujarnya.

Pentas Pilih Kasih meneruskan perjalanannya ke minggu ketiga dengan menampilkan lebih banyak peningkatan melalui lakonan gaya seperti bermonolog di mana ia cukup memberangsangkan.

Menerusi pementasan teater Tan Tin Tun itu, para peserta berjaya memukau semua penonton yang menyaksikan persembahan mereka dengan suatu jalan cerita yang menarik serta lakonan yang menyakinkan.

“Akhirnya anda semua menghiburkan seluruh peminat. Ini menunjukkan anda mula serasi antara satu sama lain dan boleh bekerjasama dengan mantap. Bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh,” komen Dr. Abu Hassan.

Minggu ketiga dilihat sebagai minggu yang seimbang buat kesemua peserta Pilih Kasih apabila mereka menerima kritikan yang pedas sewaktu bermonolog khususnya di mana banyak lagi aspek ini yang perlu dipertingkatkan.

“Saya menggagumi kesungguhan Shasha Alkhred tetapi keseluruhannya monolog anda tidak sampai kepada saya dan ia tidak menarik. Tetapi berlainan pula buat Kris Cempaka, gadis yang berasal dari Shah Alam.

“Anda seperti bintang pada malam ini tetapi masih perlukan sedikit penghayatan. Jay Iswazir dan Nur Jannah juga mendapat komen yang baik melalui monolog walaupun mereka kurang sihat pada minggu lalu,” katanya.

Namun, lain pula kisahnya dengan drama dan teater yang ditonjolkan dalam drama bertajuk Wasiat minggu ini yang nampak lebih matang dan berjaya apabila dua juri itu bersetuju ada peningkatan dalam segmen tersebut.

Melalui persembahan teater Tan Tin Tun pula, kedua-dua pengkritik terutamanya Fauziah Nawi sangat terhibur dan dia juga mengharapkan usaha yang lebih baik pada minggu yang akan datang.

“Teruskan ‘kegilaan’ anda ini,” kata Fauziah kepada semua peserta sambil beliau berharap prestasi para peserta Pilih Kasih akan lebih mantap pada minggu hadapan dengan lakonan monolog, drama dan teater yang berbeza-beza.

Kisah Pilih Kasih disiarkan menerusi TV2 ada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 4.30 petang dan siaran ulangannya di saluran Muzik Aktif Astro (saluran 180) pukul 10.30 malam setiap Selasa hingga Sabtu.

Penyingkiran Afiq Meadin dan Leyla Krisya secara tidak langsung juga telah menonjolkan dua pesertanya iaitu Ku Hariz dan Rosana yang dikatakan menjadi pilihan para juri pertandingan tersebut.

Ku Hariz misalnya, masih mengekalkan komen-komen yang positif daripada pihak juri, tetapi mereka tidak terkecuali menerima kritikan bagi mencari kelainan dalam gaya lakonan mereka pada minggu-minggu seterusnya.

Sementara bagi peserta, Rosana Ainudin pula, dia dilihat sangat menyerlah pada malam itu melalui watak Kak Gayah dalam drama Wasiat yang dilakonkannya dan juga watak Puteri Sengkuang melalui teater Tan Tin Tun.

Siapakah pula yang akan disingkirkan malam ini? Untuk mengetahuinya jangan lupa menyaksikansiaran langsung Pentas Pilih Kasih yang akan disiarkan menerusi TV2 mulai pukul 9 malam.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: