ASK 2010 'Malukan' FFM23

2 Jan

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
Foto ISMAIL KAMADIN, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan NOOR ASREKUZAIREY SALIM


Awal Ashari (kiri) dan Vanidah Imran (kanan) dilihat kurang memberi ‘nyawa’ kepada keseluruhan rancangan yang bersiaran langsung di televisyen.

MARUAH filem Muallaf pernah tercalar teruk pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23), baru-baru ini. Semuanya gara-gara filem kontroversi itu tidak tersenarai langsung dalam mana-mana pencalonan kategori filem festival yang dianggap penuh berprestij di negara ini.

Padahal, Muallaf dianggap sebagai antara karya terbaik peninggalan pengarah prolifik negara, allahyarham Yasmin Ahmad.

Muallaf bukan filem terakhir arahan Yasmin, namun filem itu melengkapkan perjalanan seni anak kelahiran Muar, Johor itu sebagai seorang pengarah yang hebat menerusi karya penuh bijak.

Kehebatan Muallaf terserlah apabila pernah memenangi Special Mention Best Asian-Middle Eastern di Film 21st Tokyo International Film Festival.

Yasmin juga terus mendapat pengiktirafan selepas dijulang Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-54 baru-baru ini.

Namun semua kejayaan itu dipandang sebelah mata pada FFM23. Bagaimanapun, Muallaf membuktikan sentimen juri yang mempertikaikan dialog bahasa tidak berjangkit di Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010).

Barisan juri ASK 2010 dilihat lebih berfikiran terbuka dan profesional serta tanpa keraguan mengiktiraf kehebatan Muallaf menerusi tiga kategori.

Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menjadi milik Muallaf selepas hanya memandang sayu kejayaan yang dimiliki oleh warga seni lain di atas pentas FFM23.

Sekali lagi, Muallaf bukan filem terakhir yang diarahkan Yasmin. Namun takdir Ilahi tertulis filem itu memberi kejayaan terakhir buat Yasmin.

Apa lagi di ASK 2011?Tirai ASK 2010 sudah berlabuh. Dalam kecoh bercakap ramalan siapa yang tepat, seperti biasa suara-suara sumbang yang mempertikaikan kemenangan masih wujud.

Malah, tidak kurang yang mengeluh mengenai persembahan yang sedikit membosankan. Perjalanan majlis yang dikatakan berprestij itu sama sahaja seperti ASK lalu. Sajian saban tahun yang tidak ada bezanya.

Kalau ada perubahan pun, cuma ditambah mana yang patut di sana sini. Walhal, anugerah tahunan yang menjadi kebanggaan industri drama dan filem itu bukan lagi berusia setahun jagung.

Memasuki penganjuran kali ke-10, sepatutnya sudah banyak yang boleh diperkasakan kualiti majlis untuk memartabatkan ASK.

Yang pasti, penonton di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan di rumah sudah lama mahukan perubahan, iaitu satu anjakan paradigma yang mampu mencetuskan kejutan.

Malangnya, persembahan yang disajikan termasuk pentas yang disediakan pada ASK 2010 lebih kurang sama sebelum ini.

Kehadiran dua pengacara ‘junior’ bagi satu majlis anugerah besar, Awal Ashaari dan Vanidah Imran belum mampu membuat penonton melekat berikutan kurang serasi dan terlalu bergantung kepada skrip.

Entahlah, tiba-tiba teringat gelagat dua pengacara FFM23, Zizan dan Sharifah Shahirah (bukan Hezri Hashim) yang bijak menceriakan suasana.

Persembahan pembukaan oleh Jaclyn Victor, Adibah Noor dan Noryn Aziz memang menarik namun sudah kerap sangat dihidangkan kepada penonton.

Yang lain pun tiada bezanya kecuali persembahan muzik seperti alunan saksofon oleh Datuk Ahmad Nawab, gesekan biola oleh Genervie Kam dan petikan gitar oleh Hillary Ang menerusi lagu tema filem Nur Kasih, Isabella dan Sabar Menanti.

Persembahan penutup oleh Faizal Tahir pun kurang menjadi. Walaupun daya kreatif boleh dipuji apabila berlari dari luar dewan, ASK 2010 sebenarnya memerlukan impak maksimum untuk acara penutup tirai.

Kalau Pancaindera jadi penganjur, persembahan penutup pasti menjadi milik Search atau Wings kerana aura irama keras dua kumpulan ikon itu masih kuat. Kalau susah sangat panggil sahaja penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza.

Apa lagi yang boleh diharapkan pada ASK 2011? Terserahlah pada setiap individu di TV3 untuk memberi pendapat masing-masing bagaimana majlis tersebut boleh diperkemaskan pada 2011.

Pakaian seksi atau seksa?Seperti diduga, segelintir artis wanita yang berpakaian tidak sopan dan seksi pada ASK 2010 menjadi perbualan hingga mendapat teguran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Barangkali artis wanita itu perlu menilai kata-kata Rais apabila beliau hadir ke majlis itu hanya memberi fokus kepada mutu filem dan drama dipertandingkan.

Beliau tidak menumpukan kepada pakaian setiap artis yang hadir. Justeru elok benar teguran Rais agar Kumpulan Media Prima Bhd. perlu membuat penilaian semula berhubung etika berpakaian dalam majlis anugerah anjurannya.

Pancaindera tidak berminat langsung menyebut nama segelintir artis wanita itu. Bukannya apa, nanti kami dituduh pula akhbar Melayu yang tidak urban dan berfikiran kolot.

Sekadar mengimbau, ada artis wanita menampakkan lurah dada walaupun ditutup dengan kain renda jarang. Fesyen berkemban pula tidak payah lagi diperkatakan. Banyak sangat. Dapat dilihat di mana-mana sahaja pada ASK 2010.

Ada juga yang memakai kain terlalu ketat dan nipis untuk menampakkan ‘aset’ mereka selain membangkitkan ghairah di kalangan kaum lelaki dengan pilihan pakaian warna putih yang jarang.

Bak kata Rais, setiap manusia ingin maju dalam kehidupan tetapi bukan bererti tamadun terutama sebagai orang Melayu dicabuli oleh kelakuan atau cara berpakaian yang tidak senonoh.

Apa pun, Pancaindera mengucap tahniah kepada semua pemenang kerana selain menerima trofi, mereka juga mendapat hadiah lawatan ke Los Angeles, Amerika Syarikat.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: