Bukan Tunjuk Belang – Maher Zain

2 Jan

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto ZAKKI JILAN

KEKECOHAN mengenai kegagalan penyanyi terkenal Lebanon, Maher zain untuk hadir ke studio TV9 baru-baru ini masih lagi berdesing di telinga ribuan peminatnya di Malaysia.

Mana tidaknya, sebagai sebuah nama yang sedang mekar berkembang dan menumpang tuah dalam industri muzik tanah air, Maher juga tidak terkecuali daripada menerima tempias negatif.

Penyanyi yang popular dengan lagu For The Rest Of My Life itu didakwa sudah tidak segan-segan lagi menunjukkan belang sebenarnya hanya kerana gagal menyertai rancangan siaran awal pagi tersebut.

Malah, dek kerana satu kesilapan tersebut, Maher dituduh tidak bijak menjaga hati pihak media dan peminatnya di sini. Sayang sekali jika kedatangan kali keduanya ke negara ini sejak 25 Disember lalu tercemar dengan berita kurang enak sebegini.

Bukan itu sahaja, tidak kurang juga ada yang menganggap Maher sudah pandai tunjuk belang lantaran populariti yang ditempanya sekarang. Benarkah begitu?

Menjawab segala persoalan, penyanyi R&B ini tampil membuka bicara. Menyifatkan segala apa yang berlaku sebagai satu salah faham, kata Maher, dia langsung tidak tahu-menahu mengenai program yang mesti dihadirinya itu.

“Pihak pengurusan saya menyangkakan program siaran langsung tersebut bersiaran pada hari Isnin dan bukannya hari Ahad. Kalau saya tahu berlangsung pada hari tersebut, pastinya saya akan hadir.

“Perkara ini berlaku kerana salah faham, mungkin pihak pengurusan saya sedikit keliru berhubung tarikh yang tepat, ia bukan kerana saya mahu berlagak popular,” katanya.

Menyusun sepuluh jari tanda memohon maaf, Maher juga mengakui sebagai manusia biasa dia tidak dapat lari daripada kesilapan begitu.

“Saya tahu saya telah menghampakan ribuan peminat yang menunggu kemunculan saya di kaca televisyen pada pagi itu, saya mohon maaf atas apa yang berlaku kepada semua pihak,” ujarnya lagi.

Difahamkan kegagalan Maher untuk hadir ke program itu menyebabkan slot temu bual selama 17 minit bersamanya digantikan dengan slot lain sekali gus menimbulkan kesulitan di pihak TV9.

Menyentuh mengenai populariti yang diraihnya kini, pantas tampak serba salah pada raut wajah penyanyi berusia 28 tahun ini.

Bimbang akan ada yang tersalah erti, Maher dalam tutur sopan tidak menolak mahu mengiyakan tanggapan itu.

Kata Maher, apa yang dimilikinya sekarang hanyalah sementara dan ia bila-bila sahaja ia boleh dirampas Allah S.W.T jika dirinya alpa.

“Apa yang saya boleh katakan, saya bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Tuhan. Saya tak rasa populariti merupakan tiket untuk saya berlagak hebat.

“Ya..saya popular kerana dikenali ramai peminat, tetapi jauh di sudut hati sebenarnya saya masih orang biasa.

“Menjadi popular adalah satu cabaran buat saya. Tetapi saya selalu ingatkan diri bahawa apa jua yang saya lakukan dan kerjakan sekarang adalah kerana Allah S.W.T,” ujarnya.

Kejutan buat peminat

Maher akan mengadakan konsert khusus buat para peminatnya di Malaysia pada 25 dan 26 Februari ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. Kata Maher, dia punya banyak kejutan buat semua penyokong tempatan.

Konsert berjudul Maher Zain Live In Concert 2011 Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia itu akan menyaksikan gabungan antara Maher dengan 10 pemuzik profesional bertaraf antarabangsa.

Antara yang akan muncul di pentas dengannya termasuk penyanyi nasyid dari Macedonia, Mesut Kurtis, Irfan Makki dari Kanada serta kumpulan Inteam dari Malaysia.

“Saya teruja untuk kembali sekali lagi di bumi Malaysia yang sudah saya anggap sebagai rumah kedua saya. Lebih bermakna apabila kunjungan saya kali ini disertakan dengan penganjuran konsert pertama saya.

“Buat semua peminat di sini, nantikan kejutan yang akan saya hadiahkan pada konsert itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Maher juga memaklumkan bahawa dia bakal merakamkan lagu berjudul InshaAllah versi Bahasa Melayu tidak lama lagi.

Katanya, ia adalah sebagai sebahagian daripada strateginya untuk terus memenangi hati peminat tempatan yang tidak henti-henti memberi sokongan terhadapnya.

Bakal muncul dengan album kedua yang masih di dalam pembikinan, kata Maher, setakat ini, dia juga masih belum memutuskan sama ada mahu menyelitkan lagu tersebut atau tidak ke dalam album itu kelak.

“Saya pernah merakamkan lagu InsyaAllah dalam bahasa Arab, Perancis, Turki dan Bahasa Inggeris. Rasanya tak salah kalau saya cuba merakamkan lagu ini dalam Bahasa Melayu.

“Sekarang saya masih lagi dalam proses mengumpul lagu. Apa yang pasti lagu itu kelak bukanlah seratus peratus terjemahan daripada lagu asal.

“Liriknya akan diubah sedikit mengikut kesesuaian, namun fokus dan intipati lagu masih sama,” katanya.

Dalam pada itu, harga tiket bagi konsert yang akan berlangsung selama dua hari itu adalah sekitar RM50 hingga RM200. Untuk maklumat lanjut berhubung konsert, layari laman web http://www.inteam.com.my.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: