Jamal Ditaja RM Setengah Juta

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto FATAH SULAIMAN


Amanda Brown membantu Jamal Abdillah mencuba sut yang akan digayakan nanti.

SELAMA lebih tiga dekad menabur keringat menghiburkan orang, siapa sangka Jamal Abdillah masih mampu bertahan hingga hari ini. Cukup panjang perjalanan karier penyanyi ini, tapi dia membuktikan masih unggul dalam kelasnya yang tersendiri.

Kalau disorot kembali suka duka anak kelahiran Perak ini, tidak semuanya indah. Pelbagai ranjau dan onak duri yang telah ditempuhinya menjadikan dia semakin kuat melawan gelora.

Katalah apa sahaja pada dirinya, Jamal tetap Jamal. Suaranya yang cukup digilai ramai itu sentiasa memukau biarpun seringkali mendengar lagu-lagu hits dendangannya.

Tapi kini nama Jamal terpahat dalam ingatan. Dia antara penyanyi yang menjadi pilihan peminat selain berpeluang untuk kembali beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 7 Januari ini.

Konsert J2011 Lagenda itu merupakan penghargaan Jamal buat peminat setianya tak pernah jemu menyokong kerjaya seninya sejak memenangi Bintang RTM pada tahun 1979 lagi.

Paling mengujakan sudah pasti melihatkan senarai penaja yang bersedia di belakang figura ini bila-bila masa sahaja. Kali ini Jamal bertuah apabila label pakaian jenama Mr. Brown sudi menaja pakaian sepanjang konsert solonya nanti.

Bukan calang-calang artis yang bertuah seperti Jamal yang dapat memakai sut mewah berharga ribuan ringgit. Malah, menerusi kerjasama kali pertama ini juga memberikan impak apabila pemilik rangkaian jenama Mr. Brown sudi menaja pakaian berharga lebih RM500,000 sepanjang tahun 2011 ini.

Ini bermakna Jamal akan memakai persalinan rekaan Amanda Brown yang juga merupakan pemilik label yang cukup popular di Denmark ini.

Berpeluang bertemu pujaan Malaysia Khamis lalu, Jamal ternyata teruja dengan tajaan tersebut. Ujarnya tidak ada apa yang mampu membuatkan dia gembira apabila ada pihak yang masih sudi bersamanya hingga hari ini.

“Sudah pasti saya cukup bertuah dan bersyukur atas tajaan yang diberikan oleh Amanda kepada saya. Ini merupakan kerjasama pertama kami yang nampaknya memberikan impak kepada saya.

“Bila dia kata dia sudi untuk menaja pakaian saya sepanjang tahun, itu menambahkan lagi rasa gembira. Saya pasti ramai yang tahu pakaian keluaran Mr. Brown ini cukup eksklusif dan bergaya,” katanya ketika ditemui di Butik Mr. Brown di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Amanda selaku pemilik jenama Mr. Brown turut melahirkan rasa gembira apabila impiannya untuk menabur bakti kepada penyanyi kesayangannya sejak kecil lagi menjadi kenyataan.

“Inilah impian saya nak melihat penyanyi seperti Jamal Abdillah kelihatan elegan dan berkarisma sepanjang dia membuat konsert.

“Kerjasama ini bukan setakat untuk konsert kali ini, tetapi juga pihak kami dah bersetuju untuk menaja sut mewah setiap kali Jamal membuat persembahan sepanjang tahun ini.

“Ini mungkin sebagai tanda terima kasih kami kepada Jamal yang tak pernah jemu-jemu menjadi penghibur berjuta rakyat Malaysia sejak dahulu lagi,” kata Amanda lagi.

DebaranKURANG seminggu sebelum kembali ke petas IB, Jamal cukup gementar apatah lagi konsertnya itu akan menjadi pembuka kalendar IB untuk tahun 2011.

Jelas Jamal, pelbagai persediaan telah diatur bersama dengan barisan pemuzik yang akan mengiringi persembahan empat malam itu.

“Memang saya berdebar memandangkan saya akan menjadi pembuka tirai IB tahun in. Macam-macam persediaan yang telah saya lakukan termasuklah menambahkan lagi kecergasan untuk beraksi.

“Banyak kelainan yang akan saya tampilkan kali ini. Ia memang sedikit berbeza berbanding dengan konsert yang lalu memandangkan pilihan lagu-lagu yang lebih cermat untuk peminat semua.

“Antara pembaharuan yang saya akan lakukan termasuklah menyanyikan semula lagu-lagu lama yang jarang ke udara. Saya juga akan menyanyikan lagu-lagu penyanyi legenda yang cukup popular satu ketika dahulu.

“Kali ini saya menjemput Datuk Dr. Ahmad Nawab untuk bersama-sama saya dalam konsert istimewa ini. Ada lagu baru yang diciptakan olehnya berjudul Suraya. Lagu itu memang dicipta khas untuk konsert kali ini dah akan diperdengarkan kepada peminat pada malam tersebut,” jelas Jamal satu persatu.

Biarpun sudah cukup masak dengan industri hiburan tempatan, ada kala hatinya cukup terusik dengan cakap-cakap orang yang mempertikaikan kemunculan semula dirinya ke pentas bertaraf dunia itu.

Jelas Jamal semua itu bukan satu masalah dah tidak timbul soal berat sebelah dalam kemunculan semulanya itu.

“Melalui syarikat saya, kami menghantar proposal kepada pihak Istana Budaya untuk kembali beraksi. Saya mahu masuk, saya kena usaha. Ini bukan soal berat sebelah seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Saya tak kecewa dengan cakap orang. Tapi kalau boleh biarlah mereka tahu apa yang berlaku,” ungkap Jamal lagi.

Konsert J2011 Lagenda akan berlangsung mulai 7 hingga 10 Januari ini. Tiket-tiket berharga RM85, RM105, RM135, RM255 dan RM305boleh dibeli dengan melayari http://www.ticket2u.biz.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: