Menguak Jendela Baru 2011

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

HARI berganti hari, musim berganti musim akhirnya sinar 2011 sudah menampakkan cahayanya. Biarpun masih terlalu awal untuk menebak apakah yang berlaku sepanjang tahun ini, sudah tentu semuanya mengharapkan cahaya 2011 memancarkan seri menemani gelita.

Bagi anak seni tempatan, inilah masanya untuk mereka memasang azam baru atau setidak-tidaknya menyambung kembali azam yang masih belum tercapai pada tahun lalu.

Jika ada air mata yang tertumpah sepanjang tahun 2010 lalu, biarkan ia terus tersimpan rapi dalam lipatan sejarah. Tidak guna terus berendam air mata sedangkan masa yang pergi tidak menunggu kita.

Insiden putus cinta, saman menyaman, perang dingin, cerai menghias kanvas perjalanan hidup anak seni sepanjang tahun. Ramai juga yang bersorak gembira apabila impian di capai yang mengukuhkan nama mereka di persada seni tanah air.

Ada yang memasang impian untuk menamatkan zaman bujang, mengisi kekosongan hati dan tak kurang juga yang mahu 2011 membuka pintu rezeki seluas-luasnya untuk mereka.

Sudah pasti permulaan tahun baru ini disambut dengan penuh rasa syukur agar perjalanan hidup ini akan diberkati oleh-Nya.

Sebagai permulaan tahun 2011, sudah pasti Pancaindera sendiri mengharapkan lebih banyak kejayaan yang datang kepada industri seni tempatan khususnya. Moga lebih banyak kejayaan manis dicapai oleh insan seni seterusnya memacu kecemerlangan hingga akhirnya.

2011 tahun mencabar

TERHERET dalam kancah kontroversi suku terakhir tahun 2010, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Asmara Ini tidak menafikan 2010 merupakan tahun yang memberikan kesan kepada dirinya.

Kontroversi tentang kolej yang dikatakan bermasalah itu, Fazley yakin semuanya akan berakhir menjelang tahun baru kerana banyak perkara sudah dilaksanakan untuk membersih kembali namanya.

‘Saya tidak mahu ulas pasal kontroversi itu lagi memandangkan ia ada sangkut paut dengan undang-undang. Tapi apa yang boleh saya katakan itu merupakan satu kes yang unik dan teknikal.

‘Tentang tahun baru pula, sudah pasti saya mengharapkan sinar 2011 akan memberikan cahaya yang indah buat saya. Album baru akan muncul sekitar bulan Februari dan sudah ada beberapa program tv yang saya kena sertai.

‘Saya juga sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah di sebuah IPTA tempatan dan sebagai bapa pula saya mengharapkan anak-anak akan membesar dengan sihat. Anak sulung saya akan mula masuk pra sekolah tahun ini,’ kata Fazley lagi.

Nabil hindar kontroversi

KONTROVERSI dan Nabil bagaikan bersatu! Semakin dia lari dari menjadi mangsa kontroversi, semakin banyak kisah-kisah hitam melingkari pelawak, pelakon dan bakal penyanyi ini.

‘Tahun 2010 memang tahun kontroversi saya. Bukan tak sedih dengan apa yang telah berlaku tapi setidak-tidaknya banyak pengajaran yang saya dapat semasa terhimpit dengan kontroversi ini.

‘Sudah pasti untuk tahun baru ini saya mengharapkan yang terbaik buat diri. Tidak ada dalam carta diri saya untuk mencari cinta ataupun menamatkan zaman bujang bagi tahun ini.

‘Biarlah saya bekerja mencari rezeki dan membina nama untuk bekalan diri sendiri. Bukan tak mahu fikir soal cinta tapi rasanya baik saya rehat seketika. Takut nanti terus terhimpit dek kontroversi tak sudah.

‘Kalau ada orang yang masih belum nampak bakat yang ada dalam diri saya, sudah pasti saya mahu orang buka mata. Tengok bakat yang ada dan bukan tengok kontroversi,’ kata Nabil lagi.

Maya Karin cari ketenangan

HIDUP bersendirian ternyata memberikan impak kepada pelakon utama teater Natrah ini. Pelbagai ranjau dan duri terpaksa dilalui sepanjang tahun 2010 termasuklah kes penceraiannya.

Tak cukup dengan itu khabar angin yang bertiup kencang mengatakan dia kini kelihatan intim dengan Yusri Abdul Halim.

‘Kalau boleh tahun ini saya nak cari ketenangan. Dah penah harung cerita yang tak pernah habis, sudah pasti saya mengharapkan tahun baru ini memberikan kelegaan kepada saya. Kalau tidakpun saya mahu jadikan tahun 2011 sebagai tahun untuk saya melancong.

‘Saya juga harap kerjaya saya akan maintain pada tahun 2011 dengan pelbagai perancangan yang telah diatur. Harap-harap saya boleh ke gym dengan lebih kerap untuk jaga stamina saya,’ kata Maya yang akan muncul dengan filem Cun dan Ombak Rindu.

Lisa mahu lebih ‘hijau’

MENCATATKAN kenangan yang cukup manis sepanjang karier lakonannya, Lisa Surihani mahu menjadikan tahun 2011 sebagai tahun yang ‘hijau’ buat dirinya.

‘Saya mahu terlibat dalam pelbagai kempen kesedaran alam sekitar mulai tahun ini. Sebelum ini mungkin saya kurang kesempatan dengan jadual kerja yang cukup padat. Sudah pasti kali ini saya mahu melaksanakan tanggungjawab sosial sebaik mungkin.

‘Kalau dalam lakonan saya mengharapkan agar saya mendapat watak yang benar-benar mencabar diri saya dan lain dari yang lain. Ini memang impian saya untuk tahun 2011.

‘Selain itu saya juga mengidamkan untuk mempunyai rancangan bual bicara sendiri. Sama ada cepat atau lambat,’ kata Lisa yang menjadi artis pertama yang mempunyai lebih sejuta peminat di facebook.

Shaheizy Sam terbaik

RAMAI yang menggelar pelakon ini sebagai Johnny Depp Malaysia dek keberkesanan lakonannya. Bagilah apa sahaja watak, pasti akan dilunaskan oleh Shaheizy Sam dengan jayanya.

‘Saya nak jadi lebih baik dan saya nak jadi jutawan. Hahaha. Saya bangga apabila kemunculan saya dalam industri ini diterima ramai. Ramai yang tahu ada Shaheizy Sam sebagai pelakon.

‘Kalau nak cakap soal puas, memang tak akan puas. Setiap masa saya mahu buat yang terbaik. Saya tak mahu dilihat sama dalam setiap filem.

‘Sebab itu ramai yang lihat lakonan saya dalam filem Ngangkung lain daripada yang lain. Insya-Allah dalam masa akan datang saya akan cuba jadi buat yang lebih baik untuk semua peminat saya,’ katanya lagi.

Tahun kerja keras Erra

MELAYARI kehidupan sebagai anak seni sememangnya memberikan pengalaman yang cukup manis buat Erra Fazira. Masih terhimpit dengan pelbagai gosip yang tak berkesudahan, Erra tahu itu asam garam yang perlu dihadapinya sebagai insan seni.

Tidak mahu terus tunduk dengan cerita kurang enak, Erra mahu menjadikan tahun 2011 ini sebagai tahun untuk dia kembali bekerja dengan lebih keras.

‘Bila masuk tahun baru, banyak impian yang saya pasang. Saya mahu membeli rumah baru dan buat itu dan ini. Aleesya pun dah makin membesar, cukup membuatkan saya tenang.

‘Banyak perancangan yang telah saya fikirkan sebenarnya. Selepas ini saya akan sibuk dengan program Mentor musim terbaru dan akan melahirkan bakat baru.

‘Saya tak mahu melahirkan bakat yang boleh menghibur semata-mata. Kalau boleh biarlah dia berdisiplin dan ada nilai-nilai yang baik sebelum saya perturunkan ilmu yang ada,’ ujar isteri kepada Engku Emran ini lagi.

Mamat Khalid teruja

SEBELUM ini ramai yang membelasah Mamat Khalid gara-gara filem Estet tidak berjaya merangkul kategori Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM23) tahun lalu.

Kemunculan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sedikit sebanyak mengembalikan nama Mamat Khalid ke landasan yang betul apabila filem tersebut berjaya mencecah kutipan lebih RM6 juta.

‘Untuk tahun ini saya akan buat filem yang orang nak tengok! Kita tahu filem-filem sebegini memang mendapat sambutan dan pulangannya cukup baik.

‘Selain itu saya juga nampak tahun ini bakal memunculkan lebih banyak filem tempatan daripada karyawan kita yang sememangnya bagus-bagus belaka.

‘Selain itu saya nak kurangkan merokok sebab harga rokok dah naik,’ kata Mamat berseloroh.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: