Penutup Sempurna Konsert Gemuruh DT

2 Jan

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
Foto AHMAD ZAKKI ZILAN, AMIN FARIJ HASAN dan NOORADZRENE MOHD. NOOR

ARTIS luar negara sudah bersilih ganti mengadakan persembahan di Surf Beach, Sunway Lagoon, Selangor manakala nasib artis tempatan bagai dipinggirkan sebelum ini.

Namun apabila diberi peluang menjadi artis tempatan pertama muncul di sana, kumpulan Search dan Wings tampil membuktikan taring luar biasa yang dimiliki mereka.

Malam minggu lalu, peluang keemasan tiba akhirnya apabila dua ikon kumpulan rock tanah air itu beraksi atas nama Konsert DiGi Live – Gemuruh DT Search & Wings.

Seperti dijangkakan, suasana jalan menuju ke Sunway Lagoon menjadi sesak dan kelam-kabut apabila ribuan peminat setia dua kumpulan itu berduyun ke sana bermula pukul 7 petang.

Pelbagai genap lapisan peminat semuanya dapat dilihat daripada anak kecil hingga ke orang dewasa dan daripada wanita bertudung hingga ke jean ketat.

Biarpun konsert dijanjikan bermula pukul 8.45 malam, ruang hadapan pentas sudah penuh sebelum pukul 8 malam. Bayangkan mereka sanggup berdiri dalam tempoh yang begitu lama hingga ke penghujung konsert.

Jumlah hampir 10,000 penonton yang hadir itu jelas memberi kuasa sakti kepada Search dan Wings. Namun cabaran permulaan disambut oleh Azlan & The Typewriter yang menjadi artis undangan pembuka tirai.

Lan berjaya menyembunyikan keresahan dalam jiwanya bagi membuktikan kehebatan vokalnya yang setanding dengan vokal Amy dan Awie menerusi lagu Intan Ku Kesepian dan Fantasia Bulan Madu.

Kuasa irama kerasMenyanyikan lebih 20 lagu tanpa henti selama dua jam, itulah kehebatan Search dan Wings bagi membuktikan mengapa mereka masih bertahan dalam karier nyanyian tanah air hari ini.

Amy dan Awie jelas tidak hilang fokus. Malah, mereka masih berupaya menonjolkan kekuatan vokalnya seperti zaman bujang dahulu. Kesimpulannya, dua bapa orang ini langsung tidak ‘pancit’.

Malam penuh dingin selepas hujan turun beberapa jam sebelum itu menyaksikan Balada Pemuzik Jalanan, Taming Sari, Romania, Opera Hidup, Paranoid, Emenuelle dan Jerangkung Dalam Almari adalah lagu-lagu yang menghiasi persembahan pemanas badan mereka yang nampak kasual dengan fesyen ringkas – jeans dan kemeja-T.

Persembahan Double Trouble diteruskan lagi dengan lagu-lagu seperti Orang Kita, Bujang Senang dan Sejati selain lagu-lagu pilihan seperti Cakap Orang Muda, Pelesit Kota dan Pawana sebelum lagu Gemuruh benar-benar membuat suasana Surf Beach seperti dilanda guruh kuat.

Apa yang menariknya, langsung tidak tergambar raut kecewa pada wajah peminat setia Search dan Wings itu yang menghabiskan RM70 untuk mengabadikan kenangan indah mereka pada malam itu.

Sebaliknya, mereka begitu sporting menyanyikan lirik lagu-lagu yang sudah melekat dalam minda mereka sambil sesekali menggoyangkan kepala.

Memanaskan lagi suasana malam, Amy dan Awie beralih kepada lagu-lagu medley popular yang menggemakan suasana malam seperti Rozana, Semalam Yang Hangat, Gadisku, Taman Rashidah Utama, Meniti Titian Usang dan Misteri Mimpi Syakila.

Search dan Wings menutup sempurna pentas dengan Rock N Roll Lu Punya Suka dan lagu terakhir, Pasti.

Tamat konsert sekitar pukul 11.30 malam, Search dan Wings membuktikan mereka lulus cemerlang menjayakan Konsert DiGi Live – Gemuruh DT Search & Wings sepanjang tahun ini.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: