Siti Di Alam Fantasi Pamer Kehebatan

2 Jan

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

BERKISAH tentang dunia kanak-kanak, ternyata teater muzikal Siti Di Alam Fantasi mencatatkan sejarah baru bagi Istana Budaya apabila menjadi teater kanak-kanak pertama yang mencatatkan kutipan tiket paling laris.

Dengan kutipan tiket lebih RM200,000 sepanjang tempoh pementasan, ada yang beranggapan teater ini merupakan muzikal kanak-kanak terbaik yang pernah dihasilkan oleh karyawan seni tempatan khususnya.

Cerita mengenai gadis kecil yang bongkak dengan kekayaan dan tidak mahu mendengar nasihat orang sekeliling masih lagi relevan biarpun ia pernah dipentaskan 10 tahun yang lalu.

Kesombongan gadis yang bernama Siti itu tidak lama apabila dia berusaha mencari geliga yang hilang. Dalam perjalanan mencari geliga pelbagai peristiwa yang dilalui oleh Siti bersama Mamat dan Pokok yang akhirnya memberi keinsafan kepada dirinya.

Jika satu dekad yang lalu, teater ini turut mencipta fenomena, kali ini dengan dibarisi wajah-wajah baru, pandangan mata terpaku dengan kemasan lampu pentas yang cukup mengujakan.

Memulakan pementasan pada 22 hingga 31 Disember yang lalu, saban hari Panggung Sari Istana Budaya penuh dengan penonton terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Ternyata Siti Di Alam Fantasi kali ini bukan saja terletak pada kekuatan jalan cerita dan barisan para pelakon semata-mata, tapi dalam aspek teknikal.

Bukan menidakkan produksi lain yang pernah menghasilkan teater kanak-kanak sebegini, tetapi terlihatkan sahaja lampu-lampu di pentas cukup menarik minat penonton yang ada.

Set yang dihidangkan juga cukup kemas dengan perincian kostum pelakon memegang pelbagai watak haiwan seperti lipas, burung bayan, lebah, ulat bulu dan banyak lagi.

Pancaran sinaran laser yang penuh warna-warni menghidupkan lagi suasana pentas menjadikan penonton teruja untuk terus melekat sejak mula sehingga akhir pementasan.

Paling mengujakan apabila melihatkan set dalam laut yang dibina. Terbangnya Ratu Duyung bersama Siti bagaikan melihat mereka berenang di dalam laut.

Bagaikan benar-benar di alam fantasi, semuanya bersatu. Kehebatan pelakon-pelakon yang ada pada sepanjang malam membuatkan Siti Di Alam Fantasi benar-benar hebat.

Liyana Jasmay, Fizo Omar, Vanida Imran dan Johan Raja Lawak mungkin masih terlalu baru dalam pentas teater. Namun kemunculan mereka cukup mencuri perhatian.

Paling membanggakan melihat kelibat Ebby Yus yang cukup matang dalam pentas yang sebegini besar. Ternyata pengalaman yang dimiliki oleh pelakon senior ini mampu mengemudi keseluruhan pentas dengan lawak jenakanya.

Bagi pengarah teater ini, Aminah Rhapor, dia cukup gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peminat teater tempatan sehingga hari terakhir pementasan.

Aminah Rhapor menambah, kekuatan yang ada dalam teater kanak-kanak ini bukan hanya terletak kepada skrip dan pelakon semata-mata, tetapi keseluruhan pentas tersebut.

‘Sejak awal lagi memang saya mahu fokuskan aspek teknikal di samping para pelakon dan naskhah skripnya. Kita mahu tukar pentas IB itu menjadi satu pentas penuh fantasi dengan pancaran lampu yang berwarna-warni.

‘Sebab itu ramai yang memuji aspek teknikal kali ini lebih baik. Kita tidak menggunakan kepakaran orang luar sebaliknya hanya tenaga IB yang kita gunakan kali ini.

‘Sebagai pengarah sudah pasti saya tidak boleh berpuas hati dengan semuanya. Cuma apa yang boleh saya katakan saya cukup lega dengan semuanya. Apa yang kita harapkan benar-benar mencapai matlamat,’ kata pensyarah UITM ini lagi.

Menyusuri arus kemodenan hari ini, sudah tidak banyak naskah kreatif seperti cerita Siti Di Alam Fantasi yang dihasilkan. Mungkin ada yang terlepas pandang bahawasanya naskah sebegini akan hidup sampai bila-bila dan tak akan luput ditelan zaman.

Sambil mengakui kebenaran kata-kata itu, pelbagai perancangan yang telah diatur oleh pihaknya untuk mementaskan teater ini ke luar negara.

‘Memang kami ada menjemput wakil Esplanede Singapura dan wakil stesen televisyen Brunei untuk sama-sama lihat. Kalau boleh memang saya berhajat nak bawa teater ini ke sana.

‘Kalau nak buat filem itu mungkin agak sukar sebab ia memakan belanja yang besar. Ramai yang mahu melihat ia dijadikan seperti filem Alice In The Wonderland tapi rasanya sukar untuk dilaksana.

‘Tapi saya memang mencari kalau-kalau ada stesen televisyen yang berminat untuk menjadikan ia program kanak-kanak. Itu memang impian saya,’ katanya lagi.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: