Archive | Aaron Aziz RSS feed for this section

Pujian Rosyam Lambung Aaron

28 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


WAJAH dan penampilan pelakon lelaki sejati yang memiliki pakej lengkap untuk bergelar hero Melayu.

BUKAN menjadi perkara biasa apabila aktor terkenal, Rosyam Nor memuji lelaki sejati yang kacak. Lucu dan kedengaran abnormal barangkali apabila Rosyam ‘memuja’ seseorang yang sama jantina dengan dirinya. Individu bertuah yang dimaksudkan Rosyam ialah Aaron Aziz.

Kenyataan itu diluahkan sendiri oleh Rosyam semasa berucap bagi melancarkan drama bersiri terbaru produksi miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., iaitu Rahsia Hati di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Hulu Klang Selasa lalu.

“Aaron bakal menjadi pelakon lelaki pelapis yang berjaya suatu hari nanti di negara ini,” demikian ulas Rosyam hingga membuatkan Aaron yang berada di hadapannya bertukar wajah, menjadi malu dan terkesima.

Aaron yang ditemui pada majlis sama bagaimanapun cukup terharu dengan pujian tinggi melangit daripada Rosyam, yang merupakan senior dalam gelanggang seni lakon tanah air.

“Saya terkejut apabila Rosyam memberitahu tentang perkara ini di depan hadirin semasa berucap dalam majlis ini.

“Secara tiba-tiba, saya terus rasa macam satu tanggungjawab yang amat berat untuk saya pikul selepas ini,” ringkas sahaja jawab Aaron yang masih terpinga-pinga dengan kenyataan Rosyam.

Dalam pada itu, Rosyam turut menamakan beberapa pelakon yang dianggapnya boleh terus mencipta kejayaan sebagai pelakon lelaki sejati.

Tiga pelakon terbabit ialah Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak. Pelakon-pelakon itu benar-benar mempunyai kualiti sebagai hero Melayu ditambah dengan kejantanan mereka yang terserlah.


AARON dan Rosyam (tiga dari kanan) bersama karyawan telefilem, Rahsia Hati.

MESRA di samping isteri, Diyana Halik.

Menganggap pujian yang diberikan sebagai berita menggembirakan untuk dirinya, namun Aaron tidak sesekali terbuai dengan pujian yang dilayangkan kepadanya. Itu tekad Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz. Serius kata-katanya.

“Ia menggalakkan saya untuk bekerja lebih kuat dan melakukan yang terbaik pada setiap masa dan keadaan.

“Lantaran itu, saya berikrar untuk tidak mengecewakan harapan Rosyam yang menaruh sepenuh kepercayaan terhadap saya.

“Insya-Allah, jika semua perjalanan seni saya berjalan dengan baik dan bebas daripada sebarang kontroversi, saya rasa tidak mustahil untuk saya mencapai kejayaan kelak,” azam bapa kepada dua orang cahaya mata itu cuba meyakinkan diri.

Jauhi kontroversi memualkan

Ditanya bagaimana jejaka yang berusia 33 tahun itu mampu bertahan dalam dunia seni yang penuh gelora, tanpa menghadapi cerita-cerita sensasi, lekas sahaja balas Aaron.

“Saya tetap dengan cara sendiri dalam melayari karier seni bermula daripada dulu hingga sekarang.

“Saya ada isteri dan anak-anak. Setiap perkara yang ingin saya lakukan terlebih dahulu, saya akan terus fikir dan teringat kepada mereka yang berada di rumah.

“Faktor inilah yang menjauhkan saya daripada terlibat dengan situasi yang meletakkan saya dalam kontroversi,” terang suami kepada Diyana Halik serta bapa kepada Danish Anaqi, 5 dan Dwi Ariana, 3.


AARON memberikan impak lakonan yang tiadatandingannya dalam telefilem, Rahsia Hati.

Lantaran itu, setiap pelawaan lakonan sama ada yang menawarkan bajet tinggi mahupun rendah, tetap diterima oleh Aaron dengan hati terbuka. Alasannya, dia mempunyai perbelanjaan yang harus dilunaskan setiap bulan.

“Banyak bil yang saya kena bayar di Malaysia dan Singapura.

“Oleh itu, saya harus bekerja lebih kuat untuk menyara keluarga,” tambahnya yang dilantik menjadi duta produk kecantikan untuk lelaki oleh L’oreal Paris.

Dalam keadaan bintang Aaron yang semakin bersinar cerah di Malaysia, ia pantas membuatkan teman-teman pelakon di negara kelahirannya punya keinginan untuk mencuba nasib di negara ini.

“Mereka cakap saya sudah terkenal di sini dan ada di antara mereka yang mahu berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan sayap lakonan.

“Saya menyokong niat murni mereka, cuma saya sempat memberikan nasihat agar mereka harus ada niat yang positif terlebih dahulu sebelum memulakan satu-satu perkara.

“Kalau setakat mahu glamor dan meraih kemewahan, maka lebih baik mereka lupakan sahaja angan-angan ini. Ia tidak akan tercapai dengan mudah.

“Saya datang ke sini dengan tujuan untuk memperbaiki mutu lakonan. Popular dan kemasyhuran bukan menjadi agenda utama kepada saya.

“Hakikatnya, saya mahu memberikan kesenangan kepada isteri dan anak-anak saya kerana bidang lakonan merupakan periuk nasi saya,” jawab Aaron yang masih belajar untuk bercakap tanpa ada kedengaran telor bahasa Singapura.

Enggan berlakon teater

Bagi sesetengah pelakon yang bermula di tabir drama atau filem, mereka ada keinginan untuk melibatkan diri pula di pentas teater.

Lain pula hal dengan Aaron yang mengakui belum ada suara hati untuk berlakon dengan produksi teater.

Bukan sombong atau memilih, sebaliknya jiwa Aaron tidak bersesuaian dengan dunia teater yang sifatnya berbeza dengan lakonan dalam drama atau filem.

“Biasanya latihan untuk menjayakan teater mengambil masa yang panjang dan tidak menentu. Terus-terang, saya hanya mampu berikan 10 peratus untuk komitmen latihan yang harus dijalani oleh semua pelakon.

“Saya jenis pelakon yang akan terus menzahirkan perasaan dan watak yang diberikan apabila kamera dipacakkan di lokasi penggambaran.

“Bukan bermakna saya tidak berdisiplin, sebaliknya jika pengarah mula merakamkan babak yang diingini, saya akan berikan seratus-peratus komitmen.

“Saya jenis individu yang tidak suka berlatih secara berulang-ulang kali. Saya lebih suka meluahkan jiwa untuk babak yang sebenar.

“Biarpun begitu, saya tidak boleh cakap sesuka hati kerana mana tahu, mungkin suatu hari nanti saya tergerak hati pula untuk membabitkan diri dalam dunia teater,” sahut Aaron serius.

Sambung kontrak dengan Astro

Bulan Mac lalu, kontrak Aaron sebagai artis residen atau wajah eksklusif di saluran TV berbayar, Astro sudah tamat. Dia mengikat kontrak selama setahun dengan aktres jelita, Erra Fazira.

Tuah nampaknya terus menyebelahi Aaron apabila dia ‘dicintai’ sepenuh hati oleh pihak Astro yang menyambung semula kontraknya hingga tahun depan.

Tersenyum dalam riak penuh kesyukuran. Itu yang dapat diperhatikan apabila perkara tentang penyambungan kontrak dibicarakan kepada Aaron.

Menurutnya, dia bersyukur apabila perjanjian yang memperuntukkan dirinya untuk menghabiskan masa selama 72 jam untuk drama manakala tiga buah telefilem, berjaya disudahkan dengan jayanya.

“Tahun lalu sahaja, saya menghabiskan masa selama sembilan bulan di lokasi penggambaran untuk drama Cinta Gila dan Rahsia Hati.

“Saya risau juga sebab tidak muncul di kaca TV dalam waktu yang panjang, tetapi saya tetap bersyukur kerana dapat menghabiskan tempoh 72 jam untuk drama.

“Saya rasa berbaloi dapat mengikat kontrak dengan Astro. Kini jadual saya lebih bersistematik. Saya tidak perlu lagi lari ke sana ke mari seperti sebelum ini.

“Secara tidak langsung, saya dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap karier lakonan drama atau filem,” akui Aaron gembira.

Dalam pada itu, Aaron sempat meluahkan impiannya untuk berlakon dalam karya yang cukup dinanti-nantikan selama ini.

“Saya tidak kisah ditawarkan watak gelap, tetapi saya tetap mahukan watak yang menyerupai diri sebenar seseorang individu.

“Contohnya watak Robert De Niro sebagai Al Capone. Ia lebih terarah kepada karya berbentuk autobiografi.

“Sudah sekian lama saya inginkan watak sebagai tokoh-tokoh terkenal dan tertentu,” akhiri Aaron yang sedikit terkilan kerana wajahnya dilihat tuan pengarah tidak ‘menyerupai’ rupa orang kampung dan purba sekali gus menjadi halangan untuk Aaron mencipta variasi dalam dunia lakonan.

Kosmo

Advertisements

Pelakon 'Pulaukan' Majlis Rosyam

25 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ROSYAM marah, kecewa dan geram dengan telatah ‘bintang’ dramanya.

BUKAN senang untuk melihat pelakon senior seperti Rosyam Nor, 42, meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya.

Dalam sikapnya yang sentiasa nampak tenang dan gemar bergurau dengan orang di sekelilingnya, baru-baru ini Rosyam melampias rasa amarahnya di depan media pada sidang akhbar drama Rahsia Hati.

Rosyam meluahkan amarah bukan kepada pekerjanya, bukan juga kepada pihak media atau pereka cerita gosip tidak berasas tentang dirinya. Sebaliknya amarah itu terhambur kepada pelakon-pelakon yang membintangi drama terbaru terbitannya, Rahsia Hati.

Keluh-kesah itu dilontarkan setelah dia berpendapat, pelakon terlibat tidak memberi sokongan pada acara pelancaran drama yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang.

Tatkala majlis berlangsung, skrin TV yang disediakan jelas memaparkan wajah-wajah artis hebat yang membintangi drama 40 episod itu. Antaranya ialah Rita Rudaini, Watie Sadali, penyanyi Nurul Wahab dan Ifa Raziah.

Majlis yang sepatutnya dimulakan awal terpaksa ditunda semata-mata menunggu kehadiran pelakon-pelakon berkenaan.

Malangnya, sampai ke sudah, keempat-empat ‘bintang’ itu tidak juga muncul dan majlis Rosyam seolah-olah ‘dipulaukan’ pelakon sendiri.

Sebaliknya pelakon yang hadir hanya Aaron Aziz dan Arash Mohamad, selain pelakon pembantu seperti Rosnah Johari dan Mohd. Azlan Kamiran.

“Saya memang kecewa. Sudahlah tidak datang, mereka langsung tidak beri sebarang alasan kenapa tidak hadir.

“Perkara ini benar-benar membuatkan saya berasa kecewa kerana mereka tidak dapat hadir bagi membantu saya mempromosikan drama Rahsia Hati,” luah Rosyam.

Kepada Rosyam, sidang akhbar cukup penting kerana ia bukan sahaja untuk kebaikan produksi, malah menjadi satu ruang untuk pihak media mendapatkan sumber bagi mempromosikan drama berkenaan secara lebih teratur apabila ia ditayangkan di stesen TV, Astro Prima.

“Sebab itu saya kata majlis ini juga penting untuk para pelakon sendiri untuk promosikan diri mereka kepada pihak media,” katanya.

Kosmo! difahamkan pelakon jelita, Rita Rudaini memang tidak dapat dihubungi oleh pihak produksi, termasuk Rosyam sendiri.

Bagaimanapun kalangan peminat tentunya faham akan keadaan Rita yang kini sedang sarat mengandung dan sudah mengehadkan aktiviti seninya semenjak beberapa bulan lalu. Untuk Rita, dia boleh dimaafkan.

Tetapi bagaimanapun pula dengan artis-artis lain?


MASIH ada penyeri, tiga pelakon lelaki dari kiri, Azlan, Arash dan Aaron ‘menyelamatkan’ sidang akhbar Suhan Movies.

Bukan sahaja memberi teguran kepada pelakon Rahsia Hati, sebaliknya lelaki yang sudah 25 tahun mengabdikan dirinya dalam dunia seni juga menganggap nasihat itu ditujukan kepada keseluruhan anak seni lain.

“Pelakon tidak hanya perlu ada bakat dan paras rupa menawan semata-mata. Sebaliknya mereka juga hendaklah ada etika perhubungan awam yang baik.

“Artis kenalah berdisiplin. Mereka kena datang ke sidang media yang diadakan penerbit untuk pihak media.

“Walaupun ada komitmen lain dan hanya dapat datang lewat ke majlis ini, sekurang-kurangnya tunjukkan muka sudah memadai,” nasihat Rosyam tegas.

Rahsia Hati mengisahkan tentang perbalahan adik-beradik tiri iaitu Syamir lakonan Aaron, Fazlan (Mohd. Azlan Kamiran) dan Nadia (Watie). Salah seorang daripada mereka ada niat buruk untuk mengaut harta keluarga mereka setelah didesak oleh ibunya, Maria (Ifa).

Ia juga memaparkan cinta tiga segi di antara Syamir, Ammar (Arash) dan Kamalia (Rita). Akhirnya Kamalia memilih Syamir sebagai calon suaminya. Mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang dirancangkan oleh Maria.

Selepas kemalangan, Syamir mengalami masalah kesihatan dan merahsiakan perkara sebenar daripada Kamalia. Dia bertindak menjauhkan diri daripada Kamalia hingga mendorong Kamalia berkahwin dengan Ammar.

Drama bersiri itu menjadi projek kedua terbesar produksi Rosyam selepas Dinasti Bilut dengan 80 peratus lokasinya dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, selebihnya di Terengganu.

Ia membabitkan kos berjumlah RM1.6 juta dan memakan masa selama empat bulan setengah untuk diselesaikan.

Rahsia Hati mula ditayangkan pada 23 April lalu, setiap hari Khamis pada pukul 10 malam di saluran Astro Prima.

Kosmo

Mesti Tonton: Moral Di Sebalik Filem Bohsia

25 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Babak liar, berunsur seks papar realiti kehidupan mat rempit

Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam Arahan: Syamsul Yusof Genre: Aksi/Drama Klasifikasi: 18PL Mula Tayangan: 23 April 2009 Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.

KALAU kita boleh menerima filem Fast & Furious: 4 yang sarat dengan aksi ganas, liar, kasar dan elemen lucah, mengapa pula kita menjadi terlalu kritikal dengan filem Bohsia sedangkan kedua-duanya mengangkat tema hampir sama – masalah sosial di kalangan remaja atau belia.

Apakah yang dipaparkan dalam Fast & Furious: 4 tidak akan mempengaruhi generasi muda kita kerana filem itu bercerita pasal aktiviti dadah, lumba haram, merompak dan pergaduhan di antara kumpulan samseng? Malahan filem itu wujud aktiviti bohsia.

Oleh itu, paparan negatif seperti aksi ranjang yang memualkan, gaya hidup bebas, mabuk, gaduh, penggunaan bahasa yang kasar adalah kehidupan realiti yang ingin dipaparkan pengarah muda Syamsul Yusof dalam filem Bohsia; Jangan Pilih Jalan Hitam.

Filem ini terlalu buruk sebab Bohsia ialah filem Melayu, menggunakan latar budaya dan bahasa Melayu. Tapi kalau dilihat daripada aspek negatif ia memang sangat hodoh.

Namun, dalam realiti kehidupan bohsia dan mat rempit adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Mereka memang tidak kenal istilah budi bahasa. Mereka ada bahasanya sendiri untuk berkomunikasi. Perangai atau tingkah laku serta gaya hidup mereka memang tersendiri. Kalau mereka menggunakan bahasa yang baik dengan tingkah laku bersopan santun, tentulah ia bukan cerita bohsia dan mat rempit.

Apabila menonton filem ini, kita harus berfikir bagaimana hendak mendekati mereka. Bagaimana hendak memahami dan mengatasi masalah bohsia dan mat rempit. Adakah wajar kita menyisihkan golongan ini? Patutkah mereka terus dikutuk? Kita dari kalangan ‘orang baik-baik’ sering tidak mempedulikannya menyebabkan golongan itu memilih jalan sendiri untuk mengatasi masalah masing-masing.

Selagi kita mengutuk dan menyumpah seranah, selagi itulah gejala sosial ini tidak akan selesai. Inilah yang hendak diketengahkan Syamsul.

Walaupun filem kedua arahannya dianggap keterlaluan, namun klasifikasi 18PL yang diberikan Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak menghalang filem itu ditonton kecuali kanak-kanak di bawah 18 tahun ke bawah.

Apa yang cuba disampaikan oleh Syamsul mengenai kehidupan sebenar remaja hari ini. Isunya adalah jika tidak dibendung awal ia boleh merebak seperti barah yang boleh memakan diri.

Turut diakui filem ini memaparkan punca yang biasanya terjadi kepada remaja bermula dari rumah di mana pendidikan agama yang kurang dan persekitaran sekeliling tidak sempurna menarik ramai golongan muda terbabit dengan aktiviti kurang sihat.

Syamsul bijak menarik penonton dengan memaparkan pelbagai aksi dan babak dengan yang cepat tanpa menurunkan mood penonton. Setiap babak mempunyai kesinambungan bagi babak seterusnya.

Beberapa pelakon seperti Nabila, Salina, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Nasir Bilal Khan dan Shamsul sendiri berjaya menambat hati penonton dengan lakonan bersahaja dan meninggalkan kesan kepada penonton.

Kisah Bohsia bermula oleh dua remaja Amy dan Tasya yang menjadi mangsa kerakusan kekejaman manusia berhati binatang. Tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga sempurna, Amy dan Tasya terjebak dalam dunia rempit.

Berita Harian

Rosyam Yakin Tarikan Rahsia Hati

24 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Rosyam Nor

ROSYAM NOR mempunyai impiannya sendiri tatkala bersedia menerbitkan drama bersiri Rahsia Hati, yang mula disiarkan Astro Prima semalam. Siri yang ditayangkan selama sejam setiap episod itu diharapkannya untuk mencatat rating yang tinggi, seterusnya mengatasi pencapaian siri lain siaran stesen berbayar berkenaan.

Ketika ini, Mertua Vs Menantu terbitan Metrowealth muncul program dengan rating paling tinggi dalam kategori terbabit.

Rosyam tanpa berselindung berkata, dia berkeyakinan siri yang dibintangi Aaron Aziz, Rita Rudaini, Arash Mohamad, Ifa Raziah, Watie Sadali, Hafizzuddin Fadzil, Azlan Kamiran, Rosnah Johari dan Nurul Abdul Wahab itu mampu meraih perhatian penonton, bukan hanya kerana jalan ceritanya, malah dek kehebatan barisan bintangnya.

“Apabila menerbitkan sesebuah drama, kita tentunya akan lebih berasa gembira apabila ia ditonton orang ramai. Sebagai pelakon juga, kita lebih puas apabila usaha kita ditonton peminat yang ramai,”ῠkata Rosyam pada majlis pelancaran drama berkenaan di Finas, baru-baru ini.

Bukan hanya mementingkan jalan cerita, bahkan Rosyam turut mengaku agak cerewet apabila tiba ke bab pemilihan pelakon. Dia tidak mahu projek terbitannya dihiasi pelakon yang menarik semata-mata, tetapi tidak mampu memberikan lakonan yang memberangsangkan.

“Saya juga sentiasa mencari pelakon yang berbakat dan berdisiplin. Pelakon yang tidak berdisiplin akan hanya menyusahkan pihak produksi. Biarlah berbakat macam mana sekali pun, jika pelakon itu tidak mempunyai disiplin yang baik, saya tidak akan menerimanya beraksi dalam projek terbitan Suhan Movies,” katanya.

Begitu juga dia berhati-hati dalam pemilihan skrip, bagi memastikan drama keluarannya sentiasa menerima sambutan baik. Antara penulis yang tidak asing di sisi projek terbitan Suhan Movies ialah Sharifah Abu Salem. Rahsia Hati ialah satu lagu naskhah tulis penulis wanita terbabit, yang juga novelis terkenal tanah air.

Penulis itu juga bakal menghasilkan skrip filem Kekasih, yang akan menggunakan bakat baru daripada program realiti Pilih Kasih terbitan Rosyam sendiri sebagai pelakonnya.

“Cerita-cerita tulisan Sharifah tidak pernah mengecewakan saya. Selalunya, apabila saya menggunakan khidmat penulis ini bagi sesebuah penerbitan saya, ia mendapat perhatian ramai penonton,” ujar Rosyam yang membelanjakan kira-kira RM1.6 juta bagi menghasilkan drama bersiri ini.

Menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu, siri berkenaan memakan masa hampir lima bulan untuk disiapkan, apabila memulakan rakamannya pada Jun tahun lalu.

Antara lain, Rahsia Hati mengisahkan bagaimana Datuk Azmi berdepan masalah syarikat yang membabitkan anaknya, Syamir serta tirinya, Fazlan. Fazlan ialah anak kepada Maria, yang mahu mengaut harta suaminya.

Pada masa yang sama, Syamir berkenalan dengan Kamilia, rakan sekerja kawannya, Ammar. Masing-masing saling menyukai, tetapi tidak meluahkan rasa yang terbuku di hati. Kamilia hanya mencurahkan perasaan sebenar apabila Syamir hampir ‘berkahwin’ dengan ibunya, Normah, seorang ibu tunggal.

Begitupun, percintaan kedua-duanya penuh liku apabila Maria muncul sebagai penghalang. Kebahagiaan yang mula dirasa hancur dek kehitaman hati wanita terbabit. Bagi mengikuti kesudahan cerita arahan Amie Maziah yang menyayat hati ini, jangan ketinggalan menonton Rahsia Hati yang disiarkan setiap Khamis, menerusi Astro Prima.

Berita Harian

Dengarnya…: Sukar Cari Pelakon Lelaki Sejati

23 Apr

BUKAN sekali dua Cik Normah dengar fasal industri perfileman tempatan kekurangan pelakon lelaki pelapis yang mantap. Ramai juga produser dan pelakon veteran yang bercakap mengenai hal ini.

Cik Normah pun turut perasan, sukarnya hendak mencari pengganti kepada pelakon utama lelaki sedia ada. Sebab itu, tidak lama dulu, kebanyakan filem tempatan dikuasai sesetengah nama saja seperti Rosyam Nor dan Awie. Kini, muncul pula pelakon seperti Que Haidar, Farid Kamil dan Awal Ashaari.

Bilangan pelakon memanglah ramai, tetapi hendak cari yang benar-benar jantan, bak kata Rosyam, memang agak susah. Tetapi, Cik Normah dengar, dia sempat menamakan beberapa pelakon yang dianggapnya boleh terus maju sebagai pelakon lelaki sejati. Tiga pelakon terbabit ialah Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak.

Khabarnya, tiga pelakon ini antara aktor yang benar-benar mempunyai kualiti hero Melayu. Pacak saja kamera di sudut mana sekali pun, kejantanan mereka terserlah. Jadi, tak payahlah kru hendak guna tipu helah itu dan ini untuk menampakkan kelelakian pelakon tadi.

Iyalah, badan masing-masing pun tegap, ditambah paras rupa yang kacak, tentulah kamera pun seronok merakam aksi pelakon ini. Mereka pun bukanlah pelakon ‘kayu’. Maknanya, masing-masing boleh beraksi dengan baik di depan kamera. Sebab itulah juga masing-masing menjadi nama yang disebut-sebut di kalangan produser.

Namun Cik Normah dengar, Rosyam masih belum berpuas hati dengan hanya beberapa nama yang ada. Sebab itulah dia terbitkan rancangan Pilih Kasih, yang bakal disiarkan TV2 tidak lama lagi.

Khabarnya, dia hendak cari lebih ramai pelakon yang mantap, disertai dengan pakej menarik. Katanya, kalau sekadar cantik dan kacak, tetapi tak boleh berlakon, hendak buat apa? Agaknya, lebih baik jadi model saja.

Berita Harian

Terima Lamaran Rio

20 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Cari keserasian dalam persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana pada 22 April bersama 20 selebriti popular

DALAM keadaan pasaran muzik yang tenat dek kelembapan ekonomi yang melanda seluruh negara hingga ada syarikat rakaman yang terpaksa ‘bungkus’ daripada terus beroperasi dan menjana pendapatan sektor itu, penyanyi berstatus janda, Azharina Azhar tegar untuk meneruskan hasrat mengeluarkan album mini yang diterbitkan syarikat miliknya.

Mengendalikan Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment, dia yang mesra dengan sapaan Nina kini dalam perkiraan untuk melancarkan single sulungnya berjudul Rawan di negara seberang. Bukan omong kosong kerana single itu bakal diedarkan menerusi sebuah syarikat bernama Lima Dua Belas.

Syarikat yang menguruskan beberapa nama besar seperti Rossa itu menjadi pilihan Nina selepas beberapa perbincangan sejak awal Mac lalu. Pertemuan serampang dua mata itu juga memberikan ruang baru kepada Nina apabila penyanyi Rio Febrian menyatakan keinginan untuk berduet.

Sebagai permulaan, Nina dan Rio akan berduet buat julung kalinya menerusi persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana yang menampilkan 20 selebriti lelaki popular pada 22 April ini.

“Nina sendiri tak menyangka yang Rio menyatakan hasrat untuk berduet ketika pertemuan kami di sana. Semuanya masih dalam perancangan dan Nina anggap itu semua bagaikan rezeki terpijak. Nina sedar keadaan pasaran memang mungkin membantutkan hasrat penyanyi untuk membikin album penuh. Pendekatan melahirkan album mini atau menerbitkan single antara pendekatan selamat yang diguna pakai kini.


Azharina dan Rio Febrian

“Tapi Nina sedar setiap usaha yang dilakukan berbalik kepada tuah dan rezeki. Lagipun selepas empat tahun tidak muncul dengan album, Nina berasakan 2009 sebagai permulaan yang baik untuk kembali melancarkan kerjaya nyanyian.

“Untuk projek istimewa di Indonesia itu, judul lagu dan perkataan Rawan akan ditukar kepada perkataan lain. Ini kerana tafsiran rawan di sana membawa maksud yang lain iaitu sebuah daerah yang tidak selamat dan merbahaya. Di Indonesia pun penjualan single lebih cenderung kerana penjualan album penuh tidak mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di Hotel Istana minggu lalu.

Nina lepas geram terhadap lelaki

SELEPAS meledak dengan lagu Rawan ciptaan komposer Hazami, Nina kini mempertaruhkan Rasa ciptaannya sendiri dibantu sepupunya, Keyneed. Selain itu, antara lagu yang bakal diisi di dalam albumnya seperti Hey Lelaki, Primadona, Sakarat dan lagu lama yang diberi nama baru dipetik daripada filem Do Re Mi berjudul Gitar Berbunyi. Istimewa juga sebagai hadiah kepada peminatnya, Nina menyelitkan enam lagu yang sama dalam versi karaoke.

Klip video dihasilkan sendiri menerusi syarikatnya dan ada beberapa lagu yang diilhamkan daripada pengalamannya sendiri, rakan dan pengamatannya dalam menjalani kehidupan. Katanya, ada lagu yang begitu dekat dengan dirinya dan boleh dikaitkan dengan orang lain.

“Lagu itu adalah karya yang dihasilkan berdasarkan apa yang dirasa. Ia sekadar lagu yang mungkin kebetulan dirasai orang lain, yang mungkin mengalami perkara yang sama. Lagu Hey Lelaki contohnya saya bawakan dalam versi hip hop dan berkemungkinan akan menampilkan kolaborasi dengan Mimi daripada One Nation Emcees. Lagu itu lebih kepada arah sinikal terhadap golongan lelaki dan lepas geram. Lagu Primadona pula Nina tujukan kepada semua insan yang bergelar lelaki yang pernah mendekati diri ini,” katanya.

Ungkapnya lagi, album mini itu didedikasikan kepada bekas suaminya seorang usahawan, Datuk Shukri Mohamed. Biarpun sudah berpisah sejak Februari tahun lalu, hubungan mereka masih erat seperti tiada apa yang terjadi. Malah, Nina memberitahu tahun lalu dia, bekas suami dan pekerjanya ada makan malam pada 26 Jun tahun lalu.

Mengakui kecewa dengan perpisahan yang berlaku, Nina sendiri tidak menyangka persahabatan yang terjalin selama sembilan tahun dan tiga tahun untuk ikatan perkahwinan berakhir tanpa diduga. Enggan terus dihimpit kenangan lalu, Nina menjelaskan belum bersedia mencari pengganti, malahan cukup bahagia melewati kehidupan bersendiri.

“Dia (Datuk) sendiri bertanya kenapa Nina tidak membikin album. Atas alasan itu, ia membakar semangat Nina untuk muncul setidak-tidaknya dengan album mini. Single Rawan pun sebenarnya membabitkan campur tangannya kerana ia adalah luahan hatinya kepada Nina mengenai apa yang sudah terjadi kepada kami. Apa juga takdir yang sudah tertulis, Nina tetap menghormatinya sebagai sahabat dan rakan kongsi.

“Dugaan hidup menjanda cukup berat dan hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan Nina berdepan dengan cacian, tohmahan dan kritikan orang luar. Bagaimanapun, ia tidak terus menjadi kudis, Nina harus memandang ke depan dan tetap bahagia biar apa juga orang kata. Nina pun tak selalu mengkelaskan diri sebagai janda dan menganggap diri masih solo.

“Kehidupan Nina kini cukup baik, apa lagi yang Nina boleh harapkan selain mendapat rahmat-Nya. Rezeki Nina juga semakin murah dan perniagaan yang dijalankan turut berkembang maju. Mungkin ada rahmat di sebalik apa yang Nina hadapi, ia ibarat azimat yang terus menguatkan Nina menghadapi masa mendatang. Kalau kenang perkara lalu pun tiada guna, buat sakit hati saja,” kata Nina yang belum terbuka pintu hatinya untuk mencari pengganti.

Petikan menarik:

Secara tulus Nina mengatakan yang dia serik untuk berkahwin lagi namun pilihan lelakinya nanti mesti tahu apa yang dituturkan dan cakap serupa apa yang dibikin. Selain itu, lelaki itu mesti jujur dan berpengetahuan agama yang baik.

Tekanan dilahirkan dalam keluarga bermasalah antara punca yang membuatkan penyanyi Elegi Sepi ini terus kuat menghadapi dugaan hidup. Katanya, keruntuhan rumah tangga yang dialami ibu dan bapanya antara sebab dia terus tegar melalui permasalahan yang tidak diundang.

Nina tidak dilahirkan dalam keluarga yang biasa. Usiknya, dia datang dalam keluarga yang cukup luar biasa. Sikap keras kepala dan bermulut lantang diakuinya diwarisi daripada ibu bapanya.

Kalau ada calon kekasih yang meminatinya, Nina mempelawa mana-mana lelaki itu untuk bertemu dulu bekas suaminya. Mungkin juga Nina mahu bekas suaminya merestui siapa pun kemungkinan pilihannya nanti.

Persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana adalah tahun keempat di mana Nina menerima undangan membuat persembahan. Beberapa tahun sebelum ini, Nina pernah menjayakan Minggu Setiausaha di Singapura sekitar 2004 dan pernah membuat persembahan bersama M Nasir di PWTC (2005).

Info Minggu Setiausaha Hotel Istana membabitkan 20 Selebriti Lelaki Popular

Tarikh: 22 April ini

Di mana: Ballroom Grand Mahkota

Masa: 11 pagi hingga 4 petang

Harga sekepala: RM350 dan RM290

Turut mendapat kerjasama Lord’s Tailor

Tiga selebriti Indonesia yang diundang untuk membuat persembahan ialah Rio Febrian, Irwansyah dan Delon (Indonesian Idol)

Turut menampilkan penyanyi seperti Faizal Tahir dan Imran Ajmain sebagai penyedap halwa telinga

Dikendalikan oleh hos popular, AC Mizal, Afdlin Shauki dan Ally Iskandar

Tiga bunga, Azharina, Jaclyn Victor dan juara Bintang Idola Berita Harian, Nazatul Farahin sama-sama membuat persembahan nanti. Azharina dan Jaclyn Victor masing-masing akan berduet dengan Rio Febrian, manakala, Nazatul diberi kesempatan berharga berduet dengan Faizal Tahir. Jaclyn Victor pernah berduet dengan Rio Febrian menerusi album Jaclyn sendiri berjudul Inilah Jac.

Aktor popular tanah air yang sudah mengesahkan kehadiran menyeri majlis ini ialah Samuel Rizal, Didi Riyandi, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli, Fizo Omar.

Satu kelainan pada tahun ini, dengan penampilan artis seberang, iat turut merubah menu makanan yang bakal dihidangkan nanti. Menunya berkonsepkan Makanan Padang Sumatera Barat.

Untuk tempahan tiket, boleh hubungi hotline talian 03-21419988 (sambungan 3667).

Laman sesawang: http://www.hotelistana.com.my

Berita Harian

Watak Mat Rempit Menjadi

20 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
MEMENTINGKAN kesempurnaan, Saheizy Sam Abdul Samad, 26, berasakan aksinya dalam filem sulung lakonannya, Bohsia (Jangan Pilih Jalan Hitam), masih banyak yang boleh diperbaiki.

Lakonan cemerlangnya sebagai Mat Rempit bernama Acai, mendapat pujian sebaik sesi pratonton filem itu di GSC, Midvalley, baru-baru ini. Berperwatakan lemah lembut apabila dia berkata-kata, namun di layar perak, Shaheizy menunjukkan aksi sebaliknya dalam Bohsia, kasar dan sikapnya menyakitkan hati.

Dalam filem itu, Syamsul Yusuf selaku pengarah menggandingkannya dengan Salina Saibi (Amy).

Syamsul (Mus) yang turut berlakon dalam filem itu berpasangan dengan Nabila Huda (Tasya).

“Untuk menghidupkan watak Acai, saya ada kawan di kalangan Mat Rempit. Saya amati perwatakan, gaya dan cara mereka berkomunikasi serta bahasa yang biasa dipakai sesama mereka. Bagaimanapun, saya adunkan watak Acai mengikut cara saya sendiri.

“Meskipun ada yang puji lakonan saya bagus tetapi selepas menonton Bohsia, saya rasa boleh buat lebih bagus dan banyak lagi aksi yang boleh dilakukan.

“Saya sangat mementingkan kesempurnaan. Jadi saya mahu lihat semua hasil kerja saya bagus dan sempurna. Baik berlakon drama atau filem, saya ingin buat yang terbaik untuk penonton. Apatah lagi Bohsia filem sulung lakonan saya dan saya mahu watak Acai itu nampak semula jadi,” katanya.

Tambah Shaheizy, walaupun dia melakonkan watak hitam tetapi dia percaya pasti ada sisi baik pada seseorang itu kerana tiada manusia yang sempurna di sisi Allah.

“Sejahat manapun manusia, tentu ada kebaikan dalam dirinya. Begitu juga apabila orang itu kita nampak baik, siapa tahu dia mempunyai hati yang busuk.

“Pengarah biasa bagi saya watak hitam, namun saya juga suka melakonkan watak baik supaya lakonan saya tidak kelihatan stereotaip. Saya anggap watak baik sebagai satu eksperimen di mana dalam kebaikan watak yang ditonjolkan, ada unsur nakal,” katanya.

 

 

Mengulas lakonannya yang ada sedikit persamaan dengan Zulhuzaimy Marzuki dalam filem Rempit, jelas Shaheizy yang juga adik Zizie Ezzette, selalunya orang jahat digambarkan serius dan jalan mesti ‘berkepak’.

Justeru, dia dan Zulhuzaimy cuba lari daripada perwatakan yang klise seperti itu sehingga penonton menganggap ada persamaan antara mereka berdua.

“Apapun anggapan penonton terhadap persamaan yang mungkin ada di antara saya dan Zulhuzaimy, namun apa yang saya lakukan supaya setiap perlakuan saya dalam Bohsia akan diingati penonton.

Adakala aksi dan tindakan kita lebih memberi kesan daripada dialog yang diucapkan. Saya berharap penonton dapat menerima kemunculan saya dalam filem ini,” katanya.

Melihatkan lakonannya yang cemerlang, ada menyangka dia pernah mendalami ilmu lakonan teater. Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah muncul dalam mana-mana persembahan teater tanah air.

Anak bujang dramatis Khaty Fauziah itu memulakan kerjaya lakonan dalam filem Sama Tapi Tak Serupa pada 1994.

“Ia berlaku secara tidak sengaja apabila saya mengikut Zizie ke lokasi penggambaran filem itu. Dapatlah saya muncul dalam dua babak. Masa itu saya baru berusia 12 tahun.

“Dari situ, bakat lakonan saya semakin berkembang dengan berlakon drama. Saya pelakon yang malu hendak pergi uji bakat, kalau ada tawaran saya pergi.

“Antara watak yang saya diidamkan ialah penghidap autisme, pesakit mental, psiko dan watak perempuan. Sebenarnya, saya teringin hendak mencuba nasib berlakon filem Raja Azmi, Anu Dalam Botol tetapi masalahnya saya malu pergi uji bakat. Pada saya, memainkan watak perempuan sangat menarik kerana berlainan daripada watak lain. Perempuan ini jiwanya lembut,” katanya yang mengakui dia lelaki sejati.

Antara drama yang pernah dilakonkannya, Kasanova XXL, KL Menjerit The Series, Impak Maksima The Series dan Ali Din.

Bohsia adalah filem ketiga arahan Syamsul, terbitan bersama Skop Productions Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Hadir sama pada pratonton filem itu, Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah, penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan pelakon Bohsia, Nabila Huda, Salina Saibi, Aaron Aziz, Lando Nawawi, Yazid Lim dan Adam Corrie.

Filem itu akan memasuki 60 pawagam di seluruh negara pada 23 April ini dan mendapat kelulusan 18PL. Bohsia memaparkan keadaan sosial remaja kini, namun filem itu dibuat bukanlah untuk mengajar penonton tetapi memberi pengajaran jangan terjerumus ke jalan hitam.

Menurut Yusof, tajuk Bohsia itu kedengaran agak kasar, jadi mereka bersetuju menambah sebaris kata ‘Jangan Pilih Jalan Hitam’. Jadi maksudnya tidak keras sangat.

“Tajuk filem itu sendiri menyelitkan pengajaran dan Allah beri kita akal untuk memilih jalan hitam atau putih. Kepada penonton, jangan pandang filem itu dari sudut negatif saja,” katanya.

Syamsul pula berkata, sebagai pembikin filem, sukar untuk berpuas hati dengan setiap hasil kerja kerana dia rasa boleh buat baik lagi. Membuat filem aksi ini juga mengundang cabaran tersendiri apabila berlaku kemalangan di lokasi di Ulu Yam tetapi mujur tidak teruk.

“Yang terbabit dalam kemalangan itu pelakon lagak ngeri. Saya buat yang terbaik untuk filem ini bergantung kepada bajet RM1.5 juta. Harap penonton seronok menonton filem ini dan balik modal. Bolehlah saya buat filem lagi.

“Saya puas hati dengan pelakon yang memainkan watak utama kerana mereka memberi lebih daripada apa yang saya mahu. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Mat Rempit yang jarang dituturkan orang biasa. Tetapi setiap watak dalam filem ini dapat melafazkannya dengan baik kerana usaha mereka sendiri yang banyak melakukan pemerhatian terhadap Mat Rempit dan bohsia. Bahasa yang mereka gunakan memang kasar.

“Barangkali ada yang bertanya-tanya penamat ceritanya agak tergantung tetapi itulah cara saya. Lagipun saya yakin penonton dapat rumuskan sendiri, jika dia melakukan sesuatu kejahatan, itulah jadinya,” katanya.

Salina Saibi yang sedang berpantang selepas kelahiran anak sulungnya berlakon dengan sepenuh hati apabila dia mahu Nasir Bilal Khan yang menjadi bapanya dalam filem itu, memukulnya betul-betul.

“Adegan pukul itu untuk babak akhir Bohsia yang mana selepas dipukul, saya dirogol bapa sendiri. Habis satu badan lebam kerana saya mahu penonton merasakan apa yang saya rasa. Rakaman babak itu dilakukan selama sehari tetapi saya masih tak puas hati, jadi rakaman adegan itu diulang lagi,” katanya.

Nabila pula berkata, paling susah ketika kekasihnya, Syamsul buat ‘wheeling’.

“Saya yang membonceng motosikal itu sangat takut. Sewaktu saya mengangkat tangan ketika motosikal masih bergerak, rasa hendak jatuh tetapi memang seronok berlakon dalam Bohsia kerana Syamsul pengarah muda yang banyak bertolak ansur dan selalu terima pendapat pelakon. Agaknya kerana sama-sama muda, buah fikiran dan kehendak kami untuk memberikan yang terbaik kepada keseluruhan filem itu dapat diterima,” katanya.

Sementara itu, Lando yang juga bekas Mat Rempit berkata, Syamsul banyak bertanya kepadanya mengenai kisah Mat Rempit.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro