Archive | Abby Abadi RSS feed for this section

Memey Elak Temui Norman Di Pejabat

24 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
“DIA (Norman Hakim) memang lelaki yang paling rapat dalam hidup saya buat masa ini. Saya memang tidak berkawan dengan lelaki lain. Tapi, sejauh mana hubungan kami berdua sama ada bercinta atau perancangan untuk berkahwin selepas ini, soalan itu perlu ditanya kepada Norman sendiri.

“Maklumlah, kini orang menyalahkan saya kerana keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Abby Abadi. Sebagai wanita, tidak manis saya yang bercakap lebih-lebih perkara ini, seperti pepatah, ‘Takkanlah perigi pula yang mencari timba,” kata Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21.

Terus terang, kata Memey, dia memang menghadapi tekanan kerana sering ditanya status hubungannya dengan Norman sampai hari ini.

“Bilakah semua ini akan berakhir? Itulah juga perkara pertama yang saya fikirkan setiap kali menghadiri sidang akhbar kerana saya tahu orang akan tanya soalan yang sama juga.

“Saya memang sudah bosan untuk menjawab soalan yang sama tapi nak buat macam mana, ia perkara yang tidak boleh dielakkan. Pihak wartawan hanya buat kerja mereka saja.

“Saya juga terpaksa datang untuk menghadiri sidang media drama lakonan saya kerana ia komitmen yang perlu diberikan sebagai pelakon,” katanya.

Memey berkata, dia mengakui tidak ada kebebasan untuk berjumpa dengan Norman seperti pasangan lain.

“Kami juga tidak boleh berjumpa di pejabat Norman kerana setiap kali saya ke sana, pasti ada orang mengekori dan menunggu di sana.

“Kebebasan saya selama ini terganggu kerana setiap pergerakan sentiasa diperhatikan orang. Saya percaya, orang hanya cari sebab untuk mencari salah saya saja sekarang.

“Setiap kali bertemu Norman di pejabatnya, pasti ada orang sampaikan pada pihak media. Kini, kami terpaksa bertemu di tempat lain supaya tidak dihidu orang lagi. Tapi tempat itu masih tempat awam cuma ada kebebasan sikit di situ,” katanya.

 

 

Justeru, kata Memey, dia berharap perbicaraan kes khalwatnya dengan Norman pada 15 Mei ini juga selesai dengan baik.

“Kalau orang tanya bila saya nak kahwin dengan Norman. Jawapan saya mudah saja. Saya belum fikir soal kahwin lagi kerana usia masih muda, baru 21 tahun. Buat masa ini, fokus saya pada kerjaya seni dulu dan membantu keluarga,” katanya.

Memey ditemui ketika pelancaran drama online terbaru, Gua, Mingguan Lelaki di Solaris Mont Kiara, di sini, baru-baru ini.

Mengenai lakonannya dalam drama Mingguan Lelaki, Memey berkata, ini kali pertama dia berlakon di bawah arahan Aziz M Osman.

“Ketika ditawarkan berlakon dalam drama online, Mingguan Lelaki, saya berasa berdebar dan takut kerana tidak pernah bekerja dengan Aziz sebelum ini.

“Namun, banyak ilmu lakonan yang saya boleh belajar dengannya ketika penggambaran kerana Aziz, pengarah yang kreatif. Sebelum penggambaran sesuatu babak itu, kami perlu berlatih dulu sebelum menjayakan babak sebenar dan begitulah babak seterusnya. Ia bagaikan kelas lakonan bagi saya.

“Watak yang ditawarkan pada saya juga mencabar kerana Farah adalah wanita penggoda. Sebelum ini, saya sering diberikan watak gadis kampung yang baik dan jarang dapat karakter seperti ini.

“Ada tiga babak yang saya perlu ulang banyak kali. Antara babak paling susah ialah episod 7, babak Farah perlu menggoda Ilham (lakonan Fazren Rafi) di ruang tamu,” katanya.

Selain itu, Memey baru selesai penggambaran filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak dan drama untuk RTM, Khatan.

Tidak ketinggalan, dia juga terbabit dalam drama bersiri 62 episod, Roda-Roda Kuala Lumpur terbitan Skop Productions.

“Setakat ini, tawaran berlakon tidak pernah putus tapi saya lebih mementingkan aspek kualiti daripada kuantiti kerana saya ingin orang menilai menerusi hasil kerja,” katanya.

Ditanya, sama ada dia mengelakkan diri daripada bergandingan dengan Norman atau Abby dalam drama, Memey berkata, dia tidak ada masalah untuk bergandingan dengan mereka pada masa depan.

“Saya juga tidak kisah jika bergandingan dengan Norman atau Abby sekalipun kerana sebagai pelakon, saya perlu profesional. Cuma setakat ini, saya belum pernah digandingkan dengan mereka dalam mana-mana projek lagi,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Petua Solekan, Rias Wajah

22 Apr

Rap
JURUSOLEK penting dalam pembentukan imej artis dan selebriti. Malah dengan sentuhan golongan inilah, wajah yang kelihatan biasa pada mulanya bertukar rupa lebih cantik dan berseri.

Jurusolek artis terkenal, Deq Sha akan menurunkan petuanya kepada peminat yang berhasrat memiliki wajah jelita seperti artis pujaan mereka pada Bengkel Cantik Sihat Mak Dara anjuran Mak Dara Sdn Bhd dan Duyong Production.

Melalui bengkel itu, Deq Sga yang berjaya mengubah penampilan Noorul Huda Abdul Wahab (Nurul), Fasha Sandha, Nita dan Rozita Che Wan, akan berkongsi pengalaman menjadi jurusolek profesional yang hebat dan disegani ramai.

Katanya, dalam bengkel itu nanti dia akan mengajar peserta teknik merias wajah secara profesional. Selain memperturunkan petua solekan bagaikan artis, dia juga akan mengajar teknik solekan bergaya semula jadi dan gaya ke pejabat.

Manakala Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib akan memberi tip penjagaan kecantikan dan kesihatan luaran dan dalaman. Petua itu perlu diketahui wanita untuk lebih yakin diri dan berketrampilan.

Dalam segmen Rahsia Kebahagiaan Rumah Tangga Cara Orang Lama, Halimah yang juga bekas Ratu Kebaya 14 kali pada 1970-an akan mengajar teknik senaman dalaman khusus untuk wanita selama sejam.

Halimah juga akan memberi tip menambat hati suami melalui hubungan seksual berkualiti, petua mengelak suami curang dan rahsia tempoh berpantang. Artis wanita popular yang kekal jelita, Abby Abadi akan tampil berkongsi petua kecantikan dengan peserta.

Abby juga akan membuat pendedahan eksklusif. Ibu tunggal anak tiga ini akan berkongsi pengalaman pahit manisnya sepanjang berada di alam rumah tangga. Abby juga memberi tip persediaan wanita berhadapan dengan masalah rumah tangga dan bagaimana mencari kekuatan saat menghadapi masalah.

Bengkel itu akan berlangsung di Kuala Lumpur dan Melaka pada 9 dan 10 Mei ini, jam 9 pagi hingga 5 petang. Mereka yang berminat hubungi Kelly Azman di 012-2707191 untuk tempahan segera. Tempat terhad untuk 100 peserta.

Mereka yang mahu mempelajari gaya hidup sihat dan cantik luar dalam, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Peserta juga berpeluang memenangi tiket melancong dalam negara untuk dua orang, songket tenun Terengganu berharga lebih RM1,000 dan berpeluang diangkat sebagai Ratu Cantik Mak Dara yang akan dipilih melalui acara ini di setiap lokasi.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Abby Kongsi Derita Di Bengkel Mak Dara

20 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ABBY akan tampil berkongsi pengalaman mengharungi hidup dalam Bengkel Bersama Mak Dara pada 25 dan 26 April.

SIAPA yang tidak hancur hatinya apabila rumah tangga yang dibina akhirnya hancur berkecai bak kaca. Begitu jugalah yang dihadapi Abby Abadi apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan sejak kisah rumah tangganya menjadi bualan khalayak.

Bagaimana mahu dipertahankan kalau sudah tertulis jodohnya dengan pelakon Norman Hakim setakat itu saja walaupun ketika kejadian dia sedang sarat mengandung anak ketiga dan dua anak lagi anak kecilnya Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim memerlukan belaian manja, kasih sayang dan perhatiannya.

Tidak mahu terus larut dengan kedukaan yang cukup menyesakkan jiwa dan naluri wanitanya, Abby masih tegar meneruskan cabaran mendatang bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan Norman Hakim beberapa bulan lalu.

Pelakon drama Gerak Khas dan Hikayat Putera Shazlan itu kembali membina harapan baru dan kerjaya lakonannya juga semakin berkembang. Belum surut kisah perpisahannya dengan bekas suami, timbul pula gosip mengenai hubungan Abby dengan seorang pelakon baru, Zoulle.

Katanya, setakat ini dia tidak pernah berbincang mengenai langkah seterusnya dalam perhubungan mereka kerana fokusnya kini adalah untuk meningkatkan kariernya demi anak-anak serta pendidikan mereka.

“Kami tidak pernah bersoal jawab fasal kahwin. Apa yang berlaku kepada saya sebenarnya semakin menguatkan saya. Saya mahu mencari peluang supaya matlamat yang belum tercapai sebelum ini berjaya dicapai. Tumpuan saya sekarang adalah kepada kerjaya dan anak-anak. Syukur bapa mereka semakin menunjukkan sikap tanggungjawabnya sejak akhir-akhir ini. Saya juga lebih suka jika orang bercakap mengenai kerjaya daripada kisah peribadi,” katanya.

Melihat kepada kekuatan Abby mengatur langkah sendirian tanpa lelaki bernama suami pasti ramai terutama wanita yang senasib dengannya dapat berkongsi rasa dengan pelakon itu. Bukan bertindak selaku pakar motivasi tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pendapat, Abby akan tampil dalam Bengkel Bersama Mak Dara iaitu pengasas produk Jamu Mak Dara.

Menurut Abby, dia bersedia berkongsi pengalaman pahit getirnya dengan peserta bengkel itu.

“Selepas apa yang berlaku, saya mendapat semangat luar biasa untuk teruskan hidup. Apa yang berlaku memberi impak besar pada kehidupan dan saya tak akan biarkan diri saya diperkotak-katikkan lagi serta tak mahu lagi menjadi bahan cerita yang tidak sepatutnya.

“Tumpuan kini mencari rezeki untuk anak dan mengembangkan kerjaya ke peringkat lebih tinggi. Saya terharu peminat di Singapura menggelar saya Ratu Drama Malaysia. Dengan apa yang berlaku, saya tidak akan berpaling lagi. Biarlah ia menjadi sejarah dalam hidup ini.

“Kepada wanita di luar sana, jangan mudah putus asa. Anggap saja apa yang terjadi sebagai pemangkin kejayaan untuk masa depan,” kata penuh semangat.

Menseimbangkan apa dialami Abby, Mak Dara atau nama sebenarnya Halimah Shuib, 66, pula akan menitipkan petua rumah tangga bahagia. Ini kerana kebanyakan institusi rumah tangga hari ini tidak sekental ikatan perkahwinan orang lama yang mampu mengekalkan kebahagiaan dalam tempoh yang panjang dan selamanya.

Beliau yang mesra dipanggil ‘ibu’ juga akan berkongsi petua penjagaan kesihatan dalaman dan luaran. Tidak hairan dalam sekelip mata Jamu Mak Dara semakin popular di kalangan wanita hari ini.

Bengkel itu akan diadakan di Shah Alam dan Port Dickson pada 25 dan 26 April ini mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Mereka yang ingin menyertai bengkel itu boleh hubungi Kelly Azman di talian 012-2707191 atau 03-41055088. Pendaftaran berdasarkan siapa cepat kerana tempat dihadkan kepada 100 peserta.

Berita Harian

Depan Mata: Pahit, Manis Dan Kelat Di ABPBH2008

20 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
INSIDEN Nabil peluk buah hati, Irma Hasmie sebaik diumumkan menang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Ahad lalu, antara yang diperkatakan orang sepanjang minggu lalu.

Begitu juga aksi penyanyi Farah Asyikin ketika menyampaikan lagu Hello hingga penonton di Arena Of Stars, Genting Highlands kurang selesa melihat Farah dijulang penari.

Mungkin ia perkara yang tidak disengajakan tapi itulah harga yang harus dibayar apabila mereka terjun ke dunia glamor. Nabil juga sudah memohon maaf secara terbuka atas ketidaksengajaannya itu tapi bak kata pepatah, nasi sudah jadi bubur atau pepatah Inggeris, the damage is done.

Farah juga sudah memberi penjelasan dalam Harian Metro Khamis lalu mengatakan tiada niat tampil seksi atau membuatkan penonton kurang selesa.

Memang tiada salahnya pakaian Farah tapi apabila dirinya diangkat penari sedemikian rupa, membuatkan apa yang tidak sepatutnya nampak sudah disaksikan banyak mata, apatah lagi disiarkan secara langsung di TV3.

Mungkin boleh memberi pengajaran kepada penyanyi lain supaya memilih pakaian lebih sesuai apabila perlu dijulang penari, seperti berseluar panjang. Hakikatnya, Farah memakai stokin gelap dan bukannya mendedahkan paha gebunya di balik gaun paras atas lutut itu.

Sebelum ini, pakaian Farah dikatakan tidak sesuai ketika menjayakan satu program hari raya walaupun hakikatnya menyampaikan lagu moden tetapi sepatutnya memilih pakaian lebih sesuai dengan majlis bukannya gaya ketika menyanyi di kelab malam.

Tidak kurang menariknya, ramai melaram sakan ketika acara permaidani merah sama ada yang ditaja atau koleksi sendiri sesuai tema ‘tenunan songket’. Lebih menarik, ramai juga melaram buah hati.

Jika Norish Karman bersama jejaka kacukan Melayu-Inggeris, Luqman Amin yang juga abang Farahdhiya, pengacara Nurul Alis (Kiki) pula membawa jejaka mat salih. Begitu juga Abby Abadi bersama Zulkifli Ariffin dan Noraliah Lee (Vee) dengan kerabat Selangor, Tengku Yusof.

Menariknya, empat wanita ini memegang status janda tetapi nampaknya ABPBH2008 menjadi medan untuk mereka pamerkan orang istimewa dalam hidup mereka. Kalau sebelum ini hanya mendengar gosip apabila ada mata-mata gelap tidak bergaji bercerita melihat mereka keluar bersama.

 

 

Tapi malam itu, mereka tidak main sembunyi-sembunyi, sebaliknya berkongsi dengan umum siapa gerangan insan istimewa dalam hidup mereka ketika ini. Apabila bersikap terbuka, siapa tahu dengan doa peminat dipercepatkan jodoh mereka.

Pengakuan Norish juga disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu lalu. Ternyata Norish tidak berselindung apabila saya katakan dia kini lebih terbuka. Sebelum ini, Norish hadir bersama Luqman ketika tayangan filem Talentime, kemudian konsert mini Anggun.

Sebelum ini, Abby dianggap berani dan sangat terbuka apabila sering bersama Zul tidak lama selepas bercerai dengan Norman Hakim, malah kantoi di lapangan terbang ketika baru pulang dari China.

Hubungan Vee dengan Tengku Yusof pula dikatakan sekejap on sekejap off tapi saya melihat apabila Vee terbuka memperkenalkannya kepada umum, secara tidak langsung menjadi satu jaminan buat si wanita bahawa si lelaki sudah menjadi miliknya.

Kita tunggu pula giliran Norman dan pasangannya, Suhaiza Suhaimi atau Memey mengakui hubungan mereka secara terbuka walaupun hakikatnya ramai sudah tahu, tapi empunya diri mengatakan antara mereka tiada hubungan istimewa walaupun sudah kantoi ditangkap khalwat. Terbaru, gambar mesra mereka meraikan ulang tahun berdua kini disebarkan di Internet.

Begitu juga Fasha Sandha, sejak sekian lama dikatakan ada hubungan istimewa dengan bekas suami Nora Danish tetapi empunya diri juga tidak mengaku. Cuma gambar mereka berdua belum lagi disebarkan di Internet sebagai bukti tetapi gambar beramai-ramai adalah.

Turut mendapat perhatian saya ketiadaan dua pemenang malam itu, Norkhiriah untuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Dynas (Pelakon TV Wanita Popular). Sebagaimana diumumkan pengacara majlis, Sharifah Shahira bahawa Norkhiriah kurang sihat kerana mengandung.

Dynas pula ramai yang tahu mengandung tujuh bulan tetapi tidak ramai tahu dua hari sebelum ABPBH2008, Dynas menerima berita duka anak yang dikandung meninggal dunia. Teringat pengalaman sama yang saya alami pada 2003 apabila bayi yang dikandung selama 24 minggu, tidak sempat dilahirkan ke dunia kerana pergi lebih dulu.

Tentunya ini saat cukup sukar bagi Dynas, apatah lagi kali kedua hamil dan belum berpeluang menatap bayi yang dinantikan bersama suami.

Untuk mengubat hati yang luka, orang selalu kata ada hikmah di sebaliknya. Paling penting, bayi itu menanti ibunya di syurga. Dynas juga menerima berita gembira apabila sekali lagi menang kategori yang pernah dimenanginya tahun lalu.

Bagi Norkhiriah, sebelum ini pernah mengalami keguguran sudah tentu kali ini berhati-hati menjaga kandungan. Tambah-tambah pula pada awal kehamilan dan majlis pula berlangsung di tempat tinggi dan dingin menusuk tulang.

Tahun lalu, Erra Fazira mengalami keguguran ketika menghadiri ABPBH2007 tetapi cepat diberikan pengganti apabila Mac lalu, selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Engku Aleesya Engku Emran.

Mereka juga manusia biasa yang mengalami dugaan dalam hidup serta melalui suka duka sebagai wanita bergelar isteri.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Kemenangan Pengubat Duka

15 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Berita kejayaan sebagai Pelakon TV Wanita Popular kali kedua berturut-turut mengurangkan perasaan sedih

APABILA Zizie Ezzete dan Nora Danish tersenyum lebar mengumumkan Dynas sebagai Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), semua mata tertumpu kepada tempat duduk finalis anugerah ini.

Selang beberapa saat, selepas pasti pelakon ini tidak berada dalam Arena of Stars Genting, Zizie akhirnya mengambil trofi itu bagi pihak Dynas. Walaupun acara diteruskan, pastinya ada segelintir penonton tertanya-tanya kenapa Dynas tidak muncul dalam anugerah yang penuh berprestij ini.

Sekurang-kurangnya apabila Norkhiriah tidak muncul untuk menerima trofi Pelakon Komedi Wanita Popular, dia sempat meninggalkan pesanan kepada Sharifah Shahirah untuk memaklumkan dirinya menghadapi alahan atau morning sickness kerana baru disahkan hamil sehari sebelum acara kemuncak ABPBH 2008 berlangsung.

Apa yang pasti ketiadaan Dynas pada ABPBH 2008 memang menjadi tanda tanya kerana beberapa hari sebelum itu, suaminya Mohd Hafizy Hafiz sudah pun mengesahkan isterinya akan hadir untuk memberi sokongan.

Malahan untuk tujuan itu, Dynas sudah bersetuju menggunakan khidmat pereka fesyen, Nik Erwan Roseli. Hip juga pernah mengadakan sesi fotografi membabitkan perbincangan pelakon dan pereka fesyen itu pada 1 April lalu di butik miliknya bersama Awal Ashaari iaitu DnA Celebrity Style di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.


GAMBAR kenangan Dynas sebelum keguguran kandungan yang sudah berusia tujuh bulan.

Ketika itu, dia begitu teruja untuk hadir memberikan sokongan biarpun sarat mengandung tujuh bulan dan memuji hasil kreativiti pereka muda itu.

Tapi, siapa sangka di saat dia sedang menanti khabar gembira untuk bergelar ibu, ada berita duka yang ingin dikongsi pelakon yang menjawab kepada persoalan mengenai ketiadaannya pada malam Ahad lalu.

Ketika Hip untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya sebagai Pelakon TV Wanita Popular bagi dua tahun berturut-turut, Dynas pula menyambutnya dengan berita sedih iaitu dia mengalami keguguran.

Jawapan itu sudah cukup untuk menjelaskan mengapa dia tidak dapat hadir pada malam kemuncak ABPBH 2008. Ini adalah kali kedua Dynas keguguran. Kali pertama pada tahun lepas.

“Saya keguguran pada Jumaat minggu lalu,” katanya dalam suara sayu.

“Saya menganggap semua ini sebagai ujian daripada Tuhan. Bayi sudah berusia tujuh bulan itu dikeluarkan secara normal dan dikebumikan selepas solat Jumaat. Baju Nik Erwan pun sudah siap, cuma saya tidak sempat memakainya,” sambungnya lagi dengan nada perlahan.

Berita kemenangannya di ABPBH 2008 sedikit sebanyak dapat mengubati kedukaan yang sedang ditanggungnya. Dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular kali ini, Dynas disaingi oleh Abby Abadi, Diana Danielle, Fasha Sandha dan Rita Rudaini.

Dynas berterima kasih kepada peminatnya seperti di laman sembang, Facebook yang begitu erat menyokong rentak kerjayanya.

Keguguran kali kedua

“Saya tidak sangka akan menang lagi pada tahun ini. Alhamdulillah biarpun berdepan dengan calon yang hebat, masih ada peminat serta pelanggan dan penggemar butik DnA.

“Ini menjadi langkah seterusnya untuk saya daki ke peringkat yang lebih baik, untuk saya terus kuat hati dan perasaan biarpun baru saja mengalami peristiwa duka,” katanya lagi.

Kata Dynas, dia percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmah yang terselindung. “Saya sendiri tidak sangka akan keguguran lagi kali ini. Mujurlah suami begitu memahami keadaan yang dialami.

“Ingat lagi sewaktu saya disahkan hamil, dialah insan yang paling gembira. Kami akur menerima ketentuan ini dengan hati terbuka biarpun sedih juga untuk dikenang.

“Kami reda dan menganggap bukan rezeki kami lagi untuk menimang cahaya mata,” katanya yang sedang menjalankan proses berpantang selama 44 hari seperti ibu yang lain.

Mengenai kejayaan dan laluannya untuk terus mengungguli kategori itu, Dynas dalam kenyataannya sebelum diberitahu sudah keguguran sebenarnya harus melalui saingan sengit nama-nama calon ‘panas’ yang lain.

“Menang atau kalah, semuanya adalah rezeki masing-masing. Setiap dugaan yang diterima pasti ada hikmah terselindung. Saingan Top 5 ini memang sengit belaka dan semuanya terpulang kepada peminat untuk memilih siapa yang mereka rasa layak untuk menang.

“Mungkin kejayaan saya tercalon itu kerana rezeki anak dalam perut. Begitu juga dengan Rita Rudaini pesaing kategori sama yang turut berbadan dua. Saya tak sangka tercalon lagi tahun ini dan satu bonus kalau saya dapat pertahan kejuaraan kategori ini. Sekarang ini pun drama Julia Juli lakonan saya sedang disiarkan di TV3 & TV9,” katanya.

Sebelum itu, kesempatan berada di butik DnA kira-kira dua minggu lalu memberi peluang kepada Hip untuk merakamkan pelbagai pilihan barangan dan aksesori yang dijual.

Sesekali kalau ada kelapangan, Dynas tak betah duduk diam dan dia akan meluangkan masa menguruskan butik yang sudah lapan bulan beroperasi di kawasan elit itu. Belum pun sampai setahun, butik yang diusahakan bersama Awal itu sudah mula menarik perhatian ramai pengunjung terutamanya peminat mereka yang menggemari corak fesyen terkini.

Kata Dynas, minatnya mula bercambah untuk bergelar usahawan sewaktu dia mendapat tajaan baju untuk sesi fotografi daripada Awal yang lebih dulu menceburi jualan pakaian secara online, Mannequeen. Lagi pun Dynas memang suka berniaga mengikut resam keluarganya.

“Memang keluarga Dynas berorientasikan bisnes. Bayangkan sejak kecil, saya memang suka menjual. Sebagai contoh, kalau pergi ke pusat beli-belah, saya sanggup meminta mama membelikan pensil di dalam kuantiti yang banyak supaya boleh dijual kepada kawan di sekolah,” katanya.

PROFIL: Dynas

Nama Penuh: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar

Tarikh Lahir: 8 Mac 1983

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Pendidikan: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Pencapaian: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.

Suami: Mohd Hafizy Hafiz, 37, (Berkahwin pada pada 15 Mac 2008).

Drama: Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing.

Filem: Impak Maksima, Haru Biru, Kayangan, Apa Kata Hati.

Laman web D&A Celebrity Style: http://www.dna.com.my (boleh dibeli secara online).

Berita Harian

Olah Semula Jalan Cerita

14 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
KISAH suka duka kehidupan Amira, wanita cekal yang berusaha meningkatkan jati diri dalam menghadapi pelbagai konflik kehidupan antara paparan menarik dalam drama bersiri Segalanya Ku Terima arahan Raja Ahmad Alauddin.

Drama 13 episod yang dibarisi pelakon hebat dan popular seperti Azizah Mahzan, Azhar Sulaiman, Abby Abadi, Ezany, Hasnol Rahmat, Irma Hasmie, Raja Farah dan Feroz Khan disiarkan setiap Selasa, jam 11 malam di TV3 mulai hari ini.

Raja Ahmad Alauddin berkata, pada peringkat awal dia juga bimbang untuk mengarahkan drama itu kerana skripnya agak klise iaitu cerita berlatar belakang dunia korporat.

“Skrip drama ini mungkin lebih kurang sama dengan cerita drama yang pernah dipaparkan di televisyen sebelum ini. Justeru, sebagai pengarah yang sangat mementingkan aspek kualiti dalam drama, saya terpaksa mengolah semula jalan ceritanya untuk menjadikannya lebih menarik.

“Apa yang penting, kisah ini dapat dijadikan teladan kepada masyarakat mengenai akibat diterima kerana sikap tamak dan iri hati.

“Pada masa sama, saya fokuskan aspek perwatakan dalam cerita ini. Contohnya, watak Ashraf lakonan Azhar Sulaiman, saya kembangkan menjadi lelaki psiko, Ramli (Ezany) yang ceria dan periang berlainan daripada watak pernah dilakonkan Ezany sebelum ini.

“Watak Maimon (Azizah Mahzan) pada peringkat awalnya wanita sopan dan baik, tetapi pada pertengahan cerita, berubah menjadi jahat. Maimon mempunyai lelaki simpanan dan turut merancang komplot dalam cerita ini,” katanya.

Akuinya, dia tertarik mengarahkan drama ini kerana gabungan barisan pelakonnya gabungan baru dan berpengalaman. Katanya, dia pernah bekerja dengan Raja Farah dalam telefilem Aku, Dia dan Kopitiam begitu juga Feroz Khan, tetapi sudah dua tahun tidak bekerja dengan Azizah yang juga pelakon hebat tanah air.

“Pelakon lain pula seperti Irma Hasmie dan Ezany adalah pelakon baru yang saya berminat untuk bekerjasama dalam drama. Saya jarang menonton lakonan Irma, tapi pada pandangan saya, bakatnya boleh diketengahkan.

“Abby Abadi dan Zulkifli Ariffin pula hanya bawa watak pembantu, tetapi mereka mempunyai tarikan tersendiri dalam cerita ini.

 

 

“Saya berpuas hati dengan komitmen semua pelakon terbabit dalam drama ini yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Port Dickson,” katanya.

Drama ini mengisahkan kepulangan Amira (Amira Rosaida) selepas menamatkan pengajian dari luar negara, disambut dengan majlis meriah.

Kepulangannya tidak disenangi kakaknya, Azlina kerana dia amat cemburu kemesraan bapa mereka, Tan Sri Azman dengan Amira. Tan Sri Amran juga percaya dengan keupayaan Amira dan menyuarakan isi hati untuk bersara dan menyerahkan pengurusan syarikat Menara Gading kepadanya.

Azlina pula tidak puas hati dengan keputusan bapanya itu kerana menganggap dia lebih layak menerajui syarikat. Dia merancang sesuatu dengan suaminya, Lokman untuk memastikan Menara Gading menjadi milik mereka.

Kekeruhan berlaku apabila Tan Sri Amran mengatur hidup Amira dengan memilih calon suami tanpa pengetahuannya. Pada hari perkahwinannya, dia melarikan diri kerana jatuh cinta dengan Zamir.

Pasrahkan anda apabila kehidupan yang didambakan menjadi bercelaru lantaran nafsu yang merajai hati manusia yang tidak tahu menghargai kehidupan?

Segalanya Ku Terima terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) ini turut dibantu barisan pelakon seperti Hafizuddin (Tan Sri Azman), Lan Zailan (Pak Mail), Mak Engku (Mak Yam) dan Kamaliah Md Dom (Nek Piah).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Soseh Soseh: Diana Jual Mahal?

14 Apr

Rap
ANTARA mereka pernah wujud perasaan cinta. Maka tidak hairanlah walau pernah bersengketa sehingga membawa kepada perpisahan, rasa sayang tetap ada apabila kembali bertemu kekasih lama. Begitulah SS ibaratkan pasangan remaja yang pernah menjalinkan cinta, Syamsul Yusof dan Diana Danielle.

SS difahamkan, Diana yang kini mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Princess Haliza, Sepang, Selangor, turut hadir memeriahkan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu.

Pelepasannya selama tiga hari bermula 11 April itu ehsan PLKN kerana menyedari Diana adalah calon akhir bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular yang turut menyaksikan empat lagi peserta, Abby Abadi, Fasha Sandha, Rita Rudaini dan Dynas yang muncul sebagai pemenang.

Hendak dijadikan cerita, ketika Diana berbual-bual dengan wartawan di belakang pentas Arena Of Stars, SS difahamkan Syamsul hanya memperhatikan dari jauh.

Namun, akhirnya Syamsul datang menyapa Diana. Mungkin rindu agaknya. Maklumlah, sejak perselisihan faham yang membawa pergaduhan besar hujung tahun lalu sehingga Diana mendakwa dicederakan lalu membuat laporan polis, sejak itu Syamsul tidak lagi menemuinya.

Justeru, di ABPBH2008 barangkali saat terbaik buat Syamsul melepaskan rindu atau kembali menjernihkan hubungan mereka yang sudah terlalu keruh.

SS difahamkan beberapa teman yang memerhati, Diana kurang selesa dengan tindakan bekas teman lelakinya itu menghampiri dan cuba mengajak berbual.

Dia sebenarnya bukanlah tidak sudi berbual dengan Syamsul, tetapi enggan orang salah faham dan isu kembali diperkatakan. SS dimaklumkan lagi, Diana tidak kisah menerima Syamsul sebagai kawan, tetapi untuk kembali seperti dulu mungkin tidak.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro