Archive | Abby Abadi RSS feed for this section

Usah Layan Lelaki Miang

13 Apr

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Golongan artis yang berstatus janda dinasihatkan supaya pandai menjaga diri dan tidak melayan godaan nakal lelaki kerana ia bukan saja menjejaskan imej mereka malah pandangan umum terhadap ibu tunggal.

Presiden Persatuan Ibu Tunggal Belaian Kasih Kuala Lumpur, Siti Noridah Abdullah, berkata dunia glamor artis dan penampilan mereka yang sentiasa kelihatan jelita walaupun berstatus ibu tunggal memang menjadi perhatian umum.

“Memang tidak boleh dibuat perbandingan dengan ibu tunggal dikalangan masyarakat biasa, namun ada kalanya perbuatan mereka itu boleh memberi tempias negatif, jadi saya harap mereka pandai menjaga diri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Metro Ahad semalam mengenai tarikan artis berstatus janda yang menjadi buruan gangguan lelaki termasuk kenamaan.

 

 

Antara artis berkenaan ialah Abby Abadi, Rozita Che Wan, Nora Danish, Azharina dan Nurul sehinggakan menimbul cemburu artis wanita lain manakala isteri golongan VIP pula bimbang kalau-kalau suami mereka dirampas.

Abby mengakui hampir ‘dijual’ rakan sendiri yang mengatur pertemuan dengan seorang VIP manakala Rozita sering menerima SMS ingin berkenalan.

Siti Noridah berkata, golongan lelaki termasuk VIP juga tidak wajar dipersalahkan 100 peratus kerana ada kalanya artis yang memulakan ‘gangguan’.

“Kadang-kadang mereka yang melayan dulu menyebabkan golongan lelaki ini seronok kerana menganggap mendapat perhatian artis jelita.

“Tindakan mereka itu menyebabkan orang ramai memandang serong sehinggakan ibu tunggal biasa yang tidak tahu apa-apa pun terkena tempias,” katanya.

Harian Metro

Janda Meletup

12 Apr

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN, NAZARALI SAERIL, SHAMRAN SARAHAN dan FIRDAUS SAHAT

KUALA LUMPUR: Sebagai selebriti yang terbabit dalam dunia nyanyian atau lakonan, mereka ada tarikan tersendiri. Namun, status janda yang disandang menambah aura dan glamor sedia ada sehingga kehebatan mereka ada kalanya mengalahkan artis yang belum berkahwin.

Abby Abadi, Rozita Che Wan, Nora Danish, Azharina dan Nurul antara selebriti berstatus janda yang dianggap ‘panas’ dan meletup, menjadi buruan, mengundang cemburu artis wanita lain serta menimbulkan kebimbangan isteri golongan VIP, kalau-kalau suami mereka ‘dirampas’.

Apa godaan dan cabaran menjadi janda meletup? Ikuti luahan hati mereka kepada wartawan Metro Ahad, NOR AKMAR SAMUDIN, NAZARALI SAERIL, SHAMRAN SARAHAN dan FIRDAUS SAHAT.

 

 

ABBY ABADI:

“SAYA tidak mahu mencipta populariti dengan status janda. Apatah lagi selepas menjanda, saya melalui apa yang janda lain rasai. Paling membuatkan saya terkejut, ada artis senior sanggup menjadi orang tengah mengaturkan pertemuan saya dengan VIP di luar negara.

“Saya tahu siapa VIP itu yang memang dikenali ramai, tetapi tidak perlu saya sebutkan namanya. Sampai ke tahap itu mereka meletakkan kedudukan janda yang dijadikan sebagai barang dagangan.

“Bayaran dijanjikan memang lumayan, tetapi saya tidak gelap mata,” kata wanita berusia 31 tahun itu mengenai dugaannya yang baru empat bulan bergelar janda.

Menurut Abby, tindakan artis senior itu menjadi orang tengah untuk ‘menjual’ rakan artis sendiri sungguh mengejutkannya dan membuatkan dirinya berasa terhina.

“Jika orang yang saya tidak kenal buat kerja itu, tidaklah saya rasa terlalu terhina, tapi dia rakan saya. Tergamak dia lakukan perangai keji itu. Kami pernah berlakon bersama dan saya tidak sangka dia meletakkan diri saya sebagai janda tahap murahan.

“Artis senior itu juga maklumkan kepada saya bahawa ramai artis melayan VIP itu di luar negara. Untuk mengetahui siapa VIP terbabit, mulanya saya tunjuk macam berminat untuk terima tawaran. Dia akhirnya memaklumkan siapa VIP terbabit dan hendak tempah tiket penerbangan.

“Mungkin ada yang ingat bila dah janda, saya mudah didekati, hakikatnya tidak begitu. Saya pernah alami situasi seperti ini ketika zaman anak dara dulu, tak sangka bila sudah jadi janda ia terpaksa saya alami lagi,” katanya.

Menurut Abby, ketika zaman bujang, ada yang menawarkannya melayan VIP di sebuah negara jiran dengan jumlah bayaran sangat besar, tetapi dia tidak mengenali orang tengah terbabit.

“Alhamdulillah, saya tidak mudah digoda dan bukan jenis perempuan murahan. Jangan ingat diri saya boleh dijual beli dengan begitu mudah. Saya fikirkan jangka masa panjang, keluarga dan anak.

“Saya tidak mahu perkara itu menjadi ‘track record’ dalam hidup saya dan rasa berdosa seumur hidup. Memang ramai hendak kenalkan saya dengan orang itu dan ini tetapi apabila membabitkan maruah, saya perlu tegas,” katanya.

Tambah Abby, ada juga orang kenamaan mengirim SMS menawarkan sejumlah wang kononnya ingin berkongsi membuka perniagaan bersama dan ada juga yang sibuk ingin carikan jodoh untuknya.

“Jika benar ada yang ingin jadikan saya isteri, ada caranya. Bukan baru kenal sehari dua terus melonggokkan wang di depan saya. Jika ada jodoh, cukuplah lelaki sederhana sebagai suami saya. Kami boleh berusaha bersama-sama. Wang memang penting, namun ia bukan segala-galanya dalam hidup.

“Bukan pula saya kata orang yang berduit jahat belaka. Yang pasti, hati saya belum terbuka untuk bernikah lagi. Saya bukan terlalu ‘desperate’ (terdesak), lepas bercerai terus mencari pengganti,” katanya.

Menurut Abby, dia mengimpikan kebahagiaan dunia dan akhirat serta kini berusaha ke arah itu kerana pengalaman membuatkan dia semakin mengenal erti hidup.

“Paling saya elakkan, saya tidak mungkin menjadi orang ketiga kepada mana-mana wanita. Jadi kepada wanita di luar sana, saya bukan perampas,” tegasnya.

ROZITA CHE WAN:

“TAK sangka pula saya tersenarai dalam kategori janda meletup. Hakikatnya, bukan senang jadi janda kerana terlalu banyak dugaan. Antaranya, saya pernah diminta menemani seorang VIP makan malam selama dua jam saja.

“Saya tidak tahu siapa kerana saya tidak berminat untuk mengenalinya. Undangan itu saya tolak kerana saya tidak tahu apa akan berlaku selepas dua jam temankan dia makan,” luah Rozita Che Wan, 36.

Menurut Rozita, ada orang tengah mengatur pertemuannya dengan VIP itu. Kejadian itu membuatkan dia sangat terhina. Sebagai orang Islam, dia tahu hukum Allah SWT.

“Mula-mula temankan dia makan, lepas itu entah dia hendak minta apa pula dengan saya. Oleh kerana memang tidak berminat, saya tak kuasa hendak ambil tahu siapa VIP itu. Dalam masa sama, setiap hari ada VIP kirim SMS ingin berkenalan, mengajak saya keluar dan pelbagai lagi.

“Supaya tidak menyakiti hati sesiapa, saya menolak pelawaan mereka secara baik dengan menyatakan ‘lain kali’. Apabila selalu sangat saya kata lain kali, mereka faham dan tidak mengganggu lagi,” katanya.

Tambah Rozita, dia kesal masyarakat masih berfikiran kolot apabila bercakap mengenai janda dengan beranggapan janda tiada harga diri, suka rampas suami orang dan mata duitan.

Menurut janda anak dua itu, banyak gosip mengatakan dia berkahwin dengan VIP, tetapi hingga kini belum terbukti apa-apa.

“Tumpuan kini kepada anak dan kerjaya. Kejayaan anak sulung, Ammar Effendy dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dengan mendapat 5A membuka mata masyarakat yang anak janda juga boleh berjaya.

“Syukur anak kedua, Aniq Ezzra, turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam pelajaran dan sukan. Harap Aniq akan mengikut jejak langkah abangnya. Andainya Ammar dapat 1A, orang pasti kata ‘tengoklah emak dia pula macam mana’,” katanya.

Menurut Rozita, anak tahu dan faham kesusahannya bekerja siang malam dan menghargai pengorbanan itu.

Atas kejayaan anak juga, pada Hari Ibu nanti, Hotel May Tower Singapura akan menganugerahkan Rozita Ikon Ibu Cemerlang dengan majlis diadakan di Kuala Lumpur.

“Itulah penawar kesedihan saya selama tiga tahun bergelar anak seni. Kejayaan anak dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap saya.

“Sebenarnya, saya kurang senang apabila dilabel janda meletup kerana keadaan ini memberi ruang kepada pihak tertentu menjadikan saya mangsa gosip dan fitnah. Oleh itu, saya harap masyarakat menilai berdasarkan kualiti orang itu dan bukan daripada status,” katanya.

Apapun, kata Rozita, dia tetap bersyukur dan reda dengan ketentuan Ilahi. Ini kerana status itu juga menjadikan dirinya kuat, tabah, cekal dan berani.

NORA DANISH:

HAMPIR 10 bulan berpisah, kehidupan dijalani pelakon ini seperti biasa. Walau kadangkala terasa sunyi, Nora Danish, 27, menafikan dia menjadi buruan lelaki.

“Sepanjang bergelar ibu tunggal, saya belum pernah merasai menjadi buruan mereka, lebih-lebih lagi golongan VIP. Mungkin itu berlaku disebabkan saya tidak menjawab panggilan telefon daripada orang tidak dikenali.

“Begitupun, saya tidak menafikan status janda membuatkan golongan artis wanita diburu. Sama ada mereka cuba memikat kami kerana populariti atau harta, itu saya tidak tahu.

“Pengalaman dulu mengajar saya banyak perkara dan ia juga menjadikan saya lebih matang untuk menjalin hubungan selepas ini.

“Bagi saya, tidak kira janda atau gadis, asalkan bernama wanita, pasti akan cuba didekati lelaki,” katanya yang kini bahagia dengan kehadiran putera sulung, Putra Rayqal Rizal Ashram Ramli (Rayqal) yang lahir pada 7 Januari lalu.

Perceraian Nora menyentuh hati banyak pihak kerana dia diceraikan ketika disahkan mengandung tiga bulan.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.

Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail, membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh Rizal berbunyi ‘I ceraikan you’ pada Februari dan ‘Saya ceraikan awak’ pada Jun lalu sebagai sah.

Perceraian itu berlaku sewaktu Nora disahkan mengandung. Oleh itu talak hanya jatuh selepas dia melahirkan.

AZHARINA:

“SELEPAS bercerai, ‘berbakul’ saya dikutuk, dihina dan dicaci. Itulah risiko yang dihadapi apabila menjadi janda muda. Sebagai artis, lagi banyak dugaan datang kerana satu Malaysia tahu saya bercerai.

“Kalau saya bukan artis, mungkin dugaan tidak seteruk ini. Memang saya tahu risiko menjadi janda, tetapi saya tidak terfikir sesukar ini. Apa hendak saya katakan lagi, ia (perceraian) sudah berlaku. Namun, ia membuatkan saya tabah dan cepat dewasa,” kata Azharina Azhar, 24.

Menurutnya, selepas kembali solo ada yang m
enggoda, tetapi dia tidak melayan kerana pintu hatinya belum terbuka untuk bersuami lagi.

Yang penting, kata Azharina, sekarang adalah waktu untuk dia melakukan proses ‘baik pulih’ dan menjaga hatinya.

“Untuk berkahwin semula, saya serahkan pada Yang Maha Esa. Jika ada jodoh, adalah. Seandainya sebaliknya, saya tetap bersyukur ke hadrat Ilahi jika itu yang terbaik untuk saya.

“Pada masa ini saya tiada hubungan istimewa dengan sesiapa. Rakan lelaki memang ramai, tetapi setakat berkawan saja,” katanya.

Menariknya, Azharina berkata, lelaki yang ingin memperisterikannya perlu melalui proses penilaian yang akan dilakukan oleh bekas suaminya.

“Suami saya dulu baik, tetapi tekanan orang sekeliling membuatkan saya tidak tahan untuk terus hidup bersamanya. Lelaki yang ingin menjadi suami saya juga perlu jujur dan ada pengetahuan agama.

“Apabila saya melalui proses perceraian, ia bukan perkara yang terlalu buruk kerana ada yang menemui kebahagiaan selepas bercerai. Pun begitu, terasa juga serik untuk berkahwin lagi,” katanya.

Mengenai hubungan dengan bekas suaminya, Azharina berkata, mereka masih bertegur sapa dan berhubungan seperti kawan biasa.

“Kami bercerai cara baik dan sampai sekarang saya masih menghormatinya sebagai kawan, bekas suami dan rakan perniagaan. Enam tahun kami berkawan, tetapi perkahwinan kami bertahan tiga tahun saja.

“Bagaimanapun, saya tidak kesal rumah tangga runtuh di tengah jalan, malah jauh di sudut hati, saya bahagia dan sibuk dengan kerja sendiri,” katanya.

NURUL:

KESIBUKAN mengejar kerjaya dan pengalaman lalu membuatkan penyanyi ini bertekad untuk tidak memikirkan mengenai jodoh buat seketika.

Katanya, biar dia fokus kepada dunia seni yang menjadi cintanya sejak dulu. Begitupun, menyentuh mengenai soal janda yang diburu lelaki, Nurul, 31, belum pernah menghadapi situasi seperti itu.

“Selama bergelar ibu tunggal lebih setahun lalu, belum ada lagi lelaki yang bersungguh-sungguh atau datang bersemuka dengan saya untuk menyuarakan hasrat memperisterikan saya. Mungkin mereka takut berjumpa saya kerana sewaktu di luar saya sentiasa serius.

“Setakat ini, kalau ada pun lelaki cuba memikat saya, saya anggap mereka tidak serius. Ini kerana mereka tidak berani bersua muka dengan saya, tapi cuma menghantar SMS dan tidak kurang juga memanggil sayang serta menelefon pada tengah malam,” katanya.

Nurul berkata, dia langsung tidak melayan gangguan daripada lelaki seperti itu kerana tindakan mereka mencerminkan sikap tidak menghormati wanita.

“Jangan memandang status janda sebagai sesuatu yang negatif. Sama ada janda, anak dara mahupun bergelar isteri, kami masih lagi wanita yang ada perasaan,” katanya.

Menurutnya, populariti sebagai artis menyebabkan dia lebih berhati-hati kerana bimbang ada lelaki cuba mengambil kesempatan dengan menumpang kemewahan.

“Ada golongan cuba mendekati artis, terutama wanita bergelar janda seperti saya, semata-mata untuk mencari jalan mudah memperoleh kesenangan. Namun saya bersyukur kerana setakat ini ia belum terjadi kepada saya,” katanya.

Harian Metro

Nabil Mampu Gugat Mawi, Siti?

11 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SIAPAKAH yang bakal mengungguli trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi edisi ke-22 malam esok? Semua persoalan itu bakal terjawab pada malam kemuncak majlis gilang-gemilang ABPBH08 yang akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands di TV3, jam 9 malam.

Senarai penuh pencalonan akhir ABPBH08 juga menyaksikan bintang realiti TV dan band indie tempatan antara 28 muka baru yang mendominasi beberapa kategori tertentu daripada seramai 80 penyanyi, pelakon dan personaliti disenaraikan sekali gus bersaing dengan nama popular.

Kategori paling mencuri tumpuan sudah pasti gelaran Bintang Paling Popular yang bakal membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Ramai menjangkakan malam kemuncak acara berprestij ini bakal menyaksikan kejutan kerana ada nama baru yang akan menang beberapa kategori utama dari 16 kategori dipertandingkan.

Calon kegemaran yang disebut-sebut memberi saingan sengit kepada Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza untuk membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ialah bintang yang digilap daripada program realiti Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 26 atau nama komersialnya, Nabil Raja Lawak.

Nama dan populariti Nabil meningkat dengan mendadak dalam tempoh setahun berkecimpung sebagai anak seni. Setakat ini tujuh filem dilakonkan iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…hantu.

Selain berlakon filem, Nabil yang hangat bercinta dengan pelakon Irma Hasmie ini juga melebarkan sayapnya sebagai pengacara dan terbaru gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

Difahamkan, undian awal ABPBH08 membuktikan, Nabil menerima jumlah undian melebihi jumlah undi diterima Mawi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Jika jangkaan itu tepat, gelaran yang dipertahankan Mawi sejak tiga tahun lalu akan beralih kepada Nabil, sekali gus melakar sejarah baru dalam anugerah berpestij ini.

Kejayaan ini sekali gus menjadikan Nabil artis komedi kedua berjaya selepas Saiful Apek bergelar Bintang Paling Popular.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini juga berhadapan laluan mudah untuk mengetepikan artis kelahiran AF seperti Nubhan dan Riz. Begitu juga dua lagi calon, Aiman dan Fizo dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.

 

 

Kemungkinan besar, Nabil juga bakal mengetepikan nama besar seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak untuk Artis Komedi Popular.

Betapa hebat pun pengaruh besar Nabil dalam industri seni tanah air, dia lebih suka merendah diri dalam segala hal menyedari baru setahun jagung bergelar anak seni. Malah kata Nabil, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Saya tidak terfikir pun untuk menjadi finalis pada acara berprestij itu. Sebenarnya, saya cuma jangka untuk tampil menjadi penyampai anugerah, tetapi sebaliknya nama saya dicalonkan dalam dua kategori sekali gus.

“Tapi jika menang nanti, saya tetap bersyukur dan menganggap ia bonus sekali gus menyuntik semangat untuk bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Antara artis muda yang menyerlah dan memberi saingan sengit bagi kategori Artis Baru Wanita Popular

ialah bintang yang digilap dari AF, Stacy. Dia juga bersaing dengan empat lagi calon iaitu Ayu (OIAM), Lisa Surihani, Sari Yanti dan Scha.

Namun, dia berhadapan cabaran sengit kategori Penyanyi Wanita Popular kerana berhadapan dengan Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Elyana. Bagi Stacy, sekadar dicalonkan dalam senarai Top 5 dalam ABPBH 2008, sudah cukup bermakna buatnya.

“Saya tidak mengharap kemenangan untuk Penyanyi Wanita Popular kerana semua sedia maklum, Siti sukar digugat artis lain.

“Saya juga bersaing dengan ramai bakat baru yang tidak kurang hebatnya untuk Artis Baru Wanita Popular. Kalau menang, ia rezeki tapi kalau kalah, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk pencalonan tahun depan,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak boleh dipandang ringan untuk Artis Baru Wanita Popular ialah pelakon yang popular menerusi drama Kaisara, Sari Yanti.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana saingan kategori ini hebat belaka,” katanya.

Kategori penyanyi Duo/Berkumpulan Popular menyaksikan penguasaan band indie tempatan seperti Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussain. Ketiga-tiga band ini mempunyai kekuatan dan pengikut tersendiri.

Kemunculan pelakon kacak kelahiran Singapura, Aaron Aziz untuk Pelakon TV Lelaki Popular juga tidak boleh diperlekehkan. Aaron berhadapan calon berpengalaman Rosyam Nor dan pelakon popular lain, Que Haidar, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad.

Ashraf yang popular dalam Puaka Ning Rapik dan drama bersiri Yusuff juga tidak boleh dipandang ringan dan mampu menggugat Rosyam yang menggungguli kategori ini sejak 2004. Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Rosyam mengungguli kategori itu selama tujuh kali sejak 1997.

Sementara itu Siti yang kini mempertaruhkan bingkisan album terbarunya Lantera Timur, dijangka terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular yang sudah sedekad dalam gengamannya.

Apapun kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Siti ternyata tidak menggugat populariti isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sekali gus mengetepikan dengan mudah semua calon lain.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan persaingan tiga nama besar dalam industri lakonan, Erra Fazira, Vanidah Imran dan Maya Karin berbanding dua calon baru, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.

Laluan artis kontroversi, Fasha Sandha untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular nampaknya tidak mudah kerana kemunculan artis yang lebih segar dan laris ketika ini seperti Diana Danielle.

Manakala kehadiran Saiful Apek sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dikatakan boleh menggugat peluang Rosyam Nor untuk mengungguli kategori berkenaan ini.

Untuk Artis Komedi Wanita Popular, kehadiran muka baru, Amyza Aznan, Norkhiriah, Ruminah Sidek dan Sheila Mambo sukar menggugat penguasaan Sheila Rusly yang mengunggulinya sejak 2003. Hanya Kenchana Dewi dicalonkan kali kedua.

Rasanya sukar bagi peminat mengundi pemenang baru kerana memikirkan hadiah lumayan menanti mereka sebaliknya lebih selamat memilih pemenang tahun lalu. Saban tahun ABPBH menyaksikan keputusan sama mungkin kerana sikap berhati-hati pembaca.

Aznil Nawawi juga mengungguli kategori Pengacara TV Lelaki Popular sebanyak lima kali. Tahun ini Aznil bersaing dengan senarai tradisi, AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Aznil juga dicalonkan untuk Penyampai Radio Lelaki Popular.

Fara Fauzana pula dijangka berhadapan laluan mudah untuk mengungguli Pengacara TV Wanita Popular dan bakal mengulangi kejayaan tahun lalu untuk Penyampai Radio Wanita Popular yang dirampasnya dari Linda Onn yang mengungguli kategori itu enam tahun berturut-turut sejak 2001.

Kategori Penyanyi/Artis Nasyid Popular pula menyaksikan nama besar dalam industri nasyid, Rabbani, Hijjaz dan Raihan berhadapan saingan muka baru, Akhil Hayy dan Aiman.

SENARAI FINALIS ABPBH08

1. Pengacara TV Lelaki Popular
* AC Mizal
* Ally Iskandar
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Faizal Tahir

2. Pengacara TV Wanita Popular
* Abby Fana
* Cheryl Samad
* Fara Fauzana
* Juliana Evans
* Nurul Alis

3. Pengacara Radio Lelaki Popular
* AG
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Khairil Rashid
* Kieran

4. Penyampai Radio Wanita Popular
* Abby Fana
* Fara Fauzana
* Leya
* Linda Onn
* Nana

5. Artis Komedi Lelaki Popular
* AC Mizal
* Afdlin Shauki
* Nabil
* Zizan
* Saiful Apek

6. Artis Komedi Wanita Popular
* Amyza Aznan
* Kenchana Dewi
* Noorkhiriah
* Ruminah Sidek
* Sheila Mambo

7. Artis Baru Lelaki Popular
* Aiman
* Fizo
* Nabil
* Nubhan
* Riz Artis

8. Baru Wanita Popular
* Ayu OIAM
* Lisa Surihani
* Sari Yanti
* Scha
* Stacy

9. Penyanyi/Artis Nasyid Popular
* Akhil Hayy
* Aiman
* Hijjaz
* Raihan
* Rabbani

10. Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular
* Estranged
* Fabulous Cats
* Hujan
* Meet Uncle Hussain
* M Nasir & Malique

11. Penyanyi Lelaki Popular
* Adam
* Aizat
* Amy Search
* Mawi
* Nubhan

12. Penyanyi Wanita Popular
* Elyana
* Jaclyn Victor
* Mila
* Siti Nurhaliza
* Stacy

13. Pelakon Filem Lelaki Popular
* Farid Kamil
* Que Haidar
* Rosyam Nor
* Rusdi Ramli
* Saiful Apek

14. Pelakon Filem Wanita Popular
* Erra Fazira
* Liyana Jasmay
* Maya Karin
* Sharifah Amani
* Vanidah Imran

15. Pelakon TV Lelaki Popular
* Aaron Aziz
* Aqasha
* Ashraf Muslim
* Fahrin Ahmad
* Rosyam Nor

16. Pelakon TV Wanita Popular
* Abby Abadi
* Diana Danielle
* Dynas
* Fasha Sandha
* Rita Rudaini

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Abby Banyak Terima Tawaran Jadi Ibu

30 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

BAGAIKAN hukuman mati kepada artis wanita yang sudah berkahwin dan beranak-pinak apabila produser serta pengarah mula melambakkan mereka dengan watak ibu.

Walaupun artis wanita yang berumah tangga itu masih muda belia dengan bentuk tubuh menggiurkan, tetapi peluang untuk mereka membawakan watak seperti zaman anak dulu agak tipis.

Ada artis sanggup menjadikan rakan mereka sendiri iaitu Ziana Zain sebagai idola kerana kejayaan penyanyi kepada dua cahaya mata itu mengekalkan bentuk tubuhnya.

Menceburi dunia seni mereka perlu bijak ‘memasarkan’ diri sendiri.

Malang juga bagi sesetengah artis wanita yang berkahwin apabila ‘saham’ mereka merudum sedangkan perkahwinan itu satu ibadah.

Kesan daripada sikap pilih kasih industri hiburan kepada artis wanita yang sudah berkeluarga, ada yang sanggup merahsiakan perkahwinan mereka.

Yang sudah berkahwin pun mengaku bujang. Lantaran itu, mereka sanggup tidak mempunyai anak bimbang rahsia terbongkar dan untuk memastikan kerjaya seni mereka tidak terjejas.

Abby Abadi atau Arbaeyah Abdul Manan, 31, turut terkena tempiasnya apabila semakin banyak tawaran berlakon sebagai ibu diberikan kepadanya.

Memikirkan persada lakonan tanah air kecil saja, Abby terima walaupun ada sesetengah drama lakonannya, watak pelakon lelaki yang menjadi anak hampir sebayanya.

Terbaru dia pegang peranan ibu dalam berepisod, Hikayat Putera Shazlan, Julia Juli, Yusuff dan Ceria Ceria Cikgu Ribena.

 

 

“Tidak jadi masalah kepada saya pegang peranan ibu dan saya berusaha melakonkan watak itu dengan baik. Malah, kerana menjadi ibulah saya dilantik menjadi duta Ribena yang memaparkan keluarga sihat.

“Cuma saya berharap jangan terlalu hadkan watak artis berkahwin dalam drama atau filem. Jangan jadikan status isteri yang disandang mereka penghalang kepada bakat seni mereka.

“Setiap manusia perlu hidup berpasangan dan disayangi. Lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan perkara yang tidak baik di mata masyarakat dan agama. Ada artis yang lebih rajin bekerja dan kreatif selepas berkahwin kerana mereka ada tanggungjawab mengukuhkan ekonomi rumah tangga.

“Saya gembira dengan status saya sebagai ibu kepada tiga anak. Saya perlukan fikirkan hari tua dan anak-anaklah harapan untuk menjaga saya kelak.

“Saya tengok rakan artis yang sudah berumah tangga tidak pernah mengabaikan penampilan mereka, malah ada yang tampil lebih cantik dan bergaya.

“Nama pun lakonan. Jadi jangan kerana dalam realiti kehidupan mereka adalah isteri dan ibu, maka dalam drama atau filem pun mereka diberi watak ibu. Misalnya saya sendiri sanggup menahan selera untuk mendapatkan berat badan idaman. Jangan matikan bakat dan minat pelakon hanya kerana dia sudah berkeluarga.

“Walaupun mungkin ada artis wanita yang belum berkahwin atau menyembunyikan status perkahwinan mereka, lumrah alam mereka akan tua juga. Jadi ketika itu, mereka tidak lagi sesuai pegang peranan gadis sunti.

“Kita memang tidak boleh menahan usia daripada terus meningkat, tetapi juga bukan halangan untuk membawakan pelbagai watak. Jika pelakon macam saya diberi watak ibu, pelakon veteran hendak pergi ke mana,” katanya.

Pun begitu, selepas menjadi ibu tunggal, rezeki Abby melimpah ruah. Setiap hari jadual kerjanya padat. Dia juga bakal muncul dalam telefilem, Rajuk Si Nyanyuk dan Paku Di Dinding Hati. Membanggakan Abby, dalam Rajuk Si Nyanyuk dia menjadi teraju utama dan Paku Di Dinding Hati dia sebagai pelajar kolej.

“Saya gembira ada pengarah masih mempercayai saya untuk pegang watak utama dan pelajar kolej. Untuk menghayati watak pelajar kenalah pakai beg galas belakang. Tetapi bukan pula saya melakukan transformasi berlebihan kerana nanti nampak tidak natural pula.

“Dalam keadaan nyata pun, mereka yang bergelar datuk dan nenek masih ada yang belajar di universiti, jadi bukanlah sesuatu yang janggal apabila ibu anak tiga macam saya jadi pelajar kolej,” katanya.

Dalam pada itu Abby yang tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), kategori Pelakon TV Wanita Popular, dia bertuah kerana bakat lakonannya turut dihargai peminat di Singapura. Awal April ini dia akan berangkat ke Kota Singa itu memenuhi pelawaan majalah Manja untuk menjalani sesi fotografi menghiasi kulit majalah itu untuk keluaran Mei.

“Mereka menggelar saya Ratu Drama Malaysia. Maknanya saya ada peminat di sana. Penghargaan itu anugerah yang tidak ternilai buat saya walaupun tak ada trofi.

Kebanyakan drama Malaysia disiarkan di saluran televisyen Singapura. Banyak drama lakonan saya boleh ditonton di sana termasuk Gerak Khas dan Manjalara.

“Masyarakat di sana tahu perkembangan artis negara ini termasuk saya. Apapun yang berlaku ramai menyokong saya. Walaupun semakin dikenali ramai di Singapura tetapi saya tetap mahu mengukir kejayaan di tempat sendiri. Ada tawaran berlakon di sana tetapi kesuntukan waktu untuk menerimanya.

“Tahun ini saya lebih bersemangat untuk majukan kerjaya. Kalau boleh saya juga ingin meneroka pasaran lakonan di Indonesia. Sudah ada pihak yang menghantar profil saya ke sana.

“Jika ada yang kata mereka tidak perlukan anugerah popular seperti ABPBH2008 tetapi saya anggap diri ini terlalu bertuah kerana dapat berada dalam kelompok itu bertahun-tahun. Ia petanda baik peminat masih menerima saya,” katanya.

Ketabahan Abby sebagai tunggal juga menjadi contoh kepada wanita senasibnya. Lantaran itu dia ingin berkongsi suka dukanya dengan masyarakat menerusi seminar bersama Bengkel Mak Dara pada 25 dan 26 April ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Port Dickson.

“Saya bersedia berkongsi cerita dan pengalaman. Kita tidak boleh terlalu mengikut hati tambahan ada anak yang sangat memerlukan perhatian kita. InsyaAllah, apabila kita bersabar pasti ada jalan keluar,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Tan Chong Serah Tajaan ABPBH

20 Mar

KERJASAMA...Ang (tiga dari kanan) menyerahkan kereta Nissan <br>Grand Livina dan Nissan Sylphy untuk ABPBH2008 <br>kepada Hishamuddin (empat dari kanan).
KERJASAMA…Ang (tiga dari kanan) menyerahkan kereta Nissan
Grand Livina dan Nissan Sylphy untuk ABPBH2008
kepada Hishamuddin (empat dari kanan).

KUALA LUMPUR: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCMSB) berbesar hati menaja dua kereta, Nissan Sylphy 2.0L bernilai RM109,000 dan Nissan Grand Living berharga RM94,000 kepada Bintang Paling Popular dan pembaca bertuah sempena kemuncak Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, pada 12 April ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Pengarah Eksekutif ETCMSB, Datuk Dr Ang Bon Beng kepada Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH2008 juga pengarang Hiburan Berita Harian (BH), Hanizam Abdullah dan Pengurus Kanan Penajaan Pemasaran NSTP, Wan Rafilin Wan Mohd Noor serta empat finalis ABPBH2008, Rosyam Nor, Saiful Apek, Abby Abadi dan Mila AF.

Ketika ditemui, Ang berkata, pihaknya sudah lama ingin bekerjasama dengan NSTP dan pembabitan dengan ABPBH2008 detik permulaan terbaik buat syarikat pengedaran kereta terulung itu.

 

 

“Kerjasama ini bagus untuk mengukuhkan jenama permotoran. Sejak dipasarkan pada 2008, Grand Livina yang menjadi kegemaran mereka yang berkeluarga dijual 20,000 unit. Manakala tempahan untuk Sylphy yang menjadi pilihan utama kepada mereka memiliki keluarga sederhana mencecah 1,500 sejak enam bulan berada di pasaran.

“Sylphy juga pernah diangkat sebagai model kereta Terbaik Tahunan, tahun lalu. Nissan yang menggabungkan teknologi terkini dan terbaik dapat menterjemahkan prestij ABPBH2008. Sambutan baik terhadap kedua-dua kereta itu mencetuskan idea menyatukan dua jenama ini selari kegemilangan penganjuran ABPBH2008 setiap tahun,” katanya.

Harian Metro

Nissan Serah Tajaan ABPBH

20 Mar


DR ANG (tiga dari kanan) menyerahkan tajaan kereta Nissan Grand Livina dan Nissan Sylphy untuk ABPBH 2008 kepada Hishamuddin (empat dari kanan) sambil diperhatikan (dari kiri) Saiful Apek, Abby Abadi, Mila dan Rosyam Nor.

KUALA LUMPUR: Kereta Nissan Sylphy 2.0L bernilai RM109,000 menanti penerima trofi Bintang Paling Popular, manakala Nissan Grand Livina 1.8L berharga RM94,000 diberikan kepada pembaca bertuah sempena kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Dua kereta yang juga model terbaru dan popular keluaran Nissan itu disumbangkan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bagi menghangatkan lagi acara kemuncak yang diadakan di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini.

Majlis penyerahan kereta itu disempurnakan Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng kepada Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH 07 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Pengurus Kanan Penajaan Pemasaran NSTP, Wan Rafilin Wan Mohd Noor serta empat finalis ABPBH 2008 iaitu Rosyam Nor, Saiful Apek, Abby Abadi dan Mila.

Dr Ang ketika ditemui berkata, mereka sudah lama mengimpikan kerjasama dengan penerbitan kumpulan NSTP dan melihat pembabitan dalam ABPBH 2008 sebagai titik permulaan terbaik untuk mengukuhkan lagi jenama permotoran itu.

“ABPBH 2008 menyediakan platform terbaik untuk memperluaskan lagi pengaruh Sylphy dan Grand Livina di mata masyarakat,” katanya.

Berita Harian

Nyanyian Tak Dilupakan

17 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

BARISAN pelakon yang memeriahkan drama Julia Juli yang menghiasi slot Lagenda di TV3 dan TV9.

Walaupun sibuk berlakon, Aqasha masih mencari masa sesuai untuk hasilkan single

NAMANYA mula tercatat di pentas seni sebagai penyanyi dan ketika itu jejaka bernama Firdee Akassya Rosli, 26, pernah berada di bawah naungan syarikat rakaman Suria Records. Lagu Cahaya Hati antara yang mempopularkan namanya. Entah di mana silapnya, percubaan bergelar penyanyi bagaikan tidak menjadi dan ternoktah buat seketika.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyanyi yang lebih dikenali dengan nama Aqasha ini bukan terus berlalu sepi meninggalkan dunia seni. Sebaliknya, dia mencuba bakat sebagai pelakon. Percaturannya menjadi. Satu persatu, karakter dan tuntutan watak berjaya dibuktikannya kepada pengarah, penerbit dan peminat.

Menambah tuah kepada dirinya apabila pertama kali namanya dalam senarai akhir calon Pelakon TV Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun ini. Baginya, pencalonan itu ibarat satu kemenangan dan isyarat awal kepadanya untuk terus meningkatkan prestasi ke peringkat lebih membanggakan.

“Saya rasa nama dicalonkan kerana semuanya atas ihsan dan kasih sayang peminat. Saya harus berterima kasih kepada peminat dan Berita Harian. Sebelum ini saya akui tidak begitu mengendahkan perkara sebegini.

“Namun, apabila disenarai pendek, ia umpama satu ruang untuk saya membuktikan bakat dan kemampuan yang ada. Calon lain yang bertanding tak dapat disangkal lagi kehebatan mereka dan saya tidak mampu menjangka sama ada mampu menewaskan yang lain,” katanya yang teringin untuk mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 jika berkesempatan.


DEMI mengelak lakonan stereotaip, Aqasha sanggup berehat seketika untuk mendapatkan ‘mood’ baru.

Bertemunya pada 3 Mac lalu di Restoran Kunang Kunang, Gombak, ketika sesi ramah mesra drama Julia Juli, Matahari dan drama Indonesia, Upik Abu & Laura untuk siaran di sebuah stesen TV swasta, dia kini sedang berehat seketika selama sebulan daripada berlakon.

Bukan merajuk atau ingin meninggalkan terus dunia seni, pelakon ini ada sebab berbuat demikian. Selain selesai menjalani penggambaran drama Julia Juli memegang peranan Putera Adika, dia turut melunaskan filem Rempit V3.

“Kerana banyak berlakon pada tahun lalu, saya perlu berehat menenangkan diri hingga beberapa ketika. Berat badan saya pun bertambah sebab saya memang kuat makan. Insya-Allah dalam bulan ini, saya akan kembali bekerja.

“Buat masa ini belum ada lagi tawaran drama yang boleh saya sahkan.

“Bukan saya tertekan menjalani penggambaran, malahan, saya seronok berada di set berlakon. Pada hemah saya, sebagai pelakon, kita memang perlu berehat dalam beberapa tempoh demi menjana semula pemikiran kreatif. Ia memberi peluang kepada saya untuk membentuk karakter baru dalam diri untuk hasil lakonan yang lebih baik,” katanya.

Aqasha mengaku apabila terlalu kerap dilihat TV orang akan mula mengesan gaya kerja dan lakonannya tetapi itu bukanlah bermaksud, dia tidak suka hasil kerjanya diperhatikan.

“Cuma, saya tidak mahu terus memberi lakonan yang sama saja. Jadi, saya ambil peluang untuk ‘menjauhkan diri’ dalam dunia lakonan seketika,” katanya yang mempunyai studio sendiri di rumah.

Masih cintakan dunia nyanyian, kini mungkin boleh diandaikan kerjaya lakonan menjadi keutamaan. Bukan bermaksud mahu terus melupakan bidang nyanyian, Aqasha memberitahu semuanya berbalik kepada soal ruang, peluang dan rezeki.

Katanya, kedua-dua bidang seni adalah jiwa yang sering melengkapi hidupnya dan kini tawaran berlakon lebih terbuka kepadanya. Jelasnya lagi, dunia nyanyian sudah jatuh ke tangga kedua.

“Bukan saya tidak sayangkan dunia nyanyian. Ia masih kuat dalam sanubari. Saya masih terdorong untuk menyanyi, tapi mungkin saya andaikan peminat sudah lupa yang saya bermula menjadi penyanyi.

“Biarlah, siapa tahu peminat saya sendiri akan kembali bertanya, mungkin ketika itu saya akan kembali menyanyi.

“Sebenarnya ada banyak lagu yang saya cipta tersimpan di dalam arkib. Malah, saya sudah ada dua buah lagu berjudul Obsesiku dan Raikan Kehilangan yang menjadi lagu tema untuk telefilem Joe & Faridah yang pernah disiarkan di Astro Ria,” katanya.

Menurutnya, tempoh berehat daripada lakonan juga akan digunakan untuk menyiapkan proses rakaman lagu single yang sudah agak lama terbengkalai.

“Tapi biasalah disebabkan masalah kewangan dan kesempitan waktu, semuanya tersangkut,” katanya yang mengharapkan 2009 akan terus memberi sinar ke dalam kerjaya seninya.

Tak lengkap bertemunya jika tidak bertanyakan soal peribadi. Bekas kekasih kepada pelakon dan penyanyi Tasha ini masih lagi ‘terbang solo’. Kata Aqasha, dia belum bertemu pengganti dan sebabnya mungkin berbalik kepada dirinya sendiri.

Biarpun cinta yang pernah dibina selama empat tahun sudah berakhir, dia dan Tasha masih berkawan baik. Putus kerana tidak sehaluan, Aqasha menjelaskan dia terlalu mementingkan kerja hingga tak mempedulikan orang sekeliling. Ke depan nanti, dia tidak menolak andai takdir masih kuat menyatukannya dengan golongan artis.

“Saya bersikap rasional. Soal artis atau tidak yang menjadi bakal isteri saya nanti, ini semua terserah kepada jodoh. Mungkin juga saat ini belum masa untuk saya bertemu dengan pengganti. Tapi syukurlah, keluarga saya begitu memahami.

“Saya bukan playboy, cuma saya perlu ruang untuk diri sendiri. Ketika bekerja, membaca atau berada di studio, saya memang tak suka diganggu. Mungkin saya terlalu cerewet memilih wanita yang betul-betul sempurna dan memahami diri ini,” katanya.

Info drama Julia Juli

Disiarkan dalam slot Lagenda sejak 3 Mac lalu

Diterbitkan Tenview Sdn Bhd dan disiarkan dalam 20 episod

Menggunakan dua pengarah iaitu Adam Hamid dan Jet Li.

Selain Aqasha, drama yang diadaptasi daripada cerita mitos, Jula Juli Bintang Tiga ini turut dibintangi Misha Omar, Dynas, Nik Sayyidah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Syawal AF, Rahim Jailani dan Imuda.

Berita Harian