Archive | Abby Abadi RSS feed for this section

Persona Linda

11 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

SAHUT CABARAN…Antara pereka fesyen yang memeriahkan Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008 di sisi Linda Onn, finalis bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular.

Penyampai radio popular yang juga seorang usahawan gigih ini tidak lagi mempermudahkan kehadiran insan bernama pereka fesyen

TAHUN kedua berlangsung, Anugerah Pereka Popular beriringan kerlipan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 terus menjadi aspirasi dan inspirasi menaikkan nama pereka fesyen tempatan yang masih hijau.

Idea menghasilkannya tahun lalu serentak dengan ABPBH 2007 dilihat mampu menjana serta menyerlahkan potensi insan kreatif ini. Buktinya, tahun ini lebih 25 orang pereka fesyen akan mengambil bahagian dan ini sekali gus menunjukkan graf peningkatan mendadak berbanding tahun lalu 18 orang.

Anugerah yang diwujud serta dicerna publisis popular, Bill Bora bersama sekretariat ABPBH ini bertujuan memberi penghargaan kepada pereka yang baru bertapak atau dianggap baru. Kerjasama pereka fesyen dan selebriti pantas terjalin, malahan peluang yang dibuka ini membuktikan dua entiti ini sebenarnya saling memerlukan.

“Acara permaidani merah dan apa sekali yang digayakan selebriti pasti dinanti-nantikan penggemar fesyen dan peminat yang sering menjadikan golongan ini sebagai perintis gaya. Melalui landasan ini juga membuktikan, dunia glamor yang menerjah ruang seni ini menggambarkan betapa kerjasama erat antara pereka fesyen dan selebriti begitu diperlukan,” kata Bill Bora lewat pertemuan dengannya selepas menjadi orang penting kepada projek ini.

Lalu, istimewa kehadiran penyampai radio Sinar FM tinggi lampai persis peragawati tersohor, Linda Onn dengan gaun labuh rona merah menjerit rekaan Bill Keith dipadankan dengan kain songket dijadikan aksesori tali pinggang seakan meraikan pereka fesyen yang terbabit untuk Pereka Fesyen Popular. Menyerlah personanya ditambah dengan pemakaian cincin, anting-anting dan gelang tangan tajaan Rafflesia The Pearl Centre, koleksi mutiara South Sea Pearls.


BILL Bora (kanan), orang penting di sebalik projek ini tekun memberi penerangan kepada pereka fesyen.

Mereka yang dimaksudkan dan hadir ketika sesi fotografi ini berlangsung ialah Hatta Dolmat, Razman Din, Azura Mazarudin, Rizman Ruzaini, Calvin Thoo, Faizal Azraf, Kent Khalil, Nurita Harith, Nik Erwan Roseli, Erwan Arsbo, Michael Shu, Hazwani, Nazreen Idris, Zery Zamry, Zack Ismail, Sya Shaharani, Khairy Sufi termasuk penyertaan pasangan kembar Puteri Azalea dan Puteri Yasmin yang memiliki butik PU3 di The Curve, Damansara.

Lagak dan pose mereka semua diibaratkan seperti model baru di dalam pencarian program American Next Top Model. Posisi Linda pula seperti Tyra Banks yang menjadi perintis program ikutan ramai itu. Bertema merah dan hitam, terserlah semangat membara mewakili warna merah dan hitam itu pula perlambangan menawan.

Ungkap Linda yang pernah mencipta kontroversi beberapa tahun dulu kerana gagal muncul di hamparan

permaidani merah di Anugerah Academy ke 79 pada 26 Februari 2007, perkataan ‘pereka fesyen’ itu cukup sinonim dengan dirinya.


Linda Onn

“Sebelum melandanya kes Linda di Los Angeles pada tahun itu, Linda sendiri tak sedar dan perasan sangat kepentingan pereka fesyen. Lagipun, Linda bukan seperti penyanyi yang perlu menukar busana setiap kali membuat persembahan. Kini persepsi Linda sudah berubah dan peranan pereka fesyen membuka mata ramai pihak.

“Linda puji usaha Berita Harian mengadakan pertandingan ini dan boleh dikatakan kehadiran pereka fesyen baru seperti cendawan tumbuh waktu pagi. Cuma, apabila persaingan semakin sengit, setiap pereka fesyen pula tampil kreatif dan tak dinafikan kerjasama mereka dengan selebriti sekali gus menaikkan nama mereka,” kata Linda yang ketika artikel ini ditulis sedang berbincang untuk menggunakan khidmat Nazreen Idris pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April depan.

‘Sebati dengan dunia radio’

NAMA Linda masih utuh lagi dan buktinya usahawan premis makanan My Moms Chicken Rice (MMCR) dan My Asam Pedas ini dicalonkan lagi dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2008. Ironinya, dia yang kini sedang merencana untuk membuka francais MMCR ke seluruh negeri bahkan ke luar negara, sudah lapan kali dicalonkan dalam kategori itu sejak 2001.

Enam kali mengekalkan kejuaraan untuk kategori itu sebelum dipintas pesaing terdekatnya, Fara Fauzana selama dua tahun, Linda melihat saingannya baik Fara, Nana, Leya dan Abby Fana hebat-hebat belaka. Linda yang sudah tiga bulan berhijrah ke Sinar FM ini turut memberikan contoh situasi sokongan yang diterima Fara daripada majikannya begitu jitu berbanding dirinya.

“Tidak bagi saya yang harus balik kepada asas iaitu harus bekerja keras untuk mengukuhkan label nama Linda Onn itu sendiri,” katanya ringkas sambil meninggalkan tanda tanya.

Tambahnya lagi, apa terjadi, biar ribut taufan datang melanda sekalipun, kecintaannya terhadap dunia radio masih belum terhakis.

“Dunia radio sudah cukup sebati sejak saya di bangku sekolah lagi. Ia sukar dipisahkan, malah saya tak boleh katakan, yang saya mungkin akan tinggalkan dunia ini biarpun sudah mempunyai jaminan kerja sebagai ahli perniagaan,” katanya tulus.

Mengintai kisah peribadinya, wanita kelahiran Johor Bahru ini dapat ditafsir sedang melalui fasa yang cukup membahagiakan. Selepas berakhirnya episod ‘teman tapi mesra’ bersama Fahrin Ahmad, dia dikatakan belum bertemu pengganti.

Namun, sehingga Januari lalu sewaktu dia membawa teman, seorang lelaki mat salih ketika menghadiri majlis resepsi Mawi dan Ekin di Hotel Palace Of The Golden Horses, mulalah anda yang memberi andaian lelaki itulah yang dicintainya sekarang.

“Namanya James Gibbs dan dia kawan lama yang Linda kenali sejak 10 tahun dulu. Kami berkenalan di Kuala Lumpur dan dia pernah mempunyai restoran suatu ketika dulu di sini. Dia seorang ahli perniagaan dan apa yang saya boleh katakan hubungan kami di peringkat serius sejak dua bulan lalu.

“Mengenalinya, Linda dapati, dia seorang yang lemah-lembut. Dia juga menghormati golongan wanita, setia dan benak fikirannya selalu pandang ke depan. Linda tahu ada pihak yang mempersoalkan motif tiba-tiba Linda membawanya ke majlis resepsi itu.

“Apa yang boleh Linda katakan, diri ini juga macam perempuan lain yang ada hati nak berkawan. Lagipun, tiada benda yang Linda nak selindungkan. Ada jodoh Linda dengan sesiapa sekalipun, biarlah lelaki itu baik. Insya-Allah, Linda minta jodoh dengan sesiapapun nanti berpanjangan,” katanya yang pernah merencana untuk menamatkan zaman bujang sekitar hujung tahun lalu atau awal tahun ini.

Lalu, persoalan di sini, siapa pula Hans Isaac di dalam hidup Linda. Kesempatan ini diambil Linda untuk merungkaikan gosip yang pernah timbul mengandaikan ada hubungan istimewa di antaranya dengan aktor kacak itu.

“Dia seorang kawan yang baik, malah tak keterlaluan Linda katakan dia seorang pendengar yang baik. Sewaktu berdepan dengan masalah dan perlukan teman untuk meluahkan perasaan, Linda akan bercerita dengannya.

“Kami boleh rapat dan serasi sebab bergelumang dalam bidang seni yang sama. Jika Linda menangis, dialah yang menggembirakan hati. Jangan risau, hubungan kami tak lebih daripada kawan. Linda akui pernah keluar dengannya bersama rakan-rakan lain. Tapi biasalah apabila Linda dan dia saja yang dikenali, maka diandaikan orang kami keluar berdua,” katanya yang mungkin akan mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 di Klang. Blog Linda boleh dilayari di http://www.linda-onn.blogspot.com.

Info menarik Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008

Puteri Azalea dan Puteri Yasmin adalah bekas adik ipar pelakon Nora Danish. Malah kembar ini akan mereka busana untuk Nora Danish bagi malam kemuncak ABPBH 2008 di Arena Of Star, Genting Highlands.

Anizam Yusof dan Shamsu Yusof turut akan menyertai pertandingan ini. Anizam akan mereka pakaian untuk Scha manakala Syamsu Yusof, Vanidah Imran.

Pereka fesyen Bill Keith, Jovian Mandagie dan Albert King turut mereka pakaian untuk beberapa orang selebriti terkemuka.

Setakat ini Calvin Thoo masih belum mempunyai senarai selebriti yang bakal melaram koleksi rekaannya.

Zack Ismail akan mereka pakaian untuk Nurul Alis atau Kiki, Razman Din (Abby Abadi dan Zul), Azura Mazarudin (Lisa Surihani, Alyah, Ainul Aishah), Rizman Ruzaini (Sariyanti dan Saerah), Faizal Azraf (Nana Era, Ayu OIAM), Kent Khalil (Abby Fana dan Ezlynn), Norita Harith (Juliana Evans), Nik Erwan Roseli (Dynas dan Mila), Erwan Arsbo (Diana Danielle dan Kenchana Dewi), Michael Shu (Adlin Aman Ramli, Nabil, Irma Hasmie, Diddy, Sharifah Shahira dan Faizal Ismail), Hazwani (Aleya dan suami), Nazreen Idris (Linda Onn, Saida dan Intan Ladyana), Zery Zamry (Elyana), Sya Shaharani (Zizie Ezette), Khairy Sufi (Amyza Adnan dan Hatta Dolmat (Siti Sarah dan Nurul Abdul Wahab).

Anugerah Pereka Popular ABPBH tahun lalu, kemenangan berpihak kepada Hatta Dolmat dan Michael Shu dibantu Lord’s Tailor masing-masing menjuarai kategori selebriti wanita dan lelaki.

Penghargaan

Solekan Linda Onn: Najeeb (012-2116962)

Lokasi: Hotel Istana

Busana Linda Onn: Bill Keith

Tiga aksesori mutiara South Sea White yang digayakan Linda Onn bernilai RM516,000.

Berita Harian

Perjalanan Rohani Isteri Mualaf

5 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
BAGI menyiapkan enam babak, ada kalanya tempoh penggambaran boleh mencecah sehingga 14 jam. Walhal selepas melalui proses suntingan, keseluruhan babak yang dipertontonkan hanya makan masa enam hingga tujuh minit daripada durasi 90 minit yang diperuntukkan untuk sebuah telefilem.

Namun, itulah hakikatnya serta cabaran yang perlu ditempuh ‘golongan kreatif’ yang terbabit dengan kerja pembikinan drama, telefilem mahupun filem.

Kesempatan mengikuti penggambaran telefilem Ku Mohon terbitan Temenggong Pictures Sdn Bhd baru-baru ini, memberi peluang kepada penulis melihat secara dekat proses pembikinan dilakukan.

Penggambaran dimulakan dari jam 8 pagi hanya bersurai kira-kira 10 malam itu diadakan di Pusat Perubatan Taman Desa (TDMC), Jalan Desa Off Jalan Klang, Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu. Drama arahan Fairuz Loy ini bakal disiarkan menerusi slot Cerekarama di TV3.

Fairuz Loy atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Mansur, 40, mengakui untuk menyudahkan satu-satu babak itu mengambil masa agak panjang kerana ia perlu diambil dari pelbagai sudut untuk mendapatkan visual serta kesinambungan yang menarik.

“Hari ini dan di lokasi ini saja terdapat enam babak yang perlu diselesaikan iaitu babak Julia menemui doktor untuk pengesahan kehamilan, babak ketika kandungannya mengalami komplikasi dan babak suaminya dikejarkan ke hospital kerana kemalangan.

“Turut diadakan, babak pertelagahan antara Julia dan mentuanya, babak ketika Azhar sedang koma serta babak Julia sedang berdoa.

“Untuk menyempurnakan keseluruhan babak, kami memulakan penggambaran sejak 8 pagi dan selesai sekitar jam 10 malam. Pun begitu, pada masa-masa tertentu kru dan pelakon berehat untuk bersarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

“Kerja produksi memang memenatkan. Mana tidaknya, untuk mendapatkan babak menarik walaupun hanya beberapa minit penggambaran lengkap biasanya mengambil masa satu hari,” katanya.

Fairuz Loy berkata, Ku Mohon yang dijayakan Fahrin Ahmad, Elaine Daly, Rosnah Mat Aris, Hafizuddin, Abby Abadi dan Mandy Chong adalah drama keluarga yang mengisahkan perjalanan hidup dan kerohanian seorang mualaf bernama Julia Khadijah lakonan Elaine, yang memilih Islam sebagai pegangan hidup.

Julia yang juga peragawati terkenal, diduga dengan hebatnya tetapi semangatnya tidak pernah luntur. Dia terus berpegang teguh kepada agama suci itu.

“Julia mendapat hidayah daripada Ilahi lalu memeluk Islam dengan kerelaan hatinya. Kemudian, ditakdirkan jatuh cinta dengan pemuda Melayu bernama Azhar (Fahrin). Sebagai saudara baru, Julia berharap dapat bergantung kepada suami serta mentua untuk membimbingnya menjadi Muslim sejati.

“Malangnya, Azhar dan keluarga hanya Islam pada nama. Julia pula yang tidak faham kenapa orang Islam sendiri tidak menjalankan tanggungjawab mereka, mula menegur sehingga berlaku persengketaan antara dia dan mentua.

“Azhar yang tewas desakan ibu mula berlaku curang sehingga mengabaikan Julia yang memerlukan bimbingan serta sokongan suami,” katanya.

Lazimnya, dalam kebanyakan drama yang mengangkat kisah ‘golongan mualaf’ ini memaparkan tentangan keluarga hingga dipinggirkan tapi menerusi Ku Mohon, Fairuz cuba lari daripada kebiasaan.

“Menerusi Ku Mohon saya cuba tonjolkan persepsi sebaliknya apabila ibu Julia merayu supaya dia tidak dilupakan sekalipun anak tunggalnya itu memeluk Islam.

“Saya sebenarnya membuat kajian pada era millenium ini ibu bapa semakin terbuka dengan haluan yang dipilih anak. Banyak contoh yang dapat dilihat dan terbukti ramai anak masih mempunyai hubungan baik dengan keluarga walaupun berbeza agama,” katanya.

Menumpukan lebih perhatian kepada watak Julia, Fairuz yakin penonton akan bersimpati dan tersentuh dengan nasib wanita itu. Elaine juga banyak menangis dalam drama ini dan watak Julia dijangka memberi perubahan yang besar kepada kerjaya lakonannya. Selama ini orang mengenali Elaine dengan watak biasa misalnya wanita moden dan model.

“Dia sendiri mengakui pada saya watak Julia begitu sukar kerana dia seorang yang sangat payah untuk menangis. Tapi ketika berbincang dengannya, saya minta dia bayangkan kalau ibunya sudah tiada. Saat kesedihan itu dirasai, kami terus memulakan penggambaran,” katanya.

Borak Lokasi

TAJUK: Ku Mohon

TERBITAN: Temenggong Pictures Sdn Bhd

PENERBIT: Tengku Noraishah Tengku Abd Aziz

PENERBIT EKSEKUTIF: Mohd Ruslan Osman

PENGARAH: Fairuz Loy

PENOLONG PENGARAH: Hamdan Yassin

SKRIP: Sofea J Rhyland

JURUKAMERA: Kamarul Azhar Mohd Yatim

JURUSOLEK: Mazlan Hashim

PENGURUS PRODUKSI: Zahari Shaari

PROPMASTER: Mohd Kamal Bahrin Mohd Anuar

RUNNER: Wan Ismalle Wan Ahmad

HANDYMAN: Zainal Ahmad

GENRE: Drama Berat/Dakwah Keislaman

SIARAN: TV3, Slot Cerekarama

PELAKON: Fahrin Ahmad, Elaine Daly, Rosnah Mat Aris, Hafizuddin, Abby Abadi, Mandy Chong

Harian Metro

Info TV: Drama Bersiri Terbaik Daripada TV3 Bulan Ini

5 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

NORKHIRIAH antara pelakon utama drama bersiri Matahari yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

PENGGEMAR drama bersiri tempatan pastinya tidak sabar untuk mengikuti cerita terbaru yang bakal mengisi tiga slot utama di TV3 iaitu Lagenda, Akasia dan Sinetron.

Ketiga-tiganya menyediakan drama menarik dengan pelakon hebat serta jalan cerita yang pastinya mengasyikkan khusus untuk tontonan penonton TV3. Ketiga-tiga drama tersebut adalah Julia Juli untuk slot Lagenda, Matahari dalam slot Akasia dan drama bersiri Indonesia, Upik Abu & Laura yang bakal disiarkan dalam slot Sinetron.

Julia Juli yang diterbitkan oleh Tenview Sdn Bhd. ini diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Adam Hamid dan sudah menemui penonton mulai 3 Mac lalu. Siri 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama komedi romantik ini membariskan pelakon handalan tanah air seperti Dynas, Nik Safiyah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Rahim Jelani, Syawal AF, Aqasha dan Imuda. Apa yang menarik drama ini turut mengetengahkan penyanyi popular Misha Omar.

Julia Juli adalah adaptasi dari sebuah cerita mitos bertajuk Jula Juli Bintang Tiga. Ia diolah semula menjadi drama bersiri sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Drama ini memberi tumpuan kepada tiga beradik yang berasal dari dunia kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu. Juli, kakak sulung taksub terhadap fesyen. Satu hari, setelah mengetahui dirinya akan dikahwinkan dengan Putera Adika yang tidak disukai, dia lari turun ke bumi dan terjumpa dengan Arif, seorang lelaki kaya. Arif yang terpikat dengan kecantikan Juli telah mencuri kalung identitinya dari dunia kayangan yang menyebabkan Juli lupa akan asal usulnya.

Slot Akasia pula menyiarkan drama bersiri Matahari bagi menggantikan Spa Q 2. Siri 44 episod ini bakal menemui penonton mulai 30 Mac. Drama ini diterbitkan oleh Pena Kreatif Sdn. Bhd dan hasil kerja dari pengarah berpengalaman Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb. Ia membariskan pelakon seperti Nisdawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Syukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.

Drama Matahari mengisahkan seorang wanita yang terus memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama. Kisah tragis Matahari, seorang wanita kampung naif yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan musibah hidup dan ini telah menukarkannya menjadi wanita penuh keterampilan. Dengan kekuatan dan kepandaian yang ada pada dirinya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi memenuhi keinginan diri. Apakah kesudahan kisah sendu Matahari ini?

Slot Sinetron pula mengetengahkan siri Indonesia Upik Abu & Laura menggantikan Jelita dan bakal disiarkan pada 30 Mac ini. Siri ini mempunyai 103 episod dan mengetengahkan pelakon popular Indonesia seperti Alyssa Soebandono, Cinta Laura dan penyanyi dan pelakon terkenal, Irwansyah.

Siri ini mengisahkan permusuhan antara Opie dan Laura, dua orang gadis yang datang dari dua dunia dan latar belakang yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk hidup. Opie seorang gadis miskin tetapi mempunyai hati yang baik. Dia berusaha untuk mencari tempat berlindung untuk dirinya dan adik-beradik angkatnya selepas diusir dari rumah mereka yang bakal dibangunkan sebagai pusat membeli-belah. Manakala, Laura pula seorang anak manja dari keluarga kaya yang telah ditarik keistimewaannya oleh ayahnya untuk mengajar dia tentang erti kehidupan dengan memaksa dia menjalinkan persahabatan dengan Opie.

Berita Harian

Dengarnya… Tahniah Tersenarai Top 5 ABPBH 2008

23 Feb

Oleh Normah Becok

MINGGU lalu, Cik Normah menghadiri majlis pengumuman senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Ada yang Cik Normah tak sangka-sangka akan dapat, tapi dapat. Mungkin itu sudah rezekinya selain dapat sokongan peminat, maka bersyukurlah. Cik Normah juga tumpang gembira dan kadang-kadang rasa geli hati Nurul Alis atau Kiki, personaliti RTM yang berjaya membolosi diri untuk kategori Pengacara TV Popular.

Berkali-kali kawan Cik Normah meyakinkan Kiki bahawa namanya tersenarai dalam Top 5. Kata kawan Cik Normah lagi, dia memang terkejut yang bukan dibuat-buat. Malah, sewaktu kawan Cik Normah itu hendak menghubunginya menerusi telefon untuk mendapatkan reaksinya, Kiki boleh cakap panggilan yang dibuat ala ‘panggilan hangit’ yang hendak mengenakan dirinya. Macam program Wakenabeb pun adalah. Yelah, siapa yang tak sangka, calon bukan kegemaran tiba-tiba naik nama ke peringkat akhir. Apa-apapun, Cik Normah ucapkan syabas kepada Nurul Alis.

Selain itu, ada juga nama seperti Elly Mazlein, Farahdhiya, Dafi, Remy Ishak, Fouziah Gous, Iqram Dinzly (sekadar menyebut beberapa nama) yang popular tetapi tidak tersenarai dalam Top 5 ABPBH 2008. Cik Normah pun pening, kenapa jadi begitu. Apakah peminat mereka kurang atau prestasi mereka semua pada tahap biasa-biasa saja. Apa pun itu semua adalah keputusan peminat dan pembaca Berita Harian/Berita Minggu.

Ada juga yang tidak lekang dengan kontroversi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Abby Abadi, Diana Danielle, Rita Rudaini, Akhil Hayy, Elyana, Faizal Tahir, Fahrin Ahmad dan Linda Onn tapi berjaya mencuri perhatian peminat untuk terus diundi mereka. Cuma Memey Suhaiza dan Norman Hakim sebagai antara contoh yang panas tahun lalu, tapi gagal menyerlah ke senarai akhir. Tak dilupakan pasangan suami isteri, Lisdawati dan Fauzi Nawawi pun begitu.

Scha antara ramalan Cik Normah yang tepat apabila dia turut tersenarai dalam Top 5 kategori Artis Baru Wanita Terbaik. Tapi Cik Normah risau, takut gosip cintanya dengan Fahrin akan membuatkan peminat mula jelak. Abby Fana pula antara penyampai radio yang jarang kedengaran kisah kontroversi tapi membuktikan sokongan peminat terutamanya mak cik dan pak cik yang suka mendengar celotehnya tidak pernah berbelah bahagi. Tak semestinya jarang mendapat pendedahan media tak boleh ke Top 5. Abby Fana dan Nurul Alis di RTM sebagai bukti terdekat.

Kata teman setugas Cik Normah, ABPBH 2008 kali ini nampak sengit dan meriah kerana senarai Top 5 memperlihatkan banyak wajah baru, segar dan muda seperti Stacy, Meet Uncle Hussain, Aizat, Aiman dan Estranged.

Cik Normah ucapkan syabas kepada semua senarai. Kepada peminat, buatlah undian mengikut pilihan sendiri secara jujur bukan sebab nak menang hadiah semata-mata. Hadiah ditentukan pada slogan yang baik dan kreatif bukan undian tepat. Jadi pilihlah artis yang digemari jika mereka berhak menerima pengiktirafan itu.

Berita Harian

Dengarnya… Muak Gelagat Norman, Abby

11 Feb

Oleh Normah Becok

BARU-baru ini teman sepejabat Cik Normah menerima e-mel daripada seorang pemerhati industri seni. Halnya masih tak habis-habis memperkatakan mengenai Abby Abadi dan Norman Hakim. Dalam e-melnya, dia boleh cakap Abby dan Norman ini lebih kurang sama perangai, dua kali lima jer. Masing-masing gatal dan nak tunjuk kehebatan boleh mengurat pasangan yang lebih muda.

Ikutkan hati, Cik Normah malas nak ulas lagi mengenai cerita mereka yang agak kurang kedengaran lagi. Sejuk dah kot? Tapi daripada orang nak bersimpati dengan Abby sebab Norman memilih Memey, alih-alih orang dah mula jelak. Cik Normah faham sangat motif Abby mencetuskan hubungan dengan pelakon dan model baru, Zul semuanya sebab nak buktikan kepada Norman, dia juga boleh memiliki kekasih. Tapi kalau Abby tak berbuat sedemikian, Cik Normah yakin sampai ke saat ini, masyarakat akan simpati kepada Abby.

Cik Normah dapat tahu, Abby sekarang pun mengikuti peredaran zaman dengan memiliki akaun Facebook. Amboi, status Facebook Abby sentiasa berubah-ubah ikut mood dia. Cik Normah pun ingat nak buat satulah, boleh Cik Normah kumpul peminat alam maya dengan lebih ramai lagi. Walaupun peminat Cik Normah di alam realiti pun sudah berjuta sampai tak terlayanlah. Nanti boleh Cik Normah jadi kawan Abby ye dan kalau Zul sudi pun okey juga. Trend memiliki akaun Facebook ini sudah menjadi kegilaan ramai orang dan tidak ketinggalan rakan artis di Malaysia pun ada.

Manalah tahu kan, kot ada yang melayari Facebook Cik Normah nanti dan melihat gambar koleksi Cik Normah persis peragawati mesti ada yang terbeliak biji mata dan ajak bercinta. Maaf, ‘cintan-cintun’ Cik Normah tak layan sebab Cik Normah sudah ada suami ye. Tapi kalau nak tawar Cik Normah berlakon, okey jugalah dan bolehlah Cik Normah pertimbangkan mengikut kesesuaian masa. Kesan teknologi canggih ini, rezeki pun turut datang macam pelakon Siti Zie yang ditawarkan berlakon filem CE1 arahan Aziz M Osman. Hebatkan penangan sekarang?

Berita Harian

Murai.Com Catat 8.8 Juta Bacaan

9 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ROSLEN dan Roy menunjukkan cara melanggan Murai menerusi telefon bimbit seperti yang
didapati di laman sesawang.

Kisah hangat, eksklusif dunia artis hidangan portal hiburan berusia lebih setahun ini pikat pelayar internet

LAPORAN terkini lagi eksklusif mengenai kisah hangat dunia artis tanah air muncul antara punca utama mengapa portal hiburan Murai.com.my berupaya menjadi pilihan utama pelayar internet yang dahagakan cerita terbaru golongan selebriti negara ini.

Cerita mengenai penangkapan khalwat pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang membawa kepada kes perceraian antara Norman dan Abby Abadi serta majlis perkahwinan bintang paling popular negara, Mawi dan Ekin sememangnya menarik begitu ramai pembaca untuk melayari portal berkenaan, penghujung tahun lalu.

Akibat suapan cerita hangat dunia hiburan yang bertalu-talu serta iklan sempena setahun kewujudan Murai di televisyen, radio serta papan iklan, portal itu mencatat jumlah bacaan (page view) sehingga 8.8 juta pada Disember lalu. Sebulan sebelum itu, Murai mencatat 6.7 jumlah bacaan sedangkan, selama setahun kewujudannya, portal berkenaan menyaksikan jumlah bacaan sekitar dua juta saja.

Dengan jumlah bacaan yang hampir mencecah sembilan juta, portal Murai kini mendahului beberapa portal hiburan lain berbahasa Melayu lain di negara ini.

Menurut Ketua Pengarang portal terbabit, Roslen Fadzil, gosip dan cerita panas mengenai dunia artis tempatan sememangnya banyak membantu portal terbabit muncul pilihan utama pelayar internet yang mencari-cari berita terbaru dunia selebriti.


KAKITANGAN Murai.com.my menyambut ulang tahun pertama portal hiburan itu November lalu.

“Pada awalnya, sasaran kita adalah untuk mendapatkan kira-kira 6 juta bacaan sebulan. Nampaknya sasaran itu bukan saja berjaya dicapai, malah kita berjaya mencatat hampir 3 juta bacaan tambahan sepanjang penghujung tahun lalu.

“Semestinya, ia perkembangan cukup baik bagi sebuah portal hiburan yang baru berusia kira-kira setahun. Nampaknya, kami di Murai perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan kedudukan nombor satu yang dimiliki ketika ini. Justeru, cerita yang lebih segar dan terkini harus sentiasa mereka muatkan untuk tatapan pelayar atau pengunjung portal,” kata Roslen ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan portal itu juga banyak bergantung kepada usaha sama yang diadakan bersama beberapa program televisyen popular terbitan Astro seperti Akademi Fantasia, Sehati Berdansa dan Raja Lawak.

“Maknanya, pelayar akan mendapat cerita yang lebih eksklusif mengenai program dan peserta rancangan berkenaan. Pihak saluran Melayu Astro sendiri memberikan kerjasama cukup baik kepada kami, begitu juga dengan radio berbahasa Melayu AMP yang sentiasa memberikan sokongan mereka dalam memantapkan lagi portal ini. Kami turut berbelanja dengan membeli ruangan iklan di radio Hot FM,” katanya.

Roslen tidak lupa menghargai sokongan padu diberikan Geng Murai yang kini sudah mencecah angka 7,000 orang. Katanya, anggota Geng Murai ialah sekumpulan pengikut setia portal itu yang cukup aktif, bukan hanya dari segi pelayaran portal, malah penyertaan mereka dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan Murai.

Antara aktiviti yang mencatatkan kejayaan pada tahun lalu ialah Skrin Amatur @ Murai yang memberikan peluang kepada bakat baru di kalangan anggota Geng Murai menyerlah keupayaan mereka dalam pembikinan filem pendek. Selain itu, Murai turut menganjurkan Hari Alam Sekitar Dunia 2008 di Zoo Negara. Edisi keduanya akan diadakan pada Julai nanti.

Manakala Aksi Murai pula kini berada peringkat perancangan untuk memasuki musim kedua, setelah program terbabit mendapat sambutan baik daripada penonton serta pelayar apabila ia diperkenalkan sempena kelahiran portal itu pada penghujung 2007.

“Kami memang memastikan supaya cerita atau berita yang disiarkan adalah selari dengan aktiviti yang kami anjurkan. Dengan cara itu, pelayar bukan saja mendapat kepuasan daripada segi pembacaan, malah mereka juga boleh membabitkan diri dalam aktiviti dianjurkan,” kata Roslen yang berharap Murai dapat pula menembusi institusi pengajian tinggi, swasta mahupun awam, pada tahun ini.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Murai, Roy Joackim berkata, bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap kandungan portal berkenaan, serta memudahkan mereka membaca cerita yang disiarkan tanpa perlu melayari internet, Murai memperkenalkan pakej langganan secara mobile kepada orang ramai.

“Bukan sekadar memudahkan orang ramai mengikuti cerita yang boleh didapati di portal ini, tetapi ia juga membolehkan mereka yang tidak mempunyai komputer turut sama membaca kandungan dalam portal Murai di telefon bimbit mereka,”ῠkata Roy.

Bagi peminat setia yang ingin melayari portal terbabit di telefon bimbit, mereka hanya perlu menaip perkataan murai dan hantarkan ke 32888. Ia juga membolehkan mereka mendapatkan video, nada dering, penghias skrin dan ‘screensaver’ eksklusif daripada portal hiburan berkenaan.

“Dengan portal WAP terbaru Murai, orang ramai boleh melayari laman web kami dan mengikuti perkembangan terkini dunia artis di mana saja mereka berada,”ῠkatanya.

Di samping pelayaran di telefon bimbit, tidak lama lagi orang ramai dapat pula melanggani perkhidmatan Panazz yang membolehkan mereka mendapatkan berita dan gosip terbaru daripada portal terbabit. Maklumat lanjut mengenai langganan perkhidmatan ini boleh didapati dengan melayari http://www.murai.com.my/mobile.

INFO: Murai.com.my

MURAI yang dilancarkan pada 21 November mencatatkan peningkatan dari segi jumlah bacaan, kunjungan, pengunjung unik (pengunjung kali pertama) serta tempoh masa pelayar di portal berkenaan. Dengan rekod yang dikeluarkan oleh Google Analytics dan Alexa.com, Murai kini berada pada graf teratas berbanding portal hiburan lain di Malaysia.

MULAI November 2007 sehingga Disember 2008, Murai mencatat jumlah bacaan sebanyak 32,746,801 menerusi 4,075,002 kunjungan dan 1,625,051 pengunjung unik dalam tempoh masa selama 8 minit 47 saat. Pada September 2008, jumlah bacaan Murai sebanyak 2.1 juta menerusi kunjungan 282,000 dan 140,000 jumlah pengunjung unik dalam tempoh masa 8 minit 13 saat. Pada Oktober 2008, jumlah bacaan ialah 2.3 juta, jumlah kunjungan sebanyak 306,000 dan 160,000 jumlah pengunjung unik dalam tempoh masa 7 minit 23 saat.

NOVEMBER 2008 menyaksikan peningkatan mendadak, dek berita hangat membabitkan beberapa artis tempatan. Sebanyak 6.7 juta bacaan dicatatkan, dengan 772,000 kunjungan dan 320,000 pengunjung unik dalam tempoh masa 10 minit 10 saat.

CATATAN lebih tinggi dilakukan Murai pada Disember tahun lalu dengan 8.8 juta, dengan jumlah kunjungan sebanyak 913,000 berserta 355,000 jumlah pengunjung unik, bagi tempoh masa 10 minit 46 saat.

KUALA LUMPUR ialah wilayah dengan catatan kunjungan tertinggi, diikuti Ipoh, Kota Kinabalu, Seberang Prai, Kajang, Kuching, Petaling Jaya, Shah Alam, Johor Bahru dan Kuantan. Kunjungan juga dicatatkan dari luar negara seperti Singapura, Brunei, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Norway, Australia, Indonesia dan Hong Kong.

Berita Harian

Abby Abadi Ligat Dalam Tempoh Edah!

30 Jan

[
Tonton video ]

KL, 30 JAN 2009:  Miss Propa kembali lagi minggu ini dengan celoteh tentang janda Norman Hakim, Abby Abadi, 31, yang masih dalam tempoh edah bercerai, pergi ke Guangzhou, China, dengan teman mesranya, Zulkifli Ariffin 23, baru-baru ini.

Yang peliknya, selepas pulang ke Sepang, Malaysia, mereka berdua cuba menyorok ketibaan mereka di lapangan terbang kerana telah menghidu kehadiran pihak media.

Sekiranya, tujuan mereka ke China untuk perniagaan atau membeli kain seperti yang didakwa, kenapa Abby dan Zul perlu mengelak atau hendak menyorok daripada wartawan?

Bukankah selama ini Abby sangat mesra dan sayangkan wartawan hinggakan hendak bercerai dengan Norman pun pun memanggil wartawan sebagai penonton?

Yang penting khabarnya, Zul dah punya seorang kekasih dan tindakan ke China itu telah melukakan hati kekasih Zul. Adakah Abby sendiri sudah menjadi orang ketiga sebagai mana Memey, bak kata pepatah, mengata dulang paku serpih?

Dalam pada itu, ketahui juga, bagaimana caranya untuk mendapatkan kemeja-T eksklusif murai.com.my yang dipakai Miss Propa dalam rakaman celotehnya itu. 

[Klik di sini untuk menonton video Miss Propa]

Murai