Archive | Acha Septriasa RSS feed for this section

Kongsi Pentas Rai Setiausaha

28 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MINGGU Setiausaha yang disambut sepanjang bulan ini bukan saja dijayakan penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Dan Pameran Matrade, Jalan Duta, 21 April lalu.

Malah minggu lalu juga dibanjiri beberapa lagi artis dari seberang menjayakannya di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 22 April.

Bukan sekadar empat penyanyi muda, Rio Febrian, Delon, Ello dan Irwansyah menjadi pilihan penganjur malah tiga pelakon, Samuel Rizal, Putra Ariffin serta Didi Riyadi.

Mereka digandingkan dengan penyanyi dan pelakon tanah air ketika acara permaidani merah menggayakan sut rekaan Lord’s Tailor bersama Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus.

Mereka juga berkongsi pentas secara duet bersama Jaclyn Victor, Siti Sarah dan Shila serta menjayakan sketsa bersama setiausaha. Betapa eratnya hubungan artis dua negara dalam satu majlis yang begitu meriah dapat disaksikan.

Walaupun setiap tetamu membayar RM290 dan RM350 setiap seorang untuk hidangan masakan Padang dan santapan mata bersama artis kacak serta terkenal, difahamkan, artis yang membuat persembahan pada hari itu tidak menerima bayaran.

Tujuh artis Indonesia yang datang dibayar dengan publisiti dan promosi sepanjang empat hari mereka berada di Kuala Lumpur. Banyaklah sesi fotografi dan pertemuan bersama media diatur penganjur dengan kerjasama syarikat rakaman Sony BMG Music dan Warner Music.

Untuk jejaka kacak yang melayan peminat di Grand Ballroom pula dibayar dengan sut Lord’s Tailor berharga RM3,500 hingga RM5,000 manakala penyanyi dibayar dengan peluang berkongsi pentas artis Malaysia dengan Indonesia.

Delon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Indonesian Idol 2004, berduet dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor menerusi lagu popular Celine Dion dan Andrea Docelli, The Prayer; Siti Sarah duet dengan Ello (I Feel Good) manakala Irwansyah dengan Shila (One In A Million) melalui lagu duet Irwansyah dengan Acha Septriasa, My Heart. Delon juga muncul solo melalui lagu Adinda, Ello (Masih Ada) dan Irwansyah (Camelia).

Azharina Azhar pula berpeluang memperkenalkan dua single terbarunya, Rasa dan Rawan manakala Delon, Rio, Ello dan Irwansyah berpeluang bertemu wartawan Malaysia untuk promosi album terbaru mereka edaran Sony BMG Music dan Warner Music.

 

 

Untuk tiga pelakon Indonesia pula, mereka dibayar dengan publisiti dan peluang bertemu produser tanah air untuk mengintai peluang berlakon di negara ini. Bagi Samuel, nama dan wajahnya sudah dikenali peminat di sini menerusi lakonannya dalam Eifel…I’m In Love dan filem tempatan, Sayang You Can Dance, tetapi Putra Ariffin dan Didi agak asing di sini.

Jaclyn yang anggun dengan gaun merah koleksi peribadi rekaan Bill Keith juga berpeluang menyanyi dengan Rio Febrian. Petang itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Jaclyn dengan Rio di pentas besar seperti Minggu Setiausaha untuk lagu duet mereka, Ceritera Cinta yang dirakamkan pada 2006.

Jac berkata, sebelum ini mereka bertemu untuk rakaman klip video lagu itu manakala menyanyi bersama hanyalah untuk acara kecil anjuran majalah hiburan sebelum ini.

Katanya, masa rakaman lagu itu juga diadakan berasingan kemudian apabila lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori balada. Rio tidak dapat memberi kerjasama lalu tempatnya digantikan Lah VE.

“Tapi kami pernah bertemu menjayakan video klip lagu itu. Dia seorang yang peramah dan baik dan saya gembira dapat berkongsi pentas dengannya hari ini,” kata Jac.

Bagi Delon, kesempatan menjayakan Minggu Setiausaha dianggap peluang keemasan untuk berkenalan dengan masyarakat di sini sekali gus memperkenalkan album barunya, Perasaanku yang diedarkan di Malaysia penghujung bulan ini.

Selain duet dengan Jac, Delon atau nama sebenarnya, Alexander Liaw Dalon Thamrim, 31, menyampaikan lagu daripada album Perasaan, Adinda.

Katanya, Adinda istimewa kerana ia lagu lama Titiek Puspa yang dirakamkan semula dengan muzik baru yang lebih segar.

“Saya bangga dapat merakamkan semula lagu Titiek Puspa yang dianggap legenda di Indonesia. Gubahan muziknya dilakukan Tohpati supaya menjadi lebih enak didengar.

“Sebenarnya bukan mudah untuk saya mendapat izin merakamkan semula lagu itu, tetapi atas bantuan orang kuat Sony Music Indonesia, segalanya menjadi mudah. Saya juga bangga apabila Titiek Puspa memuji hasilnya.

“Untuk salam perkenalan di sini, saya pilih lagu ini kerana muziknya ada sentuhan Melayu. Saya juga sedar kurang dikenali di sini dan berharap kunjungan ini memberi pendedahan kepada semua.

“Sepanjang berada di sini, jadual harian saya padat dengan sesi bertemu wartawan. Malah saya berpeluang menghadiri majlis ulang tahun TV9 di Sunway Lagoon,” katanya.

Sementara itu Ello atau nama sebenarnya, Marcello Tahitoe baru saja melancarkan album keduanya, Realistis/Idealis di Indonesia Februari lalu dan untuk pasaran Malaysia sejak 24 Mac lalu. Rio Febrian mempertaruhkan album Aku Bertahan manakala Irwansyah album Soliter.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Berpisah Lebih Baik

25 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Irwansyah

Sejak hubungannya Acha Septriasa sudah terlerai, Irwansyah tidak mahu fikir soal pengganti

DARIPADA percakapan, riak wajah dan bahasa badan yang ditunjukkan, nyata lelaki ini masih kuat menyayangi bekas kekasihnya, Acha Septriasa. Mungkin kerana keletihan akibat tidur yang tidak cukup, atau berat hati pada mulanya untuk menyambung topik cinta yang gagal bersama pelakon dan penyanyi jelita itu, ada kala Irwan tunduk dan memandang ke arah lain apabila diajukan soalan berkaitan.

Namun, selepas diselang dengan jenaka dan hilai tawa wakil media, Irwan tampak makin selesa berbicara mengenainya. Sememangnya dia mengaku, perasaan sayang kepada bekas buah hatinya masih kuat bersarang dalam hatinya. Cuma, jodohnya dengan Acha agak liat, sehingga perpisahan dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian.

Tidak mahu menuduh sesiapa berlaku curang, tetapi anak muda berusia 24 tahun ini tidak menafikan faktor berjauhan antara dirinya dengan Acha antara faktor utama mengapa perpisahan itu berlaku.

Beberapa kali keretakan hubungan itu cuba diperbaiki, sebaliknya jaraknya kian besar. Mereka memilih kata akhir untuk memutuskan saja pertalian kasih yang dipintal dalam pertemuan yang terjadi menerusi filem Heart, kira-kira tiga tahun lalu.

Ketika filem itu memuncak popularitinya, dua bintang muda ini muncul insan paling hangat diperkatakan bukan hanya kerana lagu nyanyian mereka yang meletup di Indonesia dan Malaysia, bahkan kisah cinta mereka yang menghiasi kebanyakan tabloid kedua-dua negara. Kisah cinta itu diteruskan lagi dengan penghasilan filem Love is Cinta, pada 2007.

Begitupun, pertengahan tahun lalu, timbul cerita kononnya pasangan ini tidak lagi bahagia. Acha pernah membuat pengakuan pada Julai tahun lalu, cinta jarak jauh menyukarkan hubungan mereka. Khabarnya, kata putus mereka ucapkan hanya menerusi telefon.

“Saya belum ada nyai pengganti, tidak sebagaimana Acha. Nampaknya dia sudah menemui jejaka yang lain, yang khabarnya bukan insan seni,” cerita Irwan yang ditemui sewaktu berada di Kuala Lumpur untuk menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana.

Sambil memberitahu, dia dan Acha masih berhubungan sebagai sahabat, Irwan berkata, pelakon wanita itu turut berkunjung ke rumahnya tatkala dia menyambut ulang tahun hari lahirnya Mac lalu.

Ditanya apakah dia kelihatan agak kurus kerana memikirkan kegagalannya dalam bercinta, pemuda itu menafikannya sambil mendakwa, beratnya menurun kerana kepenatan bekerja.

Tumpuannya kini pada lakonan. Pada hujung minggu pula dia sibuk dengan persembahan serta siri promosi album.

“Perpisahan itu mempunyai kesannya. Saya jadi susah untuk makan dan sukar bekerja. Tetapi, tidaklah sampai hendak membunuh diri sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak. Saya ambil masa untuk keluar daripada kekusutan akibat putus cinta,” katanya.

Jika dirinya ditemukan dengan cinta baru, kata Irwan, biarlah insan yang berjaya mencuri hatinya itu bukan daripada golongan artis, serta tidak mempunyai impian untuk merantau jauh!

Penyanyi yang kini hangat bersama lagu Camelia petikan album solo pertamanya, Soliter, turut menafikan lagu Ku Tunggu Jandamu sebenarnya bercerita mengenai dirinya dan Acha. Begitupun Lagu Untukmu memang dicipta untuk bekas kekasihnya itu.

“Keseluruhan lagu dalam album itu boleh diibarat sebagai luahan hati saya. Sedangkan, ia dirakam sebelum perpisahan antara kami terjadi,” kata Irwan.

Mengenai gosip mengatakan dirinya dan pasangannya dalam siri Upik Abu dan Laura, Cinta Laura mempunyai hubungan istimewa, jejaka itu menjelaskan, perhubungannya bersama pelakon muda itu tidak lebih daripada perhubungan sesama artis.

“Laura masih anak kecil yang suka bermanja di lokasi. Hakikatnya, tidak ada apa-apa hubungan istimewa antara kami. Kami hanya akrab di lokasi, Saya berasakan, Infotainment di Indonesia sengaja memperbesar-besarkan cerita ini,” katanya sambil menguntum senyuman.

INFO: ALBUM Soliter di Indonesia sudah terjual melebihi 20,000 unit. Nada dering lagu Ku Tunggu Jandamu pula sudah dijual sekitar 500,000, manakala bagi lagu Camelia, lebih sejuta nada deringnya dimuat turun peminat.

MENERUSI album solonya itu, Irwansyah menyanyikan lagu ciptaan Kangen Band, Dewiq, Alam Urbach, Opick, Jimmo serta lagu ciptaan bersama Sandy Canister, Pay & Egus Suhu.

IRWANSYAH terpaksa menolak tawaran berlakon filem Sebelah Mata, yang mungkin menyaksikannya memegang watak peninju kerana watak itu memerlukan dia membotakkan kepala. Pelakon itu mengetepikan tawaran itu kerana dia masih lagi terikat dengan siri promosi album Soliter.

Pelakon dan penyanyi turut bertanding pada Pilihan Raya Umum Indonesia baru-baru ini mewakili Parti Indonesia Sejahtera. Dia bertanding di Daerah Solo. Bagaimanapun, pemuda ini tewas dalam percubaan pertamanya. Namun dia berhasrat meneruskan minat barunya dalam politik dengan memperjuangkan nasib generasi muda di negara berkenaan.

PENYANYI ini mempunyai adik lelaki, Hafiz, 21 tahun, yang turut membabitkan diri dalam muzik. Hafiz yang bermain gitar mempunyai kumpulan sendiri, diberi nama Lexa. Ada kalanya, Hafiz turut mengiringi persembahan Irwan.

Berita Harian

Masih Mencintai Acha

23 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

“Cukuplah saya mengalami penderitaan sebelum ini. Banyak lagi perancangan yang ingin saya realisasikan demi mencapai cita-cita bergelar anak seni” – IRWANSYAH

BERAKHIRNYA sebuah hubungan cinta dengan pelakon dan penyanyi popular, Acha Septriasa sebelum ini tidak dinafikan memberi tekanan hebat kepada Irwansyah.

Menyedari berpatah arang dengan wanita yang dipujanya bukan sebagai penutup kehidupan, namun pemilik seraut wajah kacak itu tetap merasai kesakitan melepaskan Acha pergi.

Paling mengejutkan, sebelum ini ada juga khabar angin yang mengaitkan empunya diri mengalami masalah kemurungan. Bahkan, pemuda berusia 24 tahun itu juga dikatakan pernah cuba membunuh diri.

Sejauh mana kebenarannya? Irwansyah yang ditemui pada majlis pelancaran album solo perdananya, Soliter yang diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, mempunyai jawapan tersendiri.

Tenang sekali menjawab persoalan yang dilayangkan pihak media tempatan kepada dirinya, Irwansyah menjelaskan, perpisahan yang telah terjadi itu benar-benar memberi impak mendalam terhadap hidupnya.

“Bayangkan, dalam tempoh dua bulan hidup saya jadi tidak keruan. Saya tidak boleh buat kerja termasuk menolak tawaran nyanyian dan lakonan, tidak punya selera makan sekali gus banyak aktiviti saya yang tergendala.

“Ketika itu saya memang sedih dan kecewa mengenangkan masalah yang berlaku, tetapi tidaklah sampai saya hendak bunuh diri seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak media di Indonesia,” jawab Irwansyah sambil melakar senyuman kelat tanda dirinya tidak pernah berfikiran sempit untuk melakukan perkara yang dilaknat oleh Allah itu.

Meskipun anak kelahiran Jakarta itu masih boleh tersenyum, namun mata kuyunya tidak mampu menipu kesedihan yang masih berbekas di hati.

Hingga ke saat ini, dia mengakui masih mencintai Acha, cuma malangnya perhubungan mereka tidak dapat bercantum indah seperti sebelumnya.

Hubungan mereka mula dilanda bahang keretakan apabila Acha melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, Malaysia dalam jurusan Komunikasi Massa, Februari tahun lalu.

“Saya lihat saling berjauhan menjadi faktor kepada terputus hubungan cinta dengan Acha yang amat saya sayangi,” luah pelontar lagu Pencinta Wanita itu berterus-terang.


IRWANSYAH menolak spekulasi mahu membunuh diri gara-gara putus cinta dengan Acha.

Irwansyah menyambung, dia berat hati untuk membiarkan Acha berlalu pergi bagi melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Biarpun begitu, saya tetap merelakan pemergian Acha kerana perancangan untuk belajar di negara orang merupakan kemahuan Acha dan keluarganya sendiri.

“Saya tidak melarang, sebaliknya tetap beri galakan kepada Acha untuk meneruskan niatnya sambung belajar.

“Tidak terkecuali, saya sempat menasihati dia agar menjaga kelakuan, pergaulan dan paling penting adalah dengan sentiasa mengingati saya yang berada jauh di Jakarta.

“Hendak buat macam mana, nasihat saya seolah-olah macam dibiarkan begitu sahaja, tanpa dipedulikan oleh Acha.

“Akhirnya saya pula yang menanggung derita akibat berakhirnya perhubungan cinta ini,” ujarnya kesal.

Sikap romantis Irwansyah terhadap Acha tidak hanya diluahkan dengan perbuatan dan kata-kata, sebaliknya dia juga menghasilkan sebuah lagu berjudul Lagu Untukmu, yang didedikasikan khas untuk Acha sebelum ceritera cinta mereka musnah.

“Lagu ini menjelaskan perasaan sebenar saya yang cukup berat hati untuk melihat kekasihnya pergi.

“Acha tahu saya cipta lagu ini untuk dirinya. Sebelum dia pergi ke Malaysia, Acha sudah mendengar lagu ini dan memberikan reaksi teruja tatkala mendengar lagu dan melodinya.

“Dia akui amat terharu dengan penghasilan lagu ini, namun dalam perasaan terharu ini, dia tetap meninggalkan saya,” ucap Irwansyah sambil tertawa besar seakan-akan cuba memujuk diri sendiri.

Sebelum ini, Acha pernah digosip menjalinkan hubungan cinta dengan vokalis Ungu, Pasha. Acha juga dikaitkan oleh isteri Pasha, Okie Agustina Sofyan, sebagai individu utama yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.


MENGAKUI bosan dengan gejala politik wang yang menguasai Indonesia.

Menyambung perbualan, pelakon filem Heart itu masih belum memikirkan soal mencari pengganti Acha apatah lagi dirinya masih belum bersedia untuk berpacaran.

“Saya belum ada teman wanita baru. Buat masa ini, saya ingin meneruskan kerjaya seni terlebih dahulu berbanding memikirkan perihal cinta.

“Cukuplah saya mengalami penderitaan sebelum ini. Banyak lagi perancangan yang ingin saya realisasikan demi mencapai cita-cita bergelar anak seni yang berjaya kelak,” ungkap jejaka tinggi lampai itu yang enggan menjalinkan percintaan dengan golongan selebriti lagi selepas ini.

Ditanya tentang hubungannya dengan pelakon baru, Cinta Laura, 16, yang dikenali sewaktu penggambaran sinetron Upik, Abu Dan Laura, Irwansyah lekas menjawab: “Hubungan saya dan dia (Laura) macam adik dan abang.

“Tiada istilah kami bercinta, sebaliknya sikap Laura yang kebudak-budakan membuatkan saya benar-benar melayan kerenahnya umpama seorang abang.”

Bertanding dalam pilihan raya

Dalam perkembangan yang sama, Irwansyah menjadi antara artis yang bertanding pada Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia pada 9 April lalu.

Dia yang bertanding di bawah tiket Parti Indonesia Sejahtera, yang memperjuangkan nilai murni golongan anak muda di negara kelahirannya itu, bagaimanapun tewas di tangan calon lain.

Irwansyah berkata, minat untuk menyertai bidang politik disebabkan peluang sudah tersedia di depan mata, bukan kerana terikut-ikut dengan golongan artis Indonesia yang semakin galak melibatkan diri dalam dunia politik.

“Saya ada kawan-kawan yang melibatkan diri dalam politik. Saya akui masih belum begitu profesional dan harus mempelajari banyak perkara yang berkaitan arena politik.

“Dalam tempoh dua hari bertanding di daerah Solo, saya berjaya mengumpul sebanyak 50,000 pengundi.

“Memanglah ia menunjukkan perkembangan yang membanggakan. Namun tidak lama kemudian, undian terhadap saya mulai merosot dengan banyak.

“Barangkali saya menjadi individu yang tidak menabur wang kepada para pengundi. Disebabkan itulah saya kalah dengan teruk,” jelas Irwansyah yang bosan dengan senario politik wang yang beraja di Indonesia selama ini.

Tidak mudah berputus harap, sebaliknya Irwansyah menyasarkan tempoh lima tahun lagi untuk bergelar seorang ahli politik yang berjaya.

“Kalau saya sudah bergelar tokoh politik suatu hari nanti, saya tetap tidak akan melupakan dunia seni yang amat saya cintai sejak daripada kecil lagi.

“Ada kemungkinan saya akan berkarya di belakang tabir sahaja. Paling penting, bidang nyanyian dan lakonan tetap tidak saya lupakan walaupun selepas ini saya sibuk dengan kerjaya politik,” jelas Irwansyah bersungguh-sungguh.

Dicemuh peminat di Malaysia

Meskipun realitinya mereka bukanlah penyanyi sejati, sebaliknya pelakon yang diasuh untuk menyanyi, tetap mempertahankan prinsipnya untuk terus memperbaiki diri dalam dunia seni suara.

Irwansyah sebelum ini dicaci dengan pelbagai kata-kata negatif yang mengaitkan dirinya tidak boleh menyanyi dengan baik.

Lantaran itu, menerusi album solo Irwansyah kali ini, apakah yang ingin dibuktikannya kepada khalayak tentang penghasilan Soliter?

Irwansyah menjawab: “Suara-suara yang cakap saya tidak boleh menyanyi dengan baik bukannya datang daripada peminat saya di Indonesia, sebaliknya ia lantang disuarakan di Malaysia.

“Terus-terang, saya diterima dengan baik oleh peminat di sana (Indonesia), tanpa ada sebarang prejudis terutama tentang mutu vokal saya.

“Saya akui bukannya hebat, tetapi sekurang-kurangnya saya masih belajar memperbaiki teknik suara yang betul dengan individu berpengalaman di negara saya.

“Lantaran itu, saya harap selepas ini peminat di sini (Malaysia) tidak lagi mempersoalkan tentang vokal saya. Berilah peluang kepada saya untuk menunjukkan bakat yang dimiliki,” mohon Irwansyah yang benar-benar mahu menampilkan kebolehannya menyanyi menerusi album Soliter.


TINGGAL memori. Tiada lagi cinta antara Irwansyah dan Acha.

Menggabungkan sebanyak 10 buah lagu pop organik, Soliter merupakan percaturan pertama Irwansyah secara solo selepas begitu popular dengan kolaborasi bersama Acha.

Album itu juga menampilkan kerjasama bersama komposer terkenal seperti Melly Goeslow, Dewiq dan Opick.

Mempertaruhkan single pertama, Ku Tunggu Jandamu, ciptaan Melly, lagu-lagu lain yang dimuatkan adalah Jangan Menungguku, Wajahmu, Camelia dan Lagu Sedih.

Lagu-lagu lain yang ditampilkan termasuklah Jangan bohong, Tinggalkan Aku, CLBK (Cinta Lama Bersemi Kembali) dan Tak Cinta Lagi.

Kosmo

'Itu Gambar Juwita, Bukan Saya'

20 Apr

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
GARA-GARA gambar mirip dirinya disebarkan di Internet, nama Acha Septriasa, yang kini mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing sejak Februari tahun lalu, jadi bualan peminat dan menjadi buruan media di negaranya.

Gambar itu memaparkan Acha tampil seksi hingga menampakkan pakaian dalam berwarna hitam.

Tidak cukup dengan itu, Acha memegang rokok di tangan kanan manakala tangan kanan menunjukkan simbol metal. Gambar lain pula Acha duduk santai dengan gaya yang seksi.

Selepas beberapa kali mengelak ketika diminta wartawan mengulas pengedaran gambar itu ketika pulang ke Jakarta, Indonesia untuk penggambaran sinetron terbarunya, Sakinah, akhirnya pada 8 April lalu, Acha sedia bersuara.

Penyanyi yang popular dengan lagu Berdua Lebih Baik ini mendakwa gambar berkenaan bukan dirinya sebaliknya adik kandungnya, Juwita Marsha.

Katanya, apa pun terjadi dia tetap memberi sokongan penuh kepada adiknya.

“Saya sudah melihat gambar yang disebarkan di Internet, tetapi itu bukan saya, itu adik saya. Bagaimanapun, saya memberitahu adik anggota keluarga saya sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Saya hairan bagaimana gambar itu boleh disebarkan di Internet. Tapi itulah kerja orang yang tidak bertanggungjawab dan suka mengambil kesempatan,” katanya.

Acha yang dikenali melalui filem Heart, tidak menyalahkan kelakuan adiknya.

Katanya, sebagai remaja Juwita teruja dengan pakaian pendek.

 

 

“Sebenarnya peristiwa itu sudah lama, sudah tujuh bulan. Saya juga sudah lupa. Bagi saya penampilan begitu lumrah bagi remaja yang mahu keseronokan dengan keluar bersama kawan-kawan.

“Kebetulan ada yang letak dalam Facebook sedangkan dia sendiri tidak mempunyai gambar itu,” katanya.

Kata Acha atau nama sebenarnya, Jelita Septriasa, kalau dilihat sepintas lalu sememangnya antara dia dan Marsha seiras bahkan ada mengatakan mereka kembar. Katanya, pengakuannya ini sekali gus membersihkan nama baiknya mengenai berita yang disebarkan mengatakan dirinya berani tampil seksi dan sangat seronok begitu.

“Tiada apa yang boleh saya katakan mengenai perkara ini selain mengingatkan adik saya supaya lebih berhati-hati kerana teknologi makin canggih dan kita sudah tidak punya privasi lagi.

“Saya juga berharap selepas ini tidak timbul gosip lagi kerana masalah yang dulu sudah sangat berat. Saya bukan sedih, tetapi ia juga banyak memberi pengajaran kepada saya.

“Paling penting, jangan menilai seseorang dari luaran saja. Saya tahu dia budak baik dan bijak, jadi janganlah dibesar-besarkan perkara itu,” katanya.

Dalam Love Is Cinta arahan Hanny R Saputra, Acha bukan saja berganding dengan kekasihnya, Irwansyah malah adiknya, Juwita.

Filem itu ditayangkan di pawagam Indonesia pada 16 Mei tahun lalu.

Meskipun kini menetap di Kuala Lumpur, pelakon dan penyanyi kelahiran Jakarta pada 1 September 1989 ini turut menggemparkan peminat apabila mengakhiri hubungan cintanya dengan Irwansyah pada Julai tahun lalu dan akhir tahun lalu digosipkan pula dengan Pasha Ungu.

Acha juga dikatakan penyebab perceraian Pasha dan isterinya Okie.

Baik Acha mahupun Pasha menafikannya, tetapi Pasha mengakui ada menghadiahkan Acha jam tangan.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Nirina Tekad

16 Apr

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

SAMA-SAMA menceburi dunia seni yang penuh dengan dugaan dan gosip, namun pelakon dan pengacara Nirina Zubir, 29, yakin dia dan suami, gitaris kumpulan Cokelat, Ernest Cokelat, 30, mampu melayari kehidupan bahagia bersama rumah tangga yang baru dibina.

Pasangan yang bertunang pada 9 November tahun lalu, selamat dinikahkan pada 5 April lalu di rumah yang menjadi kediaman rasmi mereka di Perum Mediterania Cluster Diamond, Jakarta Barat dengan tema Rumah Masa Depan.

Pelakon sinetron Assalamualaikum Cinta dan filem Heart ini berkata, apabila dia dan Ernest bertemu bapanya, H Zubir Amin untuk memaklumkan rancangan mereka untuk hidup bersama, sekali gus meminta restu, bapanya yang juga mantan diplomat, meminta mereka memikirkan semula perkara itu sedalam-dalamnya.

Kata bapanya, mereka perlu berhati-hati sebelum membuat keputusan mengenai kehidupan masa depan mereka, apatah lagi kedua-duanya hidup dalam dunia infotainment yang penuh dengan gosip.

Nirina dan Ernest diminta memikirkan semula keputusan itu dengan matang dan sebaiknya. Apabila sudah pasti, barulah bertemu semula dengannya.

“Beberapa hari selepas itu, kami datang semula dan menyampaikan keyakinan saya untuk berkahwin dengan Ernest. Saya mengaku sudah sedia memikul tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.

Bapa Nirina juga berpesan, kalau menghadapi masalah rumah tangga, jangan bercerita dengan orang luar kerana ia boleh mengundang bahaya. Sebaliknya, mereka berdua selesaikan dengan cara berbincang dan jangan menggunakan emosi serta belajar daripada-teman artis lain.

Nirina atau nama sebenarnya, Nirina Raudatul Jannah Zubir dinikahkan dengan Ernest atau Ernest Fardiyan Sjarif oleh penghulu dari Kantor Departemen Agama, H Musholi pada 5 April lalu, jam 10 pagi waktu Indonesia Barat, dihadiri keluarga kedua-dua pengantin dan juga sahabat-handai.

Dua perkara menarik mengenai pernikahan mereka, ia diadakan di rumah yang bakal mereka diami bersama dan bukannya di rumah keluarga seperti kebiasaan pasangan lain serta mas kahwin yang diminta Nirina daripada suami berupa komputer riba (laptop).

Nirina berkata, mereka memilih melangsungkan pernikahan di rumah sendiri kerana rumah itu bakal menjadi tempat kediaman mereka selepas ini dan setiap hari boleh mengingati detik bersejarah sumpah pernikahan mereka berdua.

 

 

“Kami menikah di rumah juga kerana rezeki dan akan selalu mengingati detik penting itu. Setiap bangun pagi, pasti kami ingat pernikahan kami berlangsung di tempat ini.

“Selain itu, selesai pernikahan, ada doa dan rumah ini dapat banyak doa. Jadi rumah ini jadi berkat,” katanya.

Mengenai mas kahwin pula, Ernest berkata, ia permintaan Nirina kerana selepas ini mahu memulakan perniagaan sendiri dan komputer riba sangat berguna untuk membantu kelancaran perniagaannya.

“Memang itu yang dipesan Nirina ketika saya bertanya kepadanya mengenai mas kahwin sebagai pemberian saya. Sebabnya, saya mahu biar apa yang diberi itu benar-benar berguna kepadanya.

“Memandangkan Nirina mahu memulakan bisnes sendiri, jadi dia minta dibelikan barang yang sangat diperlukannya,” katanya.

Selain komputer riba sebagai mas kahwin, Nirina juga menerima kelengkapan solat dan wang Rp549,000. Apabila ditanya makna di sebalik nilai Rp549,000, Nirina hanya menjawab, “Kalau Rp50 juta boleh beli mobil tetapi yang penting makna pemberian itu.”

Pada majlis itu, Nirina anggun dengan kebaya renda putih rekaan Anna Avantie lengkap dengan hiasan kepala mengikut adat Minang. Pada malam harinya, berlangsung majlis resepsi di tempat sama dihadiri ramai rakan artis seperti Bella Saphira, Luna Maya dan Titi Kamal.

Dua hari sebelum pernikahan, diadakan majlis membaca al-Quran di rumah keluarga Nirina di Perumahan Qariyah Thayyibah, Kebun Jeruk, Jakarta Barat diikuti majlis berinai Bainai mengikut adat Minang atau Midodareti (Jawa). Untuk majlis ini, Nirina mengenakan busana serba putih lengkap bertudung biru dan pada kaki dan tangannya diinai dengan corak hiasan Arab.

Untuk majlis ini, Nirina tidak dibenarkan bertemu Ernest tetapi masih berpeluang menyaksikan buah hatinya diinaikan kedua-dua orang tuanya dan juga keluarga tertua daripada keluarga kedua-dua pihak sebagai tanda restu, melalui TV LCD.

Kata Nirina, untuk majlis nikah, dia memilih busana tradisional dan budaya rekaan Avanti manakala majlis resepsi memilih busana mengikut adat Minang Pariaman sebelah bapanya. Nirina juga berganti busana daripada adat Minang Bukittinggi.

Nirina yang dilahirkan di Madagaskar pada 12 Mac 1980 memulakan kerjaya sebagai VJ MTV Indonesia selama beberapa tahun kemudian menceburi dunia lakonan menerusi filem pertama, 30 Hari Mencari Cinta pada 2005 diikuti filem Mirror.

Kerjayanya disifatkan berada di puncak pada 2006 apabila berlakon filem psyco-thriller Belahan Jiwa diikuti filem Heart. Walaupun dalam filem itu, Acha Septriasa memegang watak utama, lakonan berkesan Nirina menambat hati juri untuk anugerah Pemeran Utama Wanita Terbaik di Festival Filem Indonesia 2006.

Melalui filem terbitan PT Kharisma Starvision Plus ini, Nirina bukan saja berlakon di samping kekasih, Ferry Ardiansyah, malah berpeluang menyanyikan lagu Hari Ini, Esok dan Seterusnya untuk soundtracknya bersama Acha dan Irwansyah.

Filem Kamulah Segala-galanya arahan Hanung Bramantyo pada 2007 diikuti Get Married 2008 mengukuhkan lagi nama Nirina apabila menang Pemeran Utama Wanita Terfavorit di Anugerah Filem Indonesian 2008.

Akhir-akhir ini, Nirina mencuba berlakon sinetron menerusi Diva diikuti Assalamualaikum Cinta yang pernah disiarkan TV9 dan baru saja selesai menjalani penggambaran sinetron Dewi.

Ernest pula mula menyertai Cokelat secara rasmi sebagai pemain gitar pada 31 Mei 2003 selepas menimba pengalaman menjadi pengganti Roberto Pieter. Pemuzik kelahiran Bandung pada 9 Januari 1979 ini adalah adik Edwin yang lebih awal menyertai Cokelat.

Percintaa mereka mula diketahui media pada Ramadan lalu dan mengakui mula rapat sejak bertemu di Barbados Caf
, Kemang, Jakarta Selatan pada 29 September 2006. Sebelum itu, Nirina pernah bercinta dengan Ferry Ardiansyah dan juga Gading Martin.

Selepas pernikahan ini, Ernest hanya diberi cuti sehari kerana 7 April lalu sudah mula bekerja untuk menjayakan program TV One menjelang pilihan raya pada 9 April lalu dan Cokelat juga dijadual mengadakan konsert di Malaysia.

PROFIL

Nama sebenar: Nirina Raudatul Jannah Zubir

Tarikh lahir: 12 Mac 1980

Tempat lahir: Madagaskar

Tinggi: 158 sentimeter

Agama: Islam

Bapa: H Zubir Amin

Ibu: Cut Indria Martini

Suami: Ernest Fardiyan Sjarif

Kerjaya: Pengacara, pelakon

Filem: 30 Hari Mencari Cinta, Mirror, Belahan Jiwa, Heart, Kamulah Satu-Satunya, Get Married

Sinetron: Diva, Assalamualaikum Cinta, Dewi

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Bukan Intim Tapi Serasi

10 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

CINTA terhalang yang sebenarnya sudah berputik sejak sekian lama cukup sesuai untuk ditonton semua lapisan masyarakat.

Gandingan Nani dan Samuel disaksikan dalam filem SUCD pada 12 Mac ini

KEAKRABAN mereka hampir sangka seperti pasangan bercinta. Malahan, sepanjang berkampung di set penggambaran filem Sayang You Can Dance (SUCD) arahan Bjarne Wong ini, hubungan pelakon utamanya, Sharifah Amani dan Samuel Rizal dilihat sebagai begitu intim sekali.

Namun begitu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 ini dalam nada berseloroh berkata siapa yang tak mungkin akan sayang atau jatuh cinta kepada Sammy. Selepas penggambaran filem itu selesai, sudah enam bulan mereka tidak bersua muka.

Bagaimanapun, rindu itu berakhir apabila mereka bertemu kembali pada 5 Mac lalu, ketika sesi pratonton filem itu dijalanka. SUCD adalah filem kedua Sharifah Amani bersama Bjorne selepas tampil dengan watak sampingan menerusi Possessed juga sentuhan pengarah itu.

Akui Sharifah Amani yang mesra disapa Nani, tidak sukar untuk dia mencipta keserasian dengan aktor kacak itu. Samuel pula, katanya, walaupun popularitinya sudah menjangkau batas sempadan, apabila di lokasi begitu merendah diri.

Sammy juga disifatkannya mempunyai disiplin yang tinggi terutama apabila menyentuh soal pemakanan.


AKSI menarik membabitkan Mia dan Remie.

“Dia cerewet mengenai makanan, apatah lagi dia masih diet kerana terikat dengan kontrak yang mahukan sentiasa tampil sempurna. Dia suka manjakan Nani, melayan Nani macam anak patung. Kami sudah macam adik beradik. Mungkin sebab itu juga yang menyebabkan kami cepat serasi,” kata Nani yang memegang watak Mia dalam filem itu.

Menerusi SUCD yang akan ditayangkan pada 12 Mac nanti, Nani menafsirkan filem ini sebagai cerita cinta yang mudah. Paling penting, watak Mia bukanlah gambaran sebenar diri Nani di alam realiti.

Katanya, inilah watak pertama yang diterimanya yang memerlukan dirinya menjadi gadis yang sentiasa memastikan dilihat cantik atau ayu.

“Demi Mia, Nani kena kekalkan gaya sopan dan comel termasuk memakai skirt pendek. Filem ini tak memerlukan penonton berfikir, ia sekadar hiburan yang diselang-seli kisah cinta dan tarian.

“Yang menarik bekerja untuk filem ini, pelbagai bahasa dapat dipelajari. Ada bahasa Kantonis kerana krew dibawa dari Hong Kong. Bahasa Indonesia dan loghat Sabah dan Sarawak pun ada. Kadang-kadang Nani sendiri tak faham, tapi pura-pura macam tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Nani berkata, dia akan ke Tokyo, Jepun untuk uji bakat filem Wasure Nagesa arahan Yasmin Ahmad. Untuk filem ini, dia akan bergandingan dengan pelakon Jepun dan demi tuntutan watak, Nani juga sedang belajar menunggang kuda.

“Nani baru saja balik dari Mexico menghadiri festival filem di sana minggu lepas. Nani ke sana seorang diri mewakili produksi Yasmin Ahmad untuk tayangan retrospektif filem Sepet, Gubra dan Mukhsin. Lucunya, ada juga yang mengenali Nani di sana dengan memanggil Sharifah.

“Filem Wasure Nagesa pula dijangka memulakan penggambaran September ini tapi sekarang sudah mula proses pra produksi termasuk mencari hero dan barisan pelakon yang lain.

“Sekalipun mungkin tak dapat menyertai malam kemuncak ABPBH 2008, Nani berterima kasih kepada Berita Harian kerana menganjurkan anugerah berprestij ini. Sejujurnya, Nani tak menyangka tersenarai dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular kerana Nani sangka tahun lalu banyak juga drama lakonan Nani di kaca TV,” katanya.

Sammy anggap Nani comel

Sementara itu, Sammy yang pertama kali berlakon untuk produksi Malaysia berkata, dia amat senang mendampingi Nani dalam SUCD yang disifatkannya begitu merendah diri dan peramah.

“Dia comel. Mungkin fizikal kami berbeza namun dalam bahasa filem yang penting adalah penghayatan. Itu yang kami cuba terapkan dan harap gandingan ini akan membuahkan sesuatu yang baru kepada penggemar filem Melayu.

”Dia juga sangat profesional. Mungkin itu yang menyebabkan kami cepat serasi,” katanya yang memegang watak Reimi dalam filem itu.

Mengakui dirinya dan pihak pengurusan sangat cerewet menerima sebarang tawaran, entah apa keajaiban yang ada kepada syarikat produksi Hock Star Entertainment Industry Berhad yang menerbitkan filem SUCD kerana berjaya memujuknya berlakon.

Pelakon yang asalnya seorang pemain bola keranjang ini difahamkan pengarah SUCD menjadikan filem Eiffel… I’m In Love sebagai landasan dan contoh untuk mengajaknya berlakon.

Kali terakhir, Sammy berlakon filem Apa Artinya Cinta di sisi Acha Septriasa pada tahun 2005.

“Bjarne bukanlah orang pertama yang meminta kebenaran untuk menggunakan khidmat lakonan saya. Sehingga kini, pihak pengurusan saya masih menolak permintaan produksi luar. Tetapi apabila Bjarne datang, mereka menerima dengan hati terbuka.

“Tentu ada yang menarik mengenai projek filem ini sehingga pihak pengurusan membenarkan saya berlakon di Kuala Lumpur,” katanya.

PROFIL

Nama: Samuel Rizal Arifin

Tarikh Lahir: 26 November 1980

Tempat Lahir: Jakarta, Indonesia

Hobi: Bermain bola keranjang, olah raga

Tinggi/ Berat: 183 sentimeter/ 75 kilogram

Profesion: Pelakon, Model

Filem: Tusuk Jelangkung (2003), Ei! el I’m in Love (2003), Apa Artinya Cinta? (2005), Sayang You Can Dance (2008).

Laman Sesawang: http://www.samuelrizal.com

PROFIL

Sharifah Amani

Nama: Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya

Tarikh lahir: 10 Jun 1986

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Profesion: Pelakon, Pengacara, Model

Filem: Sepet, Gol & Gincu, Gubra, Cinta, Possessed, Puaka Tebing Biru, Mukhsin, 1957: Hati Malaya, Selamat Pagi Cinta, Cicak-Man 2: Planet Hitam, Sayang You Can Dance, Muallaf

Siri TV: Emil Emilda, Sindarela, Rona Roni Makaroni

Pencapaian: Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-18, Pelakon Wanita Terbaik FFM19.

Berita Harian

Pendengar Setia Saman X-Fresh FM RM1 Juta

26 Sep

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Seorang guru muzik yang juga pendengar setia Radio X-Fresh FM hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil di sini untuk menuntut ganjaran RM1 juta seperti yang dihebahkan dalam promosi dari semasa ke semasa menerusi frekuensi 103.00fm.

Asni Annuar, 36, selaku plaintif menamakan Airtime Management & Programing Sdn. Bhd. sebagai defendan dalam saman tersebut.

Tindakan saman itu difailkan melalui Tetuan Adnan Seman & Associates.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa radio tersebut antara lain membuat tawaran seperti: “Dia orang cakap kalau tiada lagu-lagu antarabangsa, radio kita orang mesti tak popular,” “Bagus sangat ke lagu-lagu macam ni…,” “Ingat …1 juta tau, kalau kita orang putarkan lagu-lagu macam ini…”, X-fresh FM 100% muzik Malaysia” itu dipercayai untuk menarik perhatian pendengar.

Lebih menarik, dakwa plaintif lagi, radio tersebut telah membuat tawaran RM1 juta kepada pendengar jika dapat mengesan sebarang lagu antarabangsa diputarkan oleh stesen radio tersebut terutamanya lagu-lagu dari negara Indonesia berdasarkan kepada contoh-contoh lagu yang diperdengarkan ketika promosi radio tersebut disiarkan.

Pada 20 Januari lalu lebih kurang pukul 7.25 pagi, plaintif mendakwa telah mengesan stesen radio itu telah menyiarkan lagu berjudul My Heart yang telah dinyanyikan Ebi dan Mila dari Akademi Fantasia 5 semasa konsert Akademi Fantasia.

Plaintif percaya bahawa lagu tersebut walaupun dinyanyikan Ebi dan Mila tetapi ianya tetap merupakan lagu antarabangsa memandangkan lagu tersebut adalah gubahan komposer Indonesia, Anto Hoed dan Melly Goeslow dan dinyanyikan Acha Septriasa dan Irwanshah dan telah dimuatkan dalam album runut filem My Heart iaitu sebuah filem popular Indonesia.

Setelah berjaya mengesan lagu tersebut, plaintif menyatakan telah membuat aduan melalui surat bertarikh 25 Januari lalu dan mendakwa berhak mendapatkan ganjaran RM1 juta seperti yang ditawarkan jika berjaya mengesan lagu antarabangsa sebagaimana promosi yang disiarkan.

Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) yang menjalankan siasatan menyatakan radio tersebut telah mendakwa tawaran dan promo merupakan sebuah gimik pemasaran radio. Dan, tiada pemenang yang akan ditentukan menerusi promo tersebut yang mana jelas merupakan alasan pihak defendan untuk lari dari tanggungjawab membayar tawaran melalui promosi yang telah dibuat.

Melalui penjelasan yang diberikan SKMM, plaintif mendakwa, adalah jelas promosi dan tawaran radio tersebut berniat mengelirukan dan menipu pendengar sekiranya ia gimik semata-mata.

Sehubungan itu, plaintif menuntut RM1 juta sebagai bayaran yang dijanjikan, faedah lapan peratus setahun dari tarikh tindakan difailkan sehinggalah penghakiman, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai.

Utusan Malaysia