Archive | Adi Putra RSS feed for this section

Kongsi Pentas Rai Setiausaha

28 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MINGGU Setiausaha yang disambut sepanjang bulan ini bukan saja dijayakan penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Dan Pameran Matrade, Jalan Duta, 21 April lalu.

Malah minggu lalu juga dibanjiri beberapa lagi artis dari seberang menjayakannya di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 22 April.

Bukan sekadar empat penyanyi muda, Rio Febrian, Delon, Ello dan Irwansyah menjadi pilihan penganjur malah tiga pelakon, Samuel Rizal, Putra Ariffin serta Didi Riyadi.

Mereka digandingkan dengan penyanyi dan pelakon tanah air ketika acara permaidani merah menggayakan sut rekaan Lord’s Tailor bersama Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus.

Mereka juga berkongsi pentas secara duet bersama Jaclyn Victor, Siti Sarah dan Shila serta menjayakan sketsa bersama setiausaha. Betapa eratnya hubungan artis dua negara dalam satu majlis yang begitu meriah dapat disaksikan.

Walaupun setiap tetamu membayar RM290 dan RM350 setiap seorang untuk hidangan masakan Padang dan santapan mata bersama artis kacak serta terkenal, difahamkan, artis yang membuat persembahan pada hari itu tidak menerima bayaran.

Tujuh artis Indonesia yang datang dibayar dengan publisiti dan promosi sepanjang empat hari mereka berada di Kuala Lumpur. Banyaklah sesi fotografi dan pertemuan bersama media diatur penganjur dengan kerjasama syarikat rakaman Sony BMG Music dan Warner Music.

Untuk jejaka kacak yang melayan peminat di Grand Ballroom pula dibayar dengan sut Lord’s Tailor berharga RM3,500 hingga RM5,000 manakala penyanyi dibayar dengan peluang berkongsi pentas artis Malaysia dengan Indonesia.

Delon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Indonesian Idol 2004, berduet dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor menerusi lagu popular Celine Dion dan Andrea Docelli, The Prayer; Siti Sarah duet dengan Ello (I Feel Good) manakala Irwansyah dengan Shila (One In A Million) melalui lagu duet Irwansyah dengan Acha Septriasa, My Heart. Delon juga muncul solo melalui lagu Adinda, Ello (Masih Ada) dan Irwansyah (Camelia).

Azharina Azhar pula berpeluang memperkenalkan dua single terbarunya, Rasa dan Rawan manakala Delon, Rio, Ello dan Irwansyah berpeluang bertemu wartawan Malaysia untuk promosi album terbaru mereka edaran Sony BMG Music dan Warner Music.

 

 

Untuk tiga pelakon Indonesia pula, mereka dibayar dengan publisiti dan peluang bertemu produser tanah air untuk mengintai peluang berlakon di negara ini. Bagi Samuel, nama dan wajahnya sudah dikenali peminat di sini menerusi lakonannya dalam Eifel…I’m In Love dan filem tempatan, Sayang You Can Dance, tetapi Putra Ariffin dan Didi agak asing di sini.

Jaclyn yang anggun dengan gaun merah koleksi peribadi rekaan Bill Keith juga berpeluang menyanyi dengan Rio Febrian. Petang itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Jaclyn dengan Rio di pentas besar seperti Minggu Setiausaha untuk lagu duet mereka, Ceritera Cinta yang dirakamkan pada 2006.

Jac berkata, sebelum ini mereka bertemu untuk rakaman klip video lagu itu manakala menyanyi bersama hanyalah untuk acara kecil anjuran majalah hiburan sebelum ini.

Katanya, masa rakaman lagu itu juga diadakan berasingan kemudian apabila lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori balada. Rio tidak dapat memberi kerjasama lalu tempatnya digantikan Lah VE.

“Tapi kami pernah bertemu menjayakan video klip lagu itu. Dia seorang yang peramah dan baik dan saya gembira dapat berkongsi pentas dengannya hari ini,” kata Jac.

Bagi Delon, kesempatan menjayakan Minggu Setiausaha dianggap peluang keemasan untuk berkenalan dengan masyarakat di sini sekali gus memperkenalkan album barunya, Perasaanku yang diedarkan di Malaysia penghujung bulan ini.

Selain duet dengan Jac, Delon atau nama sebenarnya, Alexander Liaw Dalon Thamrim, 31, menyampaikan lagu daripada album Perasaan, Adinda.

Katanya, Adinda istimewa kerana ia lagu lama Titiek Puspa yang dirakamkan semula dengan muzik baru yang lebih segar.

“Saya bangga dapat merakamkan semula lagu Titiek Puspa yang dianggap legenda di Indonesia. Gubahan muziknya dilakukan Tohpati supaya menjadi lebih enak didengar.

“Sebenarnya bukan mudah untuk saya mendapat izin merakamkan semula lagu itu, tetapi atas bantuan orang kuat Sony Music Indonesia, segalanya menjadi mudah. Saya juga bangga apabila Titiek Puspa memuji hasilnya.

“Untuk salam perkenalan di sini, saya pilih lagu ini kerana muziknya ada sentuhan Melayu. Saya juga sedar kurang dikenali di sini dan berharap kunjungan ini memberi pendedahan kepada semua.

“Sepanjang berada di sini, jadual harian saya padat dengan sesi bertemu wartawan. Malah saya berpeluang menghadiri majlis ulang tahun TV9 di Sunway Lagoon,” katanya.

Sementara itu Ello atau nama sebenarnya, Marcello Tahitoe baru saja melancarkan album keduanya, Realistis/Idealis di Indonesia Februari lalu dan untuk pasaran Malaysia sejak 24 Mac lalu. Rio Febrian mempertaruhkan album Aku Bertahan manakala Irwansyah album Soliter.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Zon Abie: Selebriti Kita 'Tak Berkira'

25 Apr

Oleh Abie Abdullah

Rap
SIAPA kata artis kita ‘demand’? Tak baik tuduh artis kita bukan-bukan soal bayaran. Bukan saja tidak letak harga, malah bagi khidmat percuma lagi. Semua demi peminat walaupun yang membayar untuk ‘bersama’ mereka itu bukan seringgit dua.

Ini berlaku di Minggu Setiausaha anjuran Hotel Istana dan Lord’s Tailor, Rabu lalu. Pelik bin hairan juga, sebab biasanya, keraian yang diadakan sepanjang April ini adalah bulan untuk artis menambah isi dalam akaun bank masing-masing selain bertemu peminat.

Malah bayaran untuk persembahan makan tengah hari atau malam, bukan sedikit yang dibayar kepada penghibur negara. Tidak cukup artis Malaysia, Kris Dayanti saban tahun tidak terkecuali daripada acara ini. Bukan seribu dua ringgit bayaran artis.

Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Ning Baizura, bukan kecil anak pengalaman mereka dalam dunia nyanyian, jadi bukan kecil juga jumlah yang harus dibayar buat mereka. Ini bukan soal ‘demand’ tak bertempat tetapi ‘demand’ kerana hak mereka.

Lain pula yang berlaku depan mata saya. Bukan nak mempertikaikan keluhuran hati lebih 20 lelaki yang didatangkan khas untuk menyedapkan mata setiausaha apabila dikatakan mereka berkhidmat percuma selama hampir sehari suntuk di majlis itu.

Situasi itu membuatkan hati saya terdetik, baik sungguh mereka! Tidak hanya mereka, penyanyi yang diundang seperti Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Azharina Azhar dan Shila ND Lala turut sama membuat ‘amal’.

Walaupun ada antara mereka yang terpaksa mengosongkan jadual daripada rutin kebiasaan di lokasi serta ada yang bergegas dari majlis lain atau ke majlis lain selepas itu, artis ini sangat komited. Mereka menyanyi percuma!

Semua artis wanita mengenakan gaun merah, sesuai dengan tema barangkali. Baju pula rekaan pereka muda, kecuali Jaclyn yang terpaksa membuka almari sendiri. Bagaimana dengan bayaran mekap? Opps, mungkin ada yang taja, baguslah!

Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus antara yang menjadi tatapan hadirin. Malah artis Indonesia turut dijemput seperti Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal, Ello, Rio Febrian, Delon dan Didi Riyadi.

Puaslah peminat yang rata-ratanya wanita mengabadikan gambar mereka bersama bintang kacak ini. Sebelum majlis bermula, mereka berlegar sekitar muka pintu ‘ballroom’ untuk memberi layanan kepada peminat. Kemudian dipanggil ke dewan, tamat sesi perkenalan di pentas, mereka perlu keluar.

 

 

Keluar ke mana? Sebenarnya kembali ke ruang legar depan pintu masuk dewan tadi. Dah mati kutu, tidak tahu apa nak buat sebab hadirin semuanya sedang menikmati celoteh Adflin Shauki dan AC Mizal selalu pengacara majlis serta ayam goreng garing keras yang menjadi antara menu hidangan Padang untuk makan tengah hari itu.

Sebelum saya dan rakan-rakan masuk ke dewan itu, mula terdengar daripada teman yang membawa artis kerana mereka tidak disediakan kerusi atau meja, jauh sekali untuk sama-sama makan. Detik hati, mungkin penganjur sudah sediakan tempat khas.

Bagaimanapun, pertanyaan hati itu semakin bertambah apabila beberapa artis jantan pemanis majlis mundar-mandir dalam dewan, bagaikan pelayan yang tidak membawa dulang. Senyum tetap di bibir, jauh sekali untuk dibuang daripada tatapan peminat.

Dalam gelak dek lawak si pengacara, Afdlin sempat menyuruh orang menghantar makanan ke belakang pentas sebab masing-masing kelaparan. Biasalah Afdlin, bijak sungguh gurauannya!

Kasihan melihat artis pemanis majlis itu yang ‘dikoreografikan’ seperti kehilangan arah, saya bersama teman seperti bendul mengajak mereka turut sama menjamu selera yang kebetulan ada tempat kosong di meja kami. Ada yang menolak, tidak kurang juga yang tidak mempedulikan protokol kerana perut makin rancak berkeroncong.

Sememangnya telahan saya meleset mengenai meja, kerusi, makanan dan minuman. Semua itu tidak disediakan kerana tugas mereka hanya memaniskan muka sepanjang majlis berkenaan. Bayaran? Seperti yang saya katakan tadi, mereka pemurah beramal.

Setahu saya, sesetengah majlis amal pun, artis dibayar secara token kalau tidak sepenuhnya. Namun, dalam kes tadi, mereka sudah berpuas hati dengan sepasang persalinan yang diberikan Lord’s Tailor.

Cuma malangnya, ada juga yang terkebil-kebil tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tidak tahu pun mereka perlu hadir untuk Minggu Setiausaha. Lawak sungguh artis kita, nampak sangat mudah dipergunakan mereka yang sememangnya kaki pengguna!

Bukan saja yang datang berseorangan, malah artis yang memasang pengurus juga ‘buta huruf’ pasal majlis ini sehingga mereka tersentak apabila melihat gambar dan nama mereka di dalam akhbar dan kain rentang di hotel berkenaan.

Syabas buat artis ini kerana sanggup beramal sehingga begitu rupa! Cuma kami di Harian Metro tidak sanggup berbuat begitu kerana memikirkan keringat dan periuk nasi masing-masing. Walaupun akhbar sering memberi publisiti untuk golongan ini, bayaran tetap bayaran!

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Dedah Konsep Pelaburan Tulen

20 Apr

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

PELBAGAI perkara menarik yang boleh diterokai di bawah satu bumbung mendorong pengunjung seluruh negeri ini dan negara jiran berpusu-pusu ke Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 sekali gus meluangkan masa tidak kurang tiga jam mengunjungi kira-kira 206 gerai pameran disediakan.

Jelas, kunjungan ke MSAM memberi makna dan penghayatan berbeza bagi setiap individu mengikut kategori usia dan pengalaman selain minat bagi mengetahui sesuatu perkara mampu memberi input positif dalam kehidupan masing-masing.

Oleh itu, tidak hairan petugas di setiap gerai MSAM tidak menang tangan menerima sambutan luar jangkaan pengunjung sama ada remaja mahupun golongan dewasa.

Ditambah pula inisiatif peserta gerai pameran mengatur pelbagai aktiviti menarik setiap masa mampu menambat pengunjung.

 

 

Pengunjung juga tidak pulang ‘tangan kosong’ berikutan bukan saja pelbagai cenderamata dan hadiah menarik disediakan di setiap gerai pameran, malah mampu memenuhi dada dengan ilmu berfaedah untuk masa depan.

MSAM yang bermula kelmarin akan berlangsung selama 10 hari hingga 27 April ini dengan gerai pameran dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Seminar khas kewangan dan MSAM menjadi antara program pendidikan bersepadu dijayakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi manfaat masyarakat dan pelabur.

Matlamat utama PNB ialah pelabur dan masyarakat keseluruhan akan lebih faham mengenai aspek pelaburan dan perancangan kewangan selain melalui saluran pendidikan disediakan sempena MSAM itu, masyarakat lebih peka mengenai konsep pelaburan sebenar.

Semalam, aktiviti diatur bagi memeriahkan program itu termasuk MSAM Walk yang dijayakan kira-kira 5,000 peserta membabitkan pelbagai golongan daripada kanak-kanak hingga warga emas.

Lebih manis apabila majlis perasmian melepaskan peserta MSAM Walk itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer itu dianjurkan sebagai sebahagian usaha syarikat pelaburan itu mempromosikan penganjuran MSAM dengan larian diadakan bagi empat kategori iaitu veteran, dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Selain acara berjalan kaki, program itu turut dimeriahkan dengan acara senamrobik bersama maskot Along Bijak.

Peserta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah ditawarkan iaitu dua motosikal sebagai hadiah utama, dua televisyen LCD 42 inci, dua televisyen LCD 32 inci, komputer riba serta basikal.

Pasangan peserta larian warga emas, Lee Siew Yang, 79, berkata dia dan isteri tidak melepaskan peluang menyertai program berkenaan sebagai tanda sokongan kepada MSAM.

Pesara polis itu berkata, usaha penganjur mengisi MSAM dengan program larian mampu memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Saya dan isteri, Tan Sow Kooi, 78, berbangga kerana mampu menyertai MSAM Walk bersama ribuan peserta lain biarpun sudah dimamah usia.

“Kami mengucapkan syabas kepada penganjur dan berharap program seumpama ini akan diadakan setiap tahun,” katanya.

Peserta, Syakirin Ahmad, 33, pula berkata itu kali pertama dia menyertai MSAM Walk bersama isteri, Norfaezah Abdullah, 25, dan anak perempuan sulung berusia 16 bulan.

Selain berpeluang berinteraksi dengan Adi Putra menerusi Program Bersama Ikon Inspirasi pada Sabtu, Ahad dan hari ini, pengunjung berpeluang bertemu Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustafa, esok.

Harian Metro

Hadiah Menarik RM600,000 Menanti Pengunjung

19 Apr

MINGGU Saham Amanah Malaysia (MSAM) Kesepuluh 2009 yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Johor Bahru esok, menanti pengunjung dengan pelbagai hadiah menarik bernilai RM600,000 termasuk sebuah rumah disumbangkan rakan MSAM yang juga syarikat dalam kumpulan itu.

Pameran tahunan di Padang B Plaza Angsana, yang dijangka menarik lebih 250,000 pengunjung, menawarkan hadiah utama yang sudah pasti menjadi rebutan ramai iaitu sebuah rumah berkembar dua tingkat berharga RM350,000 sumbangan Pelangi Sdn Bhd.

Satu lagi hadiah menarik, sebuah motosikal Superbike Naza Blade edisi khas MSAM bernilai RM20,000 sumbangan Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) yang dijangka turut menarik pengunjung ke pameran yang julung kali diadakan di selatan tanah air itu.

Syarikat dalam kumpulan PNB yang terbabit dalam bidang perbankan dan kewangan itu turut menawarkan hadiah menarik lain terdiri daripada 20 buah motosikal, dan 64 buah basikal, selain komputer riba dan barangan elektrik, selain menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk memudahkan orang ramai ke tapak pameran.

MSAM 2009 berlangsung hingga 27 April ini dan majlis penutup akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia disertai 58 syarikat yang menjadi sebahagian syarikat dalam Kumpulan PNB, selain badan kawal selia, agensi kerajaan dan swasta.

Banyak aktiviti menarik lain turut menanti pengunjung untuk mendapat pendedahan mengenai bidang pelaburan dan perancangan kewangan, terutama dalam unit amanah, dan berhibur dengan pelbagai program dianjurkan.

Pengunjung juga berpeluang bertemu ikon Inspirasi yang terkenal dalam bidang masing-masing seperti adik Adi Putra dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

MSAM 2009 dijangka mampu melakar sejarah tersendiri dalam melahirkan lebih ramai pelabur berilmu di negara ini.

Masyarakat boleh mengenal dengan lebih dekat lagi syarikat-syarikat pelaburan PNB dan juga produk unit amanah yang diuruskan oleh PNB.

Berita Harian

Budak Jalan Atas Kaca

12 Apr

Laporan dan foto MOHD IDRIS SULAIMAN

BERANI...Mohd Adi Putra berjalan di atas kaca sempena<br> demonstrasi tamat latihan Seni Silat Gayung Malaysia<br> cawangan Pokok Asam, Taiping.
BERANI…Mohd Adi Putra berjalan di atas kaca sempena
demonstrasi tamat latihan Seni Silat Gayung Malaysia
cawangan Pokok Asam, Taiping.

TAIPING: Keberanian kanak-kanak berusia tujuh tahun, Mohd Adi Putra Mokhtar, membuat demonstrasi berjalan di atas longgokan kaca berjaya mencuri perhatian orang ramai pada majlis Penganugerahan Bengkung dan tamat Latihan Persatuan Silat Gayung Malaysia, di gelanggang silat Pokok Asam, di sini, malam kelmarin.

Mohd Adi Putra, peserta termuda di majlis itu, berkata dia menjalani latihan silat sejak setahun lalu di bawah tunjuk ajar Guru Satu pertubuhan seni silat yang disertainya.

“Saya tak rasa sakit, malah rasa seronok. Guru cuma menyuruh saya yakin pada diri dan berserah kepada Allah. Sebelum berjalan di atas kaca, saya mengambil wuduk dan berzikir,” katanya.

Mohd Adi Putra berkata, minatnya terhadap silat muncul selepas sering mengikut ayahnya mengajar bersilat sejak dia berumur enam tahun.

 

 

“Bila sudah besar, saya nak wakil Malaysia (sukan silat). Kalau kita bersilat tidak boleh bercakap bohong, melawan ayah dan ibu dan bergaduh,” katanya.

Sementara itu bapanya, Mohd Mokhtar Sukri, berkata selain Adi Putra, seramai 100 pelajarnya yang berusia bawah 12 tahun turut terbabit dengan demonstrasi berjalan di atas longgokan kaca.

“Saya menggalakkan mereka supaya menyertai kegiatan silat kerana ia aktiviti sihat dan berfaedah. Saya juga sering mengingatkan mereka supaya tidak menyalahgunakan kebolehan yang ada dan menunjuk-nunjuk,” katanya.

Harian Metro

Penghargaan Negara

17 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Sumbangan karyawan filem, teater, muzik dan seni tari diberi pengiktirafan oleh kerajaan dalam Anugerah Seniman Negara ke-8, esok

KETOKOHAN Tan Sri Jins Shamsudin dalam membangunkan industri perfileman negara diiktiraf apabila namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Seniman Negara ke-8 yang akan berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, 18 Februari ini.

Diperkenalkan sejak 13 Januari 1993, seramai tujuh tokoh dinobatkan sebagai Seniman Negara iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kerajaan kepada penggiat, karyawan dan seniman yang mempamerkan ketokohan dan sumbangan cemerlang dalam membantu perkembangan seni tanah air.

Anugerah Seniman Negara juga menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk menggalakkan usaha cemerlang karyawan seni dan majlis gemilang itu bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong.

Gelaran tertinggi yang diterima pengarah dan pelakon yang membintangi lebih 40 filem sejak mula menceburkan diri dalam bidang seni pada 1956 itu melayakkannya menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan trofi.

Selain itu, pemilik nama sebenar Mohamed Zain Shamsuddin yang turut mengarah empat filem termasuk Menanti Hari Esok dan Esok Masih Ada itu turut menerima sepasang persalinan lengkap baju Melayu, kemudahan perubatan kelas satu di hospital kerajaan selain menjadi pengkarya, pencipta tamu kehormat serta wakil KPKKW di seminar atau forum peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penganugerahan untuk enam seni budaya

Penganugerahan untuk Anugerah Seniman Negara dibahagikan kepada enam bidang seni budaya iaitu muzik, tari, teater, visual dan filem itu turut mengiktiraf 36 penerima lain dalam setiap cabang yang diceburi.

Ia merangkumi 16 penerima untuk Anugerah Karyawan Seni iaitu empat penerima untuk Kategori Pencipta, Penggubah, Pengarah dan Pemuzik, manakala dua anugerah lagi diberikan kepada Karyawan Seni Tari iaitu koroegrafer dan penari.

Anugerah Seniman Negara juga mengiktiraf penggiat seni teater dengan menyediakan lima anugerah kepada Penulis Skrip, Pengarah, Pelakon, Pereka Set dan Penata Cahaya.

Dua lagi anugerah dikhususkan kepada karyawan seni visual selain tiga anugerah untuk karyawan seni filem membabitkan pengarah, penulis cerita asal dan pelakon.

Sumbangan bakat muda dalam membangunkan industri hiburan tidak dipinggirkan apabila Anugerah Seniman Negara Ke-8 turut mengangkat nama yang berpotensi sebagai pewaris kecemerlangan penggiat seni tempatan.

Menerusi Anugerah Bakat Muda yang menyediakan 15 trofi, empat daripadanya bakal diserahkan kepada penggiat seni muzik manakala lima trofi lagi diberikan kepada penggiat seni teater.

Kategori Seni Tari, Seni Visual dan Seni Filem masing-masing diperuntukkan dengan dua trofi tambahan manakala lima trofi lain dikhususkan kepada pendukung seni merangkumi sektor media/wartawan, badan bukan kerajaan, sektor awam/badan berkanun, swasta dan individu.

Pengiktirafan tokoh muzik tradisional Sarawak

Anugerah Seni Muzik diberikan kepada penggiat yang aktif serta terus memberikan sumbangan dalam mencipta, menggubah serta memimpin kumpulan muzik selain menunjukkan kewibawaan dalam bidang itu.

Anugerah Seniman Negara ke-8 mengiktiraf tokoh muzik tradisional Sarawak, Narawi Rashidi atau Narawi CD sebagai penerima trofi Pencipta Muzik. Memulakan langkah dalam bidang muzik secara aktif pada 1979, Narawi mengembangkan bakat dan kebolehannya dengan mengembara ke Brunei, Singapura, Indonesia, Jepun, Jerman, Thailand dan Australia.

Sumbangan besarnya dalam bidang muzik juga menganugerahkan pencipta lagu Tandang Bermadah nyanyian Noraniza Idris ini sebagai Tokoh Belia Sarawak pada 1996.

Trofi Penggubah Muzik pula menjadi milik pengasas Inner Space Performing Arts, Kumaresan Karthigesu manakala Omar Taib dianugerahkan trofi Pengarah Muzik.

Anak kelahiran Johor Bahru itu memulakan kerjaya seninya pada usia 13 tahun dan kini meneruskan khidmatnya bersama Yayasan Warisan Johor.

Pernah mencipta lebih 100 lagu antaranya dinyanyikan Jay Jay, Datuk D J Dave, Sudirman Haji Arshad, Adam Hamid, Aman Shah dan Azlina Aziz, Omar juga bertanggungjawab menggubah dan menyusun lagu untuk pementasan seperti muzikal Datuk Onn, Balada Sang Adi Putra, Salam Patriot dan Balada Bahtera Merdeka.

Ibrahim Senik atau Pak Him yang sinonim dengan permainan muzik tradisional terutama serunai menerima trofi bagi kategori pemuzik.

Shuhaimi Baba penerima Anugerah Karyawan Seni Filem

Kategori Filem menobatkan Datin Paduka Shuhaimi Baba sebagai penerima Anugerah Karyawan Seni Filem (Pengarah Filem) atas kecemerlangan serta sumbangannya dalam membangunkan industri perfileman negara.

Turut meraih pengiktirafan ialah Aziz M Osman yang memenangi kategori Penulis Cerita Asal manakala pelakon popular, Rosyam Nor pula menerima trofi untuk kategori Pelakon.

Pengalaman panjang lebih dua dekad dalam industri perfileman memberanikan anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 41 tahun itu untuk menubuhkan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd sejak 12 tahun lalu.

Mereka dipilih kerana terus memberikan sumbangan malah sentiasa menunjukkan persembahan cemerlang selain membuktikan kewibawaan dalam bidang perfileman.

Sumbangan Fauziah Nawi dihargai

Kategori teater pula mengangkat anak seni serba boleh, Fauziah Nawi sebagai penerima trofi Pengarah, manakala Datuk Jalaludin Hassan pula diumumkan sebagai pemenang untuk kategori Pelakon.

Tiga anugerah lain yang dikhususkan kepada penggiat teater diberikan kepada Zakaria Ariffin untuk anugerah penulis skrip, Benjamin Tan (Pereka Set) dan Azizul Zahid Jamil (Penata Cahaya). Setiap pemenang masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan trofi.

Anugerah Seniman Negara turut memberi pengiktirafan kepada bakat muda apabila mengangkat nama berpotensi yang membangunkan industri hiburan menerusi hasil kerja mereka.

Penerimanya ialah Osman Ali bagi Pengarah Filem manakala Farid Kamil Zahari pula menerima bagi kategori Pelakon.

Penerima bagi Anugerah Bakat Muda masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi, sijil penghargaan dan program latihan jangka pendek di bawah Skim Latihan Penggiat Seni.

Senarai Penerima Anugerah Seni Negara Ke-8:

Seniman Negara: Tan Sri Jins Shamsudin

Anugerah Karyawan Seni:

Muzik:

Pencipta: Narawi Rashidi

Penggubah: Kumar Kathigesu

Pengarah: Omar Taib

Pemuzik: Ibrahim Senik

Tari:

Koreografer: Datin Sharifah Mahani Syed Kassim

Penari: Norsiah Mohd Yatim

Teater:

Penulis Skrip: Zakaria Ariffin

Pengarah: Fauziah Nawi

Pelakon: Datuk Jalaluddin Hassan

Pereka Set: Benjamin Tan

Penata Cahaya: Azizul Zahid Jamal

Seni Visual:

Dua Dimensi: Muhammad Juhari Muhammad Said

Multi Dimensi: Hasnul Jamal Saidon

Filem:

Pengarah: Datin Paduka Shuhaimi Baba

Penulis Cerita Asal: Aziz M Osman

Pelakon: Rosyam Nor

Anugerah Bakat Muda:

Muzik:

Pencipta: Lim Fang Yee

Penggubah: Kam Shi Ling

Pengarah: Mohd Kamrulbahri Hussin

Pemuzik: John Ashley Thomas

Tari:

Koreografer: A Aris A Kadir

Penari: Dr Dhanya Thurairajah

Teater:

Penulis Skrip: Siti Jasmina Ibrahim

Pengarah: Ling Lee Ian Christopher

Pelakon: Gan Hui Yee

Pereka Set: Chong Chung Yong

Penata Cahaya: Muhammad Hafiz Hussin

Seni Visual:

Kurator Muda: Susyilawati Sulaiman

Penulis Muda: Rachel Jenagaratnam

Filem:

Pengarah: Osman Ali

Pelakon: Farid Kamil

Berita Harian

Lelong Barang Peribadi

26 Jan

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PENGANJUR Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) dengan kerjasama artis terkenal bergabung tenaga menganjurkan karnival jualan murah dan lelongan barangan peribadi dalam usaha menambah kutipan tabung NSTP Untuk Gaza.

Acara yang membabitkan ramai artis termasuk penyanyi, pelakon, pengacara dan penyampai radio itu akan berlangsung pada 31 Januari ini di Bazz-r, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Pada majlis sidang akhbar mengenai karnival dianjurkan di Balai Berita, baru-baru ini, Pengarang Hiburan Berita Harian memerangkap Penaung ABPBH08, Hanizam Abdullah berkata, apa yang dilakukan ini jelas menunjukkan keprihatinan warga seni terhadap mereka yang memerlukan.

“Walaupun kerjasama ini dibuat dalam masa begitu singkat tetapi sambutan diterima daripada artis tempatan cukup memberangsangkan. Sekarang ini 24 artis tempatan sudah mengesahkan penyertaan mereka.

“Antara artis terbabit termasuk penghibur bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak yang akan menjual dan melelong barangan milik peribadi dari pagi hingga majlis berakhir.

“Selain itu, Mawi akan melelong aiskrim dan juga minuman tenaga. Faizal Tahir, Jaclyn Victior, Nabil, Stacy, Farah, Adi Putra, Nikki, Deja Moss, Scha Al-Yahya dan ramai lagi turut terbabit..

“Ingin saya jelaskan di sini penyertaan tidak terhad kepada mereka yang dicalonkan untuk senarai awal ABPBH08, sebaliknya artis lain turut dialu-alukan terbabit sama. Mereka yang berminat boleh menghubungi kami,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perancangan karnival dilakukan, jelas Hanizam, selain melelong barangan milik peribadi, ada artis akan menjual barangan seperti baju, makanan dan juga kek yang ditaja hotel terkemuka.

“Setakat ini sembilan hotel ternama seperti Palace Of Golden Horses, Concorde Kuala Lumpur, Prince, Hotel Istana, Crown Plaza, Seri Pacific, Nikko, Lagend dan Hilton Petaling jaya akan menyumbangkan kek.

“Kami akan meminta artis tempatan terbabit untuk melelong kek ini kepada pengunjung karnival. Selain itu pengacara Shamsul Ghau Ghau akan bertindak sebagai pengacara dan tukang lelong.

“Ada antara pereka fesyen tempatan seperti Calvin Thoo, Jason Yek dan Micheal Shu akan menjual baju yang direka. Apa yang dijual mereka hanya sebagai contoh dan jika ada yang berminat mereka akan menghasilkan baju itu semula seperti dipamerkan mengikut saiz badan pembeli,” katanya.

Anita Sarawak yang menghubungi penganjur ABPBH08 untuk menjayakan karnival diadakan berkata, bukan dia saja akan menjual barangan peribadi tetapi suami juga memerangkap pengurusnya, Mahathir Abdullah akan turut sama melelong barangannya.

“Selain menyerahkan sejumlah derma, aktiviti ini dirasakan antara sumbangan terbaik yang saya fikir dapat membantu mangsa memerlukan di Gaza.

“Saya belum lagi tahu barang apa yang mahu dilelong tetapi yang pasti ada banyak baju yang pernah diguna untuk persembahan di sini mahupun di Las Vegas termasuk kasut dan beg akan dijual.

“Selepas ini saya akan menyelongkar almari untuk melihat dan menyenaraikan barangan terbabit,” katanya.

Beberapa artis remaja seperti Diddy, Nurfatimah, Aizat, Nubhan, Farah dan Farawahida turut sama membanting tenaga untuk melelong barangan milik peribadi.

Diddy dan Nurfatima yang muncul dengan lagu single duet, Sudah bercadang untuk menjual cakera padat milik mereka di samping membantu penganjur ABPBH08 menjual kek yang disumbangkan pihak hotel.

Sementara Farah dan Farawahida bercadang bergabung tenaga menjual makanan dan minuman yang dihasilkan mereka sendiri untuk pengunjung.

Istimewa apabila kumpulan yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23), Meet Uncle Hussain buat pertama kali akan mendengarkan lagu yang dicipta khas untuk masyarakat Palestin, Putihnya Lukisan dan akan dipersembahkan secara eksklusif di karnival itu nanti.

Pada majlis sidang akhbar itu Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun menerima sumbangan daripada Majlis Muzik Malaysia (Mahkota), Penerbit Eksekutif Persona Pictures Sdn Bhd, Aida Fitri Buyong dan Presiden Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd (PRISM), Datuk Aziz Bakar.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail.

Harian Metro