Archive | Adibah Noor RSS feed for this section

Terkedu Apabila Aril Tersingkir

29 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ARIL terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada AF7.

Peminat mahu yang popular bukan peserta paling berbakat

SUDAH menjadi hakikat realiti program Akademi Fantasia (AF), apabila kuasa undian di tangan penonton, maka tiada pihak berhak untuk mempertikaikan kuasa mereka dalam menentukan siapa sepatutnya peserta yang boleh kekal meneruskan saingan.

Akibatnya terjadilah insiden peserta kurang berbakat terus maju, manakala mereka yang berpotensi ditunjuk jalan keluar.

Minggu ketujuh AF musim terbaru yang rancak diperbualkan ketika ini, contoh terbaik memperlihatkan betapa kuasa undian di tangan peminat mampu merampas impian peserta berbakat untuk terus menghiburkan penonton.

Suasana di Dewan Sri Putra Bukit Jalil jadi senyap seketika apabila penonton bagai terkedu setelah Aril diumumkan pelajar seterusnya yang harus meninggalkan akademi.

Aril, dilihat antara sebab utama mengapa AF7 masih boleh bernafas, menerusi persembahannya yang mantap pada saban minggu. Selain Hafiz, Aril ialah peserta yang menjadi perhatian apabila hadir dengan pakej yang menarik, serta bakat yang terserlah.


DARI kiri, Aril, Yazid dan Akim.

Lalu, apabila namanya diumumkan peserta yang perlu menarik beg keluar daripada dewan, timbul isu apa sebenarnya yang diinginkan peminat? Apabila tamat persembahan pelajar minggu itu, Hafiz berkongsi jumlah undian dengan Isma iaitu 17 peratus, Aishah dan Yazid masing-masing 15 peratus, Akim (14 peratus), manakala Claudia dan Aril kedua-duanya memperolehi 11 peratus.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata, Aril terpaksa meninggalkan AF7 walaupun perbezaan undiannya dengan Claudia adalah cukup sedikit.

“Saya gembira dengan konsert pada malam ini yang menunjukkan peningkatan semua pelajar, manakala peratusan undian juga semakin seimbang apabila tiada peserta jauh meninggalkan yang lain. Namun kita kena akur dengan peraturan yang mengatakan, peserta dengan undian terendah harus disingkirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat konsert.

Sabtu lalu, Aril membakar pentas dengan persembahan bertenaganya menyampaikan lagu Nakal daripada kumpulan Gigi. Rata-rata pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim, Adibah Noor dan Adlin Aman Ramlie menyukai persembahannya.


CLAUDIA, Aishah dan Isma meneruskan langkah ke konsert seterusnya.

Selain Aril, Akim dengan lagu Situasi (Bunkface) turut mencuri perhatian, manakala Yazid dengan lagu With Or Without You (U2) buat kali pertama menunjukkan persembahan meyakinkan.

“Diharapkan media dan penulis blog boleh membantu mengingatkan peminat, jika mereka asyik ingin membantu peserta bukan pilihan, peserta yang berbakat akan terkeluar daripada saingan,” katanya.

Ketika ditanya apakah Astro mempunyai perancangan untuk mengadakan undian masuk pelajar yang tersingkir, Khairul Mizan berkata, dia tidak mempunyai hak untuk mengumumkan perkara sebegitu.

Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina pula berkata, dia bingung memikirkan kehendak peminat rancangan terbabit.

“Aril antara ikon yang kami mahu lahirkan daripada program AF7. Dia mewakili penyanyi yang kita inginkan dalam industri muzik hari ini. Malangnya, dengan sistem undian diberikan sepenuhnya kepada peminat, kita tidak tahu apa yang mereka mahukan,” kata Tiara.

Aril tidak mahu lemah semangat

PENYINGKIRAN peserta yang dilihat berbakat dalam rancangan AF sebelum konsert akhir memang sudah beberapa kali berlaku. Linda Nanuwil pernah merasai pengalaman itu pada AF2, manakala Idayu pula mengalaminya pada musim ketiga.

Lalu, apakah Aril juga mengharapkan nasib serupa menyebelahinya?

Kata anak muda berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu, dia tidak berani hendak mengulas persoalan mengenai harapan untuk melihat undian masuk diadakan sekali lagi oleh AF7.

Akui Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, dia tidak terlalu kecewa apabila terkeluar daripada program realiti terbabit, dan dia juga tidak dapat menjangka rentak undian pengundi AF.

“Ada masanya, pelajar yang berbakat seperti rakan saya, Rubisa, terkeluar juga,” katanya.

Padanya, mungkin peminat tidak mengundi dirinya bukan kerana soal tidak berbakat, sebaliknya mereka ingin memberikan peluang kepada rakannya yang lain meneruskan perjuangan.

Ditanya apakah kerana ‘attitude’ yang sering kali dikaitkan dengan dirinya, sebagaimana yang diperkatakan oleh pengkritik, Aril memberitahu, sikap seperti itu perlu ada pada seseorang penghibur yang berada di pentas.

“Apabila berada di pentas, kita perlu tunjukkan pesona kita kepada peminat. Tetapi, apabila berada di luar, tidaklah kita perlu bersikap demikian.

“Saya sendiri tentunya berbangga apabila pengkritik memuji sikap saya yang dilihat perlu ada pada seorang penghibur. Jadi, saya tidak rasa kerana ‘attitude’, peminat tidak menyukai saya,” ujarnya.

Mengenai perancangan selepas ini, jejaka yang petah menjawab segala pertanyaan ini memberitahu, dia akan mengikut rancangan yang diatur oleh Astro Entertainment.

Dari segi muzik pula, katanya tidak salah jika dia ingin mencuba pelbagai bentuk muzik lain selain genre muzik yang menjadi kesukaannya, pop, sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan Padi.

“Jika kita mahu menjadi penghibur yang baik, tidak salah sekiranya kita mencuba pelbagai genre muzik. Begitupun, sudah tentulah saya tahu di mana kekuatan saya,” katanya sempat berada selama 61 hari dalam akademi terbabit.

Berita Harian

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tiada Pilih Kasih

27 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16

TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.

Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.

“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.

Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.

“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.

“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.

“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.

Ketengahkan single terbaik bukan popular

Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.

“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.

“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.

“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.

Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.

Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.

Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.

“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.

Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.

Berita Harian

Aril Tersingkir Konsert Ketujuh AF

26 Apr


Aril

KUALA LUMPUR: Impian Khairil Azam Pilus atau Aril, untuk beraksi sebagai finalis program realiti popular Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) berakhir apabila tersingkir pada konsert ketujuh , malam tadi.

Pada konsert di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, Aril membawa lagu Nakal nyanyian asal Kumpulan Gigi.

Pengumuman penyingkiran dibuat pengacara AF7, AC Mizal pada konsert itu.

Peserta dari Kuala Lumpur itu hanya mampu bertahan setakat minggu ketujuh mengikut jejak rakannya, Nas Adila, Rini, Obri, Zizi, Rubisa, Sidi dan Qhaud yang tersingkir awal. Persembahan peserta dinilai pengkritik tetap, Datuk Khadijah Ibrahim, Adlin Aman Ramlie dan penyanyi Adibah Noor sebagai pengkritik undangan.

Peserta berusia 24 tahun itu tidak mampu menawan hati pengundi apabila menjadi mangsa undian khidmat pesanan ringkas (SMS) paling rendah. Dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada enam rakan masih bertahan, sekali gus memberi laluan kepada mereka meneruskan perjuangan.

Peserta yang kekal ialah Aishah Bujang, 18, (Sarawak), Afiq Hakim Ahmad, 18, (Johor Bahru), Claudia Fay Geres, 24, (Sarawak), Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, (Sarawak), Ismaliza Ismail, 30, (Kuala Lumpur), dan Mohd Yazid Kamal Ibrahim, 22, (Johor Bahru).

Berita Harian

Kekangan Bajet Tak Sekat Kreativiti

21 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

PAIMM lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk serikan majlis pada 2 Mei

SEMUA pihak bebas memberikan pandangan dan kritikan namun apa yang termampu mereka lakukan adalah merencanakan konsep persembahan terbaik biarpun menghadapi kekangan bajet yang ketat.

Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson, berkata Anugerah Industri Muzik (AIM) 16 cuma menyediakan lapan slot persembahan sekali gus mendesak mereka supaya lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk menyerikan acara itu.

Katanya, menyusun senarai persembahan untuk acara besar seperti AIM16 bukan sesuatu yang mudah kerana sulit untuk meramalkan apa yang akan berlaku nanti.

“Ia sama seperti membikin sebuah album yang mengerah kerja keras dan titik peluh serta kreativiti anak seni tetapi apabila menjadi sebaliknya, mereka dihentam dan segala penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.

“Sama seperti AIM16, kami cuba memberikan yang terbaik untuk acara ini atas kapasiti yang ada kerana kami sendiri sukar meramalkan bagaimana hasilnya nanti,” kata Jennifer yang ditemui pada sidang media pengumuman artis yang membuat persembahan dan penyampai trofi untuk malam kemuncak AIM16, baru-baru ini.

Jennifer berkata, industri hiburan negara ketika ini dilambakkan dengan penganjuran pelbagai acara anugerah dan tanpa disengajakan mencetuskan persaingan antara satu sama lain untuk muncul terbaik di penilaian mata khalayak.

Akuinya, dia menyanjung kekuatan produksi Anugerah Juara Lagu Ke-23 yang berjaya menghasilkan sebuah penerbitan terbaik.

“Semua memberikan pandangan dan membuat penilaian, namun kami hanya mampu mencuba sedaya upaya atas segala kemampuan yang ada,” katanya.

Jumlah slot yang kecil tetapi memancing keinginan ramai penggiat muzik untuk turut serta membuatkan Jennifer dan tenaga produksi AIM16 menetapkan kriteria tertentu dalam menentukan barisan artis yang terpilih untuk membuat persembahan.

AIM16 kata Jennifer, mengutamakan artis yang mempunyai produk sebagai kelangsungan untuk mereka meneruskan usaha dalam membina karier dan berdiri matang dalam industri muzik.

“Kita mempunyai ramai artis yang berbakat besar dan melahirkan produk yang baik tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio dan peminat.

“Justeru, AIM16 memberi peluang ini kepada mereka untuk memperkenalkan bakat seperti mana kesempatan diberikan kepada Dayang Nurfaizah dan Misha Omar yang menyerlah selepas memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AIM dulu.

“Bagi mereka yang tidak terpilih, AIM tetap menyokong malah apabila tiba masanya mereka juga akan meraih peluang yang sama,” katanya.

Dalam ketelitian itu, Jennifer berkata, pengulangan barisan artis yang menyerikan slot persembahan AIM16 tidak dapat dielakkan kerana mereka impak yang besar kepada dunia hiburan sepanjang tahun lalu.

Faizal Tahir, Meet Uncle Hussain dan Hujan katanya ialah antara barisan artis yang memberi impak besar kepada industri muzik sepanjang tahun lalu.

Tambah Jennifer, meskipun industri hiburan ketika ini dibanjiri ramai kumpulan muzik baru yang mempunyai potensi besar di mata peminat namun mereka terpaksa berhati-hati apabila membabitkan persembahan di kaca televisyen.

Katanya, persembahan secara langsung di depan peminat dan beraksi di kaca televisyen adalah dua perkara berbeza serta menuntut ketelitian yang mendalam.

“Di kaca televisyen, setiap kesilapan dapat dikesan dengan jelas dan kami tidak mahu kerana kegagalan pertama, mereka terus dihukum dan dihentam selama-lamanya.

“Kami pernah melalui situasi ini apabila mengundang kumpulan indie berpengaruh untuk beraksi di AIM tetapi apabila gagal menyerlah di kaca televisyen, mereka teruk dikritik,” katanya.

Jennifer turut memuji artis tempatan berbangsa Cina dan India yang menunggu penuh sabar untuk meraih ruang beraksi pada acara kemuncak tahunan itu.

“Penghargaan mereka terhadap acara ini berbeza. Kesungguhan serta kesabaran mereka cukup kami hargai dan kerana itu, sejak beberapa tahun lalu kami mengundang mereka untuk turut sama,” katanya.

AIM16 yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini kembali menyatukan Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor sebagai pengacara.

Pengekalan tiga nama berkenaan sebagai teraju utama AIM16 kata Jennifer adalah kerana keserasian mereka dengan gaya dan perjalanan acara anugerah muzik itu.

“Tidak dinafikan pengacara menjalankan tanggungjawab yang berat kerana imej dan cara pembawaan AIM16 berada di tangan mereka. Ketiga-tiga pengacara ini sudah faham dengan perjalanan AIM yang tidak terlalu serius namun mempunyai imej dan prestijnya yang tersendiri,” katanya.

AIM16 diserikan dengan persembahan daripada Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, M Nasir, Datuk Sheila Majid serta penyanyi Indonesia, Rossa.

Sementara itu, penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

“Persembahan barisan artis akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik, Ramli MS. Komitmen yang sentiasa diberikan artis bakal menyajikan sebuah lagi persembahan menarik untuk dinikmati semua,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM16, Rosmin Hashim berkata, kemuncak AIM16 menyajikan beberapa kejutan menerusi gandingan persembahan yang mengujakan penonton.

“Apa yang dapat saya katakan, barisan artis yang terpilih itu mencerminkan perjalanan industri muzik sepanjang 2008 apabila kehadiran mereka memberi impak dan warna kepada dunia hiburan negara,” katanya.

AIM16 mempertandingkan 29 kategori, namun hanya 17 kategori disampaikan pada malam kemuncak manakala selebihnya diserahkan kepada pemenang sebelum acara bermula.

Berita Harian

AIM Pilih Bulu?

20 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


DARI ATAS: AIZAT, Atilia dan ibunya Salamiah Hassan, serta Camelia.


JENNIFER THOMPSON

WALAUPUN kuantiti lapan slot yang diperuntukkan untuk para artis melakukan persembahan dalam Anugerah Industri Muzik 16 (AIM 16), namun ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk mengelola majlis berprestij itu.

Dilema itu diakui sendiri oleh Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson yang harus membuat keputusan bijak tentang pemilihan artis yang akan mewarnai pentas AIM kali ini.

Hanya artis yang benar-benar berkualiti dan cukup bersesuaian untuk ditampilkan melakukan persembahan di pentas AIM akan terpilih.

“Setiap tahun saya dihujani dengan banyak panggilan telefon daripada artis yang cukup teruja hendak membuat persembahan.

“Saya hanya mampu memberi jawapan agar mereka dapat menunggu giliran untuk tahun-tahun berikutnya ditambah dengan pihak kami yang sekadar meletakkan slot dalam bilangan kecil.

“Tidak boleh dengan sewenang-wenangnya melibatkan ramai artis membuat persembahan kerana ditakuti penonton jemu dengan hiburan yang dihidangkan sekali gus membuatkan AIM mengambil masa yang panjang untuk disiarkan.

“Saya sendiri akui bahawa AIM menjadi platform anak-anak seni tanah air untuk mengenengahkan bakat yang dimiliki serta survival mereka sebagai penggiat muzik.

“Namun saya juga perlu ikut prosedur dalam menonjolkan artis. Hanya yang diyakini cukup layak untuk berada di pentas AIM bagi membuat persembahan,” katanya ketika ditemui pada sidang media AIM 16 di Hotel Concorde Khamis lalu.

AIM 16 yang akan berlangsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 2 Mei nanti menyaksikan artis-artis seperti M. Nasir, Misha Omar, Faizal Tahir, Datuk Sheila Majid, Meet Uncle Hussain, Joe Flizzow, Hujan, Chakrasonic, Man Jiang Hong dan Goldkartz, membuat persembahan.

Tidak terkecuali, penyanyi dari negara seberang, Rossa akan muncul dalam AIM 16 sekali gus membuat persembahan yang pastinya bakal memberi kejutan kepada penonton.

Persembahan artis pada malam itu pula akan diiringi oleh kumpulan pemuzik profesional yang dikepalai pengarah muzik terkenal, Ramli MS.

Bukan bermaksud pilih bulu atau menganak-tirikan mana-mana artis, sebaliknya pemilihan artis-artis ini bersandarkan kepada kredibiliti mereka membuat persembahan dan diri mereka yang mencerminkan industri muzik pada tahun lalu.

“Pemilihan mereka selaras dengan hasrat AIM 16 untuk memberi peluang mereka menonjolkan kebolehan masing-masing.

“Jika bercakap tentang kemampuan mereka menarik perhatian penonton, itu bergantung kepada persembahan mereka.

“Kami membuka jalan dan turut yakin barisan artis ini mampu memperlihatkan warna persembahan yang terbaik pada malam itu,” beritahu Jennifer yang menyatakan tiada sebarang konsep atau tema diwajibkan bagi setiap persembahan.

Dalam pada itu, AIM juga tidak melupakan kehadiran kumpulan indie yang menjadi trend dalam industri muzik di Malaysia.

“Bahkan mereka cukup berbakat dalam menghasilkan produk sendiri sehingga mendapat sambutan di luar dugaan daripada peminat.

“Lantaran itu, saya harus memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka yang berbakat besar ini untuk terlibat dalam AIM.

“Cuma saya harus berhati-hati dalam soal pemilihan kumpulan yang bakal membuat persembahan kerana AIM punya perbezaan ketara berbanding konsert-konsert biasa apatah lagi majlis penganugerahan ini dipancarkan secara langsung menerusi kaca TV,” katanya.

Jennifer sebelum ini pernah memberi peluang kepada sebuah kumpulan indie untuk menyanyi di pentas AIM, namun mereka tidak membuat persembahan seperti yang dijangkakan. Lain yang diharap, lain pula jadinya.

“Secara tidak langsung, ia memburukkan reputasi penganjuran majlis ini,” jelas Jennifer yang menjawat jawatan sebagai Penerbit AIM bermula tahun pertama penganjuran acara itu pada tahun 1993 sehinggalah ke hari ini.

Dalam majlis sama, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 16, Rosmin Hashim turut mengumumkan senarai artis yang bakal menjadi penyampai anugerah serta pengacara.

Masih mempercayai kredibiliti Afdlin Shauki dan Bob Lokman, AIM 16 turut tidak ketinggalan mengundang Adibah Noor, yang menjadi ‘bunga’ untuk mengemudikan acara itu.

Pihak AIM 16 bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang segmen khas. Sebaliknya Rosmin memberitahu: “Kami mahu memberi kejutan kerana tidak menarik jika diberitahu awal-awal.

“Ada kolaborasi yang tidak disangkakan, malah ada nama artis yang kami sedang difikirkan lagi untuk terlibat dalam persembahan AIM 16.”

Selain itu, beberapa nama terkenal dalam industri seni tempatan turut diundang untuk menyampaikan trofi pada malam bersejarah itu.

Antara mereka yang dimaksudkan ialah Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Jaclyn Victor, Leya (Hot FM), Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, AIM 16 mewajibkan semua hadirin untuk berpakaian formal atau Black Tie.

Kepada peminat yang ingin menghadiri AIM 16, mereka boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 dengan menghubungi talian 03-40445388.

Kosmo

Aksi Bakal Bintang Hambar

13 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PADA minggu kelima konsert Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, malam kelmarin sepatutnya peserta sudah mampu memberikan persembahan memberangsangkan seolah-olah mereka bakal bergelar juara.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya apabila pengkritik tetap juga komposer Edry Hashim menjelaskan, pada malam itu kebanyakan persembahan tidak memenuhi piawaian yang diperlukan untuk bergelar bintang.

Jika minggu sebelumnya mereka diberi lagu popular dua penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search, minggu ini pula mereka digandingkan dengan juara AF dan juga bintang AF terdahulu.

Kenyataan itu diberikan Edry sewaktu peserta terakhir dan tersingkir, Mohd Rashidi Mohamad Isa (Sidi) selesai mengadakan persembahan duet bersama Juara Akademi Fantasia Musim Kedua (AF2), Zahid mendendangkan lagu Cinta Yang Sempurna. turut bertindak sebagai pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim dan penyanyi dan pelakon, Adibah Noor.

Kata Edry, kenyataan itu diberikan mewakili penonton yang menyaksikan konsert itu dan orang berpengalaman dalam industri muzik.

“Sebagai orang yang pernah memegang jawatan A&R (pembangunan dan reputasi artis) di syarikat rakaman dan menerbitkan banyak album, saya lihat kebanyakan peserta ini mempunyai potensi, tetapi untuk bergelar bintang masih belum cukup.

“Impian saya mungkin tinggi terhadap peserta AF7 ini dan saya mahukan yang terbaik daripada mereka. Saya lihat mereka ada apa yang dicari tetapi ia terlalu samar, walaupun konsert sudah masuk minggu kelima.

“Ini membuatkan saya berasa kecewa. Seharusnya pada malam ini (kelmarin), mereka sudah memberikan persembahan yang memukau dan orang sudah mula mengenali siapa mereka sebagai penyanyi.

“Walaupun ada peningkatan, peserta ini masih belum mampu ‘pukul’ juara Akademi Fantasia musim keenam iaitu Stacy,” katanya.

Pada masa sama, sewaktu mengkritik persembahan dilakukan Ismaliza Ismail (Isma) yang mendendangkan lagu Kau Mawarku bersama suami, juga penerbit album, Zulkifli Majid (Zul 2 By 2), Edry turut menegur undian tinggi diterima peserta itu dan meminta pengundi menilai kembali undian dibuat.

 

 

Katanya, dia bercakap atas kapasiti pengalaman dan berasakan Isma belum cukup untuk bergelar juara rancangan realiti TV popular itu.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan Isma. Jika penonton berasakan dia layak bergelar juara, terpulanglah kerana mereka menentukan pemenangnya. Saya bercakap kerana mahu melihat dia pergi jauh.

“Saya dapat rasakan Isma boleh melakukan lebih baik daripada persembahannya malam ini, tetapi dia perlu ada satu rangsangan untuk membolehkan dia melakukan lebih daripada sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Adibah Noor yang pertama kali diundang duduk di kerusi pengkritik berkata, dia melihat walaupun sebahagian besar peserta masih lagi bermasalah untuk melakukan persembahan, secara keseluruhan kebanyakan mereka dapat menghiburkan penonton.

“Apabila bercerita mengenai persembahan, yang saya nampak boleh masuk ke pertandingan akhir ada dua orang. Begitupun sebagai pengkritik, apa yang kita cakap bukan digunakan 100 peratus oleh pengundi.

“Penonton bukan peduli kalau peserta menyanyi sumbang atau tidak. Kalau sudah suka, mereka mesti undi. Ada yang mendengar kritikan sebab hendak belajar tetapi mereka ini tidak mengundi. Perkara ini saya turut jelaskan kepada Edry.

“Begitupun, secara jujur pada malam ini, saya nampak ada dua bintang yang bersinar iaitu Mohd Hafiz Mohd Suip yang mendendangkan lagu Terlanjur Bercinta bersama juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila dan Khairil Azam Pilus (Aril) menyanyikan lagu Aku dan Dirimu berduet dengan Marsha,” katanya.

Mengenai konsep persembahan dilakukan produksi apabila memanggil bekas juara dan beberapa pelajar Akademi Fantasia musim lalu berduet dengan peserta tahun ini, Adibah mengatakan ia turut mempengaruhi persembahan dilakukan.

“Mengambil contoh Sidi yang berduet dengan Zahid. Sebaik persembahan bermula, dia sudah tenggelam kerana kehadiran juara AF2 itu di pentas terlalu kuat untuk dia sehingga susah untuk berada setara.

“Ada peserta yang ‘hanyut’ dibawa pasangannya seperti Mohd Qhaud Abdul Rashid (Qhaud) menyanyikan lagu Di Bius Cinta duet dengan Heliza. Apabila Heliza sendiri sudah sumbang apabila menyanyi, sudah tentu ia memberikan masalah kepada peserta AF7 itu.

“Sebagai orang baru, Qhaud masih tidak tahu bagaimana hendak menangani masalah ini dan sepatutnya dia mendengar nada suara sendiri untuk mengikut melodi lagu, seperti apa yang saya perjelaskan kepadanya sewaktu mengkritik persembahannya.

“Begitupun, ada juga peserta yang saya nampak berjaya ‘pukul’ bintang AF terdahulu seperti Hafiz, berjaya menenggelamkan Mila dan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) walaupun masih ada sedikit masalah vokal sewaktu menyanyikan lagu Terharu, tetapi masih dapat meletakkan dirinya setara dengan rakan duetnya, Yazer,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro