Archive | Aliff Aziz RSS feed for this section

Minda: Evolusi Industri Muzik

31 Dec

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Discovery Channel menerusi laporan khas menyatakan industri muzik dunia bakal berubah apabila aplikasi teknologi perkomputeran dan telefon bimbit digunakan sepenuhnya sebagai saluran utama bagi memasarkan lagu dihasilkan komposer.

Perkara ini dilakukan syarikat pengeluar komputer riba terkenal Apple menerusi aplikasi I-Tunes yang dibangunkan dan dipasarkan dalam tiga bentuk iaitu iPods, Macs dan iPhones.

Ternyata usaha dilakukan lima tahun lalu membuahkan hasil lumayan apabila Apple mencatat jualan mencecah RM5 bilion pada tahun pertama menerusi aplikasi dihasilkan.

Pendapatan diperoleh Apple menerusi pasaran muzik digital membolehkan royalti tinggi diagihkan kepada pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi.

Untuk tahun ini, Apple dijangka mencatat jualan lebih tinggi menerusi I-Tunes sehingga mencecah RM43 bilion sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada keuntungan syarikat pengeluar produk pengkomputeran itu.

Di Malaysia, pada saat kebanyakan syarikat rakaman mahupun penggiat industri muzik mengeluh membabitkan pasaran fizikal seperti album dan cakera padat tidak mendapat sambutan, penjualan lagu secara digital iaitu menerusi muat turun ke telefon bimbit dan internet terus mencatat peningkatan.

Sebelum ini, kebanyakan penggiat industri muzik bertelagah membabitkan kenyataan industri muzik tempatan semakin tenat dan diburukkan lagi dengan masalah cetak rompak.

Namun, tanpa disedari sebenarnya pasaran muzik menerusi muat turun dan internet mula memberikan keuntungan kepada syarikat rakaman dan penggiatnya dengan jualan keseluruhan RM20 juta sepanjang 2008.

Jumlah itu mewakili 25 peratus daripada pasaran besar industri.

Malah, kalau dihitung daripada penjualan single yang mencecah 450,000 unit menerusi muat turun dengan harga RM3 setiap satu, ia lebih menguntungkan daripada menjual album atau cakera padat dengan harga RM20 atau RM30 sekeping.

Sekiranya teknologi itu diguna pakai sepenuhnya, syarikat rakaman tempatan terhadap lagu dipasarkan, dalam masa lima tahun dari sekarang tidak mustahil kenyataan Pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM), Datuk A Rahman Hassan, bahawa industri muzik mampu menjadi penyumbang ekonomi terbesar negara dengan pendapatan mencecah RM300 juta dalam masa tiga tahun bakal menjadi kenyataan.

Perkara itu dinyatakan Rahman ketika membentangkan kertas kerja berjudul Kerjaya Muzik Penjana Ekonomi di Seminar Seni Muzik Kebangsaan di Akademi Seni, Warisan dan Budaya (Aswara), Julai lalu.

Ia turut dipersetujui Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Sandy Monteiro, dengan menjelaskan pada saat Amerika Syarikat dan Eropah mencatat keuntungan besar menerusi teknologi itu, Malaysia masih lagi terkial-kial untuk menerimanya.

Bagaimanapun Sandy, sewaktu ditemui menjelaskan lima tahun lalu, walaupun masih baru, pasaran muzik digital sudah menyumbang kepada industri dua peratus.

Dalam tempoh itu, setiap tahun hingga sekarang, ia meningkat dengan pantas 15 hingga 30 peratus.

“Saya sudah mengenali teknologi itu lima tahun lalu sewaktu mengikuti seminar diadakan Sound Buzz di Singapura atas jemputan Creative Technologi yang menghasilkan alat sistem bunyi Zen.

“Dalam seminar itu, mereka menjangkakan dalam masa lapan tahun lagi, pasaran muzik akan berubah sepenuhnya dengan tiada jualan secara fizikal. Ini dianggap normal kerana kalau kita perhatikan setiap 25 tahun pasaran industri muzik akan berubah mengikut pengaruh perkembangan teknologi.

“Mengambil contoh, pada 60-an dulu kita ada piring hitam besar, kemudian kaset dan cakera padat dan sekarang pasaran melalui internet dan muat turun akan mengambil alih bentuk pasaran.

“Masalahnya dulu apabila balik ke Malaysia dan menerangkan kepada ahli mereka susah untuk menerimanya dengan alasan keberkesanan penggunaannya susah untuk dibuktikan dalam industri muzik tempatan.

“Saya faham dengan apa yang dinyatakan mereka kerana ada orang berlari pantas, ada orang suka berjalan dan tidak kurang juga merangkak. Tetapi kejayaan diraih Apple menerusi aplikasi dibangunkan saya rasa sudah berjaya membuka mata semua pihak,” katanya.

Begitupun, apa yang menjadi persoalan sekarang bagaimana RIM yang mewakili syarikat dan penggiat industri muzik untuk mengekang rakam rompak menerusi internet atau kaedah muat turun kerana ia lebih mudah dilakukan tanpa ada sebarang sekatan.

Selain itu, adakah RIM mempunyai undang-undang hak cipta membabitkan ‘media baru’ itu?

“Semua karya muzik dihasilkan dilindungi badan bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kita mempunyai undang-undang untuknya.

“RIM sendiri ada pegawai khas yang diberi latihan agar mereka faham apa itu digital dan langkah yang boleh diambil agar rakam rompak menerusi ‘media baru’ itu dapat dibendung.

“Kami mempunyai alat khas untuk mengesan sekali gus menutup laman sesawang yang cuba menjual karya muzik secara haram,” katanya.

Pembangunan industri muzik bersama teknologi maklumat itu dipercayai akan mengembalikan dunia muzik tempatan pada tempatnya. Malah, kini artis tidak perlu menunggu menghasilkan album, sebaliknya dengan satu lagu yang baik mereka sudah mampu mencatatkan keuntungan, sekali gus memastikan kelangsungan kerjaya dalam bidang seni.

“Jika sekarang 10 album payah hendak dihasilkan tetapi apabila teknologi itu sudah digunakan sepenuhnya, kita akan lihat dalam setahun akan lahir 40 hingga 50 karyawan baru. Ini membuka ruang lebih besar kepada masyarakat untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Sony Music (M) Sdn Bhd, Adrian Lim mengakui sepanjang 2008 pendapatan terbesar diperoleh syarikat rakaman itu menerusi pasaran digital yang menguasai 30 peratus pendapatan.

Jualan secara fizikal iaitu album dan cakera padat tidak berganjak dengan menyumbang pendapatan 15 hingga 18 peratus kepada Sony Music.

“Saya akui dalam tempoh lima tahun ini, jualan karya muzik menerusi digital meningkat dengan begitu pantas. Sehinggakan tumpuan harus diberikan terhadapnya dan menubuhkan satu jabatan khas untuk menanganinya,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut, kata Adrian, kutipan tertinggi diperoleh artisnya, Aliff Aziz menerusi lagu Sayang-Sayang yang dijual 450,000 unit single.

“Penjualan single lebih menguntungkan berbanding album kerana daripada RM3 diperoleh, seringgit akan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi, seringgit untuk syarikat rakaman dan selebihnya royalti untuk komposer, penulis lirik dan penyanyi.

“Pada syarikat rakaman 100,000 unit single, keuntungan diperoleh menyamai 20,000 unit jualan cakera padat. Bayangkan kalau lima lagu dimuatkan dalam album jualannya menerusi digital mencecah satu juta, ia memberikan pulangan sangat baik kepada syarikat.

“Bagaimanapun jualan menerusi media baru itu, muat turun ke telefon bimbit yang kebanyakannya dikendalikan syarikat telekomunikasi terkemuka menjadi penyumbang terbesar dan selebihnya menerusi i-Tunes dan laman sesawang,” katanya.

Menyentuh aspek keselamatan, Adrian berkata, ia tidak akan berlaku kerana syarikat telekomunikasi mempunyai alat khas untuk mengelak daripada berlakunya cetak rompak atau penipuan dan setiap pembelian turut direkodkan.

Beliau yakin industri muzik tempatan akan kembali mengulangi zaman kegemilangan seperti dikecapi syarikat rakaman sekitar 90-an menerusi teknologi baru itu memandangkan sudah menjadi budaya hidup masyarakat dunia, termasuk di Malaysia.

Harian Metro

Keringat 20 Tahun Berbaloi

22 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
POPULARITI yang diraih golongan artis mungkin berbeza daripada penulis lirik dan komposer lagu yang boleh dikategorikan individu di belakang tadbir. Malah, tidak ramai yang menyedari tanpa mereka, lirik lagu dengan susunan melodi menarik pasti sukar dihasilkan walaupun persembahan lagu membabitkan penyanyi terkenal.

Justeru, bagi mengiktiraf karya mereka, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) menganjurkan Majlis Malam Mesra MACP bertempat di Hotel One World Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu.

Menerusi majlis itu, sebanyak 11 anugerah disampaikan kepada karyawan seni bagi mengiktiraf sumbangan dan kebolehan mereka dalam mencipta lagu, selain mengharumkan dunia hiburan tanah air.

Pemenang bagi semua kategori dipilih berdasarkan keputusan pengagihan MACP pada Julai lalu kecuali penerima Anugerah Pencipta Muda Berpotensi (berusia 25 tahun ke bawah) dan Anugerah Nadi Cipta yang dipilih Lembaga Pengarah MACP.

Pemenang Anugerah Nadi Cipta, Hashim Said atau S Atan, 59, cukup terharu apabila dianugerahkan pengiktirafan itu lebih-lebih lagi selepas dua dekad terbabit dalam bidang seni malah mengakui sumbangan dan penat lelah karyawan seni dihargai menerusi majlis anugerah seperti itu.

“Jika dulu ketika peringkat awal pembabitan saya dalam bidang ini, memang tiada anugerah dan tiada individu yang mengiktiraf hasil kerja seni ini.

“Saya bersyukur kerana sejak terbabit dalam bidang ini bermula 1972 dan menghasilkan kira-kira 1,000 lagu, masyarakat semakin mengiktiraf sumbangan komposer.

“Memang saya akui biasanya orang akan kenal artis dulu daripada komposer kecuali jika penyampai radio memaklumkan kepada pendengar nama komposer lagu terbabit atau membeli album di kedai, baru orang kenal siapa komposer lagu berkenaan. Saya tidak kisah sangat soal itu. Apa yang lebih penting, lagu yang dicipta mendapat sambutan baik dan kerap disiarkan di radio.

“Hendak diikutkan sekitar 70-an dulu, memang tidak ramai komposer berbanding hari ini. Persaingan pula tertumpu kepada penghasilan lagu berentak Melayu Asli atau pop.

“Saya pula banyak menghasilkan beberapa lagu Melayu termasuk lagu raya yang dinyanyikan Black Dog Bone, Datuk Sharifah Aini dan Carefree.

“Saya sentiasa menyelitkan lagu berentak joget dalam setiap karya terbaru. Saya berpendapat, lagu asli perlu sentiasa dihidupkan. Kebanyakan komposer sekarang banyak menghasilkan lagu Melayu. Tidak dinafikan, lagu asli masih mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.

“Malah lagu asli dalam album kompilasi, Deli 1 & 2 yang menampilkan Allahyarham Sudirman, Jalil Hamid, Herman Tino dan Datuk Sharifah Aini yang dihasilkan sekitar 1978 sehingga sekarang masih terjual,” katanya.

Hadir bersama isterinya, Norizan Yeob, 44, pada majlis itu, sekali gus menyaksikan anugerah pengiktirafan ketiga yang dimenangi selepas Anugerah Lagu Terbanyak MACP pertama dan Anugerah Wirama Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-13.

Dia mengakui masih ramai komposer hebat dan berbakat era ini. Begitupun, memaklumkan kehampaan terhadap pengaruh lagu luar terutama Indonesia yang kerap disiarkan di beberapa stesen radio tempatan yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada karyawan seni tempatan.

S Atan yang dilahirkan di Singapura pada 1 Ogos 1949 tertarik dengan dunia muzik sejak zaman sekolah rendah lagi. Antara karya popularnya ialah Dulu dan Sekarang nyanyian Black Dog Bone, Pandang-pandang dan Jeling-Jeling (Datuk SM Salim dan Datuk Siti Nurhaliza) dan Assalamualaikum (Jamal Abdillah). Beliau juga menghasilkan lagu untuk filem Pertentangan arahan Salleh Ghani.

Dia kini dalam rangka menyiapkan projek lagu-lagu asli untuk Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKwa), dan konsert album untuk lagu A Ramlie yang akan dinyanyikan semula pendatang baru.

Bagi pemenang Anugerah Komposer Muda Berpotensi pula, Zarimi Zahari, 24, atau Zimi Sofaz walaupun langsung tidak menyangka dinobatkan anugerah itu, sekali gus sebagai pendorong kepadanya untuk terus berkarya pada masa depan.

Walaupun baru tiga tahun terbabit dalam bidang itu, Zimi yang juga vokalis kedua dan gitaris kumpulan Sofaz sudah menghasilkan lebih 30 lagu bermula dengan Sedarilah daripada album pertama Sofaz diikuti Cinta, Dan Pasti, Rasakan dan Salahku selain lagu hit Izwan Pilus, Indah Lelapku serta penulis lirik untuk Nita, Lips, Aliff Aziz dan kumpulan daripada Singapura, Refalina.

“Anugerah ini memang bagus untuk memberi dorongan dan semangat kepada komposer muda. Mungkin kekuatan lagu saya ringkas dan mudah didengar. Saya masih ingat lagi pesan Arwah Loloq ketika bekerja dengannya dulu. Menurut arwah dalam penghasilan lagu, biar yang ringkas dan sentiasa memikirkan supaya orang boleh hafal lagu berkenaan dalam masa 30 saat.

“Berpegang pada pesanan itu, saya berjaya menghasilkan beberapa lagu yang kini mendapat tempat di kalangan peminat muzik.

“Sejak mula serius dalam bidang ini, saya mengakui masih ada perasaan takut sehingga ke hari ini. Takut untuk bagi orang dengar lagu saya sendiri dan bermacam lagi. Malah, saya berasa anugerah pertama yang diterima ini akan menambahkan lagi beban dan tanggungjawab saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan, berkata sebagai badan pelesenan yang unggul mewakili pencipta di Malaysia, pihaknya cuba memberi pengiktirafan kepada mereka yang berada di belakang tabir di mana sumbangan mereka kurang mendapat perhatian.

“Anugerah ini dikira daripada pungutan sejak 2007 hingga Ogos lalu. Majlis kali ini tidak diadakan secara langsung memandangkan ahli jawatankuasa yang memutuskan pada mesyuarat agung lalu bersetuju tidak membuat siaran langsung memandangkan ia membabitkan beberapa perkara dan kos perbelanjaan yang besar.

“Sepanjang penganjuran majlis, hanya dua kali ia disiarkan secara langsung di RTM iaitu pada tahun lalu dan di Kuantan, Pahang pada awal tahun ini.

“Tidak dinafikan pendapatan tahun ini meningkat. Begitu juga jumlah yang perlu dibayar untuk lagu luar negara seperti Indonesia yang turut mencatat peningkatan. Pengaliran wang tunai ke negara berkenaan tidak seimbang berbanding lagu tempatan yang meraih pendapatan rendah di negara itu,” katanya.

Turut disampaikan pada majlis itu, Anugerah bagi kategori Persembahan Terbanyak Lagu Inggeris yang dimenangi Megat Hafiz Mohamad menerusi lagu Skinheads For Life yang dipopularkan oleh ACAB, bagi Persembahan Terbanyak Lagu Cina dimenangi Lee Chee Cheng menerusi lagu Zen Me Ban nyanyian kumpulan daripada Taiwan, SHE.

Persembahan Terbanyak Lagu Luar Negara dimenangi komposer Munif Bahasuan menerusi lagu Gadis Melayu yang dinyanyikan Mawi.

Penulis lirik dan komposer bagi lagu, Ku Juga Mencintaimu nyanyian Saiful serta Qing Fei De Yi nyanyian Harlem Yu iaitu Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong pula mencatat sejarah tersendiri apabila memenangi dua anugerah menerusi Anugerah Persembahan Terbanyak Lagu Melayu dan Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi.

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak pula dimenangi Luncai Emas Sdn Bhd sementara EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd pula menerima Anugerah Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sumbangan Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis dalam bidang seni tiada bandingannya, malah diiktiraf apabila dianugerahkan Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali kelapan berturut-turut manakala buat kali ke sembilan, M Nasir memenangi Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.

Harian Metro

Beranikan Diri Hadapi Persaingan Hebat

9 Aug

BELIAU jarang ketengah sebagai penyanyi utama biarpun dalam kumpulan popular seperti Karisma dan terkini, Revalina.

Lantas, apabila Rosman Senin menggunakan suaranya secara solo untuk membawa lagu ciptaannya, Novela Cinta, untuk pertandingan Projek Rentak, beliau amat ragu-ragu sejauh mana lagu itu akan terpilih.

Ternyata, lagu balada yang cukup indah itu akhirnya terpilih sebagai antara dua lagu terbaik ke peringkat final acara yang dianjurkan stesen 94.2FM dan Ria 89.7FM dengan kerjasama Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass).

Satu lagi lagu yang terpilih ialah Lafaz, ciptaan Jaliboy atau nama sebenarnya Razali Johari.

‘Persaingan cukup hebat, terutama di peringkat pemilihan lima lagu terbaik. Saya sedar beberapa kelemahan saya membawakan lagu itu kerana ia dirakamkan secara tergesa-gesa kerana saya takut lewat menghantar demonya kepada penganjur. Alhamdulillah, lagu itu terpilih juga,’ kata Rosman, yang kini menggunakan nama pentas Ross.

Lagu Lafaz pula, yang bernada tinggi, disampaikan dengan cukup cemerlang oleh penyanyi Nana, peserta Singapore Idol musim pertama.

Menurut penganjur, lebih 200 penyertaan lagu ciptaan asli telah diterima apabila projek itu dilancarkan awal Jun. Dari 7 hingga 18 Julai, pendengar mengundi lima lagu terbaik yang disaring untuk menempah tempat bagi dua lagu terbaik.

Juara lagu tersebut akan hanya diumumkan dalam konsert Rentak Singapura yang berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos, dari 8 hingga 10 malam di D’ Marquee, Downtown East.

Konsert itu akan menampilkan artis-artis hebat Singapura termasuk Aliff Aziz, Man Toyak, Sleeq, Maiya Rahman, Didicazli, Nurun Nuwarrah, Spellbound, Aqmal, Malex dan Elfiee Ismail, dengan penampilan istimewa Art Fazil.

Acara itu juga akan melancarkan talian amal Warna-Tabung Amal Aidilfitri (TAA), oleh tetamu terhormat, Encik Zainul Abidin Rasheed, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East.

Tiket berharga $18 boleh didapatkan di Muzika Records.

Pelajar diberi diskaun $2.

Cyberita

Ibu Perjelas Hubungan Aliff, Syakillah

10 Jul


Teks oleh Razif Rosdi

Banyak sungguh respon diberikan selepas murai.com.my mengeluarkan rencana pada 1 Julai lalu tentang penyanyi remaja, Aliff Aziz, 17, yang digosipkan dengan seseorang yang bernama Syakillah.

Ada peminat yang meminta agar penyanyi lagu Sayang Sayang itu memberi tumpuan kepada karier dan pelajaran memandangkan dia masih muda serta baru saja bertapak sebagai artis. Tidak kurang yang ‘naik angin’ melihat foto Aliff yang begitu mesra dengan Syakillah.

Hakikatnya, Syakillah sebenarnya adalah artis baru Singapura yang sama-sama menyertai pertandingan nyanyian Anugerah 2007 bersama Aliff dulu.

Bagi menjelaskan perkara ini, murai.com.my berjaya mendapatkan komen ibu Aliff, S. Hafiza Sheikh Mohamed. Beliau juga menjadi tulang belakang kejayaan Aliff selama ini.

“Sebagai ibu yang membesarkan Aliff, saya tahu mereka hanya rapat seperti adik dan kakak saja. Mereka hanya berjumpa ketika sama-sama bertanding dalam Anugerah 2007 di Singapura. Sejak dari itu, mereka terus jadi kawan.

“Setahu saya, Aliff sudah lama tak hubungi Syakillah atau berjumpa. Selepas bergambar pada hari kemuncak Anugerah 2007 itu, mereka sesekali terserempak dalam beberapa persembahan di sekitar Singapura. Jadi, saya harap gosip mengenai percintaan mereka itu sudah terjawab,” jelas Hafiza.

Bercerita lebih lanjut tentang penglibatan mereka berdua, Syakillah atau nama sebenarnya, Nur Shakillah Md Salleh, 19, hanya mampu bertahan sehingga peringkat separuh akhir dalam pertandingan itu.

Aliff pula walaupun tersingkir lebih awal daripada Syakillah nyata cukup bertuah kerana selepas dipilih semula dalam pusingan wildcard, Aliff berjaya menjadi juara dan seterusnya menjadi penyanyi rakaman.


Murai

Kegagalan Mematangkan Syed Azmir

8 Jul

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SYEN Azmir yakin media dan artis negara ini menerima kehadirannya dengan baik biarpun dia berasal dari Singapura.

CUBAAN pertamanya menerusi album sulung berjudul Prosa X yang muncul di pasaran April tahun lalu dilihat bagaikan gagal menaikkan nama serta populariti artis tinggi lampai dari Singapura ini.

Mempertaruhkan konsep progresif rock, namun entah di mana letaknya kesilapan, kehadirannya sebagai penyanyi umpama tidak dirasai andai dibandingkan dengan rakan senegaranya yang lain seperti Aliff Aziz, Imran Ajmain atau Taufik Batisah.

Selepas merangkul gelaran naib juara dalam program realiti Anugerah terbitan sebuah stesen televisyen Singapura sekitar 2005, popularitinya seolah-olah tenggelam hingga menimbulkan rasa kecewa.

Sungguhpun begitu, empunya diri bernama Syed Azmir Syed Azman yang baru sahaja menjangkau usia 24 tahun pada 26 Jun lalu nyata enggan mengaku kalah dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran.

“Memanglah kecewa kerana ia melibatkan karier dan saya amat mengambil berat akan perkara ini. Bagi saya, sambutan terhadap album pertama cukup baik walaupun hakikatnya tidak ramai yang mengenali diri saya.

“Mungkin kurang promosi agaknya berbanding artis-artis Singapura lain. Tapi tidak mengapa kerana itu semua adalah pengajaran dalam mematangkan saya,” katanya kepada Hits pada sesi fotografi di studio Utusan, baru-baru ini.

Syed Azmir merupakan artis naungan Wake The Baby Records, sebuah syarikat rakaman milik komposer terkenal, Ajai.

Album Prosa X menampilkan 10 buah lagu seperti Kuasa Cintamu, Episod Lelaki, Padamkan Cerita Cintaku dan Pandangan Pertama.

Ujar Syed Azmir, meski menyedari tidak begitu dikenali, dia mampu berbangga kerana menjadi pendahulu dalam menghasilkan album di Malaysia jika dibandingkan dengan artis Singapura lain yang mencuba nasib di negara ini.

Melangkah ke album kedua

Selepas muncul dengan Prosa X yang dianggap sebagai satu eksperimen dan meneliti segala kekurangan yang ada, Syed Azmir memberitahu, dia kini sedang mengatur langkah untuk tampil dengan album kedua.

Bakal menjalani rakaman selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, ia tidak lagi berkonsepkan progresif rock apabila album kedua akan memperlihatkan kekuatan sebenar Syed Azmir iaitu R&B.

“Saya memang suka R&B. Justeru, untuk album kedua, Ajai telah memberi kebenaran malah dia sendiri yang mencadangkan saya supaya membawakan konsep itu.

“Sekarang ini saya sedang bekerja keras dalam mencari lagu. Mengikut perancangan, ia akan dipasarkan Januari tahun depan,” jelasnya yang turut berjinak-jinak dalam lakonan menerusi drama Projek Cerpen di Singapura.

Syed Azmir kecewakan bapanya?

Sementara itu, asyik bercerita tentang album, Syed Azmir menarik perhatian Hits apabila memberitahu bahawa dia pernah mengecewakan bapanya, Syed Azman Syed Abdul Aziz, 47.

Semua gara-gara tindakannya yang mengambil keputusan menggantung but bola sepak bagi memberi tumpuan kepada karier sebagai penyanyi.

Masakan tidak, sejak dari kecil iaitu ketika berusia 11 tahun, dia telah dihantar oleh bapanya menjalani latihan di sebuah akademi bola sepak di Singapura.

“Saya merupakan orang pertama dalam keluarga yang menjadi penyanyi. Bapa memang tidak suka kerana dia mahu saya teruskan karier sebagai pemain bola sepak.

“Sememangnya dia kecewa. Setahun rasanya dia menyimpan perasaan atas keputusan yang saya lakukan iaitu bergelar penyanyi. Tetapi, sekarang dia sudah okey,” katanya yang berkecimpung dalam arena bola sepak bersama pasukan remaja Singapura sejak berusia 13 hingga 18 tahun.

Anak sulung daripada tiga beradik ini pernah beraksi dalam Liga Singapura menerusi pasukan Sembawang Rangers pada usianya 19 tahun.

Bagaimanapun, pada 2005, Syed Azmir yang berasal dari Bedok, Singapura meninggalkan sukan bola sepak kerana terbabit dalam program Anugerah.

“Ibu saya ( Rashimah Zainal) yang menyerahkan borang menjalani uji bakat program itu kepada saya. Dia amat menyokong dan tidak sangka, selepas melalui pelbagai peringkat, saya berjaya merangkul tempat kedua.

“Bertitik-tolak daripada itu, saya fikir yang saya perlu meneruskan bidang nyanyian. Ini kerana sepanjang menyertai Anugerah, saya mendapat sokongan daripada penonton yang mengundi saya ketika itu,” ujarnya.

Merindui sukan bola sepak

Tiga tahun sudah berlalu iaitu sejak menggantung but bola, kini Syed Azmir tidak bisa berpatah ke belakang dan dia perlu meneruskan kehidupan sebagai penyanyi.

Namun, di lubuk hatinya, tidak siapa yang tahu bahawa dia sebenarnya menyimpan perasaan rindu terhadap sukan bola sepak.

“Memanglah rindu sebab ia telah sebati dalam hidup sejak saya masih kecil lagi,” jelasnya yang pernah dikatakan menjalin cinta dengan pelakon Liana Jasmay.

Lucu terkenang gosip bersama Ashraf Sinclair

Dalam pada itu, Syed Azmir ketika diajukan soalan mengenai pengalaman sepanjang berkecimpung dalam dunia nyanyian memberitahu agak lucu terkenangkan gosip liar iaitu kisah ‘hubungannya’ dengan Ashraf Sinclair.

Walaupun tidak mengambil endah akan gosip berkenaan, dia agak terkilan kerana nilai persahabatannya dan Ashraf telah disalah erti.

“Kami berada di bawah pengurusan yang sama iaitu Beyond Events. Rumah saya di Kuala Lumpur pun dekat dengan rumah Ashraf. Itu yang membuatkan kami rapat. Lagipun, teman wanita Ashraf dan bekas teman wanita saya berasal dari Indonesia.

“Justeru, kami punyai cita rasa yang sama dan ia membuatkan kami berdua selesa berkongsi segala cerita,” jelasnya sambil ketawa besar.

Utusan Malaysia

Syakillah Pacar Aliff Aziz?

1 Jul

KL, 1 JULAI 2008: Hari ini siapa yang tidak kenal Aliff Aziz terutama peminat remaja. Lagu Sayang Sayang semakin terkenal dan dah banyak jadi nada dering dan lagu muat turun yang cukup popular. Selain itu, MTV Aliff di murai.com.my pun antara yang paling banyak ditonton. Itulah penangan anak muda dari Seberang Tambak Johor ini.

Tapi, bila tengok gambar yang Murai Batu siarkan di sini, haaa, tentu ramai peminat fanatik Aliff gigit jari. Siapa pula gadis yang posing manja dengan Aliff tu? Adakah Alif dah ada awek atau berpacaran?

Murai Batu difahamkan, gadis manis itu namanya Syakillah. Tapi Murai Batu tak tahulah apa hubungan sebenar Syakillah dengan Aliff – adakah awek, sepupu ataupun peminat?

Nak kata saudara, posing sakan dan manja gitu. Malah ada pihak mencadangkan pada Aliff agar terima Syakillah sebagai kekasih hatinya. Adoi, macam mana tu?

Namun, mungkin itu semua hanya usikan kawan-kawan mereka. Yang tahu hal sebenar adalah Aliff dan Syakillah sendiri.

Kalau ikutkan, Aliff tu muda sangat. Jika di Malaysia, Aliff kiranya baru belajar dalam Tingkatan 5, baru nak ambik SPM. Kalau tengok pada rupa Syakillah pula, dia pun mesti masih belajar. Di sini ada dua gaya mereka dan bermakna mereka mungkin pernah bertemu di lokasi-lokasi yang berbeza.

Apa-apa hal, Murai Batu nasihatkan agar Aliff fokus pada pelajaran dan kerjaya dulu. Maklumlah masih muda dan baru ada satu album. Lagipun Aliff ramai peminat kan? Lepas ni Murai Batu nak telefon Aliff ke Singapura untuk minta penjelasan, OK?

MURAI BATU: Teringatkan cinta monyet zaman sekolah dulu bila ke Zoo Negara, baru-baru ini.


Murai

Filipina Idam Juara Geng Starz

17 May

Oleh Farihad Shalla Mahmud (yang mengikuti rombongan TV3 ke Manila, Filipina baru-baru ini)


PAKEJ: Bukan saja mempertaruhkan kecantikan fizikal malah 3.5 juga memiliki bakat dalam bidang nyanyian.

Sedar saingan sengit dari peserta Malaysia, Indonesia, persiapan rapi dilakukan ke KL

BERSUNGGUH-SUNGGUH serta mempunyai keazaman yang begitu kuat untuk bergelar juara. Itulah yang dapat digambarkan mengenai dua kumpulan dari Filipina ini yang menyertai program realiti Gang Starz musim kedua.

Menyaksikan kesungguhan mereka membuat latihan serta persediaan yang dilakukan membuatkan penulis mengagumi betapa mereka begitu serius dengan apa yang mereka lakukan.

Selama tiga hari mengikuti aktiviti harian mereka sebelum terbang ke Malaysia serta mewakili negara mereka untuk bertanding bersama empat negara lain iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand bagi merebut gelaran juara, hadiah wang tunai ASD100 ribu serta kontrak rakaman album, dua kumpulan ini kelihatan tidak jemu-jemu membuat latihan bagi memastikan penyertaan mereka itu tidak sia-sia.

Bagi kumpulan Paragon Child yang dianggotai tiga anak remaja iaitu Rainner Melgarejo, 24, Jerwin B Nicomedez, 18 dan Julius C Lacandula, 20, mereka berpendapat setiap detik bagi mereka amat berharga untuk dibazirkan dan ruang itu diisi dengan sesi latihan menyanyi dan menari. Paling mengagumkan mereka sendiri yang mencipta setiap gerak tarian itu.

“Kami lebih selesa untuk mereka tarian kami sendiri. Secara kebetulan, setiap kami boleh menari jadi apabila berkumpul, kami akan berbincang bentuk tarian bagaimana yang sesuai untuk lagu nyanyian kami.


BERBAKAT: Paragon Child bukan saja berbakat besar dalam bidang nyanyian dan tarian malah mereka juga mahir bermain alat muzik.

“Bagaimanapun untuk latihan vokal, kami ada jurulatih vokal sendiri iaitu Jereme Vinarao. Dialah yang akan menasihati kami lagu bagaimana yang sesuai untuk dinyanyikan dan mengajar bagaimana untuk menyanyi dengan baik. Pengalaman yang dimilikinya sebagai salah seorang guru vokal dan muzik yang disegani ramai, meyakinkan kami bahawa kami mampu memberi satu bentuk persembahan yang bertenaga,” ujar Jerwin.

Sewaktu ditemui, Paragon Child sedang sibuk menjalani latihan di studio milik pengurus mereka. Terpegun seketika kerana sewaktu sesi latihan berlangsung, mereka memilih untuk menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Aliff Aziz berjudul Sayang Sayang.

“Sebelum ke Malaysia, kami rasa perlu membuat sedikit kajian, lagu apakah yang popular di sana menerusi internet. Jadi sebab itulah kami berlatih lagu ini. Lagipun rentak lagu ini agak catchy dan senang untuk dinyanyikan. Mungkin kami akan nyanyikan lagu ini dalam minggu kedua atau ketiga,” ujar Julius yang memiliki suara suara jantan. Selain lagu Sayang Sayang, mereka juga tertarik dengan lagu Ketulusan Hati nyanyian Anuar Zain dan turut bercadang untuk menyanyikan lagu itu jika berkesempatan.

Mengakui negara Indonesia sebagai pesaing terdekat mereka, RJ berkata itu juga menjadi pendorong untuk mereka berusaha dengan lebih gigih lagi.

“Tahun lalu, kumpulan dari Indonesia, The Lima bergelar juara jadi tidak mustahil mereka mampu mengulangi kejayaan sama tahun ini. Tapi kami tak nafikan mungkin negara lain mampu membuat kejutan. Jadi kami harus bersedia dalam keadaan apa sekali pun,” ujar jejaka yang cukup handal menari ini.

Tidak seperti boy band lain yang lebih cenderung pada muzik berunsur pop, Paragon Child pula ingin dikenali sebagai sebuah kumpulan yang serba boleh.

“Kami boleh bawa apa saja rentak muzik. dari muzik R & B, rock, balada dan juga klasik. Dan kami akan berusaha memikat hati pengundi dengan corak serta persembahan kami yang lain dari yang lain,” ujar Jerwin teruja.

Kumpulan trio yang menggelarkan diri mereka sebagai 3.5 (Three Point Five) juga tidak ketinggalan untuk memberi saingan sengit kepada kumpulan lain. Dengan penampilan yang agak seksi, pastinya kehadiran mereka mengundang kontroversi kerana dikatakan lebih menjual rupa berbanding bakat nyanyian.

Bagaimanapun, kenyataan itu pantas disangkal jurucakap mereka, Stephanie Lazaro-Bainbrigge, 28 sambil dipersetujui dua anggota lain iaitu Jellica Mateo, 24 dan Sherylad B Dela Virgen, 27..

“Kami datang secara pakej iaitu imej dan juga bakat. Kami mahu membawa pembaharuan dalam bidang hiburan iaitu bukan saja mempunyai penampilan yang menarik tetapi juga kami boleh menari dan menyanyi dengan baik,” ujarnya.

Berbicara mengenai persediaan yang mereka lakukan sebelum ‘berperang’ bersama negara lain dalam pertandingan Gang Starz kelak, Stephanie berkata itu adalah perkara utama yang dititikberatkan sebelum berjuang.

“Kami membuat persediaan dari segi fizikal dan juga mental. Dalam seminggu, kami memperuntukkan empat kali untuk membuat latihan. Ada latihan dijalankan di studio milik jurulatih vokal kami tetapi juga di rumah Jelli. Dalam setiap latihan, kami akan memastikan ia meliputi semua supaya tidak ada satu pun yang ketinggalan.

“Paling penting, kami perlu banyak berehat dan tidur yang mencukupi serta minum banyak air masak. Ini perlu untuk vokal kami. Malah, kami juga mendapatkan nasihat doktor mengenai penjagaan suara dan mematuhi nasihat supaya vokal kami tidak cedera sekali gus memusnahkan peluang untuk menjadi juara,” tutur Stephanie ramah.

Bercerita mengenai kesungguhan 3.5 untuk merebut gelaran juara, agak melucukan apabila Stephanie memberi tahu bahawa mereka sanggup mengutip dana semata-mata untuk menjayakan pertandingan itu.

“Sebaik saja berjaya menjalani sesi uji bakat, kami bertiga menganjurkan acara nyanyian semata-mata untuk mengutip dana bagi membiayai perbelanjaan kami sewaktu menghadapi pertandingan ini. Kebanyakan yang hadir adalah kawan-kawan kami. Apabila memberitahu mereka tujuan acara itu diadakan, kami terperanjat kerana masing-masing memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.

“Sambil menghulurkan wang, mereka juga melaungkan kata-kata semangat. Masa itu rasa terharu sangat dan dana itu kami gunakan untuk membeli pakaian serta aksesori yang akan dipakai sewaktu pertandingan ini,” ujarnya sambil disulami tawa.

Ditanya apakah harapan mereka dalam pertandingan ini, Stephanie berkata mereka menyedari laluan yang mereka bakal hadapi nanti bukannya mudah kerana mereka perlu berdepan dengan saingan yang cukup kuat terutama dari negara Indonesia.

“Namun, saya akui negara lain juga mampu memberi cabaran kepada kami. Tapi kami memang suka dengan cabaran dan kami akan pastikan, 3.5 mampu memberi saingan dalam pertandingan sekali gus melenyapkan sangkaan sesiapa saja yang menganggap kami sekadar penyeri dalam pertandingan ini,” ujar ibu tunggal ini bersungguh-sungguh.

Powered by Berita Harian